31 Disember 2017

Adakah anda dibenarkan mengumpat?

Ahmad Baei Jaafar

Mengumpat ialah suatu amalan yang menghebahkan keaifan seseorang yang sekira-kira kalau orang berkenaan mendengarnya nescaya dia akan marah kerana malu. Namun begitu, mengumpat dalam keadaan tertentu dibenarkan pada perkara-perkara berikut:
Pertama, At-Tazallum , iaitu kerana dizalimi atau untuk mencari keadilan. Dalam seumpama ini, orang yang dizalimi itu boleh mengadu kepada hakim supaya dia diadili dengan sewajarnya. Namun kejahatan dia tidak boleh dihebahkan kepada umum.
Kedua, meminta pertolongan bagi mengindari perkara yang mungkar dan menolak kemaksiatan kepada kebaikan. Dalam kes ini, seseorang itu berhadapan dengan orang yang dipercayai boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Maka dia boleh mengadu kepada polis, ketua kampung atau pihak berkuasa supaya memantau atau melindungi orang ramai daripadanya. Jadi, dalam kes ini juga tidak dibenarkan seseorang menghebahkannya kepada umum.
Ketiga, Al-Istifta’, iaitu meminta fatwa daripada Mufti atau ahli agama. Barangkali ada seseorang yang diragui perbuatan atau amalan seseorang sama ada betul atau salah. Jadi dia boleh bertemu dengan pihak yang berwajib untuk mendapatkan pencerahan. Namun keburukan amalan orang tersebut tidak boleh disebarkan kepada pihak lain.
Keempat, mengingatkan orang Islam supaya tidak terpengaruh dengan kejahatan seseorang. Barangkali ada seseorang yang mengendalikan satu kerja sindiket yang berselindung di sebalik kebaikkan. Sebagai contoh, sindiket kahwin cara mudah, buat umrah yang murah, skim cepat kaya dan lain-lain seumpamanya. Mereka yang sudah menjadi mangsa perlu menghebahkan kepada umum supaya orang lain selamat daripada terpedaya.
Kelima, menyebut aib seseorang kerana tidak mengetahui namanya. Sebagai contoh, seorang lelaki berjalan tempang lalu di suatu kawasan. Kemudian ghaib entah ke mana, lalu seorang hamba Allah bertanya seseorang yang berada di kawasan itu, "ada kamu nampak serang lelaki kaki tempang lalu di sini?". Tetapi setelah dia tahu namanya, aib itu tidak boleh disebut lagi.
Keenam, menyebut akan kejahatan orang yang telah masyhur dengan amalan itu. Sebagai contoh, seorang lelaki telah disabitkan mahkamah kesalahan mencuri, perogol bersiri dan sebagainya. Atas kemasyhuran itu dua sudah hilang malu malah rasa bangga. Maka keaiban lelaki itu boleh disebut-sebut di mana-mana. Walau bagaimanapun kalau lelaki telah mengisytiharkan sudah bertaubat nasuha, maka tidak boleh digelarkan begitu lagi.
Berdasarkan senarai ini, hanya ada dua kes yang boleh dihebohkan namun masih terbatas. Tetapi atas kejahilan umat Islam, mereka memborong semuanya sebagai harus. Ingatlah, kes keenam masih terbatas kepada kes yang sudah disabitkan di dalam mahkamah. Maka selagi belum disabitkan oleh mahkamah, seseorang tidak boleh dihukumkan bersalah. Lalu tidak boleh disalahkan dan dihebohkan orang berkenaan sebagai orang jahat dan sebagainya.
Jelas di sini, mengumpat adalah haram dan pelakunya adalah berdosa besar. Walaupun ada beberapa tempat yang diharuskan mengumpat, namun tetap dikawal oleh undang-undang Islam. Jadi, umat islam wajib mematuhinya demi kebahagian umat Islam dan rakyat seluruhnya.