27 September 2009

Tip mudah rumah tangga bahagia

Bagi merealisasikan kehidupan rumah tangga mengikut kehendak Allah disenaraikan di sini beberapa tip yang boleh dipraktikkan.

1. Niat suami hendak berkahwin mesti jelas iaitu untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin dapat secara halal melainkan dengan kahwin. Suami berkahwin bukan supaya dilayan makan dan minum, bukan untuk mudah disediakan pakaian, membasuh pakaian, dan bukan juga untuk dijadikan teman shopping. Semua itu boleh dilakukan walaupun lelaki itu hidup membujang. Tetapi yang diperlukan ialah keharusan menyentuh kulit wanita.
2. Niat isteri hendak berkahwin kerana untuk mendapat pembelaan seseorang lelaki yang bergelar suami. Dengan niat itu dia akan dibela oleh suami, dan suami akan membelanya sehingga ke akhir hayat.
3. Suami melaksanakan tanggungjawab terhadap isterinya dalam semua keadaan. Ini mendorong dia bekerja untuk membolehkan dia mendapat rezeki yang halal. Walaupun isteri orang kaya, dia akan bekerja tungkus lumus untuk isterinya.
4. Isteri memastikan dia akan berada di sisi suaminya pada waktu tidur malam walaupun dalam bulan Ramadhan. Hal ini kerana suami mahu bermanja dengan isteri dan mengharapkan dia dimanjakan. Jika perkara ini boleh dilakukan sehingga salah seorang meninggal dunia pasti terbentuk keluarga bahagia.
5. Pasangan suami isteri hendaklah saling bersangka baik dan member kepercayaan dalam apa yang diamanahkan.
6. Suami wajib mentaati ibu bapanya, dan menghormati ibu bapa mentua. Sebaliknya isteri perlu menghormati ibu bapanya dan ibu bapa mentuanya. Dengan sikap ini, tidak akan memberi peluang kepada mentua suka salahkan menantu.
7. Anak-anak suami perlu diambil perhatian oleh isteri (apatah lagi ibu anak itu sendiri), mereka perlu dilatih adab dan sopan bagaimana menghormati orang tua dan sebagainya. Anak-anak itu perlu diingatkan supaya mentaati ibu dan bapa.
8. Suami atau bapa anak-anak itu perlu sesekali mendidik dengan penuh kasih sayang.

Percayalah kalau semua umat Islam boleh membentuk rumah tangga berdasarkan panduan di atas, kebahagiaan mereka pasti berpanjangan. Bukan sekadar hingga ke anak cucu tetapi hingga ke dalam syurga.

Selain itu bagi mereka yang berpoligami, ada tip tambahan untuk mereka, antaranya:

1. Suami mesti berterus terang dengan isteri.
2. Suami jangan membiasakan berbohong isteri sama ada tua atau muda.
3. Suami mesti bersikap adil terhadap isteri
4. Isteri wajib menghormati suami dan memberi kepercayaan kepadanya.
5. Isteri tidak boleh mengongkong suami sehingga suami tidak boleh bersikap adil kepada isteri-isterinya.
6. Isteri semasa ketiadaan suami di rumah perlu berdoa kebaikan dan keselamatan suami.

Semua paparan ini adalah hasil kajian dan pengalaman mereka yang berpoligami.

24 September 2009

Kursus Pra Perkahwinan Sebagai Asas Bina Keluarga

Ahmad Baei Jaafar

Keruntuhan rumah tangga yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini amat membimbangkan banyak pihak. Apa tidaknya, dalam usia perkahwinan yang baru berusia seminggu sudah boleh berlaku penceraian. Walaupun jumlahnya tidak begitu ramai namun trend itu cukup membimbangkan generasi yang baharu hendak berkahwin.

Lazimnya pada musim ini, perceraian yang kerap berlaku adalah dalam kalangan pasangan yang sudah mempunyai dua tiga orang anak. Puncanya mungkin pelbagai mengikut keadaan seseorang. Cuma dalam kebanyakan kes yang dapat dikesan, mereka yang terlibati ut cuai dalam soal solat, cuai dalam hubungan dengan Allah.

Berdasarkan pengalaman sesebuah perkahwinan, apabila seseorang itu longgar hubungannya dengan Allah, pasti hubungannya dengan manusia juga akan renggang. Apabila hubungan itu menjadi retak, maka ikatan perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan lalu terpaksa ditamatkan di mahkamah Syariah.

Kursus Pra Perkahwinan
Di manakah silapnya perkahwinan itu sehingga mudah berlaku penceraian berbanding perkahwinan yang berlaku pada zaman dahulu? Adakah kerana kursus pra perkahwinan tidak berkesan?

Memang banyak pihak yang mempertikaikan keberkesanan kursus pra perkahwinan. Katanya, modul kursus itu gagal mendidik peserta menjadi suami isteri yang bermutu. Kursus yang dianjurkan hanya sebagai satu bisnes bukan bertujuan mendidik bakal suami isteri supaya memahami dan menjiwai hidup berkeluarga.

Dakwaan itu mungkin satu andaian tetapi sebenarnya kursus dua hari yang diperuntukkan itu bukanlah bertujuan mendidik perserta. Kursus dua hari memang tidak cukup untuk menjamin sesuatu pasangan itu boleh hidup bahagian sehingga ke akhir hayat. Apatah lagi kurikulum kursus itu hanya sekadar untuk mengulang kaji ilmu fardu ain yang asas iaitu tauhid, dan fiqah dalam persoalan ibadah.

Tidak dinafikan dalam kursus itu ada perbincangan mengenai hukum munakahat. Semua peserta akan diberi pendedahan beberapa masalah rumah tangga dan cara penyelesaian. Perbincangannya mungkin lebih serius jika ada persoalan daripada peserta. Namun kebanyakan kursus selama dua hari itu berjalan dalam bentuk satu hala sahaja. Penceramah memang serius mahu memberi penjelasan sesuatu hukum, tetapi berapa ramai perserta yang mengambil bahagian bertanya balas? Malah sesetengah peserta tidak membuat catatan nota sebaliknya hanya bergantung kepada kertas kerja yang disediakan.

Walaupun terdapat peserta yang mengambil perhatian serius tetapi terdapat sesetengah peserta yang kelihatan “mengangguk” waktu mendengar kuliah, entah faham entah tertidur - tidak tahulah. Tapi yang jelas, selepas penceramah menjelaskan beberapa hukum, tidak diambil perduli. Walaupun penceramah mengatakan, “dalam tempoh pertunangan, mereka tidak boleh bertempuk tampar” tetapi selepas berehat seketika itu mereka yang datang berpasangan itu boleh makan berdua-duaan dan berpegang tangan.

Niat Peserta
Selain niat penganjur kursus untuk bisnes, kehadiran peserta ke dalam kursus dua hari itu juga bukanlah serius untuk menuntut ilmu, bukan niat mereka untuk menambah ilmu. Sebaliknya niat mereka hanya satu iaitu, hendak dapat sijil kursus supaya dengan itu mereka boleh berkahwin. Kalau begitulah niat mereka, bagaimanakah kursus itu boleh memberi manfaat kepada mereka.

Berdasarkan itu,tentulah tidak adil kita menyalahkan modul kursus itu sebagai tidak berkesan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian semula dan diberi penambahbaikkan. Antara yang perlu dilihat semula ialah:

1. Persoalan Munakahat dan permasalahan rumah tangga perlu dipanjangkan.
2. Pengkursus perlu kreatif dalam menyampaikan mesej tersebut.
3. Sesi dialog atau soal jawab dua hala perlu diwujudkan.
4. Sesi peperiksaan perlu diwujudkan bagi memberi tekanan kepada peserta supaya serius dalam kursus tersebut.
5. Keputusan disertakan bersama sijil kursus tersebut.

Kursus selama dua hari adalah munasabah dan mampu memberi panduan pada bakal pengantin, jika lima perkara ini diberi penekanan semula. Walau bagaimanapun untuk lebih memantapkan lagi pengetahuan peserta, mereka perlu menghadiri satu hari lagi pada minggu yang lain untuk peperiksaan bertulis dan lisan. Ini bermakna dalam tempoh itu mereka boleh mengulang kaji ilmu yang dipelajari sebelum peperiksaan itu.

Saya percaya kalau sesi temu duga atau peperiksaan itu dilakukan, semua peserta akan mengambil perhatian kepada isi kursus itu. Ketika itu semua peserta akan mengambil berat semua perbincangan dalam kursus tersebut. Dengan cara itu mereka akan benar-benar memahami hukum dan masalah rumah tangga dan jalan penyelesaiannya.

Sebenarnya belum wujud kursus seperti sekarang ini, pernah diwajibkan kepada semua pasangan yang hendak berkahwin untuk menghadiri sesi temu duga di hadapan pegawai pejabat agama. Tetapi sesi itu dihentikan kerana dianggap menyusahkan semua pihak yang terbabit. Hal ini kerana semasa temuduga perkahwinan, perserta kurang bersedia kecuali yang ada membaca buku agama.

Pada masa itu, mereka yang tiada asas agama, minat untuk membaca buku agama amat kurang. Kesannya mereka gagal dalam temuduga tersebut. Maka untuk mendapatkan kebenaran nikah, mereka perlu sekurang-kurang dua kali temuduga. Atas rasa simpati, temu duga itu dihapuskan.

Saya percaya kalau kursus itu dapat dibaiki isi kandungan kuliah dan ilmu yang diajar sepanjang dua hari, cukup untuk memberi ilmu asas kepada mereka untuk lulus peperiksaan kemudiannya. Untuk itu, pengajian fardu ain tidak perlu mengambil masa yang panjang. Sebaliknya dibanyakkan contoh kes rumah tangga dan jalan penyelesaiannya.

Selain itu, dalam kursus itu juga perlu dibentangkan beberapa tip-tip praktikal yang boleh membawa kebahagiaan rumah tangga. Peserta kursus pasti boleh mengingati setiap contoh kes yang diberi pada masa itu kerana ia amat dekat di hati mereka. Pada masa yang sama contoh kes tersebut boleh menjadi pengajaran bagi mengelak daripada berlaku krisis dalam rumah tangga mereka.

Percayalah kalau peserta kursus itu mempunyai satu sijil menghadiri kursus dan satu sijil lulus peperiksaan, mereka adalah bakal pasangan yang bahagia sehingga ke dalam syurga. Jadi, dua sijil itu penting untuk membolehkan mereka berkahwin. Walau bagaimanapun bagi mereka yang gagal dalam peperiksaan masih boleh dibenarkan berkahwin setelah menghadiri sesi ujian lisan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah setempat.

17 September 2009

Salam Idulfitri, Maaf Zahir dan Batin

Terlalu cepat masa berlalu, Ramadhan semakin penghujung dan semakin mahu meninggalkan umat Islam. Walaupun kita bersedih untuk berpisah dengannya, ia tetap akan pergi meninggalkan kita. Beruntunglah mereka yang boleh berjaya memanfaatkan Ramadhan siang dan malamnya. Rugilah mereka yang gagal memanfaatkannya dengan pelbagai alasan kerana tiada jaminan kita boleh bertemu lagi Ramadhan akan datang.

Sijil Taqwa yang akan Allah berikan kepada umat Islam, tentu terhad. Yang pasti mereka yang tahu dan mahu memanfaatkan Ramadhan. Sijil Taqwa diberikan kepada mereka yang berjaya menempuh segala ujian sepanjang bulan Ramadhan. Sijil Taqwa sudah pasti tidak akan diberi kepada mereka yang terus mengekalkan dosa basah, dosa kering walaupun pada zahir mereka berpuasa. Dosa mengumpat, dosa fitnah, dosa menyebarkannya, dan dosa melaga-lagakan satu golongan dengan golongan lain.

Walau apapun kita tetap mahu merayakan Idulfitri (sebutan yang betul), mahu bergembira dan bersuka ria. Kita sudah diharamkan berpuasa pada 1 Syawal. Jadi, kita perlu menyambut hari raya walaupun dalam keadaan biasa. Kita perlu beraya walaupun hakikatnya kita belum dianggap berjaya oleh Allah. Bertaubatlah dan berdoalah semoga kita terus dirahmatinya. Pada masa yang sama ucaplah tahniah kepada rakan yang lain dengan anggapan mereka berjaya. Nanti mereka juga akan lakukan terhadap anda. Semoga Allah terima.

Di kesempatan ini saya mengucapkan Salam Idulfitri, maaf zahir dan batin, semoga setiap tahun anda dalam keadaan kebaikan. Bagi yang akan balik ke kampung, berhati-hati di jalan raya dan semasa beraya.

Terima kasih daun keladi,

Untuk rakan dan teman yang baik hati,

Sepanjang perjalanan pulang jagalah diri,

Supaya terhasil hari raya idulfitri yang dinanti.

10 September 2009

Muhasabah puasa kita sebelum berakhir

Ahmad Baei Jaafar

Sehingga ke hari ini kita sudah melepasi separuh Ramadhan. Tetapi siapa antara kita yang telah membuat penilaian semula sama ada ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan ini betul-betul menepati kehendak Allah.

Rasulullah mahu umatnya melakukan puasa dengan penuh rasa keimanan. Bukan puasa kerana terpaksa, apatah lagi kerana takut orang kata. Puasa kerana taat kepada Allah, kerana mahu menjadi orang yang bertakwa.

Apakah kita berpuasa atas dasar keimanan kepada Allah? Tahniahlah kepada mereka yang Berjaya melakukan ibadah dalam bulan Ramadhan ini dengan penuh rasa keimanan. Sabda Rasulullah
من صام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر الله له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Siapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikian jaminan Rasulullah kepada umat Islam. Tetapi bagaimana mereka yang berpuasa kerana terpaksa dan kerana takut orang kata dan sebagainya? Memang ada sebuah hadis yang antara lain bermaksud, berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa ganjaran kecuali lapar dahaga (mungkin dapat pahala berlapar saja).

Biasanya puasa golongan ini tidak menginsafkan malah puasa yang akan berakhir itu tanpa dinilai semula. Kalau boleh lebih cepat habis puasa lagi bagus. Puasa yang dilakukan sekadar menunaikan perintah agama selama sebulan, tetapi yang paling penting ialah sambutan Aidilfitri di penghujungnya.

Oleh sebab itulah semangat umat Islam berkobar-kobar pada awal Ramadhan tetapi semakin berkurangan pada hari-hari berikutnya. Hal ini kerana ibadah yang dilakukan tidak dirasakan faedahnya kepada diri, pahalanya pun tidak nampak, tapi sebaliknya penat dan membosankan.

Di sinilah bezanya puasa umat Islam akhir zaman dengan puasa para sahabat dan tabiin. Puasa mereka bersungguh-sungguh malah semakin penghujung dilipatgandakan beribadah. Hal ini kerana peluang untuk beribadah sebegini sudah semakan tiada. Mereka bimbang kalau tidak sempat untuk sampai ke Ramadhan akan datang.

Sebenarnya kebanyakan umat Islam tidak benar-benar diberi kefahaman tentang maksud hadis di atas iaitu “siapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini.”

Hadis daripada Abu Hurairah itu menyebut dua perkara penting iaitu “Imanan” dan “Ihtisaban” sebagai syarat Allah mengampunkan dosa mereka yang terdahulu. Namun pengertiannya masih kabur pada orang kebanyakan.

Puasa “imanan” diterjemahkan sebagai puasa dengan penuh rasa keimanan. Tetapi bagaimana untuk mencapai puasa itu? Inilah yang belum dijelaskan secara serius.

Umat Islam seharusnya berpuasa kerana patuh perintah Allah, percaya perintah itu ada hikmahnya kepada manusia, dan sedar bahawa Allah maha mengetahui segalanya tentang makhluknya lalu tidak mampu diingkari. Berapa ramai umat Islam yang dapat rasakan keimanan begini?

Puasa “ihtisaban” biasanya diterjemahkan sebagai mengharapkan pahala. Terjemahan ini mengajar umat Islam supaya tidak ikhlas dalam melakukan puasa. Setiap kali berpuasa, diharapkan pahala, namun pahala tidak nampak di hadapan mata. Itulah sebabnya mereka semakin hari semakin berkurangan menghayati bulan Ramadhan.

Sebenarnya ihtisaban harus difahami sebagai rasa diawasi oleh Allah. Apabila umat Islam melakukan puasa dalam keadaan sedar bahawa perbuatannya diawasi oleh Allah, pasti mereka akan lakukan dengan sebaiknya.

Jadi, wajarlah mereka diberi pengampunan dosa yang lalu jika puasa mereka benar-benar kerana kepatuhan kepada Allah dan rasa diawasi oleh-Nya. Rasa keinsafan ini yang menyebabkan Allah mahu melupakan kesalahan mereka yang lalu.

Selain itu, hadis ini adalah merujuk kepada puasa pada siang hari, maka tidak termasuk amalan lain pada malamnya. Terdapat hadis lain yang khusus untuk malamnya iaitu sabda Rasulullah s.a.w.
من قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Siapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini merujuk kepada qiamullail yang bermula daripada solat Tarawih, witir, tahajud, dan sebagainya. Maka sesiapa yang dapat melakukan semua solat itu kerana patuh dan taat kepada Allah dan dapat merasai bahawa mereka diawasi sepanjang malam, sudah tentu mereka layak diberi keampunan.
Tidak cukup setakat itu, Rasulullah turut bersabda:
من اعتكف إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه
ومن اعتكف فلا يحرمن الكلام

Maksudnya: “Siapa yang beriktikaf dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini dan siapa yang beriktikaf tidaklah diharamkan berkata-kata.” (Riwayat Addailamy).

Hadis ini melengkapkan ibadah Ramadhan sepanjang bulan. Tawaran untuk orang yang beriktikaf di dalam masjid tidak menentukan masa sama ada malam atau siang. Maka setiap kali mereka masuk ke dalam masjid boleh diniatkan iktikaf dan membatalkannya setelah hendak keluar masjid.

Bayangkan berapa lama seseorang itu boleh beriktikaf kalau dia masuk untuk solat maghrib dan mengekalkannya sehingga selesai witir. Apatah lagi kalau dia terus melakukan tadarus sehingga tengah malam. Jika iktikafnya kerana perintah Allah dan merasai diawasi Allah sudah tentu dia layak mendapat pengampunan Allah.

Malangnya, umat Islam tidak pernah diberi penjelasan seumpama ini hingga menyebabkan setiap kali jemaah memasuki masjid, terasa bosan dan segera hendak pulang. Solat tarawih dilakukan hanya 8 rakaat dan segera pulang. Apakah mereka berpeluang mendapat pengampunan Allah?

Jadi, sebelum berakhir Ramadhan ini, marilah kita baiki ibadah kita berdasarkan hadis di atas. Semoga kita beroleh pengampunan Allah.

01 September 2009

Orang UMNO pun nak masuk syurga

Ahmad Baei Jaafar

Saya rasa kagum dengan pemimpin UMNO kerana cukup sensitif dengan isu tidak masuk syurga. Mereka rasa tercabar kalau dikatakan segala kerja mereka tentang Islam tidak membolehkan mereka masuk syurga. Sudah banyak kerja kebajikan yang dilakukan, takkan tidak dinilai oleh Allah?

Sebenarnya rasa itu adalah rasa orang Melayu keseluruhannya. Bayangkan kalau kita kata kepada seorang Melayu, “kamu ni hamba duit” dia cukup marah walaupun sebenarnya mereka memang cinta dan terpengaruh dengan duit. Malah mereka akan lebih marah kalau kita kata kepada seseorang, “kamu bukan Islam” walaupun dia tidak pernah melakukan solat.

Tapi kadang-kadang sikap orang Melayu seperti itu perlu dicabar supaya mereka sedar dan kembali ke pangkal jalan. Orang Melayu yang cinta dunia perlu disedarkan bahawa sikapnya itu salah. Kalau dia mahu menerima teguran itu maka bolehlah kita mula tunjukkan kepadanya jalan yang benar.

Begitu juga orang Melayu yang tidak mahu melakukan solat, elok juga sesekali dikertak bahawa mereka akan dicampakkan ke dalam neraka. Kalau dia boleh insaf dengan cara itu, barulah boleh dipujuk supaya melakukan solat. Semua itu perlu dilakukan secara berhikmah dan penuh strategi.

Merujuk kepada kes di atas cuba kita halusi apa yang dikatakan Tok Guru Nik Aziz, “ajaran Islam seperti yang dibawa Umno tidak boleh membawa penyokongnya masuk syurga.”

Berdasarkan kenyataan itu seharus apa yang mereka lakukan selama ini dinilai semula oleh pemimpin UMNO dengan cermat, apakah ajaran Islam yang dibawa mereka selama ini betul atau tidak. Sepatutnya ulama UMNO kena bercakap dan memberi penjelasan bagi menafikannya. Tetapi sehingga ke hari ini tidak ada ulama mereka yang bercakap kecuali Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Itupun sekadar menyebut keputusan yang pernah dibuat pada tahun 2001.

Sebagai contoh boleh kita lihat ucapan dan tindakan mereka yang boleh dikaitkan dengan ajaran Islam UMNO:

1. 1. Hukum sebat atas kesalahan minum arak tidak boleh laksanakan kerana tidak ada pakar rotan bagi kesalahan jenayah syariah. Ucapan Menteri Dalam Negeri itu kalau dianggap ajaran Islam UMNO sudah tentu salah kerana hukum dan undang-undang sudah diluluskan, maka pakar perotan juga perlu diwujudkan serentak. Jadi, alasan itu ternyata bercanggah.

2. 2. Hukuman sebat itu perlu dikaji semula termasuk boleh diberi kemaafan kerana dia sudah insaf. Pandangan pemimpin UMNO ini adalah dikira ajaran Islam UMNO, sedangkan dalam Islam hukum atas kesalahan minum arak tidak boleh dimaafkan oleh manusia.

3. 3. Ini soal politik. Bila politik dicampur aduk dengan agama... bahaya. Kerana nak menang pilihan raya, sanggup gadai agama. Ucapan TPM ini menggambarkan ajaran Islam UMNO, agama dan politik terpisah, tidak boleh masuk campur. Ajaran ini bertentangan dengan Islam kerana politik sebahagian daripada Islam.

Sekadar menyebut tiga contoh yang terbaru ini, wajarkan Allah menilai ajaran mereka untuk dimasukkan ke dalam syurga? Jadi, ulama UMNO perlu menilai semula semua ajaran Islam yang masih dipegang sehingga ke hari ini supaya ia bersesuai dengan Islam sebenar.

Kalau mereka tidak mahu menilai semula dan mengekalkan ajaran itu, saya bimbang akan ramai lagi orang UMNO yang sedar kesilapan itu akan keluar dan masuk parti PAS. Hal ini kerana orang Melayu memang sinsitif dengan syurga dan neraka. Mereka sudah pasti tidak mahu masuk neraka.

Kalau orang UMNO bertindak begitu, tentu lebih mudah kepada penyokong yang terdiri daripada orang atas pagar, pegawai kerajaan (tidak jadi ahli) dan sebagai untuk bertindak menolak UMNO. Jadi dalam hal ini sepatutnya pemimpin UMNO berterima kasih kepada Datuk Nik Aziz kerana memberi terguran berguna.