07 September 2017

Nasihat dalam konteks agama Islam

Ahmad Baei Jaafar

Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Daary r.a, bahwasanya Nabi SAW bersabda, “Agama itu adalah nasihat”. Kami pun bertanya, “untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah kerana Allah, kerana kitab-Nya, kerana Rasul-Nya, kerana pemerintah kaum muslimin dan kerana rakyatnya (kaum muslimin)”. (HR. Muslim)
Dulu sewaktu belajar hadis 40, saya sudah baca hadis ini tetapi saya tidak faham maksud di sebalik hadis ini. Mungkin cara terjemahan hadis tersebut yang membuatkan saya sukar memahaminya. Biasanya diterjemahkan, kepada siapa; hak siapa, ada yang terjemahkan untuk siapa. Mesejnya difahami sebagai memberi nasihat kepada seseorang. Tetapi bagaimana bentuk nasihat itu?
Sebelum ini seorang kawan seperjuangan saya (kini sudah kembali ke rahmatullah), pernah meminta saya menasihatinya setiap kali bertemu dengannya atau sekurang-kurangnya sebelum kami tidur. Saya ketika itu tidak tahu nak nasihat apa-apa kepadanya, sebab dia memang sudah dilihat sempurna. Malah dia amat merendah diri.
Tetapi baru-baru ini saya berada dalam satu majlis ilmu, tok guru itu berkata; "Sahabat yang baik, dia sering menasihati sahabatnya setiap kali terlihat kekurangannya. Tetapi kalau dia sekadar kawan, apabila kawannya buat kejahatan atau kesilapan, dia akan abaikan malah kadang-kadang memujinya."
Dengan keterangan tok guru itu, saya sudah mula faham sedikit maksud hadis di atas. Maknanya sebagai orang islam kita perlu nasihatkan umat Islam yang lain setiap kali dia kelihatan berbuat salah. Tetapi nasihat itu hendaklah kerana perintah Allah. Dan apa yang hendak dinasihatkan itu hendak berdasarkan kehendak Al-Quran. Kaedah menyampaikan nasihat itu pula hendaklah mengikut gaya Rasulullah. Kita juga hendaklah menasihatkan pemimpin demi memartabatkan pemerintahan dalam menyelamatkan hukum Islam dan nasihat juga demi membela maruah rakyat.
Akan tetapi apabila saya meneliti semula nas asal hadis tersebut:
عن أبي رقية تميم بن أوس الداري رضي الله عنه, أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: «الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ» قلنا: لمن؟ قال: «لله, ولكتابه, ولرسوله, لأئمة المسلمين وعامتهم». رواه مسلم
Saya dapati nasihat yang dimaksudkan bukanlah nasihat seperti dalam pemahaman orang Melayu. Merujuk kamus Arab, nasihat adalah suci bersih; iaitu seruan ke arah kebaikan dan pengislahan, dan juga pencegahan daripada berlaku kerosakan. Dengan pemahaman ini jelas bahawa agama ini bukan sekadar nasihat yang bersangkutan dengan hukum hakam tetapi lebih daripada itu bagi menyelamatkan dunia dan umatnya daripada kerosakan.
Maknanya kalau kita tidak mahu mengambil peluang ini untuk memberi nasihat pihak tertertu dalam konteks yang lebih luas bermakna kita sebenarnya telah mengingkari mesej hadis ini. Sekali gus kalian bukanlah umat Islam yang baik atau sahabat yang baik, tetapi sekadar kawan yang bila-bila masa boleh membawa keruntuhan. Wallahu aklam.

28 Julai 2017

Kenapa perlu ikut mazhab dalam beragama?

Saya percaya ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini tidak tahu secara benar apakah itu Mazhab dan apa kepentingan Mazhab kepada umat Islam. Maka dalam ruang yang terbatas ini saya cuba memperturunkan beberapa cacatan penting agar kita benar-benar faham kedudukan mazhab pada Islam dan umatnya.
Kalau saya nak bandingkan mazhab dengan kehidupan kita pada hari ini, bolehlah saya samakan dengan satu pengajian universiti yang censelernya ialah pengasas mazhab tersebut. Mazhab Hanafi, censelernya ialah Imam Abu Hanifah, Mazhab Syafii, censelernya ialah imam asy-Syafii. Begitulah seterusnya dengan mazhab-mazhab lain. Jadi, kita semua adalah pelajar universiti tersebut melalui pensyarahnya ataupun titornya dari masa ke masa.
Sebagai pelajar sama ada tamat pengajian atau tidak, dia boleh bersandar dengan universiti itu. Sebagai contoh, bila orang bertanya kepadanya tentang suatu teori, maka dengan yakin dia berkata, "berdasarkan ilmu yang saya perolehi dari universiti A (sebagai contoh) teori ini adalah tepat." Dengan pengakuan itu orang yang mendengarnya tentu boleh terima dengan penuh yakin.
Tetapi bagaimana kalau kita menjawab sekadar berkata, "mengikut apa yang saya faham daripada pembacaan saya," tentu kata-kata kita itu tidak akan diambil. Begitu juga kalau kita membuat rujukkan kepada orang yang tidak dikenali umum, sukar juga diterima oleh pihak lain. Maka ilmu itu boleh digunakan untuk diri sendiri sahaja.
Begitulah bandingan mudah untuk mazhab. Sebenarnya di segi bahasa "mazhab" bermaksud pendapat. Maka mazhab Syafii bererti pendapat imam asy-Syafii. Pada segi sejarah, setelah berlalu zaman khalifah ar-Rasyidin yang keempat, tidak ada tempat rujukan umat Islam dalam hal yang berkaitan dengan agama. Dan pada masa yang sama lahir pula pelbagai hadis palsu hingga mengelirukan umat Islam ketika itu.

Sejarah
Bagi menyelamat keadaan itu, Abu Hanifah telah berusaha mendirikan sekolah untuk mengajar anak muridnya. Asas rujukan ilmunya ialah al-Quran dan beberapa Hadis yang dicari dan dikumpul sendiri pada waktu itu. Oleh kerana keadaan pada waktu itu amat sukar mempastikan hadis yang sahih dengan hadis palsu beliau banyak menggunakan pendapatnya berasaskan al-Quran dan hadis yang sedia ada. Maka pengajiannya lebih terkenal dengan madrasah ar-Ra'y. Tetapi selepas wafatnya dinamakan pengikutnya sebagai Mazhab Hanafi.
Imam Malik pernah berguru dengan Iman Abu Hanifah di sekolah tersebut, maka setelah wafat Abu Hanifah, beliau menubuhkan pula sekolahnya sendiri. Ilmunya berkembang dari masa ke masa apatah lagi dengan penemuan hadis lain yang tidak pernah ditemui pada zaman Abu Hanifah. Dengan sebab itu pendapatnya agar berlain sedikit dengan gurunya. Atas perbezaan itu maka dinamakan sebagai Mazhab Maliki. Imam Syafii pernah belajar di Madrasah Imam Malik.
Setelah wafat Imam Malik, imam Syafii pula menubuhkan sekolah di tempatnya dan di sana berjaya melahirkan ramai pelajar. Ilmunya semakin berkembang dengan pertemuan hadis-hadis baru yang berjaya ditemuinya pada zamannya. Akhirnya terbentuk Mazhab Asy-Syafii. Muridnya yang berpotensi sebagai ulama dan Imam ialah Ahmad Ibnu Hanbali.
Setelah wafat Imam asy-Syafii, beliau pulang ke desanya dan mendirikan sekolahnya sendiri. Beliau sendiri merupakan orang yang terlibat dalam mengumpulkan hadis dan membukukannya. Dengan itu ilmunya terus dikembangkan kepada anak muridnya yang daripadanya usahanya itu lahirlah Mazhab Hanbali.
Jelas di sini antara mazhab dengan mazhab yang lain bukan berada dalam satu kawasan dan bukan juga dalam tahun yang sama. Maka perbezaan pendapat dalam kalangan mazhab-mazhab itu sangat bergantung kepada keadaan masyarakat dan bahan rujukan yang ada pada zaman mereka. Oleh sebab itu tidak timbul perbalahan antara pengikut sesuatu mazhab. Malam mereka saling menghormati pendapat guru yang menyumbang ilmu masing-masing.

Kalau tak ikut mazhab?
Kita pada hari ini menjadi pengikut mazhab yang sedia ada memandangkan tahap ilmu kita amat jauh ketinggalan dengan ilmu imam-imam terdahulu. Namun di celah-celah itu timbul persoalan, apakah kita perlu ikut mereka lagi, dan kenapa kena ikut mazhab, bukankah Allah tinggalkan quran dan hadis, ikut je lah kedua-duanya. Saya percaya, orang yang bertanya itu orang lulusan universiti dalam bidang agama. Kalau tidak, tentu dia tidak berani bertanya begitu.
Tanpa bertanyakan status pengajiannya saya bertanyakan kapadanya, "kamu tentu tahu, pelajar jurusan kedoktoran setiap tahun terlalu ramai. Yang sudah mendapat ijazah pun ramai juga. Tetapi kalau seusai pengajian dia tidak bekerja di hospital sebaliknya menjadi pensyarah, agaknya ada tak orang ramai nak berjumpa dengannya untuk menerima rawatan?"
Ya, kalau dia berani untuk membuka klinik dalam kampungnya, tentu tanpa lesen yang sah. Kalau orang kampungnya tahu kedudukan klinik itu, mahukah mereka mendapatkan rawatan di situ? Percayalah lambat laun dia boleh ditangkap.
Selain itu, ramai juga lulusan undang-undang, tetapi kalau dia tidak menjadi peguam atau hakim, bolehkah dia menghukum orang yang bersalah? Ya, meskipun tahu hukumnya tetapi dia tidak boleh menghukum orang yang bersalah.
Begitulah juga dengan lulusan agama yang pada hari ini bukan dalam jurusan yang sama. Walaupun pada zahirnya boleh dipanggil ustaz atau ustazah, tetapi dia tidak berkelayakan menjadi fuqaha. Malah mereka yang sekadar pakar dalam al-Quran dan Hadis pun belum layak bergelar fuqaha. Oleh sebab itu dia masih perlu merujuk kepada mazhab yang sedia ada. Sedarlah kealiman seseorang tentang feqah pada hari ini tidak sehebat ulama mazhab dahulu. Bayangkan kalau Iman Nawawi yang ilmunya sangat hebat pada zamannya, namun dia masih bersandar kepada mazhab as-Syafii.
Jadi, Siapakah kita kalau hendak dibandingkan dengan Imam Nawawi? Sedar dirilah, kalau sekadar memahami al-Quran dan Hadis melalui terjemahan bahasa Melayu atau Inggeris, tak payahlah bercakap soal hukum feqah. Tak payahlah menghukum orang lain sebagai salah. Ikut sahajalah apa yang sudah ditulis oleh ulama terdahulu.
Sekali lagi saya ingatkan golongan yang tidak mahu ikut mazhab kerana yakin ilmunya lebih baik, amallah sendiri tanpa membabitkan orang lain. Hal ini kerana kalau amalan itu tak sah, anda seorang sahaja yang terlibat, Jangan libatkan orang lain nanti dosa anda lebih besar. Wallahu aklam.

16 Julai 2017

Anda Antara Lima Hukum Poligami

Ahmad Baei Jaafar

Tidak semua lelaki layak berpoligami. Tetapi lelaki yang miskin bukan menjadi penghalang kepada poligami. Maka setiap orang perlu menilai diri sendiri, sama ada mereka layak berpoligami atau tidak. Namun, tidak dinafikan semua lelaki teringin untuk berpoligam walaupun dia sedar tidak mampu untuk melakukannya. Oleh sebab itulah poligami yang mereka laksanakan membawa kegagalan kecuali mereka yang ada iman yang kuat dan takwa tinggi. Mereka yang berjaya membawa poligami hingga ke penghujung.
Oleh sebab itu, marilah wahai kaum lelaki, menilai semula kemampuan anda untuk berpoligami dan itulah yang menentukan kelayakan anda. Baiklah sementara orang lelaki membuat penilaian diri sama ada layak berpoligami atau tidak, saya hendak jelaskan beberapa perkara penting terutama dalam hukum berpoligami berdasarkan hukum asalnya.
Sebenarnya berkahwin berdasarkan hadis Rasulullah ialah amalan Sunnah. Sunnah Nabi bermaksud amalan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW sepanjang hidupnya. Manakala berkahwin berdasarkan perintah Allah dalam surah al-Nisa: "Kahwinlah mana-mana perempuan yang kamu sukai sama ada dua, tiga atau empat ..." adalah harus. Makna harus ialah, sama ada anda hendak buat atau hendak tinggalpun terpulang kepada keinginan masing-masing. Nak buat sila, tak nak pun sula, tepuk dada tanya selera. Hukum ini termasuk dalam soal poligami. Maka apabila seseorang itu nak berkahwin, tidak boleh dilarang.
Walau bagaimanapun setiap hukum harus ini boleh berpecah kepada empat hukum iaitu:
1. Wajib; kalau seseorang lelaki atau suami yang sangat memerlukan perempuan. Kalau dihalang dibimbangkan dia terjebak dalam perzinaan, maka wajiblah dia berkahwin. Tatkala itu isterinya yang ada patut mendorong suaminya berkahwin lagi. Ini boleh jadi isteri tersebut sudah tidak boleh menyelesaikan kehendak nafsu seksnya.
2. Sunat; kalau seorang lelaki atau suami cukup mampu untuk berkahwin dan dia sudah ada pulihan yang sesuai dengannya dan dengan perkahwinan itu nanti akan menjadilah keluarganya lebih ceria dan bahagia, maka sunatlah dia berkahwin.
3. Haram; kalau seseorang lelaki atau suami hendak berkahwin tetapi niatnya untuk melacurkan isterinya atau merancang untuk menderanya bagi melakukan kerja yang tidak selayaknya sebagai isteri, maka haram dia berkahwin. Isteri yang sedar sikap suaminya ini dia wajib menghalang suaminya  daripada berkahwin lagi.
4. Makruh; kalau seseorang lelaki atau suami berkeinginan untuk berkahwin sedangkan dia tidak mampu untuk memberi keadilan, mendidik isteri, dan tidak cukup kewangan, maka makruhlah dia berkahwin. Isteri yang menyedari keadaan suaminya itu, bolehlah dia menasihati suaminya agar tidak berkahwin. Kalau dia hendak juga nasihatkan dia agar suaminya itu cuba mencukupkan ciri-ciri kelayakan untuk berpoligami.
Maknanya berdasarkan hukum di atas, ada satu keadaan sahaja yang si isteri boleh menghalang suaminya, iaitu yang haram manakala keadaan satu lagi iaitu makruh maka isteri boleh nasihatkannya agar berhati-hati membuat keputusan. Semoga ramai yang boleh faham penjelasan ini.
Islam telah meletakan hukum ini secantik ini untuk diikuti oleh umat Islam, tetapi lazimnya tidak digemari oleh para isteri walaupun dia seorang pendatang baru. Mereka tidak sudak dengan sikap suaminya lalu membuat tuduhan palsu. Ingatlah wahai isteri, ORANG JAHAT MUDAH NAMPAK JAHAT ORANG, DAN ORANG BAIK AKAN MUDAH NAMPAK BAIK ORANG. PANDANG ORANG BAIK DAPAT PAHALA. Wallahu aklam.

10 Julai 2017

Poligami, jangan campur urusan Allah

Ahmad Baei Jaafar

Tidak dinafikan ramai suami yang berpoligami pada hari ini melakukan kesalahan sama ada kepada Allah, isteri dan kerajaan. Berbeza dengan poligami yang diamalkan oleh orang soleh pada zaman dahulu, mereka sungguh patuh kepada Allah dan berkasih sayang dengan isteri-isterinya. Namun sebagai hamba Allah, kita harus sedar bahawa Allah sungguh adil dalam menghukum hambanya yang berdosa.
Selain suami, isteri juga berdosa dalam soal ini apabila mereka melarang suaminya berpoligami. Ya, pada hari ini, ramai isteri telah melakukan beberapa dosa tanpa sedar;
1. Dosa kepada Allah kerana menghalang perkara yang diharuskan oleh Allah.
2. Berdosa kepada suami kerana bersangka buruk bahawa suaminya akan menzaliminya dan akan melebihkan isteri yang baru.
3. Berdosa kepada suami kerana tidak taat kepada suami apabila suami minta untuk berkahwin lagi.
Sebenarnya Allah Maha Adil dan Dia akan menghukum hambanya yang buat dosa. Oleh sebab itu isteri tidak perlu campur tangan urusan Allah dalam mengadili orang yang bersalah. Di sini saya senaraikan beberapa bentuk campur tangan isteri dalam urusan Allah:
1. Isteri takut suami menzaliminya. Bukankah Allah ada, Dia tahu segala-galanya, kalau suaminya zalim, dia akan dihukum. Isteri tidak berdosa malah dapat pahala dengan kezaliman suaminya itu.
2. Isteri buruk sangka bahwa suaminya tidak adil. Bukankah Allah larang kita bersangka buruk, apatah lagi kepada suami. Ini sudah satu dosa. Kalau memang suami tak adil, dia sebenarnya bukan berdosa kepada isteri tetapi berdosa kepada Allah, Allah yang akan menghukumnya. Jadi, kenapa isteri nak hukum suami.
3. Isteri sekat kemahuan suami sedangkan Allah membenarkannya adalah satu penyalahgunaan kuasa oleh isteri. Dengan sekatan itu suami yang baik akan berkahwin secara rahsia, tetapi suami yang jahat akan berzina dengan beberapa perempuan di belakang isteri.
Oleh sebab itu wahai isteri, sama ada anda benarkan atau tidak benarkan suami berkahwin, dia akan tetap menduakan anda sama ada sedar atau tidak, kan lebih baik anda izinkan dia berkahwin, sudah tentu anda mendapat pahala. Ketahuilah, anda sepanjang masa akan beroleh pahala dan malah dijamin syurga walaupun suami anda akan dimasukkan ke dalam neraka. Kenapa?
Abdur Rahman bin Auf berkata, “Rasulullah SAW bersabda: "Jika seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, nescaya dia akan dibenarkan masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dia inginkan.” (Riwayat Ahmad, hadis hasan lighairihi)
Ya, mudahkan masuk syurga hanya dengan empat perkara tersebut. Tetapi ada isteri yang berjawatan ustazah pun kadang-kadang sukar masuk syurga kerana walaupun solat, puasa dan jaga maruah tetapi mereka tidak boleh taat suami dalam hal poligami. Semoga anda sekalian tidak tergolong dalam golongan itu.

29 Mei 2017

AL-QURAN KITAB TERBARU DITURUNKAN

AHMAD BAEI JAAFAR

Tahukah anda, sejak lahir keturunan Adam sehinggalah zaman Nabi Muhammad dikirimkan ramai rasul ke dunia ini, tetapi yang wajib anda tahu ialah 25 orang iaitu yang disebutkan dalam al-Quran. Rasul yang diutuskan itu bergantung kepada percambahan penduduk bumi yang bermula daripada Adam.
Apabila beerkembang ramai penduduk, bertambah pula kawasan yang diterokai. Ramai penduduk, ramai manusia maka banyak pula ragam dan kefahaman mereka.
Allah tidak kewujudan mereka tanpa dibimbing apatah lagi setelah wafat nabi Adam. Maka debgab dihantarkan Rasul untuk memandu mereka ke jalan Allah. Pendek kata tiada satu zaman dan generasi pada waktu itu yang tidak ada Rasul. Wujud penempatan baru dengan penduduknya akan dihantarkan rasul dalam kalangan mereka, tujuannya adalah untuk membawa mereka ke jalan Allah, menyembah Allah tuhan yang mencipta mereka.
Dalam tempoh itu 4 buah kitab diturunkan untuk rujukan hidup mereka yang masing-masing tidak sama syariatnya. Isi kandungan Kitab itu pula sesuai dengan zaman dan masyarakat setempat. Namun Akidah yang dibawa oleh rasul itu tetap sama itu tauhid kepada Allah. Kitab tersebut ialah:
1. Kitab Zabur untuk kaum nabi Daud
2. Kitab Taurat untuk kaum nabi Musa
3. Kitab Injil untuk kaum nabi Isa
Antara zaman dengan generasi penduduk adalah jauh antara satu sama lain. Masing-masing ada budaya tersendiri. Maka hukum yang yang terdapat dalam kitab tersebut tidak sama. Undang-undang dan peraturan itu tidak sama mengikut tahap pemikiran mereka. Tetapi apabila penuduk manusia sudah semakin bertamadun, Allah lantik Rasul terakhir dengan kitab yang ke empat, terakhir iaitu Al-Quran.
Apabila datang Nabi Muhammad, tugasnya bukan lagi untuk kaum setempatnya sahaja tetapi untuk dunia seluruhnya. Maka sebagai Rasul terakhir maka kitabnya untuk seluruh dunia.Kitab penutup yang dimanakan al-Quran merangkumi semua hukum yang terdapat dalam kitab yang tiga itu. Maka apabila lengkap penurunan al-Quran, segala hukum dan akidah yang dibawa oleh Rasul sebelumnya dengan sendirinya termansuh. Hanya yang boleh dipakai hanyalah Al-Quran.
Kedudukan ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana begitulah lazimnya apabila datang sesuatu yang baru akan memansuhkan perkara yang lama. Itulah yang dipakai oleh dunia hingga ke hari ini. Oleh sebab itu sesiapa yang masih menggunakan yang lama, sudah tidak dinilai oleh Allah. Apatah lagi kalau yang lama itu diubahsuai dengan zaman moden, lagilah tidak diterima oleh Allah.

Satu hal lagi yang perlu dijelaskan di sini, nabi Musa tidak pernah membawa agama Yahudi. Baginda diutuskan untuk kaumnya,Yahudi agar bertuhankan Allah. Cuma setelah wafat Nabi Musa, masyarakat mengenalinya sebagai agama orang Yahudi. Jadi salahlah kalau kita mengatakannya sebagai agama Yahudi.
Begitu juga dengan Nabi Isa, baginda tidak pernah membawa agama Nasrani apatah lagi agama Kristian. Memang nabi Isa diutuskan untuk selamatkan akidah orang Nasrani. Allah berikan kepada mereka Injil sebagai panduan mereka. Namun nabi Isa tidak sempat bersama kaum Nasrani dalam tempoh yang lama. Baginda diselamatkan Allah daripada usaha membunuhnya.oleh kaumnya yang memusuhinya.
Masyarakat Nasrani kemudiannya dipimpin oleh pendita mereka dan berkembanglah agama itu tanpa Rasul. Umum mengenali agama kaum nasrani. Dan akhirnya dijenamakan sebagai Kristian.Jadi Kristian bukan yang dibawa oleh Nabi Isa. Semoga tidak ada lagi di dunia ini yang memfitnah nabi Isa sedemikian rupa.
Jelas di sini satu-satunya agama Allah ialah Islam, yang nama itu disebut di dalam al-Quran secara rasmi. Melalui ayat itu juga Allah mengisytiharkan Islam sebagai agama yang diredhai Allah. Wallahu aklam.

12 Mei 2017

Orang Hebat Tidak Menyalahkan Orang Lain

Kalau kita perasan, seseorang yang suka membantah atau mempertikaikan sesuatu perkara, dia boleh jadi tersangat hebat atau boleh dianggap hebat ilmunya, bijak akalnya, atau boleh jadi dia tidak pandai, tetapi mengaku pandai atau tahu tapi tidak sempurna. Mereka ini hakikatnya adalah bodoh sombong dan rendah akhlaknya.
Sebenarnya, realiti kehidupan orang yang hebat bermula dari Rasulullah sehingga ulama muktabar, mereka tidak pernah mempertikaikan pandangan orang lain apatah lagi orang yang setaraf dengannya. Mereka hormati pandangan itu sebagai satu percambahan ilmu. Tetapi kalau pandangan orang itu ternyata salah mereka akan tegur secara empat mata demi menjaga maruah diri dan ilmunya.

Semoga kita boleh mencontohi orang hebat itu.

05 April 2017

Demokrasi Sifatnya Tidak Statik

Ramai yang berkata demokrasi tidak  ada dalam Islam. Betul ke? Ya kalau kita lihat sejarah Rasulullah, memang tidak ada semua itu di zaman Rasulullah kerana Rasulullah tidak ada keperluan untuk memilih pemimpin secara suara ramai. Kalau Rasulullah mahu memilih seseorang untuk sesuatu jawatan dia akan lantik sendiri yang sudah tentu datang daripada wahyu Allah.

Pemilihan Khalifah
Bagaimana dengan zaman selepas wafat Rasulullah? Menurut sejarah, setelah wafat Rasulullah, sahabat berkumpul untuk mencari pemimpin bagi menggantikan Rasulullah untuk urusan negara. Lalu beberapa nama dicadangkan, tetapi akhirnya semua yang disenarai pendekkan itu menarik diri kerana masing-masing sedar bahawa orang yang hampir dengan Rasulullah ialah Abu Bakar as-Siddiq lebih layak. Maka mereka bersetuju berbaiah Abu Bakar sebagai Khalifah.

Keadaan yang sama berlaku setiap kali berlaku kewafatan Khalifah. Malah perlantikan khalifah yang ke empat, iaitu Saiyidina Ali Karramallah ada petunjuk yang boleh diterima oleh semua umat Islam. Hakikatnya mereka dilantik berdasarkan petunjuk sahabat besar yang mereka itu diyakini boleh diterima oleh rakyat.

Setelah berlalu zaman Saiyidina Ali, perlantikan pemimpin bertukar mengikut sistem Monarki. Maka perlantikan pemimpin hanya berlaku dalam kalangan keluarga. Dengan cara ini mereka tidak risaukan perubahan kepimpinan selepasnya. Demikian yang berlaku dalam kerajaan Umaiyah dan Othmaniah. Apakah anda fikir cara ini tidak ada dalam Islam kerana tidak pernah berlaku dalam zaman Rasulullah? Begitu juga yang berlaku pada zaman khulafa’ Rasyidin, ternyata berbeza.

Kalau sesuatu yang berlaku dalam kalangan umat Islam, boleh kita dakwa sebagai tiada dalam Islam, apatah lagi yang berlaku pada zaman moden iaitu muncul sistem komunis, sistem tentera dan sistem demokrasi. Apakah anda fikir segala apa yang tidak dibuat oleh Rasulullah itu semua tidak boleh kita buat dan tertolak?

Sedarlah wahai umat Islam, tidak semestinya apa yang tidak dibuat oleh baginda tidak boleh dibuat pada hari ini. Allah mengutuskan Nabi Muhammad untuk umat akhir zaman untuk membetulkan akidah, akhlak umatnya. Tetapi dalam urusan dunia, baginda cukup memberi panduan umum yang antaranya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu.” Hadis ini mengisyaratkan bahawa perubahan dan pergerakan dunia pada masa kini sangat bergantung kepada kepakaran kita pada hari ini.

Asas Demokrasi
Berdasarkan hadis itu saya ingin panjang tulisan ini bagi menjelaskan kedudukan demokrasi sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak. Menurut Wikipedia, “Demokrasi” ialah suatu bentuk kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau kerajaan yang demokratik.

Jadi, asas demokrasi ialah rakyat, rakyat yang memilih, rakyat yang membuat undang-undang, rakyat yang mengurus. Itulah asas yang perlu difahami sebenarnya. Kalau begitu, mengundi tiada kena mengena dengan demokrasi. Sebaliknya mengundi hanya sebahagian daripada kaedah manusia bagi memilih pemimpin. Oleh sebab itu kalau ada satu pihak mencadangkan seorang pemimpin kemudian cadangan itu diterima oleh orang ramai, juga dikira demokrasi.

Keadaan ini sudah tentu berbeza dengan pemilihan seseorang yang orang lain terpaksa terima atau dia memilih dirinya, sedangkan orang tidak bersetuju. Kaedah ini boleh jadi cara tentera atau komunis. Barangkali ini jugalah yang dikatakan kuku besi.

Melihat kepada maksud demokrasi di atas, jelas demokrasi tidak statik dan beku. Maka demokrasi yang berlaku di negara Barat tentu berdasarkan cita rasa barat. Barangkali dengan itu orang Timur boleh mengubah mengikut cita rasanya. Kalau begitu, kenapa apabila sampai kepada orang Islam mereka tidak boleh mengatur mengikut cita rasa hukum Islam? Kalau demokrasi sudah ciptaan manusia, tentu manusia boleh mengubah mengikut kehendak manusia. Jadi, orang Islam boleh membawanya mengikut kehendak Islam.

Islamkan Demokrasi
Berdasarkan itu, jika kita hendak memilih pemimpin bolehlah kita contoh kaedah sahabat memilih pemimpin. Kita boleh contohi kriteria yang dipakai pada zaman khalifah iaitu orang yang beriman, bertakwa, berilmu dan ada bakat kepimpinan, tegas dan boleh dicontohi. Dan jika mereka terima percalonan, biarlah ada pihak lain yang mengempen bagi pihaknya. Mereka hanya boleh bercakap apabila sudah dipilih bagi mohon restu dan baiah.

Adapun di sudut undang-undang, Al-Quran hendaklah dijadikan perlembagaan dan mana-mana undang-undang yang sedia ada selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah boleh diterima pakai. Begitu juga dengan peraturan kecil ia boleh diguna pakai dengan syarat tidak bercanggah dengan Islam.

Islam boleh menerima undang-undang dan peraturan dunia selagi tidak bercanggah dengan Islam. Maka dengan prinsip ini, kita boleh menerima demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang ini. Jadi, kita tidak perlu mengubah apa yang sedia ada melainkan sedikit perubahan mana yang bercanggah sahaja. Cuma setakat ini saya tidak nampak mana yang bercanggah.

02 April 2017

Hudud Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan

Saya hairan kenapa setiap hari ada saja isu tentang hudud. Mereka sanggup bergaduh pasal hudud, berkecil hati pasal hudud, rasa tertipu dengan hudud bahkan bawa diri pun kerana hudud. Saya sungguh hairan dengan keadaan ini. Maaf orang politik, maaf juga semua peminat politik, saya rimas dengan keadaan ini.
Sepatutnya orang politik bercakap soal perpaduan demi keamanan negara yang tercinta. Sepatutnya pemimpin politik menasihatkan pengikutnya agar bekerja keras mendampingi orang ramai atau pengundi, apatah lagi kita sudah dekat dengan tarikh pilihanraya. Pemimpin politik sepatutnya membaiki dasar parti dan memperkemaskannya agar dipandang cantik oleh pengundi.
Terlancur bercakap soal hudud, suka ditegaskan di sini bahawa hudud bukan isu politik kepartian tetapi agenda negara atau kerajaan yang memerintah. Pemerintah yang wajib melaksanakannya sebagai tanggungjawab menyelamatkan manusia atau rakyat daripada melakukan jenayah. Kalau kerajaan tidak mahu buat bukan salah rakyat, bukan salah parti, mereka tidak berdosapun. Ertinya kerajaan bermula daripada PM hingga ke Menteri yang berdosa dalam hal ini.
Parti-parti politik yang bertaraf pembangkang boleh memasang niat untuk melaksanakan hudud apabila memerintah negara nanti. Dalam tempoh itu mereka juga boleh membuat pelbagai usaha dan cadangan kepada kerajaan untuk melaksanakan hudud, tetapi kalau kerajaan menolak, mereka tidak bersalah kerana telah berusaha, Yang berdosa tetap pihak kerajaan.
Kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan hudud kerana kuasa mereka terhad kecuali jika dibenarkan kerajaan. Jadi, kerajaan negeri juga tidak bersalah dalam hal ini kerana urusan itu terhalang dengan kekangan perlembagaan negara yang dikuasai kerajaan pusat. Perlu diingatkan juga, perlembagaan boleh dipinda dengan sokongan 2/3 ahli Parlimen. Jadi, ramaikan sokongan ahli parlimen bagi menjayakannya. Kalau itu pun masih gagal, bukan salah mereka kerana mereka sudah berusaha mengetengahkannya.
Perlu ditegaskan juga, RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS ke parlimen, bukan Hudud tetapi undang-undang untuk meluaskan kuasa hakim mahkamah syariah dalam menghukum jenayah syariah. Hukum ini bukan untuk hudud sahaja tetapi untuk semua bagi tujuan menakutkan pesalah syariah.
Contoh yang mudah, kesalahan berkahwin luar negara tanpa kebenaran kerajaan negeri sama ada poligami atau seorang, mereka hanya boleh dikenakan denda sekitar RM1,000 - RM3,000. Hukuman ini sangat kecil bagi si kaya. Jadi, berleluasalah perkahwinan poligami di luar negara. Bagaimana kalau dendanya RM10,000, tentulah tidak ada orang yang hendak berkahwin di luar negara. Pada masa yang sama boleh dimudahkan urusan poligami di dalam negara.
Saya harap dengan tulisan ini, semua ahli politik dan peminat politik dapat memahaminya dengan baik semoga negara kita kembali aman daripada fitnah. Cuma sehubungan dengan itu, pemimpin politik wajar mempertahankan jati diri sebagai mukmin yang muttaqin semoga dengan itu mereka tidak mencipta musuh sebaliknya mencari sahabat.

05 Mac 2017

Soalan Bodoh daripada Orang Tak Cerdik

Saya agak geli hati apabila diajukan soalan, Nabi Muhammad itu bermazhab apa? Soalan ini bukan ditujukan kepada saya, tetapi dikhabarkan oleh seorang sahabat kepada saya kemudiannya. Soalan seperti itu bukan untuk dijawab tetapi untuk difikirkan kelojikannya. Namun kalau saya diberi peluang ketika itu mahu juga dijawab.
Pada saya soalan itu adalah soalan bodoh yang perlu pun dilayan. Tetapi kalau tidak dijawab, orang awam akan keliru. Maka untuk menghilangkan kekeliruan itu, kita ajukan soalan balas kepadanya, Nabi Muhammad wujud dalam zaman mazhab apa? Soalan susulan, adakah mazhab agama?

Apa itu mazhab?
Awal-awal lagi perlu ditegaskan ialah mazhab bukan agama tetapi satu jalan yang memandukan kita kepada agama. Bolehkah seseorang yang beragama tidak guna mazhab?Maka berdasarkan maksud mazhab, semua orang yang hendak beragama perlu guna mazhab. Kenapa?
Boleh ke seseorang yang hendak menuju ke sesuatu distinasi tanpa menggunakan jalan?Jawapannya sudah tentu tidak boleh. Semua orang perlu guna jalan sama ada jalan darat, laut atau udara. Untuk cepat sampai barangkali dia menggunakan jalan udara iaitu kapal terbang. Boleh juga menggunakan jalan laut dengan menaiki perahu, bot atau kapal. Tetapi kebanyakan orang menggunakan kenderaan darat mengikut kemampuan. Namun bagi yang miskin dia boleh berjalan kaki.
Bagitulah tamsilan mazhab bagi orang yang hendak beragama. Mazhab yang kita pilih sudah tersedia kenderaan yang bersesuaian dengan kemapuan kita. Sekurang-kurang mazhab yang mudah kita temui pada hari ini ialah, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali. Demikian jalan dan kenderaan kepada Agama Islam.

Nabi Muhammad Mazhab apa?
Awal-awal lagi perlu dijelaskan bahawa Nabi Muhammad yang membawa Islam atau agama kepada kita. Pemilik agama adalah Allah, dan Allah sudah memberi kuasa penuh kepadanya untuk membawa Islam kepada umatnya. Kalau begitu, dia tidak perlu kepada mazhab. Kenapa?
Nabi Muhammad tak perlu berjalan untuk dapatkan agama tatapi apa yang diperlukan dalam agama, Allah terus wahyukan kepadanya. Pendek kata, apa sahaja persoalan agama, akan dipandu terus oleh Allah. Jadi, jelas orang yang bertanyakan soalan di atas adalah orang yang tidak cerdik. Dia tidak dapat membezakan antara pembawa agama dengan kenderaan menuju ke agama.
Lebih tidak cerdiknya dia, seolah-olah dia tidak tahu bahawa mazhab itu wujud setelah beberapa tahun Nabi Muhammad wafat. Bagaimana Nabi Muhammad hendak ikut orang yang belum wujud atau dalam bahasa lain, bolehkah orang yang sudah mati nak ikut orang hidup. Apa perlunya orang mati ikut orang hidup? Wajarkah ayah kita yang sudah meninggal dunia mengikut anaknya?
Berdasarkan coretan rengkas ini, diharapkan tidak timbul lagi orang yang mempertikan mazhab. Tidak akan ada lagi orang yang tidak mahu ikut mazhab dalam beragama. Suka ditegaskan di sini, orang yang mendakwa tidak ikut mazhab sebenarnya juga bermazhab iaitu mazhabnya sendiri. Bandingannya, dia sedang guna jalan darat dengan berjalan kaki. Lambat laun dia akan sampai juga ke distinasi.
Persoalannya mengapa guna mazhab sendiri? Anda punyai ilmu sehebat imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafii dan Imam Ahmad. Anda cukup kuasa ilmu usul fiqh, ilmu hadis dan tafsir. Kalau anda sekadar baca makna al-Quran dan Hadis, maknanya anda tidak kenal bahasa Arab. Bolehkah buat mazhab sendiri? Tepuk dada tanya iman.

26 Februari 2017

HAYATI 2 FASA DAKWAH RASULULLAH

AHMAD BAEI JAAFAR

RAMAI yang tahu Rasulullah memulakan gerak kerja dakwah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun berjuang di Madinah. Tetapi berapa ramai yang tahu misi perjuangan Rasulullah ketika itu. Dan berapa ramai pula yang mengambil misi itu untuk meneruskan gerak kerja dakwahnya kini?
Ya betul Rasulullah berdakwah di Makkah selama 13 tahun sebelum diarahkan berhijrah ke Madinah, tetapi apa ertinya semua ini? Sudah tentu Rasulullah bertindak mengikut kehendak Allah dalam menyampaikan risalah Allah. Sudah tentu, dua tempat dengan tempoh masa sebegitu sebagai tanda bahawa dalam perjuangan itu ada dua fasa yang berbeza.

Fasa Makkah
Fasa pertama ialah fasa Makkah yang misinya ialah menyeru kepada tauhid dan membina akhlak mulia. Manusia yang berada di Makkah ketika itu diperkenalkan dengan Tuhan yang satu secara rahsia. Kemudian setelah ada kekuatan apabila sudah mencapai pengikut yang ramai, dilakukan dakwah secara terang terangan.
Pada masa yang sama, mereka yang sudah menerima Islam ditanamkan rasa keimanan. Jiwa mereka dipasak dengan rasa takut kepada Allah, takut dengan hukuman Allah, rasa gerun dengan neraka Allah, rasa kagum dengan Allah dan rasa rindu dengan syurga Allah. Dengan rasa-rasa itu mereka teguh dengan Islam dan tidak mahu berpisah dengan Rasulullah dan Sahabat. Meskipun mereka diancam dengan pelbagai mereka sanggup mati mempertahankan Islam. Ini semua kerana iman yang tertanam di dada.
Pada masa yang sama juga Baginda Rasul mendidik pengikutnya dengan akhlak mulia, sentiasa bercakap benar, berkasih sayang, berukhuwah, memaafkan kesalahan orang dan suka saling membantu. Semua itu dilatih sehingga menjadi pakaian mereka. Semua itu tidak pernah berlaku dalam kehidupan mereka sebelum ini.
Rasulullah sendiri dalam kehidupannya sentiasa membawa akhlak itu dalam masyarakatnya malah dengan yang belum memeluk Islam. Bahkan banyak juga kes yang orang bukan Islam boleh menerima Islam dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan Sahabat.
Inilah misi dakwah sepanjang 13 tahun di Makkah. Dan sebagai bukti mereka sudah memilik akhlak mulia, baginda mempersaudarakan antara Muhajin dan Ansur setibanya di Madinah. Ternyata mereka terima tanpa sebarang bantahan.

Fasa Madinah
Fasa kedua di Madinah yang mana mereka baru diajar soal syariat. Mereka dididik untuk dekat dengan Allah secara solat lima waktu, mereka ajar berpuasa, menjaga aurat daripada dilihat orang lain dan diminta meninggalkan arak, perzinaan dan sebagainya. Kemuncak ibadah yang difardukan ialah Haji. Semua itu didatangkan daripada Allah secara berdikit-dikit.
Perintah jihad untuk mempertahankan Agama dan Maruah juga dipraktikkan semasa Madinah. Jadi, jihad pada waktu itu bukan untuk dakwah tetapi untuk mempertahankan agama dan maruah Islam. Sebab itu kebanyakan perperangan berlaku di sempadan Madinah atau di sempadan tanah milik negara Islam. Sesekali yang berlaku diluar kawasan adalah kerana kita dicabar atau diancam.
Melihat kepada dua fasa ini, apa yang anda fikir? Adakah ia hanya sekadar sirah dan sejarah? Mesej yang paling jelas, dua misi harus kita bawa bersama dalam dakwah kita pada hari ini.  Ya, betul kini Islam sudah lengkap maka kita sudah boleh mempraktikkan dalam masyarakat Islam, tetapi bagaimana dengan dakwah kepada orang bukan Islam? Bagaimana dengan orang Islam yang banyak ketinggalan dari arus Islam?
Dua fasa ini perlu digunakan secara tertib. Maknanya penekanan kepada fasa pertama mesti lebih berbanding fasa kedua. Namun tidak boleh tinggalkan fasa kedua kerana beranggapan tidak penting. Maknanya dalam mendidik mereka perlu mengikut tahap dan fasa di atas.

Kegagalan Kita 
Di sinilah kegagalan pendakwah kita pada hari ini, mereka gagal memperkalkan Allah kepada sasarannya dan keduanya mereka gagal mempamirkan akhlak yang terpuji kepada madwunya. Kita tidak boleh sabar dengan serangan orang bukan Islam sebagaimana Rasulullah dan para Sahabat.
Begitu juga halnya apabila mereka sudah menerima Islam, perkara pertama yang diberi perhatian ialah syariah ialah berkhatan dan solat. Sedangkan tauhid dan akhlak tidak diberi perhatian. Ini semua boleh melambatkan perkembangan Islam di dunia ini.
Jadi sebagai pendakwah, dari manapun anda, golongan NGO atau parti politik atau ulama persendiri, mulakanlah dengan berpandukan dua fasa di atas untuk mencapai kejayaan pada masa dengan dengan cemerlang. Wallahu aklam.

02 Februari 2017

Ucapan Salam Sunnah dan Berjabat Tangan Budaya

Rasulullah Saw bersabda: "Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya ada enam: (1) Jika engkau bertemu dengannya, maka ucapkan salam, dan (2) jika dia mengundangmu maka datangilah, (3) jika dia minta nasihat kepadamu berilah nasihat, (4) jika dia bersin dan mengucapkan hamdalah maka balaslah (dengan doa: Yarhamukallah), (5) jika dia sakit maka kunjungilah, dan (6) jika dia meninggal maka hantarkanlah (jenazahnya ke kuburan).” (HR. Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, seseorang Islam ada enam perkara yang perlu dilakukan dalam hidup bemasyarakat. Biar saya senaraikan keenam-enam itu untuk kita lihat sejauhmana kita telah melaksanakannya.
1. Apabila kita bertemu seorang muslim, ucapkan salam iaitu “Assalamualaikum...” Siapa nak mulakan? Ingat, sesiapa yang memberikan salam kepada seseorang, dia akan dapat pahala sunat. Jadi, berebutkan untuk memberi salam. Orang yang terkemudian hendaklah menjawab salam tersebut, dan dia akan mendapat pahala wajib, yang pahalanya lebih kecil daripada pahala sunat.
2. Apabila seseorang mengundang orang Islam ke suatu majlis khususnya kenduri kahwin, maka orang itu wajib menyahut panggilan tersebut. Kalau dia gagal untuk hadir kerana ada urusan yang lebih penting, maklumkan awal atau iringkannya dengan pengganti diri. Hal ini kerana mereka mengharapkan sangat akan kedatangan tetamu ke majlisnya.
3. Apabila seseorang muslim meminta khidmat nasihat, maka wajiblah dia memberi kata-kata peransang sesuai dengan keperluannya. Jika dia mengabaikan permintaannya, boleh jadi akan mengecewakannya. Seseorang Islam sepatutnya menggembirakan muslim yang lain.
4. Jika seseorang muslim bersin lalu menyebut “Al-Hambdulillah”, maka orang yang mendengar itu wajar menjawab “Yarhamkallah”. Ucapan itu sebagai doa untuknya agar dia sihat dan dalam rahmat Allah. Begitulah sikap orang mukmin sesama mukmin.
5. Apabila seseorang Islam itu sakit kita patut ziarahnya di mana sahaja dia berada. Ziarah adalah sebagai moral spot kepadanya agar dia pulih daripada sakitnya. Pastinya kita datang ziarah dengan doa yang baik untuknya.
6. Jika seseorang muslim itu meninggal dunia, iringilah jenazahnya hingga ke tanah perkuburan. Maknanya sebelum itu kita sudah berada di tempat itu untuk sama-sama berdoa, membantu mandi dan kafankan jenazah. Inilah penghormatan terakhir yang boleh kita berikan untuknya.
Keenam-enam hak orang muslim ini sekali gus adalah adab yang menjadi akhlak yang sangat mulia di sisi Allah. Beruntunglah mereka yang dapat menjaga adab sopan itu sepanjang hidup. Cuma dalam menjaga adab tersebut raikan juga budaya tempatan yang sekali gus menjadi adat setempat.
Sebagai contoh, dalam melaksanakan adab pertemuan dengan ucapan salam, sertakan juga dengan berjabat tangan. Ini adalah adat dan budaya yang baik, namun cara berjabat itu mungkin berbeza antara satu negara dengan negara lain. Ya, adat ini mungkin tidak sama antara satu negara dengan negara yang lain. Jadi raikan perbezaan itu tanpa mencela perbuatan itu.
Selain itu ada juga budaya berpelukan, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan selepas bersalaman. Mungkin budaya Melayu tidak sama dengan budaya Arab dan lain-lain negara. Adat dan budaya ini wajar diteruskan mengikut negara masing-masing.  Kita orang Melayu tidak perlu meniru budaya mereka.
Contoh lain yang boleh didapati dalam masyarakat kita iaitu semasa membuat kunjung hormat untuk jenazah hendaklah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terbabit. Inilah sunnah yang termasuk dalam adab yang baik. Namun, selain itu mereka mengambil kesempatan membaca tahlil dan membaca Yasin. Ini adalah budaya atau adat di alam Nusantara.
Saya percaya kemungkinan di negara lain juga ada budaya tersendiri yang dilakukan semasa mengunjung hormat pada jenazah. Jadi raikan perbezaan itu tanpa mempersalahkan pihak yang tidak sama dengan budaya kita. Ingatlah adat atau budaya yang baik itu diiktirafkan Islam, iaitu al-adatu muhakkamah. Wallahu aklam

11 Januari 2017

Redha Allah pada redha ibu bapa

Ahmad Baei Jaafar

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.”  (Hadis dikeluarkan oleh al-Tir
mizi dalam Sunannya)
Kenyataan Rasulullah di atas sangat besar ertinya kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa. Maknanya berdasarkan hadis ini anak-anak perlu pandai menjaga hati ibu bapa agar mereka tidak terguris hati dengan tindakan mereka. Maka sebagai anak mereka perlu mendapat keredhaan atau dalam bahasa mudah mendapat restu ibu bapa.
Seorang anak yang hendak berniaga sendiri sebagai contoh perlu mendapat keredhaan ibu bapa, barulah dengan itu perniagaannya menjadi berkat. Seorang anak yang hendak bermusafir meninggalkan kampung halaman perlu mendapat keredhaan ibu bapa, barulah perjalanannya mendapat pahala.
Pendak kata, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh anak-anak perlu mendapat keredhaan ibu bapa apatah lagi soal perkahwinan. Untuk mendapat keredhaan ibu bapa tidak susah apatah lagi dalam soal perkahwinan kerana biasanya ibu bapa tidak akan menghalang jika semua itu baik dan padan dengan mereka. Tetapi dalam hal inilah yang kadang-kadang ibu bapa boleh berkecil hati.
Meniti umur yang semakin penghujung ini, baru saya sedar betapa dulunya saya telah banyak kali mengecilkan hati kedua ibu bapa dalam urusan perkahwinan. Saya pernah menguruskan sendiri pertunangan bagi perkahwinan yang pertama kali. Ibu bapa saya hanya diberitahu setelah semuanya diterima oleh ibu bapa perempuan.
Walaupun mereka tahu hubungan kami sebelum itu, namun tindakan saya mungkin mengecilkan hati mereka. Namun saya percaya mereka redha dengan perkahwinan kami apabila mereka sudi datang pada hari pernikahan dan kenduri kahwin yang dibuat pada hari yang sama.
Perkahwinan seterusnya juga tanpa pengetahuan ibu bapa, sebaliknya diuruskan oleh jemaah yang saya anggotai pada masa itu. Saya percaya kedua-dua ibu bapa saya redha dengan perkahwinan itu sebab mereka tidak menolak kehadiran semua menantunya. Tetapi hati kecil mereka tetap terasa terguris kerana saya telah membelakangkan mereka.
Semoga mereka berdua dapat dan telah memaafkan daku sebelum mereka meninggal dunia. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku kepada mereka berdua, sama ada mereka sedar atau tidak, apa lagi yang aku tidak sengajakan, amin ya rabbal alamin.
Inilah kesilapan yang jarang sebagai anak merasainya. Dengan ini saya berharap anak-anak saya tidak mengulangi kesilapan seperti itu lagi. Biarlah urusan perkahwinan mereka selepas ini diserahkan kepada orang tua kerana merekalah yang selayaknya ditua-tuakan. Biarpun zaman berubah adab dan sopan yang diajarkan oleh Islam itu wajar dipertahankan. Wallahu aklam.

06 Januari 2017

Jangan Kagumi Tokoh Anda Berlebihan

Ahmad Baei Jaafar Nabi Muhammad, Rasulullah SAW adalah sesempurna manusia, maka tindak tanduknya diperhatikan oleh manusia dari jauh mahu pun dekat. Mereka yg tertawan dengannya akan menerima Islam sama ada secara segera atau kemudiannya. Para sahabat baginda walaupun hampir dengan baginda, mengambil ilmu langsung daripada baginda, namun selepas wafat baginda mereka tidak mampu mengambil tempat baginda di sudut watak dan akhlak. Sanggup pun begitu, Islam terus berkembang atas usaha mereka yang penuh ikhlas. Sebahagian mereka keluar daerah untuk menyebarkan Islam. Manakala ulama amilin yang jauh daripada baginda dan sahabat tentu lebih jauh daripada watak dan akhlak sahabat dan baginda. Mereka tidak berkesempatan melihat watak sahabat baginda untuk dicontohi. Namun ilmu yang mereka perolehi daripada warisan sahabat mampu membimbing pengikut dan umat islam akhir zaman. Tetapi ulama akhir zaman bukan saja mereka jauh dari akhlak rasul dan sahabat, ilmu ulama amilin pun dipertikaikan oleh mereka. Mereka rasa lebih pandai daripada ulama terdahulu, lalu umat islam akhir zaman jadi keliru. Kini mereka bercakaran menyalahkan satu sama lain. Masing-masing membawa fahaman yang didakwa sebagai benar. Oleh sebab itu, sehebat manapun ulama atau guru anda pada hari ini, jangan dikagumi melampau batas. Jangan ada yang kerana kagum dengan cakapnya, kagum dengan tulisannya, rasa teruja lalu hendak melihat rumah tangga dan keluarganya. Kononnya untuk mencontohinya. Jangan, nanti anda akan kecewa terutama apabila melihat realiti kehidupan mereka tidak sama seperti yang dicakapkan tokoh anda. Ingat, boleh jadi mereka itu sama macam anda juga. Dia boleh cakap berapi-api di pentas dakwah adalah untuk isteri dan anak-anaknya yang berada di rumah. Dia tulis yang jelas-jelas juga untuk nasihat kepada anak dan isterinya. Cuma malangnya. Isteri dan anak mereka tidak mahu dengar dan membaca tulisannya. Jadi, mereka tidak boleh berubah sebagai mana orang lain boleh berubah. Kesian ulama akhir zaman.

02 Januari 2017

Lahir 'Tuan' kerana salah didikan ibu

Ahmad Baei Jaafar

Saya percaya anda pernah membaca atau mendengar sebuah hadis dalam hadis 40 catatan Imam Nawawi yang terpanjang iaitu hadis mengenai Jibril bertemu Rasulullah. Menurut hadis itu seorang lelaki luar (bukan penduduk tempatan Madinah) bertemu Rasulullah tetapi keadaanya seperti terlalu rapat dan biasa dengan baginda. Namu sahabat tidak mengenalinya.
Dalam perbualan santai, baginda ditanyakan beberapa soalan, namun semua soalan itu dapat dijawab dengan baik dan tepat. Tetapi terdapat satu soalan akhir, yang baginda tidak terus menjawab sebaliknya memulangkan soalan itu dengan menyebut, "orang yang bertanya lebih mengetahui daripada yang ditanya."
Ya, siapa ingat hadis apa itu? Betul, ramai yang tahu. Dalam peristiwa itu baginda ditanyakan tentang IMAN, ISLAM dan IHSAN. Dan soalan akhir adalah mengenai hari kiamat. Itulah yang tidak mahu dijawab oleh baginda. Namun soalan itu ditukarkan kepada persoalan tanda-tanda kiamat.
Jibril berkata, “Kalau begitu khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya” Baginda Rasulullah SAW menjawab. “Apabila seorang hamba melahirkan tuannya dan engkau akan melihat rakyat jelata yang miskin tinggal lama di dalam bangunan.” (Riwayat Muslim)
Saya tidak pasti, orang generasi sekarang pernah dengar hadis tersebut atau tidak. Kalau pun pernah mendengarnya, tidak dipastikan sama ada mereka faham atau tidak mesej hadis tersebut. Sebenarnya bukan sahaja generasi sekarang yang tidak faham, saya sendiri waktu belajar dahulu tidak bagitu faham mesejnya. Malah mungkin guru yang mengajar tentang hadis itu juga kurang faham mesej sebenar.
Saya ingat lagi, ustaz saya berkata, akhir zaman nanti ibu-ibu akan melahirkan tuan-tuan. Dan orang miskin akan berlumba-lumba membuat bangunan tinggi. Menurut ustaz itu, pada zaman itu akan berlaku dua keadaan dan itulah tanda hampir berlaku kiamat. Katanya lagi, zaman itu amat berbeza dengan zaman sekarang yang manusia masih ada yang beriman dan takut kepada Allah.
Dalam hati saya ketika itu, kan bagus kalau begitu, seorang ibu mampu mendidik anak sehingga akhir menjadi tuan-tuan. Dan orang miskin yang semuanya menjadi kaya sehingga mampu membina bangunan sendiri. Yalah kalau fikiran ini saya luahkan kepada umum nescaya ramailah mengutuk saya.
Tetapi, pada hari ini setelah saya mempunyai anak dan umur saya pun sudah sampai ke penghujungnya, fikiran saya berubah lagi dan kali ini betul-betul realistik. Berdasarkan pengalaman dan kajian semasa, saya mendapati hadis di atas bukan merujuk kepada zaman tetapi merujuk kepada sikap dan gaya hidup umat Islam.  Peristiwa anak menjadi tuan kepada ibunya sendiri ini sangat berganting kepada cara ibu-ibu mendidik anaknya.
Anak-anak berdasarkan hadis yang masyhor, "semua anak dilahirkan fitrah maka ibu bapanya lah yang mencorakkannya." Ibu dalam konteks hadis di atas, tidak mendidik anak-anaknya gaya hidup Islam sebenar. Mereka tidak diajar adab dan sopan, mereka tidak dibentuk dalam suasana kasih dan sayang dan mereka tidak dididik bergaul dengan masyarakat yang baik.
Akhirnya anak-anak ini terbiasa dengan kasar dan tidak tahu menghormati orang terutama orang tua-tua. Dalam keadaan anak yang sudah dewasa itu, agak sukar dibetulkan semua melainkan kalau Allah memberinya hidayah ke arah kebaikan. Apabila anak-anak sudah pandai mengarah ibu bapanya supaya mengikut kehendaknya dan nasihat dan pandangan ibu bapa sudah tidak diperdulikan, maka itulah yang dimaksudkan dengan tuan.
Saya percaya, tuan-tuan seperti ini sudah ramai dilahirkan sehingga kini. Dan inilah tanda-tanda kecil kiamat. Namun bila kiamat yang sebenar kita tidak tahu, cuma yang pasti tanda-tandanya sudah ada. Saya percaya, kalau lebih separuh manusia di muka bumi ini masing-masing melahirkan tuan-tuan, tentulah kiamat benar-benar terjadi. Ini sesuai dengan kenyataan ulama bahawa sebelum kiamat, Allah akan datangkan angin yang tenang lalu mematikan orang yang beriman. Manakala yang tidak beriman diberi ruang dan peluang untuk seketika sebelum dikiamatkan mereka secara yang hina.
Jadi, wahai ibu bapa didiklah anak-anak anda adab sopan agar mereka tahu menghormati orang lain. Wahai anak-anak, kalau anda sedar bahawa anda termasuk dalam kategori anak yang bertaraf tuan kepada ibu bapa anda, turunkan egomu dan jadilah anak yang berakhlak mulia. semoga anda tidak termasuk dalam orang-orang yang akan dimatikan dalam keadaan yang terhina. Wallahu aklam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...