20 November 2014

Cerai MudahTapi Nak Bercerai Susah

Ahmad Baei Jaafar
Bercerai memang mudah semudah menyebut satu dua dan tiga. Benar, suami boleh lafazkan “aku ceraikan engkau” sewaktu di hadapan isterinya. Dengan lafaz itu sudah jatuh satu talak. Atau suami menyebut “aku ceraikan isteriku” yang sememangnya itulah isterinya, maka jatuh talaknya walaupun dia menyebut lafaz itu bukan di hadapan isteri atau tanpa pengetahuan isteri.
Memang nampak mudah tetapi tidak semudah itu boleh berlaku perceraian. Walaupun hukum bercerai dibenarkan tetapi disukarkan oleh Allah agar tidak berlaku perceraian. Bagaimana? Dalam kesempatan ini saya datangkan bukti betapa Allah tidak suka umatnya bercerai lalu disukarkan amalannya.
Kuasa talak diberi kepada suami
Allah berikan kuasa talak kepada lelaki bukan kepada isteri. Lazimnya lelaki tidak akan menggunakan kuasa talak semudah hukumnya. Hal ini kerana suami sebelum berkahwin telah menghabiskan wang yang banyak untuk mengahwini isterinya, tentu tak mungkin kerana sedikit salah faham maka dengan mudah dia nak menceraikan isterinya.
Selain itu, suami berfikiran luas dan sabar dalam menghadapi ujian hidup. Dengan karenah isteri yang sedikit itu tidaklah boleh menggugat kasih sayangnya kepada isterinya. Biarpun isterinya meminta cerai dia boleh memekakkan telinga. Paling tidak, kalau dia tidak mahu mendengarnya dia akan keluar rumah mencari ketenangan di luar.
Walaupun isterinya memeningkan kepalanya, suami tidak perlu fikir untuk ceraikan isteri kerana dia boleh berkahwin lagi walaupun isteri itu masih bersamanya. Walaupun isterinya meminta cerai kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain, dia boleh menghalangnya. Kalau isterinya bersikap dingin terhadapnya dia ada alasan untuk kahwin lagi. Dengan cara itu perceraian tidak akan berlaku. Inilah yang saya maksudkan disukarkan oleh Allah.
Kalau begitu, mengapa berlaku juga perceraian?
Jawapannya mudah, apabila tiga sebab di atas tidak dikuasai oleh suami berlakulah perceraian. Pertama, suami kahwin koboi atau kawin percuma atau kawin kerana terpaksa. Kalau ada cabaran yang mendatang lalu tidak dapat dikawal olehnya pasti dia dengan mudah melafazkan cerai. Fenomena ini dapat dilihat pada hari ini di mana-mana sahaja.
Sebab kedua, suami tidak boleh sabar malah panas baran. Dia tidak mampu mendengar leteran isterinya apatah lagi kalau isterinya menguasai ekonomi rumah tangga. Atas ketidaksabaran itu dia akan melafazkan cerai demi mengelak pergaduhan yang berpanjangan.
Sebab yang ketiga, keegoan isterinya mencabar kelakiannya sebagai suami. Tentu kalau dia tidak menceraikan isterinya akan menjadi bebanan kepada dirinya pula. Pada masa yang sama niat hendak mengahwin isteri lagi mendapat tentangan isterinya. Maka jalan selamat diceraikan isterinya lalu bolehlah dia berkahwin baru.
Jadi, kalau anda suami di mana kedudukan anda? Dan kalau anda isteri di mana kedudukan anda. Oleh sebab itu, pilihlah untuk tidak bercerai. Maka suami bertindaklah sebagai suami dan isteri bertindaklah sebagai isteri. Ego isteri tidak membawa kebaikan kepada rumah tangga, dan sikap terlalu berlembut suami tidak akan membawa isteri rasa bangga dan suka dengan anda.
Isteri tiada kuasa mutlak
Bolehkah anda bayangkan bagaimana kalau kuasa talak atau cerai ini diberikan juga kepada isteri. Apakah yang akan terjadi pada sesebuah rumah tangga? Perceraian akan berlaku dalam satu hari berkali-kali. Maka jelaslah kepada kita, dengan memberikan kuasa cerai kepada lelaki adalah untuk mengelak daripada berlaku perceraian yang berkali-kali itu.
Allah tahu kelemahan wanita maka demi menyukarkan perceraian diberikan kuasa kepada suami sahaja. Namun Islam tidak mahu dilihat terlaku mengungkong isteri, diberikan juga kuasa talak kepada isteri, tetapi tidak secara mutlak. Mereka boleh menuntut cerai khuluq, fasakh dan faraq di mahkamah dan hakimlah yang boleh mengarahkan perceraian itu. Jelas di sini, perceraian masih disukarkan oleh Allah.
Diharamkan bercerai pada waktu isteri hamil Hukum haram ini hanya dikenakan kepada suami supaya mereka tidak dengan senang-senang hati hendak menceraikan isterinya. Mentang-mentanglah isterinya mengandung, tidak dapat layanan seksnya seperti biasa, lalu hendak diceraikannya. Maka dengan larangan ini suami takut untuk menceraikan isteri sekali gus bertambah sayang kepada isterinya.
Dengan hukum ini hendaknya tidak ramailah isteri menjadi janda. Maka isteri bolehlah dalam keadaan itu bersenang hati bersama suaminya tanpa ragu-ragu akan diceraikannya. Namun begitu hukum ini tidak dikenakan kepada isteri. Mungkin isteri dalam keadaan mengandung itu rasa diabaikan, dari awal mengandung sehingga lima bulan tidak diperdulikan, maka boleh isteri memohon perceraian di mahkamah. Jika hakim membenarkan perceraian dalam keadaan itu tidaklah isteri itu berdosa.
Sungguhpun begitu amalan ini tidak pernah berlaku, dan kalau adapun tuntutan cerai semasa mengandung, hakim nasihatkan mereka bersabar sehingga bersalin. Ini juga boleh dianggap sebagai usaha menyukarkan perceraian.
Cuma agak malang masyarakat kita di Malaysia, sesetengah pasangan atas kejahilan mereka, tidak menghiraukan larangan Islam itu. Walaupun Islam mengharamkan perceraian semasa isteri hamil, dilafazkan juga cerai. Barangkali lelaki ini termasuk dalam salah satu daripada tiga golongan di atas. Tanpa perdulikan hukum haram, tanpa perdulikan dosa yang bakal diterima, cerai terus dilafazkan. Kesian isterinya sudah bergelar janda.
Ya, cerai tetap jatuh apabila menepati syarat dan rukunnya. Apabila suami yang melafazkannya, jatuhlah talak. Dan lafaz yang dikeluarkan oleh suami itu pula jelas boleh difahami sebagai cerai, maka sahlah perceraian itu. Jadi, cerai dalam tempoh isteri mengandung, sah tetapi perbuatan suami berdosa kerana melakukan perkara yang haram. Pada masa yang sama menzalimi isterinya kerana telah memanjangkan tempoh eddahnya.
Begitu juga haram perceraian kalau dilafazkan oleh suami selepas mereka melakukan persetubuhan. Maknanya kalau malam tadi mereka baru bersetubuh, maka haram suami menceraikan isterinya pagi esok. Kalau begitulah kedudukannya, bilakan akan berlaku perceraian kalau setiap malam mereka melakukan persetubuhan. Nampaknya, ini satu lagi yang menyukarkan perceraian.
Sedarlah semua yang saya bentangkan di sini adalah untuk menunjukkan bahawa perceraian memang disukarkan walaupun perceraian itu mudah. Kesukaran ini adalah menepati kehendak sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Talak atau bercerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah.”

Jadi, berfikirlah banyak kali sebelum bercerai wahai suami dan sayangilah suami dan rumah tangga walaupun isteri rasa tertekan. Perkahwinan adalah untuk bahagia dan menyelesaikan keperluan suami isteri secara halal. Jadi hargailah semua ini demi Islam dan maruah umat Islam.

21 Oktober 2014

Sentuh anjing tanpa keperluan adalah haram

Ahmad Baei Jaafar

Saya terpanggil untuk bercakap soal isu anjing yang dihebohkan dalam media pada hari ini. Kalau tak bercakap rasa macam bersalah pula. Yalah setiap hari orang mengadu kepada saya dan setiap hari juga saya dengar orang bercakap tentangnya. Dan semalam ramai tokoh ulama sudah mula bercakap bagi merungkai kekeliruan dalam masyarakat kita.

Saya tidak mahu bercakap panjang-panjang kerana takut lebih mengelirukan, tetapi cukuplah saya nyatakan bahawa anjing adalah makhluk Allah yang diciptakan dengan beberapa keistimewaan. Namun ada jenis anjing yang boleh membawa petaka kepada umat Islam. Hal inilah yang ramai umat Islam tidak sedar malah melanggarnya.

Suka saya sebutkan di sini, sebelum datangnya syariat Nabi Muhammad SAW, anjing adalah rakan ashabul kahfi. Syariat pada zaman itu tidak menghalang sentuhan anjing kerana anjing setaraf dengan kucing. Anjing ashabul kahfi direkodkan di dalam al-Quran sebagai pembantu sepanjang perjalanan malah sewaktu pelarian ashabul kahfi.

Sebenarnya anjing ini makhluk yang bijak dan cerdik dalam mengesan musuh. Jadi, perjalanan mereka selamat kerana pergerakan musuh dapat dikesan oleh anjing itu. Oleh sebab itu anjing menjadi binatang kesayangan pada waktu itu.

Selain kisah itu, seorang pelacur daripada suku Bani Israil ternampak seekor anjing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga. Lalu dia pun menanggalkan kasutnya dan turun menceduk air perigi tersebut dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka dikabarkan Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.

Syariat Islam

Zaman berlalu, apabila datang kerasulan nabi Muhammad SAW, syariat berubah namun akidah tetap sama. Hukum tentang anjing juga berubah sesuai dengan zaman. Dalam al-Quran, Allah menyebut tentang anjing yang sifatnya suka menjelerkan lidahnya. Namun keadaan yang sangat huduh itu hanya mahu diibaratkan kepada umat Islam yang sangat mementingkan dunia. Perhatikan firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 175 yang maksudnya:

“Dan bacakanlah (Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk golongan orang-orang sesat. Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami tinggikan (darjat)nya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dia akan menjelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia tetap menjelirkan lidahnya. Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir. Sangat buruk perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka itu telah berbuat zalim kepada dirinya sendiri.” (Surah al-A’raaf: 175-177)

Maka mana-mana umat Islam yang tidak berasa cukup dengan apa yang ada, terus memburu dunia untuk kepentingan diri, harus sedar bahawa mereka adalah seperti anjing. Sungguh buruk sifat orang Islam itu seperti terjelir dahagakan dunia.

Najis Berat

Selain ini, anjing dalam syariat Nabi Muhammad adalah dikategorikan sebagai najis berat. Hal ini kerana cara menyucikan najis ini berat sedikit caranya. Iaitu dengan menggunakan tanah dan enam kali air mutlak. Berbeza dengan najis biasa cukup dengan air mutlak sahaja. Berdasarkan hukum itu, apakah perlu kita dengan sengaja mahu menyentuh anjing? Kalau najis biasa pun tak patut kita sentuh inikan pula najis berat.

Hukum ini ditetapkan begitu supaya kita sentiasa peka dengan najis. Namun kalau kita tersentuh najis biasa, basuhlah, dan kalau tersentuh najis berat samaklah. Jadi, hukum ini bukan menggalakkan sentuh anjing tetapi memberi alternatif mengelak najis jika tersentuh.

Berdasarkan itu, sesiapa yang sengaja mahu menyentuhnya tanpa sebarang keperluan adalah mencabar hukum Allah atau menghina agama Islam. Sebenarnya umat Islam dalam beberapa keadaan perlukan anjing iaitu untuk memburu dan keselamatan. Maka untuk dua keadaan itu anjing tersebut perlu dilatih oleh pakar untuk mencapai matlamat tugasnya.

Jadi, untuk mengajar anjing itu, perlukan sentuhan. Begitu juga untuk membawa anjing itu ke lokasi perlukan sentuhan. Sentuhan ini harus, namun dia wajib membersihkan tangannya dengan samak selepas itu. Berdasarkan hukum ini maka tidak salah polis Islam membawa anjing untuk mengesan dadah dan sebagainya.

Memelihara Anjing

Selain hukum di atas ada satu lagi hukum iaitu mengenai memelihara dan menjual anjing. Sehubungan dengan itu Rasulullah bersabda, rumah yang ada anjing di dalamnya tidak akan dimasuki malaikat (malaikat rahmat). Suatu ketika Rasulullah SAW diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Oleh sebab anjing itu najis maka malaikat rahmat tidak mahu masuk dan baginda rasul juga tidak mahu masuk. Jadi, anjing tidak boleh dipelihara di dalam rumah. Larangan itu sudah tentu ada dua sebab, pertamanya kerana najis berat yang kalau hendak dibersihkan agak sukar. Dan yang keduanya kerana tidak ada keberkatan dalam rumah itu.

Berdasarkan perbahasan di atas dan setelah disesuaikan dengan isu anjing yang ditimbulkan sekarang saya mahu simpulkan di sini bahawa Islam menetapkan hukum yang membela anjing terdapat dua kategori iatu:

1. Anjing untuk keperluan boleh dipelihara di luar rumah sesuai dengan tugasnya menjaga keselamatan rumah atau memburu.

2. Anjing mainan tidak boleh dipelihara apatah lagi di dalam rumah.

Menjual Anjing

Saya lihat dalam isu sekarang, ada kemungkinan pihak penganjur mahu mempromosikan anjing dan kelak apabila umat islam suka kepada anjing, mereka akan membeli anjing tersebut untuk peliharaan di dalam rumah. Di sini akan berlaku jual beli anjing secara tak langsung.

Tahukah anda apakah hukum menjual dan membeli anjing? Dalam Islam haram berjual dan beli barangan najis dan barang haram. Berdasarkan itu umat Islam yang terlibat dalam jual beli anjing adalah haram dan berdosa. Samalah dengan haramnya menjual dan memberi arak, rokok dan dadah. Jadi, umat Islam yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak adalah lebih baik selamatkan diri daripada kerja haram tersebut. Wallahu aklam

20 Jun 2014

Ini adalah petikan khutbah Jumaat yang disampaikan di Surau As-Sakinah pada 15 Syaaban 1435

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari ini 15 Syaaban dan malam semalam sebahagian besar umat Islam membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib sempena Malam Nisfu Syaaban. Walaupun ada suara-suara yang cuba membidaahkan amalan itu, rakyat Malaysia masih teguh mengamalkannya. Syabas rakyat Malaysia khususnya anak kariah Surau as-Sakinah.
Memang benar, tiada satu arahan pun yang datang daripada Rasulullah supaya umat Islam membaca surah Yaasin pada malam nisfu Syaaban, tetapi amalan baik itu datang daripada kreativiti ulama terdahulu dalam merealisasikan sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis daripada Abi Umamah iaitu:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " خَمْسُ لَيَالٍ لا تُرَدُّ فِيهِنَّ الدَّعْوَةُ: أَوَلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَةُ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةُ الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ " . (ابن عساكر الدمشقي)
Katanya Sabda Rasulullah SAW: Lima malam yang Allah tidak tolak doa mereka iaitu awal malam Rajab, malam nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Idul fitri dan malam idul adha. (Hadis Riwayat Asakir al-Dimasyqi)
Ya dengan membaca Yaasin tiga kali, kita hakikatnya berdoa malah selepas itu dengan serius pula kita berdoa supaya panjang umur dalam memantapkan Iman, juga supaya terhindar bala sekali gus dimurahkan rezeki dan disudahkan akhir hidup dengan husnul khatimah. Tetapi tidak cukup dengan itu sahaja, kita boleh dilakukan ibadah lain seperti membaca al-Quran dan solat sunat pada tengah malam. Waktu itu juga elok kita berdoa. Soalnya siapakah yang melakukan semua itu pada malam tadi?
Berdasarkan hadis di atas, umat Islam seharusnya membanyakkan doa dan melakukan amal kebaikan pada malam-malam yang disebut di atas. Tetapi realitinya, siapa yang membaca doa atau berdoa pada malam pertama Rejab? Lazimnya kita lepaskan begitu sahaja malam itu. Malang sungguh, peluang yang diberi Allah, kita abaikan begitu sahaja.
Seterusnya siapa pula yang berdoa pada malam Jumaat? Orang Melayu hanya nampak malam Jumaat, baca Yaasin dan bagi yang berkahwin, malam sunat bersama isteri. Nasib baik selepas baca Yaasin ada doa dan semasa hendak bersama isteri, ada doa. Tetapi selebihnya tiada doa lagi. Dan yang pastinya, orang bujang tidak fikir langsung soal doa ini. Alangkah ruginya kita.
Begitu juga dengan malam hari raya idul fitri dan adha, tidak ada yang berdoa selain membaca takbir raya. Itu pun ramai yang tidak pandai membaca takbir hari raya. Bayangkan kalau waktu yang mustajab doa ini pun umat Islam tidak diambil perhatian, bagaimana dengan hari-hari lain?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Dua minggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadan, bulan mulia bulan barakat berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ, شَهْرٌ مُبَارَكٌ, كَتَبَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ, فِيْهِ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةُ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ. فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. مَنْ ُحُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.
"Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkahi. Allah  mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barang siapa yang tidak memperoleh kebaikannya, maka ia tidak memperoleh apa-apa." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa`i)
Berdasarkan hadis ini kita ditawarkan banyak lagi peluang untuk membaiki diri dalam bulan Ramadan. Amalan puasa satu hal yang sememangnya wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)
Tetapi selain itu banyak lagi yang Allah buka peluang kepada kita demi membantu kita masuk ke dalam syurganya iaitu:
1.      Pintu-pintu syurga dibuka
2.       Pintu-pintu neraka ditutup
3.       Para syaitan diikat atau dirantai
4.       Terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Bayangkan kalau sebegitu hebat peluang yang diberi tetapi umat Islam masih tidak memperoleh kebaikannya, maka sudah tentu tidak memperoleh apa-apa. Tentu rugikan?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Dalam tempoh berbaki dua minggu lagi ini, marilah kita membuat persediaan yang kuat untuk menempuh ujian dan peluang Ramadan. Namun untuk membuat latihan puasa sudah tidak boleh lagi kerana mereka yang tidak puasa sebelum ini tidak boleh puasa sunat lagi bermula pada 16 syaaban. Beruntunglah mereka yang berpuasa Rejab dan Syaaban baik penuh atau pun secara berkala. Sebenarnya Rasulullah pernah menyuruh umat Islam berpuasa secara konsesten pada bulan Rejab dan Syaaban berdasarkan hadis berikut.
عَنْ أبي هريرة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , قَالَ : " لا آمُرُ بِصَوْمِ شَهْرٍ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ إِلا بِرَجَبٍ وَشَعْبَانَ "
Dariapda Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah bersabada aku tidak pernah menyuruh puasa selepas Ramadan kecuali Rejab dan Syaaban. (Riwayat Ibnu Asyakir)
Sebenarnya selain latihan puasa, banyak lagi latihan berbuat baik boleh dilakukan iaitu, tidak biasakan mengumpat dan membuat fitnah atau menyebar fitnah. Banyakkan berderma menyumbang kepada masjid dan surau khusus untuk persiapan Ramadan. Begitu juga dengan ibadah sunat seperti solat sunat dan sebagainya, perlu dibanyakkan.
Paling kurang, lakukan ibadah solat sunat rawatib dan solat sunat bersebab seperti selepas berwuduk, masuk masjid dan banyak lagi. Kita perlukan semua ini supaya kita jadi terbiasa sebelum melaksanakan solat tarawih. Kita tidak mahu lagi ulangi sikap yang hanya berminat untuk banyakkan solat pada bulan Ramadan tetapi tidak selepas itu. Jadi istiqamahlah sebelum Ramadan supaya boleh diteruskan selepas itu.
Akhirnya sebelum Ramadan, marilah kita berdoa supaya kita diberi peluang untuk masuk ke bulan Ramadan. Kita tidak tahu nasib kita, kerana ramai juga kawan-kawan kita yang sudah pergi sebelum datang Ramadan. Doalah seperti yang diajar Rasulullah dalam sebuah hadis:
عَنْ أنس بن مالك، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ " (سليمان بن أحمد الطبراني)
Apabila masuk Rejab, doalah ya Allah berkatilah untuk kami dalam Rejab dan Syaaban dan sampaikan umur kami ke Ramadan ( At-Tabrani)
Ambillah peluang ini selagi usia kita diberikan Allah untuk melakukan kebaikan.

03 Mac 2014

Batalkan Pertunangan Perlu Ganti Rugi

Ahmad Baei Jaafar
Islam menganjurkan perkahwinan supaya hubungan lelaki dengan perempuan menjadi halal. Namun senario yang berlaku pada hari ini, lelaki dan perempuan secara sedar boleh bertepuk tampar malah bebas keluar masuk rumah seperti suami isteri. Apakah mereka mencabar hukum Allah atau tidak mengetahui hukum pergaulan atau mereka menyangka dengan bertunang segala perhubungan sudah menjadi halal.
Sebenarnya Rasulullah SAW secara jelas bersabda: “Sesungguhnya jika salah seorang antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh seseorang yang bukan mahramnya.” (Riwayat al-Imam al-Thabrani dalam al-Mu’jamul Kabir)
Bolehkah anda bayangkan kesan cucukan jarum besi yang sudah tentunya amat pedih. Rasa pedih itu masih Rasulullah katakan sebagai lebih baik berbanding dengan perbuatan menyentuh seseorang yang bukan mahram. Padahal sentuhan bukan mahram tidak sakit berbanding dengan sakit akibat dicucuk jarum. Tetapi, dengan menyentuh pasangan yang bukan mahram kesannya adalah neraka yang pedihnya berganda-ganda.
Memahami mesej daripada hadis di atas, umat Islam wajib elak daripada sentuhan pasangan yang bukan mahram meskipun sudah bertunang. Hal ini kerana pertunangan bukan menghalalkan pergaulan antara mereka tetapi sekadar perjanjian awal untuk membolehkan pasangan itu membuat persiapan awal untuk berkahwin.
Pertunangan dilindungi undang-undang
Apabila seseorang itu sudah sah bertunang, maka haramlah orang lain untuk meminang si wanita tersebut. Malah haram bagi wali wanita tersebut menerima peminangan orang lain dan membatalkan pertunangan yang pertama. Islam tidak membenarkan amalan ini kerana tindakan itu seperti merampas hak orang lain.
Hadis daripada ‘Uqbah bin Amir menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin itu adalah saudara bagi mukmin yang lain. Maka tidak dihalalkan bagi seorang mukmin untuk membeli barang yang sudah dibeli saudaranya dan janganlah seorang mukmin meminang di atas pinangan saudaranya kecuali jika pinangan itu telah ditinggalkan.” (Shahih Muslim 2/1034 no.1414)
Jelas di sini sesebuah pertunangan dilindungi undang-undang. Maka mereka yang terlibat tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan atau membatalkan pertunangan itu. Walau bagaimanapun pihak lelaki mahupun perempuan ataupun wali si wanita boleh membatalkannya dengan sebab-sebab yang munasabah dengan syarat dipersetujui bersama.
Oleh sebab itu jika pembatalan yang dibuat kerana terdapat kecacatan pada pasangan atau sebelah pihak mendapati satu pihak lagi tidak seperti yang diharapkan, bolehlah dibatalkan. Itupun jika kedua-dua belah pihak boleh terima alasan tersebut.
Batal tanpa sebab
Pada dasarnya apabila termetrai sesuatu pertunangan, tidak harus dibatalkan. Maka jika ada pihak yang mahu membatalkan pertunangan tanpa sebab-sebab yang munasabah, pihak yang membatalkan itu wajib membayar ganti rugi mana-mana yang membabitkan urusan pertunangan dan perkahwinan.
Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah."
Seksyen ini dengan jelas membezakan pembatalan pertunangan bersebab dengan pembatalan tanpa sebab yang sah. Pembatalan tanpa sebab yang sah merujuk kepada alasan yang tidak boleh diterima oleh pihak yang satu lagi. Maksud ini dijelaskan lagi dengan ayat seterusnya yang menyatakan bahawa pihak yang satu lagi masih mengharapkan berlaku perkahwinan itu.
Jika berlaku keadaan ini, pihak yang ingkar boleh didakwa di mahkamah syariah. Dan jika sabit kesalahan dia wajib membayar ganti rugi perkara berikut:
  1. Memulangkan pemberian pertunangan, jika ada.
  2. Membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh satu pihak untuk membuat persediaan bagi perkahwinan.
Katakanlah pihak yang membatalkan pertunangan ialah lelaki, maka apa-apa pemberian tunangnya yang perempuan seperti cincin, kasut, makanan dan seumpamanya sebagai pemberian balas pertunangan perlu dipulangkan kembali. Manakala jenis makanan yang sudah habis dimakan, perlu dinilai kadarnya. Begitu juga dengan barangan yang sudah haus atau hilang perlu digantikan dengan yang seumpama dengannya.
Keadaan yang sama perlu dilakukan kalau sekiranya pihak perempuan yang membatalkan pertunangan itu. Berdasarkan peruntukan seksyen ini, pihak yang kena batal baik lelaki mahupun perempuan tidak perlu memulangkan segala yang diterima.
Selain itu dalam tempoh pertunangan itu, tentulah pihak perempuan atau lelaki telah membuat persediaan awal demi merealisasikan perkahwinan itu seperti membaiki beranda rumah, membaiki dapur dan membeli katil dan perabot. Malah boleh jadi semakin hampir hari perkahwinan mereka sudah membayar deposit untuk majlis makan, mencetak kad jemputan dan menempah baju serta pelamin.
Semua yang dibelanjakan itu perlu ditaksirkan oleh pihak yang menanggung rugi. Maka pihak yang membatalkan pertunangan itu boleh dituntut untuk membayar segala perbelanjaan yang telah dibuat itu. Malah pihak yang kena batal boleh membuat dakwaan ke mahkamah jika pihak yang membatalkan itu tidak mahu membayar secara rundingan. Namun pihaknya perlu menyediakan bukti dan saksi bagi menguatkan dakwaannya di mahkamah.
Kuasa Mahkamah Syariah
Seperti yang dijelaskan di atas, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Apatah lagi kalau kedua belah pihak bersetuju berdamai dan saling bermaafan.
Tetapi jika salah satu pihak tidak bersetuju dan mahukan keadilan, bolehlah satu pihak mendakwa di mahkamah syariah atas seksyen 15 itu. Hakim akan memutuskan kadar yang perlu dibayar oleh pihak yang mungkir secara adil. Dan pihak yang teraniaya dalam kes ini harus berlapang dada dengan keputusan itu walaupun tidak memuaskan hatinya.
Inilah bidang kuasa mahkamah syariah dalam melindungi umat Islam mengikut anekmen pentadbiran undang-undang keluarga Islam. Oleh sebab itu mahkamah syariah tidak ada kuasa untuk mendengar tuntutan selain daripada di atas. Jadi, ganti rugi kerana rasa dimalukan oleh pihak yang mungkir tidak boleh dibawa ke mahkamah syariah. Hal ini kerana persoalan ganti rugi malu bukan urusan yang dibenarkan agama.
Kita pernah dengar satu pihak menuntut ganti rugi malu kerana tidak dapat meneruskan majlis yang telah diketahui umum. Kononnya bagi menutup malu dituntut jutaan ringgit kepada pihak yang membatalkannya. Tuntutan sebegini tidak akan didengari oleh mahkamah syariah. Jika dia mahu bolehlah menuntutnya di mahkamah sivil, itupun kalau mahkamah tersebut mahu mendengarnya.
Perlu dijelaskan di sini bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa untuk membicarakan tuntutan berkaitan dengan hal ehwal pertunangan kerana urusan tersebut termasuk dalam urusan agama. Apatah lagi Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah mengeluarkan Mahkamah Sivil daripada mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atasnya.
Jadi, sebagai orang Islam kita wajib mengikut adab dan adat yang terdapat dalam Islam. maka mereka yang bertunang harus berpegang teguh kepada perjanjian dan sebaiknya tidak membatalkan pertunangan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu….” (Surah al-Ma’idah: 1)

Sungguhpun begitu kalau perlu dibatalkan kerana sebab-sebab yang munasabah lakulah secara suka sama suka, dan berundinglah secara baik. Jagalah akhlak orang Islam semasa bertunang apatah lagi ketika hendak membatalkan pertunangan. Semua pihak perlu mengikut adab sopan yang diajarkan oleh Islam.

17 Februari 2014

Peluang yang sering diabaikan umat Islam

Ahmad Baei Jaafar

Petikan daripada khutbah Jumaat yang disampaikan di hadapan jemaah surau as-Sakinah, Taman Putra Perdana.pada 14 Februari 2014

Bersyukur kita kepada Allah kerana kita diberi peluang oleh Allah untuk melakukan solat jumaat pada hari ini, sedangkan ramai lagi umat Islam di luar surau ini yang belum mendapat hidayah daripada Allah. Sebenarnya solat Jumaat solat mingguan yang sukar dilaksanakan dengan baik tanpa bermula daripada solat lima waktu.
Tidak dinafikan ada umat Islam yang hanya melakukan solat Jumaat seminggu sekali tetapi tidak melakukan solat lima waktu. Walaupun mereka membuat Jumaat, tetapi niat mereka tidak ikhlas kerana Allah. Mereka membuat solat Jumaat hanya kerana takut orang kata atau takut menjadi munafik.
Hari ini marilah kita betulkan niat kita untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kita bersyukur kerana dihidupkan Allah dan diberikan peluang berada di sini demi menyahut seruan Allah dalam firmannya:

$pkšr'¯»tƒ tûïÏ%©!$# (#þqãZtB#uä #sŒÎ) šÏŠqçR Ío4qn=¢Á=Ï9 `ÏB ÏQöqtƒ ÏpyèßJàfø9$# (#öqyèó$$sù 4n<Î) ̍ø.ÏŒ «!$# (#râsŒur yìøt7ø9$# 4 öNä3Ï9ºsŒ ׎öyz öNä3©9 bÎ) óOçGYä. tbqßJn=÷ès? ÇÒÈ   #sŒÎ*sù ÏMuŠÅÒè% äo4qn=¢Á9$# (#rãÏ±tFR$$sù Îû ÇÚöF{$# (#qäótGö/$#ur `ÏB È@ôÒsù «!$# (#rãä.øŒ$#ur ©!$# #ZŽÏWx. ö/ä3¯=yè©9 tbqßsÎ=øÿè? ÇÊÉÈ  

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! apabila diserukan supaya mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya), kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).(Surah Al-Jumaat :9-10)
Sidang Jumaat Sekelian
Dalam seruan melakukan solat Jumaat di atas ada tiga perkara yang perlu kita ambil perhatian iaitu:
  1. Segera pergi ke masjid
  2. Segera meninggalkan jual beli
  3. Kembali mencari rezeki selepas solat
Suka diingatkan di sini apabila kita masuk masjid, lakukan solat sunat tahiyatul masjid, malah kalau pun lambat masuk masjid selepas imam memulakan bacaan khutbah kita masih dituntut melakukan solat sunat. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ وَهُوَ يَخْطُبُ” : إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ ، فَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ". (الدارقطني)
Daripada Jabir bin Abdullah bahawa nabi SAW bersabda dalam keadaan dia sedang berkhutbah: “Apabila datang seseorang ke masjid pada hari Jumaat sedangkan imam membaca khutbah, maka lakukan solat dua rakaat.” (Riwayat al-Darulqutni)
Inilah yang sering diabaikan oleh jemaah, solat dua rakaat bukan susahpun, tetapi itulah yang payah hendak dilakukan. Tak susah solat ini, betulkan pada niat sahaja, sahlah solat itu.
Mengenai jual beli pula, memang pada waktu ini tidak ada yang berjual beli, tetapi bagaimana dengan perempuan yang sedang berjual atau membeli? Mereka tetap berdosa melakukan amalan jual beli selepas azan solat dikumandangkan. Jadi saya menyeru kepada umat Islam agar tidak melakukan amalan ini selepas ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Apabila khutbah mula dibacakan oleh khatib, tidak seorangpun boleh bercakap, malah berbisik pun tidak boleh. Rasulullah mengingatkan kita dalam hadisnya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ أَنْصِتْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ" (ابن ماجه)
Maskudnya: Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda: Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu, ‘diam’ pada hari Jumaat sedangkan imam sedang membaca khutbah, maka sia-sialah ibadah kamu.” (Ibnu Majah)
Di sini saya ingin mengingatkan pelajar sekolah yang berada di barisan belakang, orang dewasa yang membawa anak kecil agar hentikan bercakap sewaktu khutbah dibacakan. Khutbah penting untuk kita dengar kerana banyak pengajaran yang boleh diambil untuk membaiki kehidupan kita dalam beragama.
Selain itu saya pernah melihat anak muda asyik dengan handfon menghantar mesej sms dan membaca status fb waktu khutbah dibacakan. Amalan itu termasuk dalam larangan hadis di atas kerana pebuatan itu boleh menggagalkan kita menumpukan perhatian kepada khutbah.

Sidang Jumaat sekalian
Satu perkara lagi yang tidak kurang pentingnya, malah selalu diabaikan oleh jemaah ialah membaca doa. Sebenarnya ada dua doa yang penting dalam tempoh khutbah dibacakan iaitu sewaktu iman duduk selepas khutbah pertama dan kedua semasa akhir khutbah kedua. Kenapa penting? Hal ini kerana doa itu tidak ditolak oleh Allah. Buktinya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، أَنَّهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ” : لا يُرَدُّ الدُّعَاءُ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ" ) البيهقي)
Maksudnya: Daripada Anas bin Malik bahasanya dia berkata Rasulullah bersabda, “tidak ditolak doa di antara azan dan iqamah.” (Riwayat Baihaqi)
Antara azan dan iqamah itu luas, maka waktu itu tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Jadi, kenapa waktu imam duduk kita tidak turut berdoa. Kita tidak perlu ikut bacaan bilal, tetapi berdoalah sendiri apa yang kita mahu. Dan pada waktu doa khutbah kedua, kita hendaklah dengan serius mengaminkan doa khatib terutama pada doa untuk pemimpin negeri dan negara.

Kita sepatutnya doakan mereka agar mentadbir negeri dan negara ini dengan baik mengikut kehendak Allah. Tapi kalau kita tidak serius berdoa, masakan Allah nak bantu kita. Kalau kita tidak berdoa, tentu mereka tidak diberi hidayah oleh Allah maka dengan itu mereka akan terus melakukan kesalahan dalam pentadbiran.