28 Februari 2010

SEMASA PENCEN Cukupkah KWSP anda sepanjang tempoh hayat

Ahmad Baei Jaafar

Jika anda pegawai kerajaan, tentu hidup anda agak terjamin semasa pencen kerana sekurang-kurangnya separuh daripada gaji anda sekarang akan diperoleh setiap bulan sehingga meninggal dunia. Wang pencen itu bolehlah digunakan untuk kehidupan kedua-dua suami isteri dengan selesa kerana mereka tidak perlukan lagi perbelanjaan besar.

Kalau anda pekerja di sektor swasta kehidupan anda selepas pencen agak mewah kerana wang KWSP boleh dikeluarkan semuanya untuk membiayai kehidupan mereka. Tetapi jika mereka tidak pandai mengurus, tiga bulan kemudian semuanya akan habis. Selepas itu mereka akan kembali miskin.

Walau bagaimanapun dalam situasi itu bolehkah kita memberi jaminan bahawa anak kita beroleh pelajaran tanpa menanggung hutang, kita sihat tanpa perlu mendapat rawatan di hospital, dan segala hutang anda sudah diselesaikan sebelum pencen. Kalau begitulah keadaanya, anda adalah beruntung.

Sebaliknya jika anda tiada jaminan semua itu atau salah satu daripadanya, anda seharusnya belajar untuk serius memikirkan hari-hari anda semasa tua; apakah pendapatan anda selepas pencen; apakah perlindungan untuk keluarga; apakah persediaan untuk rawatan kesihatan. Namun janganlah “bila hendak terberak baru hendak menggali lubang.”

Situasi sekarang

UMUR: 20 - 55 Masa Berkerja - Anda ada 35 tahun Untuk Berkerja.

UMUR: 55 - 75 Masa Tidak Berkerja - Selebihnya 20 tahun lagi untuk meneruskan kehidupan HARI TUA (ini juga memerlukan PERBELANJAAN). Sekiranya dalam sebulan anda memerlukan:

Sebulan

Setahun

20 tahun

RM 1,000.00

RM12,000

RM 240,000.00

RM 500.00

RM 6,000.00

RM 120,000.00

Antara dua keadaan itu mana yang anda boleh miliki sewaktu pencen untuk sampai ke 20 tahun. Jika anda mampu, bagaimana pula dengan keadaan yang tidak dijangka seperti kemalangan dan rawatan di hospital? Ya jika anda gagal untuk menyimpan semasa 35 tahun bekerja, tentu anda tidak mampu menyimpan selepas bersara. Jadi, dalam keadaan apapun anda perlu ada disiplin untuk menyimpan pada usia anda masih bekerja.

Persoalannya, bolehkah anda menyimpan secara tetap/terus sekiranya tiada paksaan? Lazimnya kita tidak mampu. Mereka yang ada kesedaran di atas dan tidak mampu sesungguhnya anda masih boleh dibantu. Sila hubungi saya untuk dapatkan khidmat perundiang kewangan anda.

25 Februari 2010

Dapatkan Solusi isu 17 di pasaran anda

Umat Islam pada zaman akhir ini amat ketinggalan dalam banyak bidang. Dalam perniagaan kita terlalu lemah, dalam politik kita juga terkebelakang walaupun kuasa orang Melayu masih ada. Dalam bidang pendidikan kita merosot, malah dalam beragama juga kita sudah semakin lemah iman.
Sesuatu yang kita hendak lakukan selalunya kita cepat mengalah dengan teguran dan komen orang, lalu perkara yang baik terpaksa ditangguhkan dahulu. Ulama sendiri tidak begitu berani untuk menegur orang awam apatah lagi pemimpin yang melakukan kesalahan. Sebaliknya akan berusaha menutupnya dengan pelbagai alasan.
Dalam kita menurun dalam bidang agama, orang lain semakin cemerlang mengatasi kita. Gereja dan kuil semakin berisi dengan agenda menarik. Mengapa kita menjadi sedemikian rupa? Oleh sebab itu satu usaha bagi membina keyakinan diri perlu dimulakan. Kita perlu berubah demi kecemerlangan Islam dan umatnya.
Solusi isu 17 akan cuba memberi jawapan kepada persoalan di atas, isu yang ditampilkan "Membina Keyakinan Diri" boleh memandu pembaca sekelian ke arah itu. Dapatkan Solusi di pasaran berdekatan anda pada Mac ini. Bagi yang melanggan, tunggulah ketibaannya ke pangkuan anda. Selamat membaca.

21 Februari 2010

Kesan Ulama dan Umara Tidak Berperanan

Ahmad Baei Jaafar

Umara dan ulama ada peranan masing-masing namun antara mereka perlu saling berhubung untuk kebaikan rakyat. Tetapi sejauh mana peranan itu dimainkan oleh kedua-dua belah pihak. Inilah yang menjadi persoalan yang perlu kita cari.

Siapa umara dan siapa ulama perlu dijelaskan supaya mereka tahu status sebelum. Mungkin selama ini mereka tidak kenal lalu tidak tahu hendak bertindak seperti yang sewajarnya. Mengikut penjelasan Dato’ Dr Ismail Ibrahim umara ialah pemerintah daripada Perdana Menteri sehingga pemimpin atau ketua dalam sesuatu jabatan dalam kerajaan. Oleh sebab itu padanya, mufti adalah termasuk dalam umara.

Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dalam mendifiniskan ulama menjelaskan bahawa semua cerdik pandai Islam dalam bidang ilmu Islam adalah dikira ulama. Difinisi ini dibentangkan sewaktu kedua-dua mereka membentangkan kertas kerja dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri dengan Ulama dan Umara di PICC baru-baru ini.

Berdasarkan itu umara berperanan memerintah, mentadbir, dan mengurus hal ehwal negara untuk manfaat rakyat. Semua perlu dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak Islam. Pada masa yang sama, ulama berperanan mengurus hal ehwal Islam yang melibatkan masyarakat Islam termasuk pemimpin.

Jelas di sini, peranan ulama lebih besar daripada umara kerana mereka perlu memastikan perjalanan politik sesuai dengan Islam, pengurusan kerajaan selaras dengan Islam dan khidmat pegawai kerajaan adil terhadap rakyat. Ulama juga perlu memberi pendidikan iman dan takwa kepada masyarakat dan membimbing mereka agar tidak melanggar hukum Allah dan negara.

Oleh sebab itu, ulama dan umara perlu saling berhubung untuk membaik pulih dan menambahbaik urusan yang melibatkan pentadbiran dan rakyat. Jika pemimpin salah, ulama akan segera menegur. Dan jika pemimpin hendak melakukan sesuatu akiviti harus merujuk kepada ulama untuk kepastian sesuai dengan kehendak Islam.

Dalam hal ini Islam mengingatkan dua golongan ini dengan sabda Rasulullah s.a.w:

شِرَارُ العُلَمَاءِ الَّذِينَ يَأتُونَ الأُمَرَاءَ وَخِيَارُ الأُمَرَاءِ الَّذِينَ يَأتُونَ العُلَمَاءَ - رواه ابن ماجه

Maksudnya: “Seburuk-buruk ulama ialah mereka yang mendatangi umara dan sebaik-baik umara ialah mereka yang mendatangi ulama,” (Riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini merujuk kepada sikap ulama yang datang bertemu dengan pemimpin negara untuk mengampu mereka. Jika pemerintah melakukan sesuatu perkara yang secara umum kurang baik atau salah, dicari jalan untuk menutupnya. Diusahakan untuk mendapatkan hujah al-Quran dan hadis bagi membolehkan usaha kerajaan itu diteruskan.

Keadaan ini berbeza jika umara datang kepada ulama, mereka mahu mendapatkan kepastian tentang hukum. Kalau mereka rasa ada yang tidak kena dengan pentadbiran, akan dirujuk kepada ulama. Sikap pemimpin ini adalah terpuji.

Walau bagaimanapun lazimnya umara tidak bersikap begitu. Mereka akan mengelak daripada memerintah dengan adil. Kalau perkara itu menguntungkannya atau kumpulannya dia akan memberi perhatian. Tetapi kalau perkara itu menguntungkan orang lain, mereka akan cuba memburukkan orang itu. Kata hukama’:

اِذَا رَغِبَتِ المُلُوكُ عَنِ العَدْلِ وَرَغِبَتِ الرَّعِيَّةُ عَنِ الطَاعَةِ – حكماء

Maksudnya: Biasanya pemerintah bencikan keadilan dan rakyat bencikan kepatuhan. – Hukama’

Memang rakyat suka mengambil pendekatan tidak suka mentaati pemerintah. Kadang-kadang sesuatu yang dibuat itu sudah baik tetapi ada sahaja yang mahu dikomennya. Hati kecilnya suka tetapi secara jelasnya tidak dinyatakan.

Sungguhpun begitu, kita agak kecewa juga dengan sikap ulama yang berada di jabatan agama di seluruh negara terutama yang berada di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, tidak banyak membantu rakyat ke arah mendidik mereka cara mentaati pemerintah. Sebaliknya mereka suka menghukum rakyat sebagai jahat dan derhaka jika tidak sokong pemerintah.

Mereka juga tidak agresif dalam dakwah sedangkan peruntukan untuknya terlalu banyak. Banyak pembaziran dengan perancangan yang tidak kemas. Kadang-kadang wangnya dilebihkan pada membuat kertas kerja dan upah yang tidak sepatutnya.

Jika mereka berperanan, tentu pada hari ini tidak ada lagi orang asli yang masih belum beragama. Tetapi apa yang terjadi kini, bukan sahaja ramai yang beragama nenek moyang, jumlah yang beragama Kristian lebih ramai daripada yang masuk Islam. Selain itu, sesudah sekian lama kita merdeka sepatutnya orang bukan Islam di negara ini kalau tidak mahu memeluk Islam pun mereka sudah boleh faham tentang Islam lalu tidak menentang Islam lagi.

Dari sudut amal makruf di mana ulama kerajaan ketika orang politik menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang Islam? Di mana mereka ketika media menggembar-gemburkan cerita fitnah dan mengumpat. Di mana pegawai agama ketika media menghina Islam. Mengapa orang agama di dalam kerajaan tidak berani menegur pemimpin, orang politik dan kepimpinan media dalam soal ini?

Di mana mufti dalam berhadapan dengan isu besar yang mencabar Islam? Mereka itu takut untuk membantah apa yang berlaku di hadapan mata mereka kerana takut jawatan hilang, takut tidak naik pangkat dan sebagainya. Alangkah hinanya cerdik pandai Islam yang berada dalam kongkongan perasaan yang negatif terhadap kerajaan. Padahal kalau mereka boleh menegur umara dengan baik dan berhikmah, pandangan mereka boleh jadi diterima dengan baik.

Ketahuilah apabila ulama kerajaan takut menegur pemerintah, malah segala kesalahan pemerintah akan ditutup dengan pelbagai alasan, nescaya umara akan merasakan bahawa tindakan mereka betul. Pada masa yang sama, rakyat jelata dipersalahkan, mengintai tok guru yang mengajar di masjid dan surau kerana bimbang berlaku penyelewengan aqidah.

Pegawai agama ini mudah nampak kemunculan kumpulan ajaran sesat, lalu mereka diburu. Namun setelah bertahun-tahun ajaran itu dikenal pasti menyeleweng, terlalu sedikit yang telah berjaya dikembalikan kepada ajaran yang benar. Apakah mereka tidak begitu arif atau alim untuk menundukkan kefahaman guru ajaran sesat itu?

فَسَادُ الرَّعِيَّةِ مِنْ فَسَادِ المُلُوكِ وَفَسَادِ المُلُوكِ مِنْ عُلَمَاءِ السُّوْءِ - امام الغزالي

Maksudnya: “Rosaknya rakyat berpunca daripada rosaknya pemerintah dan rosaknya pemerintah berpunca daripada ulama suk yang ada kepentingan.” (Iman Ghazali)

Jika ulama dan umara ikhlas untuk membanteras ajaran sesat itu, tidaklah susah hingga memakan masa bertahun-tahun. Kumpulan mereka bukan ramai, boleh ditangkap dan diberi kursus tentang Islam dan aqidah yang betul. Alasan mereka susah hendak dibawa ke pusat pemulihan tidak boleh diterima. Hal ini kerana mereka bukanlah pengganas yang lebih bahaya daripada komunis.

Ulama dan umara harus insaf bahawa kecuaian mereka dalam perkara ini telah mengakibatkan banyaknya maksiat baik dalam kalangan remaja malah golongan dewasa. Perzinaan mudah berlaku di mana-mana. Perogolan mudah terjadi sehingga lahirnya anak tidak sah taraf atau anak longkang dan tong sampah.

إِذَا ظَهَرَ الزِنَاءُ وَالرِّبَا فِي القَرْيَةِ فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عَذَابَ اللهِ - الحاكم

Maksudnya: “Apabila muncul banyak amalan zina dan riba dalam sesuatu kariah masa sesungguh mereka telah menghalalkan untuk mereka azab Allah” (al-Hakim)

Oleh sebab itu ulama dan umara patut berperanan menyedarkan rakyat tentang iman dan Islam. Mereka perlu mendidik anak remaja agar tidak menjadi anak derhaka dan turut membimbing ibu bapa agar tidak derhaka kepada anak mereka. Mereka perlu diselamatkan daripada api neraka.

16 Februari 2010

Kenapa isu perarakan Maulidurrasul menjadi besar

Ahmad Baei Jaafar

Saya hairan apabila sehari dua ini keluar berita Negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul pada tahun ini. Yang peliknya berita itu dikeluarkan oleh orang luar dari Pulau Pinang. Apalah besarnya berita ini sehingga dibesarkan begitu dalam media perdana. Dan hari ini pula saya terbaca daripada laman facebook yang mengatakan Kelantan tidak akan mengadakan sebarang betuk sambutan Maulidurrasul.

Kalau betul pun berita itu apalah faedahnya kepada orang yang bukan dari kedua-dua negeri tersebut. Kalau berita itu boleh menguntungkan orang politik tertentu, tidak langsung memberi kesan kepada penduduk dua negeri tersebut, tetapi sebaliknya mereka yang mencetuskan itu beroleh dosa. Mereka berdosa kerana menyebarkan berita sia-sia apatah lagi boleh mencetuskan kemarahan pihak lain.

Saya bimbang gejala penyebaran ini menjadi budaya sebati dalam kalangan orang Melayu. Mengapakah orang Melayu boleh jadi seburuk itu walaupun pelbagai bala bencana sudah Allah tunjukkan di negara kita. Mengapa kita tidak boleh infas dan bertaubat serta kembali kepada hidup bermaufakat. Apakah mereka amat gemar kepada dosa dan bencikan pahala?

Mengapa dibesarkan soal perarakan Maulidurrasul, apakah jatuh maruah Islam kalau tidak dilakukan perarakan? Kalau benar begitu, bagaimana halnya di kampung-kampung yang mereka tidak mengadakan perarakan, adakah mereka tidak cintakan Rasulullah. Cinta Islam dan Rasulullah bukan dengan majlis begitu sahaja. Malah yang paling penting mereka mengamalkan ajaran Rasulullah dan meninggalkan larangannya.

Saya selepas mendengar khabar buruk itu, cuba merujuk ke laman web Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), dan didapati tidak ada pembatalan pula. Kalaupun ada surat arahan pembatakan daripada Kerajaan Negeri mustahil JAIPP tidak terima. Kalau sudah terima mengapa tidak dibuat pembatalan pada laman webnya.

Kalaupun kerajaan Pulau Pinang membatalkannya kerana maslahan tertentu tidak mengapa kerana sebelum ini Kerajaan Malaysia pernah pada satu tahun membatalkan aktiviti perarakan Maulidurrasul. Kalau dibatalkan perarakan, tidak bermakna mengharamkan majlis Maulidurrasul. Tapi kalau dibatalkan majlis itu di peringkat negeri, masih tidak mengapa kerana majlis itupun tidak memberi impak yang besar kepada Islam.

Barangkali inilah yang berlaku di Kelantan, kalau benarlah tidak diadakan sebarang majlis sambutan Maulidurrasul, tidak menjadi apa-apa masalah kerana kerajaan hanya tidak mahu mengadakan majlis pada peringkat kerajaan. Hal ini kerana menggunakan wang kerajaan mesti pada yang berfaedah untuk rakyat dan Islam.

Saya percaya kalaulah benar berita itu, kerajaan tidak menghalang rakyatnya mengadakan majlis sambutan di peringkat daerah dan kampung. Sambutan di peringkat kampung lebih meriah kerana boleh diadakan bila-bila masa sepanjang bulan.

Sudah sampai masanya umat Islam berfikiran positif dalam semua yang berlaku di sekeliling kita. Carikan kebaikan ajaran Islam untuk kebaikan umat Islam dan manusia seluruhnya. Hapuskan usaha membuat fitnah dan cakap-cakap yang tidak berfaedah untuk kepentingan diri dan politik sempit.

07 Februari 2010

Bahasa isteri yang perlu difahami suami

Ahmad Baei Jaafar

Tanpa komunikasi yang betul keserasian rumah tangga sukar diwujudkan. Sikap isteri dalam keadaan tertentu sukar difahami suami. Dia akan terus berteka-teki dalam perkara itu namun tidak mahu berterus terang. Apabila isteri melakukan sesuatu perkara selalu disalahtafsirkan.

Mereka ini walaupun berkahwin setelah melalui proses perkenalan yang panjang, namun peluang yang ada itu tidak digunakan untuk saling mengenali hati budi masing-masing. Mereka terlupa untuk mempelajari kaedah komunikasi yang berkesan sebagai suami isteri.

Walaupun mereka bertunang bertahun-tahun, namun mereka tidak sempat untuk menilai apakah antara mereka ada perbezaan yang boleh saling lengkap melangkapi. Mereka terlupa untuk melihat keserasian pasangan secara lebih jelas.

Biasanya waktu berkawan mereka terlalu enjoy, hendak seronok sahaja. Semua yang ada pada kekasih masing-masing dilihat indah walaupun buruk. Pada waktu bertunang pula mereka asyik berbincang soal persiapan fizikal sahaja. Padahal jika mereka mengambil puluang itu untuk mengenali peribadi, perwatakan, dan isi budi masing-masing adalah lebih bermanfaat.

Sebenarnya, sewaktu berkawan dan bertunang adalah waktu terbaik untuk mereka mengenali semua itu. Mereka harus mengenali cara pasangannya bercakap, cara dia bertindak dan sebagainya. Semua yang dilakukan itu melambangkan sikapnya sebenar. Jika mereka benar-benar faham, banyak yang boleh diatasi semasa berkahwin.

Kesan daripada tidak faham kaedah komunikasi yang berkesan itu, banyak pasangan yang berkahwin mengalami krisis. Sikap isteri tidak difahami oleh suami hingga kadang-kadang perkara kecil menjadi besar. Dalam ruang ini saya cuba paparkan sikap isteri yang seharusnya suami tahu dan bertindak bagi mengatasinya.

1. Waktu merajuk

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Tiba-tiba tak mahu bercakap

Dia tidak suka dengan tindakan suami sebelum itu

Berterus terang maksud tindakan, jika perlu minta maaf

2

Tiba-tiba marahkan suami

Dia cemburu dengan tindakan suami

Perlu selidek puncanya, mungkin salah sangka. Jika pasti, berterus terang, bukan menipu

3

Tiba-tiba menangis

Dia sakit hati dengan tindakan suami

Beri penjelasan isu yang ditimbulkan. Beri keyakinan tentang kasih sayang.

4

Tidak mahu memberi khidmat

Dia sungguh kecewa dengan sikap suami

Nilai semua kesilapan suami, dan betulkan semula apa yang tidak disenangi. Jika masih tidak mahu menerima, tinggalkan dia di rumah untuk memberi ruang dia berfikir

Suami yang tidak memahahami sikap isteri di atas akan bersangka buruk terhadap isterinya malah ada yang menuduh isteri curang.

2. Waktu gembira

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Dia sudah rajin masak

Tindakan suami sebelum itu menyenangkan hatinya

Teruskan sikap itu, jika perlu puji kerajinannya

2

Dia tidak banyak soal waktu kepulangan suami

Dia puas hati dengan tindakan suami

Ucapkan terima kasih kepada isterinya dan menten keadaan itu

3

Dia siap untuk tidur awal

Dia sudah akur dengan kehendak suami

Belajari sikap dan pengalaman manis itu untuk tidak mengulangi kebencian isteri

4

Dia bercakap dengan nada manja

Dia mahu suaminya bersikap seperti itu juga

Hargai sikap isteri dan jauhi dari sikap kontra

Suami yang tidak faham dengan tindakan isteri akan terus menyangka isterinya ada udang di sebalik batu. Akhirnya suami tidak bertindak yang sewajarnya.

3. Waktu benci

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Kehendak suami tidak dilayan

Dia mahu suami mengubah sikap yang buruk

Baiki kesilapan bukan mempertahankannya

2

Tidak mahu bercakap apabila ditanya walaupun dengan baik

Dia memprotes sikap suami yang tidak istiqamah berbuat baik

Menilai sikap diri mana yang buruk dibuang dan yang baik diperbanyakkan

3

Makan tidak selera

Dia mahu simpati daripada suaminya

Suami perlu melihat masalah isteri dan cuba selamatkan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat

4

Tidur seorang diri

Dia mahu suaminya bertanggungjawab kepada dirinya

Suami perlu menilai kelemahan diri dan cuba membaiki kekurangan itu demi kasih sayang

Oleh sebab tidak faham tindakan isteri suami terus marah kepada isteri. Dan atas sikapnya yang tidak sabar itu mereka bergaduh.

4. Waktu mengharap

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Muka masam

Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan

Bertanya sebab dan cuba atasi kehendaknya

2

Meminta maaf sambil menangis

Dia benar-benar insaf

Terimalah seadanya dia, dan selepas memaafkannya, nasihatkan berdasarkan kehendak Islam dan apa yang anda mahu

3

Melihat sesuatu barangan dalam tempoh yang lama dan memujinya

Dia hendak meminta suami membelinya

Suami perlu memberi pertimbangan sewajarnya sama ada untuk membelikannya atau tidak

Contoh sikap isteri yang dipaparkan ini mungkin tidak bermaksud begitu, tetapi sebagai suami, tindakan isteri perlu dikaji dengan teliti. Kadang-kadang yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh menilai dengan tepat. Tetapi yang paling penting semua yang berlaku harus disangka baik. Nanti yang negatif akan menjadi positif.