26 November 2017

Allah tidak perintah pakai tudung?

Memang benar, Allah tidak pernah menyebut perkataan tudung dalam al-Quran, kalau tiada sebutan itu, tentulah tidak ada perintah suruh pakai tudung. Bukan sahaja tudung, malah perkataan jubah dan serta serban pun tidak disebut dalam al-Quran. Malah Rasulullah sendiri tidak pernah sahabat baginda pakai tudung, juban dan serban. Memang tidak akan jumpa perkataan itu di dalam hadis dan Quran.
Untuk pengetuahuan semua, al-Quran dan hadis dalam bahasa Arab sedangkan tudung, jubah dan serban dalam bahasa Melayu. Mana mungkin dalam Quran dan hadis nak guna bahasa Melayu. Tidak dinafikan Allah tahu tudung, jubah dan serban akan digunakan oleh orang Melayu, tetapi oleh kerana al-Quran dalam bahasa Arab tidak bolehlah digunakan di dalam a-Quran.
Oleh sebab tidak ada di dalam al-Quran dan hadis, kita tidak boleh pakai tudung, jubah dan serban ke? Kalau jawapannya tidak boleh dan berdosa atau haram maka anda sekalian berdosa dengan ada facebook, ada surat khabar, ada radio, televisan, kereta dan sebagainya kerana semua itu tidak ada dalam al-Quran dan hadis. Saya percaya orang yang mengeluarkan isu ini pada hari ini bukan jahil agama tetapi sengaja hendak buat lawak bodoh.
Memang Allah tidak menyuruh umat Islam dalam kalangan wanita bertudung tetapi Allah dengan jelas berfirman:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” (An-Nur: 31).
Yang dimaksudkan dengan perhiasan ialah gelang dan rantai yang dipakai pada leher wanita. Selain itu, gelang atau rantai tangan dan juga rantai kaki. Apa pula yang dimaksudkan dengan kecuali apa yang terzahir atau ternampak daripadanya. Ya menurut ulama pakar tafsir pengecualian itu adalah wajah dan kedua telapak tangan kerana bahagian itu terpaksa dizahirkan demi keselamatan dan keperluan. Tetapi perlu disedari juga, pengecualian itu merujuk kepada perhiasan atau kecantikan wanita. Jadi, seluruh tubuh wanita adalah bernilai perhiasan dan kecantikan maka wajar tidak boleh didedahkan. Oleh sebab itu perlu dikecualikan wajah dan kedua telapak tangan kerana keperluan.
Jelas di sini perhiasan dan kecantikan wanita adalah aurat yang mesti ditutup atau dalam bahasa al-Quran "Tidak boleh dinampakkan atau didedahkan". Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:
احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلاَّ مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ
“Jagalah (tutuplah) auratmu kecuali pada isteri atau hamba yang engkau miliki.” (Riwayat Abu Daud no. 4017 dan Tirmidzi no. 2794. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan).
Persoalan sekarang bagaimana hendak praktikkan perintah Allah dan Rasul di atas? Allah tidak ajar caranya dan Rasulullah pun tidak ajar kaedah menutupnya. Oleh sebab tidak ada tunjuk ajar, isteri-isteri Rasulullah dan Sahabat mengambil sebarang kain untuk menutup aurat mereka ketika hendak keluar rumah. Mereka menggunakan kreativiti sendiri bagi menunaikan perintah Allah itu.
Saya teringat lagi pada zaman saya masih kecil, ada beberapa orang perempuan apabila hendak keluar rumah, mereka menyarungkan kain sarung batik atau palaikat di atas kepala mereka. Kata ayah saya, perempuan zaman dahulu tidak keluar rumah. Kalau nak keluar rumah mereka akan mengenakan kain sarung di atas kepala mereka.

Sejarah Tudung
Tetapi pada zaman sebelum dan selepas merdeka, wanita-wanita kampung telah menggantikan kain sarung itu dengan kain selendang. Manakala wanita-wanita di pekan dan bandar tidak lagi mengenakan selendang. Hal ini kerana kegiatan penyebaran ilmu agama sudah tidak aktif kecuali di pondok-pondok sahaja. Jadi, umat Islam terbiar apatah lagi mereka terkesan dengan budaya zaman penjajah.
Ya, sebenarnya pada zaman itupun belum wujud istilah tudung kepala kecuali selendang. Dan seingat saya sewaktu saya di sekolah agama dulu, ustazah pun guna selendang yang nampak jambul lagi. Saya percaya mereka tahu hukum yang ditetapkan oleh Allah tetapi belum ada contoh yang boleh digunapakai.
Sebenarnya selepas peristiwa 13 Mei 1969, tertubuh pertubuhan yang dinamakan ABIM kemudian Al-Arqam, mereka telah memulakan pakaian tudung dengan purdah setelah mengambil contoh pakaian orang Arab dan Iran. Dan pada tahun 70-an juga semasa saya di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri, muncul satu istilah mini telekong sebab saiznya lebih kecil daripada kain telekong yang digunakan untuk solat di negara Malaysia. Alhamdulillah pada tahun itu ramai wanita bertukar cara tudung. Kalau tidak salah saya, semangat itu telah ditiupkan oleh Puan Hajjah Ibu Zin.
Di sinilah bermula era bertudung sehingga sekarang dengan pelbagai reka bentuk. Ertinya tudung itu bukan perintah Allah dan Rasul tetapi satu kreativiti umat Islam berdasarkan perintah Allah supaya wanita-wanita mukminah menutup aurat. Oleh sebab itu kalau ada pada hari ini tidak mahu pakai tudung tidak ada masalah kerana Allah tidak perintah berbuat begitu, tetapi tutuplah aurat sesuka kehendak kamu. Ingat, aurat wanita adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tangan pada pergelangannya.

Tutup Aurat
Sebenarnya perintah ini dapat difahami daripada firman Allah yang menyebut:
 يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya : Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya demikian itu mereka lebih mudah untuk dikenal, maka mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab : 59)
Jilbab dalam istilah Arab ialah baju labuh yang menutupi dari kepala ke kaki. Tetapi jilbab pada penggunaan orang Indonesia ialah kain tudung seperti yang diamalkan di Malaysia. Kita ketepikan istilah tetapi kita lihat pada perintah dan larangan Allah dalam bab aurat. Semoga umat Islam pada akhir zaman ini lebih memahami ajaran Islam dan hukumnya. Wallahu aklam.
Catat Ulasan