26 November 2013

Mungkinkah kita golongan yang menafikan agama?

Ahmad Baei Jaafar 

Tiba-tiba sahaja saya teringat kepada surah al-Maun yang bermaksud: 
1. Tahukah engkau tentang orang yang menafikan agama?
2. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
3. dan dia tidak mendorong ke arah memberi makanan kepada yang miskin.
4. (Meskipun dua golongan ini melakukan solat), maka kecelakaan besar bagi yang solat itu.
5. Mereka meskipun solat lalai tanggungjawab sebenar;
6. bahkan mereka suka meuar-uarkan (ibadat atau sumbangannya),
7. Namun sebenarnya dia yang menyekat pertolongan (kepada yang berhak mendapatnya).

Surah ini selalu dikaitkan dengan orang yang riak dan orang yang lalai dalam solatnya. Tetapi apabila saya baca balik berkali-kali, saya pasti mesej sebenar daripada surah itu kurang diberi penekanan atau kurang difahami. Bukan bertujuan mengajar tafsir tetapi lebih kepada mengambil mesej Allah untuk menyelamatkan diri kita daripada dimasukkan ke dalam neraka.

Terlebih dahulu saya mohon rakan-rakan membaca dan memahami makna setiap ayat dalam surah al-Maun di atas. Tetapi maafkan saya, jangan bandingkan makna ini dengan yang ada dalam al-Quran Terjemahan. Saya tidak mahu kita pening dengan bahasa yang masih terikat dengan bahasa ulama pondok. Namun saya pasti terjemahan ini lebih tepat dengan penggunaan bahasa Malaysia kini dan lebih hampir kepada mesej Allah.

Allah menanya umat Islam, adakah kita tahu siapakah golongan yang menafikan agama. Apakah maksud menafikan agama? Makna mudahnya, menafikan peraturan agama, menafikan pemantauan Allah, menafikan hukuman Allah dan menafikan ganjaran Allah. Dia sebagai orang Islam tidak menafikan Islam, tetapi dia sanggup menindas anak yatim dan menghalang buat kebajikan kepada orang miskin. Tindakan itu seolah-olah dia percaya tidak ada peraturan agama, tidak ada pemantauan Allah, tidak ganjaran dosa atau pahala.

Ayat ke 4 yang selalu disebut Neraka Wail bagi yang melakukan solat itu sebenarnya merujuk kepada dua golongan di atas bukan kepada golongan yang lalai dan riak. Maknanya dua golongan ini adalah orang yang solat, buat ibadah dan buat kebajikan, dalam membela anak yatim dia ambil kesempatan menzalimi dan mendera mereka. Begitu juga dalam menyumbang kebajikan kepada golongan miskin, dipilih dalam kalangan yang boleh menguntungkannya. Maka dengan sebab itu mereka layak dicampakkan ke dalam neraka Wail.

Penghuni neraka ini Allah jelaskan tiga cirinya agar kita jauhi iaitu:
1. Lalai tanggungjawab sebenar. Orang yang solat seharusnya berdisiplin dan amanah terhadap tanggungjawab dalam agama dan masyarakat. Kalau mereka ingat Allah tetapi lupa kepada manusia bermakna mereka lalai. Kalau mereka ingat manusia tetapi lupa kepada Allah maka dia juga lalai.

2. Suka meuar-uarkan, menghebahkan, mencanangkan kebaikannya. Hari ini dia buat rumah anak yatin, esok dia buat sumbangan ke rumah kebajikan.

3. Menyekat atau menghalang orang lain membuat kebajikan kepada yang memerlukan. Mungkin dalam sepuluh rumah kebajikan tujuh daripadanya terlalu daif dan jarang mendapat perhatian media, maka tujuh rumah kebajikan itu dibiarkan daif. Pada masa yang sama dia tidak perpanjangkan perkara itu kepada orang lain.

Dengan tiga ciri ini, saya percaya ramai umat islam di negara ini yang termasuk dalam golongan yang akan dicampakkan ke dalam neraka wail atau dalam kata yang lebih jelas golongan yang menafikan agama. Oleh sebab itu, saya dengan penuh rasa berdosa mengajak umat Islam agar segera keluar daripada golongan di atas. 

Sebelum mengakhiri catatan ini suka saya senarai siapakah golongan yang kemungkinan menindas atau menzalimi anak yatim. Mereka adalah terdiri daripada:
1. Ibu tunggal yang kematian suami sedangkan anak masih kecil. Disuruh buat kerja berat tetapi tidak diberi kasih sayang, kalau ada harta pusaka untuk mereka, diambil ibu itu sesuka hatinya.
2. Bapa tiri yang mengahwini ibu tungga, dia turut mendera atau menzalimi anak-anak tirinya dengan kerja berat. Kalau diberi upah tidak sepadan dengan tugasnya.
3. Majikan yang menggajikan anak yatim (bawah 15 tahun) sebagai buruh kanak-kanak. Konon atas nama hendak membela anak yatim, disuruh dia potong rumput tetapi gajinya sekadar gula-gula atau seumpamanya.
4. Pengurus Rumah Anak Yatim/Rumah Kebajikan. Pengurus selalu menerima sumbangan orang ramai atas nama anak yatim. Kadang-kadang pengurus itu menugaskan anak yatim itu keluar mendapatkan sumbangan. Namun hasil sumbangan orang ramai itu digunakan untuk kepentingannya. Sedangkan makan minum anak-anak tersebut masih ala kadar. Sesetangahnya pengurus itu menggunakan wang itu untuk membesarkan rumah tersebut dengan dana yang dikumpulkan itu. Walau bagaimanapun tidak mengapa kalau menggunakan wang sumbangan orang ramai atas tujuan pembesaran. Maka sebab itu wang sumbangan mesti diasingkan kalau jelas untuk pembesaran.

Semoga catatan ini boleh mengingatkan saya, rakan-rakan, sahabat taulan agar tidak terjebak dalam dosa yang pasti di dalam neraka wail. Na'uzubillah. 

20 November 2013

Mari Bantu Untuk Bantu Pelajar Miskin

Y.B Tan Sri/Y.B Dato’/Y.B Datin/Tuan/ Puan,
 
Assalamualaikum w.r.b dan Salam Sejahtera..
 
Merujuk perkara diatas  Persatuan Kebajikan Peniaga Maju Kuala Lumpur akan mengadakan Program pakaian sekolah  kepada pelajar-pelajar miskin seluruh Malaysia.
 
Sempena sesi sekolah tahun 2014 akan datang Pihak persatuan mengadakan program yang membantu keluarga pelajar-pelajar miskin  dengan memberi pakaian sekolah seperti baju,seluar,kasut dan alat tulis .
Pihak persatuan akan menjejak pelajar-pelajar miskin tersebut dan memberi sumbangan tersebut.Dengan program ini dapat membantu pelajar-pelajar tersebut memulakan sesi persekolahan dengan selesa ,gembira dan membantu meringankan beban keluarga mereka.
        
Anggaran kos satu set pakaian sekolah tersebut  ialah RM 100.00 Pihak persatuan cuma meminta sumbangan RM 100.00 sahaja untuk menaja satu set pakaian sekolah kepada seorang pelajar.
 
Sekiranya tuan/puan ingin menghulurkan sumbangan RM 100.00 bagi menjayakan program ini boleh menggunakan cara berikut:
 
Sumbangan boleh diberikan dalam bentuk cek atas nama :
PERSATUAN KEBAJIKAN PENIAGA MAJU KL
Atau secara tunai terus kredit ke akaun Persatuan
AmBank  - 076 202 200828 9
 
Untuk sebarang pertanyaan , sila hubungi AJK yang bertugas
Mohd Hasrul 0111-6269252 atau  Saiful Anuar 012-2862643
 
Segala sumbangan dari pihak tuan/puan  kami dahului dengan ucapan terima kasih.
 
Sekian, terima kasih.
 
‘Kebajikan Dan Penyayang Untuk Semua’
 
Yang benar,                                                                          
Mohd Hasrul Bin Abdul Hamid
Pengarah Program Pakaian Sekolah Pelajar Miskin
Persatuan Kebajikan Peniaga Maju Kuala Lumpur(No Pendaftaran: PPM-004-14)
Unit 3-4-2, Blok 3, Diamond Square, Jalan 3/50,Tmn P Ramlee, 53000 Kuala Lumpur                  
Tel : 03-4023 3830  Fax : 03-4023 3841 Email : pkpmkl.1@gmail.com / pkpmkl.2@gmail.com

06 November 2013

Popularkan jihad daripada hijrah

Ahmad Baei Jaafar

Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW suatu yang unik semata-mata untuk menyelamatkan Iman dan Islam pada diri orang Islam. Pada hijrah pertama ke Habshah mereka berhijrah kerana tidak tahan dengan gangguan akidah oleh orang Quraisy. Maka dengan hijrah itu mereka dapat mempertahankan iman mereka daripada digugat oleh fahaman lama.
Hijrah pada kali kedua ke Madinah masih atas sebab yang sama tetapi di sana sudah ada tapak yang selamat bagi mengembangkan Islam. Maknanya mereka yang berhijrah ke Madinah terdiri daripada orang yang sudah teguh imannya dan bersedia mempertahankan Islam sekali gus menyebarluaskan ajaran Islam kepada umum.
Ternyata, selepas hijrah itu Islam semakin dikenali dan diminati oleh orang ramai baik orang tempatan mahupun orang luar Madinah. Kejayaan besar dalam hal ini ialah apabila semua orang Quraisy Makkah memasuki Islam secara berduyun-duyun. Maka sebab itulah selepas pembukaan kota Makkah tidak lagi dianjurkan berhijrah. Lihatlah hadis Rasulullah SAW:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّم:َ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا
Maksudnya : Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda RasululLah s.a.w: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025)
Jelas daripada hadis ini, tiada lagi anjuran hijrah kerana iman para sahabat sudah tidak mudah digugat oleh sesiapapun. Pada masa yang sama Islam sudah boleh diterima oleh dunia kerana sudah ada model yang boleh dicontohi.

Kenapa Masih Hendak Hijrah?
Islam bertambah baik pada setiap zaman kekhalifahan bermula dari Zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Bertambah meluas tamadunnya pada zaman Umaiyah dan Abbasiah. Hal ini kerana umat Islam pada setiap zaman itu berjihad mengikut bidang masing-masing terutama ilmu.
Kemuncak Islam adalah pada zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniah yang umat Islam sudah berada di seluruh dunia. Semua umat Islam ketika itu menjadi pendakwah secara tidak langsung. Malah mereka tidak lagi digugat oleh sesiapa meski pun berada dalam kelompok pengamal agama lain.
Melihat perkembangan itu maka amat munasabahkan mengapa Rasulullah melarang umat Islam berhijrah selepas pembukaan kota Makkah itu. Memang tidak ada alasan lagi bagi umat Islam untuk lari daripada perjuangan masuk ke dalam hutan. Apatah lagi kita kini sudah berada pada kurun 21, semuanya sudah berubah ke arah yang lebih baik.
Oleh sebab itu kerja dakwah kepada orang bukan Islam tidak boleh ditinggalkan. Maka setiap orang ada peranan dalam dakwah mengikut bidang masing-masing. Jadi, sesuai dengan semangat hadis di atas, istilah hijrah sepatutnya tidak dipopular lagi pada hari ini. Sebaliknya, kita perlu popularkan jihad dan niat untuk merubah dunia kepada Islam.
Kalau begitu, apakah niat yang harus dibuat oleh umat Islam? Ya, niat kita bukan lagi untuk menyelamatkan iman tetapi lebih daripada itu untuk menyelamatkan akidah manusia lain. Oleh sebab itu hijrah dalam konteks ini tidak boleh disamakan dengan berpindah lagi.
Jadi, umat Islam perlu berazam untuk merubah fizikal atau iklim dunia ke arah Islam. Maka, ubah di sini bukan sekadar ubah peribadi daripada jahat kepada baik, daripada akhlak buruk kepada akhlak comel. Malah bukan ubah tempat tinggal ke suatu penempatan yang lebih selesa. Semua itu tidak ada kena mengena dengan hijrah selepas pembukaan kota Makkah.

Ubah Hijrah Kepada Jihad
Jihad senonim dengan perang tetapi pada hari ini kita perlu perluaskan pengertiannya kepada selain perang bersenjata. Perang bersenjata cukuplah kita serah kepada tentera dan polis, kerana mereka pakar dalam soal kawal keselamatan negara dan Islam. Tetapi perang melawan musuh tanpa senjata lebih luas malah melibatkan semua orang termasuk tentera.
Kalau begitu siapa musuh umat Islam? Islam mengkategori musuh Islam kepada tiga iaitu nafsu, orang kafir dan syaitan. Untuk jihad melawan nafsu ialah dengan mujahadah; mengekang kehendak nafsu dengan menggantikan kehendak itu kepada kehendak yang lain. Jika nafsu mendorong kita supaya tidak berderma, maka mujahadah yang patut dibuat ialah segera mengeluarkan wang dan mendermakan wang itu kepada pihak yang memerlukan.
Manakala berjihad melawan orang kafir ialah dengan mendekati mereka dengan dakwah sama ada dengan berdialog atau mempromosikan akhlak yang baik agar mereka dapat tertarik kepada Islam. Dengan cara itu, kalaupun mereka tidak memeluk Islam, mereka tidak lagi memusuhi orang Islam.
Adapun berjihad melawan syaitan, cukuplah dengan membiarkan gelagat syaitan tanpa melayani bisikannya. Ketahuilah jika kita melayan bisikan syaitan, lambat laun kita akan terpengaruh dengannya dan akhirnya kita akan melakukan dosa dan maksiat. Sebenarnya, antara sifat syaitan apabila kita melayan bisikannya, dia akan gemuk. Tetapi kalau kita tidak melayannya, syaitan akan kurus kering.

Kalau Semua Umat Islam Berjihad
Percayalah apabila semua umat Islam bangun berjihad, umat Islam dan negara Islam akan maju dan membangun. Umat Islam akan menjadi ketua yang dihormati oleh musuhnya. Pada masa yang sama umat Islam akan bergerak pantas dalam memajukan diri dan negara. Hal ini kerana syaitan sudah malas menggoda manusia.
Negara kita sudah 56 tahun merdeka, dan negara sedang menuju kemuncak jaya. Di kesempatan ini kalau umat Islam benar-benar bangun berjihad dalam tiga perkara di atas sudah tentu pembangunan yang kita kecapi kini menepati kehendak Islam. Ketika itu bukan sahaja orang Islam dapat menguasai ekonomi tetapi orang bukan Islam pun akan turut mendapat manfaatnya.
Tetapi realiti yang dapat kita lihat hari ini, kebanyakan umat Islam tidak benar-benar berjihad melawan kehendak nafsunya. Kesannya, sesama umat Islam saling bercakaran walaupun dalam soal yang remeh temeh. Manakala sesama umat Islam yang berniaga misalnya sering berdengkian. Oleh sebab itu ekonomi umat Islam masih di tahap yang lemah.
Selain itu umat Islam juga tidak berjihad dengan betul dalam melawan orang kafir, malah orang Islam sendiri menjadi seperti orang kafir mengabaikan ajaran Islam. Kesannya, kita tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada orang kafir sedangkan kita sentiada bersama dengan mereka. Meskinpun kita boleh bergaul dengan mereka, namun mereka masih curiga terhadap Islam dan kita juga curiga terhadap mereka.
Saya percaya kalau umat Islam boleh berperanan seperti yang dijelaskan di atas, umat Islam boleh menguasai dunia ini dengan bantuan dan kerjasama orang kafir yang telah kita jinakkan. Inilah yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan khalifah selepasnya.
Menyedari keadaan ini umat perlu berazam untuk berjihad mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Tetapi jika umat Islam tidak mahu menyahut seruan jihad ini nescaya gelaplah masa depan umat Islam dan umatnya. Firman Allah SAW yang bermaksud:
“Jika kamu tidak berangkat untuk berjihad nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, sedangkan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah at-Taubah : 39)
Maka sebelum kita dipanggil Allah buatlah sesuatu demi menyelamatkan Islam dan umatnya di dunia ini. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  

"Sesiapa yang mati dan tidak berjihad dan tidak berniat di dalam hatinya untuk berjihad maka dia akan mati dalam keadaan mati jahiliyyah."