25 Jun 2010

Solusi isu 21 ajak pembaca melebur takbur


Melebur Takbur, itulah paparan Solusi isu 21 yang patut anda memiliknya. Tempahlah awal sebelum kehabisan stok. Kupasan kali ini amat penting dibaca dan dikongsi bersama. Semoga takbur yang bersarang dalam hati kita perlu dididik agar iman dapat mengatasinya.

Kita perlu sedar runtuhnya kerana Islam dulu kerana sikap takbur pemimpinnya, takbur rakyatnya. Runtuhnya bangsa juga kerana takburnya bangsa tersebut. Runtuhnya tamaddun bangsa juga kerana takbur penguasanya. Bahkan runtuhnya sesebuah syarikat gergasi kerana takbur pemilik atau lembaga pengarahnya.

Kita tentu tidak mahu begitu, jadi leburkan takbur dalam diri kita. Bacalah Solusi kerana banyak panduan yang boleh diambil bagi meleburkan takbur yang sentiasa mencabar keperibadian kita. Semakin takbur semakin orang lain membenci kita, apatah lagi Allah dan Rasul-Nya.

24 Jun 2010

Abaikan Syariat kerana salah faham tuntutan hukum

Ahmad Baei Jaafar

Dalam Islam hanya ada lima tuntutan hukum, namun ramai yang memahaminya secara salah lalu mengabaikan tuntutan sebenar. Kesannya hukum Allah tidak terlaksana secara sempurna. Masih ada lompong di mana-mana hingga kelihatan tidak cantik. Oleh sebab pengabaian ini jugalah barangkali umat Islam tidak menjadi maju dan tidak membangun zahir dan batinnya.
Jadi, pada kali ini mari kita amati lima hukum itu dan cuba menyuluh ketidaksempurnaan itu demi memartabatkan ketamadunan umat Islam pada masa hadapan.
Lima hukum itu ialah:
1. Wajib; sesuatu amalan yang dituntut melakukannya. Sesiapa yang mengamalkannya akan diberi pahala dan sebaliknya mereka yang mengabaikannya dikira berdosa dan akan diseksa. Hakikat perintah wajib ini adalah satu paksaan daripada Allah.
2. Sunat; sesuatu amalan yang juga dituntut melakukannya. Sesiapa yang melakukannya diberi pahala, tetapi sesiapa yang mengabaikannya tidak dikira berdosa dan tidak diseksa. Hakikatnya perintah ini sebagai satu galakan dan rangsangan.
3. Haram; sesuatu amalan yang dilarang melakukannya. Sesiapa yang melakukan larangan itu akan dikira berdosa dan akan diseksa. Sesiapa yang tidak melakukan larangan itu dikira sebagai melakukan kebaikan dan beri pahala. Hakikatnya umat Islam dipaksa meninggalkan larangan itu.
4. Makruh; sesuatu amalan yang juga dilarang melakukannya. Sesiapa yang melakukan larangan itu tidak dikira berdosa dan tidak diseksa tetapi sesiapa yang meninggalkan larangan itu dikira telah melakukan kebajikan dan diberi pahala. Hakikatnya umat Islam digalakkan supaya meninggalkan amalan itu.
5. Harus; sesuatu amalan sebagai aktiviti harian manusia yang lazimnya baik dan tidak bercanggah dengan prinsip hukum diberi kebebasan untuk melakukannya. Mereka yang melakukannya kerana meniru cara Rasulullah akan diberi pahala meniru. Jika tidak, maka amalan itu dikira amalan biasa yang tidak dinilai pahala. Hakikatnya terpulanglah kepada manusia sama ada hendak buat atau tidak.
Tuntutan yang diabaikan
Melihat kepada susunan lima hukum itu, rasanya ramai yang sudah tahu, tetapi saya percaya ramai lagi yang tidak faham di sudut prinsip dan konsepnya. Kalau mereka faham masakan masih ramai umat Islam yang mengabaikannya malah mempertikaikannya. Jadi, perkara ini perlu dilihat semula.
Wajib, berapa ramai yang menyedari bahawa Allah memaksa kita untuk melakukannya. Siapa yang sedar Allah paksa kita melakukan solat, puasa, haji dan keluarkan zakat? Siapa yang sedar bahawa Allah paksa kita menutup aurat? Siapa yang sedar bahawa Allah paksa kita berlaku adil dalam mentadbir dan menghukum?
Ramai yang tahu hukum wajib, buat dapat pahala dan tinggalkan berdosa. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa Allah memaksanya untuk melakukan semua amalan itu. Mereka langsung tidak fikir paksaan itu apatah lagi mereka yang merujuk kepada Ayat, “Tiada paksaan dalam beragama.” Lalu dengan ayat itu mereka berhujah dengan mengatakan Islam tidak memaksa umatnya dalam urusan melaksanakan hukum agama.
Padahal ayat itu merujuk kepada urusan dakwah, mengajak umat manusia kepada Islam, mereka tidak boleh dipaksa untuk menerima Islam. Tugas pendakwah hanya mendakwahkan mereka kepada Islam, tapi urusan hendak terima atau tidak terserah kepada mereka. Jika ada jodoh, Allah yang akan beri hidayah kepada mereka.
Apa bukti paksa? Buat dapat pahala dan tidak buat dikira berdosa dan diberikan neraka, tentulah tuntutan yang keras. Tidakkah ini paksaan. Kenapa, Allah tidak layak paksa kita? Allah wajar paksa kita kerana Allah tahu manusia ini kalau tidak diberi tekanan, dia akan abaikan begitu saja. Sedarkah kita, Allah paksa untuk kebaikan manusia itu sendiri. Kalau manusia tahu kedudukan ini wajarkah manusia mengabaikan perintah wajib ini?
Dalam pejabat ada peraturan wajib masuk awal waktu, mereka wajib menggunakan kad perakam waktu. Mereka yang lewat datang akan bertanda mereka dan jika banyak kali akan diambil tindakan, tidakkah itu satu paksaan. Lalu semua pekerja mematuhinya. Kalau terlewat datang, mereka diwajibkan menjawab dengan memberi alasan yang munasabah. Kalau peraturan pejabat kita boleh patuhi mengapa peraturan Allah kita boleh abaikan? Jawabnya kerana kita tidak rasa dipaksa.
Saya percaya kalau ramai umat Islam yang menyedari hakikat ini, sudah pasti, masjid akan penuh setiap waktu, setiap orang baik lelaki mahupun wanita akan menutup aurat, dan setiap orang Islam akan mengeluarkan zakat. Kalau semua ini berlaku, tiada lagi orang yang hendak buat dosa, tiada lagi wanita yang akan dirogol dan tiada lagi orang miskin yang terbiar dalam negara ini.
Sebenarnya perintah wajib ini tidak banyak, jumlahnya boleh dibilangkan dengan jari sahaja. Jadi, carilah sendiri mana perintah wajib itu dan segera amalkan bersungguh-sungguh. Biarlah kita lakukan itu semua dengan suka hati sebelum Allah paksa kita dengan ancaman dimasukkan ke dalam neraka.
Cukup hingga setakat ini dahulu huraiannya, pada masa akan datang kita akan kupaskan pula hukum yang berbaki. Wallahuaklam.

17 Jun 2010

Tamakninah yang selalu diabaikan

Ahmad Baei Jaafar

Solat yang berkualiti itulah solat yang diterima oleh Allah. Apakah yang menjadikan solat itu berkualiti? Inilah persoalan yang seharusnya difikirkan oleh umat Islam sebelum melaksanakan solat. Mengapa? Tanpa kualitilah yang menyebabkan umat Islam hari terus terjebak dengan dosa walaupun melakukan solat.

Kualiti pada solat dinilai pada tiga perkara:

1. Hatinya ketika niat solat.

Seseorang yang niatnya untuk menghadap Allah dengan hati yang ikhlas itulah niat yang berkualiti. Di sini ada juga yang berniat solat dalam keadaan terpaksa, malu alah dengan orang lain. Jadi, bersihkan hati dengan penuh bersedia untuk solat.

2. Perbuatan solatnya mengikut rukunnya.

Rukun solat sebanyak 13 itu perlu dilakukan dengan sebaiknya. Kualiti solat bergantung kepada perbuatan berdiri, rukuk dan sujud juga tamakninah. Semua itu telah diajarkan oleh Rasulullah melalui contoh solat Baginda. Sabdanya, “Solatlah seperti mana kamu melihat aku solat.”

3. Bacaan pada setiap pergerakan solatnya.

Bacaan dalam solat sama ada wajib atau sunat perlu dibaca dengan baik. Sebutannya mesti betul dan ada maknanya. Memang ada sesetengah orang yang oleh sebab telah menghafalnya bertahun-tahun, tersilap sebutannya. Kalau dia mahu membaca buku doa semula, tentu akan bertemu kesilapannya dan boleh membetulkan kesilapan itu. Ini jugalah yang menentukan kualiti solat.

Dalam ruang yang singkat ini saya ingin menumpukan kepada tamakninah. Oleh sebab tamakninah sebahagian daripada rukun solat maka pengabaiannya boleh membatalkan solat. Hal ini sering diabaikan kerana kurang pendedahan semasa belajar. Kesannya, ramai yang tidak sedar bahawa solatnya tidak sah.

Di sini disenaraikan tempat yang perlu tamakninah dan kesilapan yang sering terjadi.

1. Rukuk, sewaktu kedudukan tulang belakang sudah sama dan kedua tangan memegang kepala lutut, sepatutnya hentikan pergerakan kasar seketika. Itulah kadar tamakninah yang barangkali sempat dia membaca subhanallah.

2. Iktidal, pergerakan bermula daripada keadaan rukuk kembali menegak dan meluruskan semula tulang belakang seperti dia berdiri sebelum ini. Sempurna berdiri dahulu dan itulah kadar tamakninah.

3. Sujud, sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tangan, dua lutut, dua kaki dan satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang gerakan seketika. Keadaan tenang itulah kadar tamakninah.

4. Sujud kali kedua, sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tangan, dua lutut, dua kaki dan satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang gerakan seketika. Keadaan itulah kadar tamakninah.

5. Duduk antara dua sujud, sewaktu duduk sambil membaca doa, “rabbighfirli...” tidak mungkin berlaku pergerakan anggota besar, apatah lagi tangan diletakkan di atas paha. Keadaan setenang itulah tamakninah yang harus dipatuhi.

Tamakninah dalam bahasa mudah bererti bertenang. Ibarat anda memandu sebuah kenderaan, maka pada waktu di persimpangan wajar hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah. Begitulah seharusnya berlaku dalam solat.

Berikut adalah tempat yang sering diabaikan tamakninah:

1. Iktidal, terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus seperti sebelumnya, dia telah turun untuk sujud. Solat ini tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah.

2. Iktidal, terdapat juga sesetengah orang sama ada orang muda mahupun orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, tangannya diayunkan berkali-kali dan belum sempat tangan itu berhenti, dia telah turun untuk sujud. Solat ini juga tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah.

3. Sujud, waktu sujud dua kakinya dibiarkan bergerak-gerak dan ada yang mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam keadaan ini tidak sempurna kerana syarat sah sujud bila tujuh anggota sujud mencecah ke lantai. Pada masa yang sama solat itu sah kerana tidak berlaku tamakninah.

Selain itu, sewaktu kita bangun daripada sujud kedua kepada rukun berdiri tegak untuk rakaat seterusnya tidak ada tamakninah. Namun untuk lebih bersopan kita disunatkan duduk sebentar yang perbuatan itu diberi nama duduk istirahat. Duduk yang dimaksudkan ini bukan tetap seperti yang dilakukan ketika duduk antara dua sujud tetapi sekadar berhenti. Ibarat anda memandu kereta, pada persimpangan yang tidak sebuk anda membrekkan kenderaan tetapi tayarnya masih bergerak. Wallahuaklam.