14 Februari 2016

Separuh Ramadhan Apa Harapan Kita

KITA telah melakukan puasa selama 15 hari dan berbaki lagi 14 atau 15 hari lagi. Sehingga ke hari ini apa yang kita rasa dengan puasa kita. Apakah ada harapan untuk mendapat puasa yang sempurna, tidak sekadar lapar dan dahaga sahaja dan seterusnya beroleh anugerah takwa daripada Allah pada Syawal nanti. Adakah kita berjaya melangkah daripada puasa golongan awam kepada Khawas? Sepatutnya kita boleh muhasabah hari ini.

Ya, kita berjaya tidak makan dan minum dan melakukan persetubuhan pada siang hari, maknanya tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Tetapi bolehkah kita meninggalkan dosa sepanjang kita berpuasa? Bagaimana dosa besar dan kecil terhadap Allah, terhadap manusia termasuk pasangan suami atau isteri? Bagaimana dengan sifat mazmumah yang masih bersarang di hati kita, sudahkan dibuang sedikit demi sedikit? Dan akhirnya sudahkah sepanjang bulan ini kita penuhi dengan amalan sunat selain tarawih. Ya Allah, tidak mampu hendak dijawab. Nampaknya sekali lagi kita gagal untuk mencapai puasa golongan khawas.

Sifat mazmumah itu sifat tercela sepatutnya kita buang dan gantikan dengan sifat terpuji, tetapi bagaimana sifat terpuji boleh masuk ke dalam hati kita kalau sifat mazmumah masih bertapak kemas dalam hati kita. Ulama sufi sudah membuat teori tetapi sudah hendak dilaksanakan sebab sifat ini hanya boleh dibuang dengan mujahadah dan untuk itu perlu dibimbing dan diselia oleh guru yang mursyid.

Namun begitu, kita masih wajib melakukan pembersihan ini sekadar yang mampu. Antara sifat mazmumah yang ada dalam diri kita ialah hasad dan dengki, benci kepada Allah dan suka marah yang tidak menentu. Daripada sinilah lahirnya tabiat suka mengumpat dan membuat fitnah. Maka tabiat ini tidak akan hilang daripada seseorang manusia selagi mazmumah hasad dengki, benci orang dan suka marah orang tidak boleh dibersihkan daripada hati mereka.

Teori mudah yang dianjurkan oleh Allah dan Rasul ialah, tinggalkan bersangka buruk; sangka buruk kepada Allah dan kepada manusia jua. Cuba kita bayangkan setiap kali kita buka mata, kita sangka rezeki kita tiada. Kita sangka jiran kita menzaliminya. Sebagai isteri sangka suaminya melakukan curang terhadapnya. Dengan sangkaan itu hati kita tidak boleh tenang sebaliknya terus bertindak memarahi pihak yang disangka itu. Kesannya kita yang menderita, manakala pihak yang satu jika tidak berindak balik akan beroleh ketenangan.

Sedarlah wahai umat Islam sifat di atas kalau sampai menguasai jiwa umat Islam tidak akan ada umat manusia yang baik. Mujurlah peratusnya bukan 100 peratus, sebahagian lagi mampu menolak mazmumah itu dengan baik. Maka jadilah dunia seperti sekarang. Tetapi percayalah tiada faedah langsung kalau kita mengekalkan atau membela mazmumah itu. Anggaplah semua yang berlaku itu ada kebaikan kepada kita, nanti Allah akan kurniakan kepada kita kebaikan iaitu ketenangan.

Apabila wadah kita (hati) sudah bersih Allah akan campakkan kebaikan itu ke dalam hati kita. Dengan sebab itu kita akan mempu melakukan kebaikan, mudah berderma, membuat kebajikan selain ibadah-ibadah sunat. Bayangkan kalau semua itu dapat dilakukan dalam bulan Ramadan, sudah tentu kita berpeluang mendapat pengampunan Allah daripada dosa yang lalu dan dibebaskan daripada api neraka. Inilah jalan-jalan untuk mencapai takwa seperti yang ditawarkan oleh Allah kepada orang yang berpuasa.

Jadi, latihlah dari sekarang untuk membuang sifat mazmumah itu dengan banyak bersangka baik sesama umat Islam dan manusia.

Tiada ulasan: