07 September 2017

Nasihat dalam konteks agama Islam

Ahmad Baei Jaafar

Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Daary r.a, bahwasanya Nabi SAW bersabda, “Agama itu adalah nasihat”. Kami pun bertanya, “untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah kerana Allah, kerana kitab-Nya, kerana Rasul-Nya, kerana pemerintah kaum muslimin dan kerana rakyatnya (kaum muslimin)”. (HR. Muslim)
Dulu sewaktu belajar hadis 40, saya sudah baca hadis ini tetapi saya tidak faham maksud di sebalik hadis ini. Mungkin cara terjemahan hadis tersebut yang membuatkan saya sukar memahaminya. Biasanya diterjemahkan, kepada siapa; hak siapa, ada yang terjemahkan untuk siapa. Mesejnya difahami sebagai memberi nasihat kepada seseorang. Tetapi bagaimana bentuk nasihat itu?
Sebelum ini seorang kawan seperjuangan saya (kini sudah kembali ke rahmatullah), pernah meminta saya menasihatinya setiap kali bertemu dengannya atau sekurang-kurangnya sebelum kami tidur. Saya ketika itu tidak tahu nak nasihat apa-apa kepadanya, sebab dia memang sudah dilihat sempurna. Malah dia amat merendah diri.
Tetapi baru-baru ini saya berada dalam satu majlis ilmu, tok guru itu berkata; "Sahabat yang baik, dia sering menasihati sahabatnya setiap kali terlihat kekurangannya. Tetapi kalau dia sekadar kawan, apabila kawannya buat kejahatan atau kesilapan, dia akan abaikan malah kadang-kadang memujinya."
Dengan keterangan tok guru itu, saya sudah mula faham sedikit maksud hadis di atas. Maknanya sebagai orang islam kita perlu nasihatkan umat Islam yang lain setiap kali dia kelihatan berbuat salah. Tetapi nasihat itu hendaklah kerana perintah Allah. Dan apa yang hendak dinasihatkan itu hendak berdasarkan kehendak Al-Quran. Kaedah menyampaikan nasihat itu pula hendaklah mengikut gaya Rasulullah. Kita juga hendaklah menasihatkan pemimpin demi memartabatkan pemerintahan dalam menyelamatkan hukum Islam dan nasihat juga demi membela maruah rakyat.
Akan tetapi apabila saya meneliti semula nas asal hadis tersebut:
عن أبي رقية تميم بن أوس الداري رضي الله عنه, أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: «الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ» قلنا: لمن؟ قال: «لله, ولكتابه, ولرسوله, لأئمة المسلمين وعامتهم». رواه مسلم
Saya dapati nasihat yang dimaksudkan bukanlah nasihat seperti dalam pemahaman orang Melayu. Merujuk kamus Arab, nasihat adalah suci bersih; iaitu seruan ke arah kebaikan dan pengislahan, dan juga pencegahan daripada berlaku kerosakan. Dengan pemahaman ini jelas bahawa agama ini bukan sekadar nasihat yang bersangkutan dengan hukum hakam tetapi lebih daripada itu bagi menyelamatkan dunia dan umatnya daripada kerosakan.
Maknanya kalau kita tidak mahu mengambil peluang ini untuk memberi nasihat pihak tertertu dalam konteks yang lebih luas bermakna kita sebenarnya telah mengingkari mesej hadis ini. Sekali gus kalian bukanlah umat Islam yang baik atau sahabat yang baik, tetapi sekadar kawan yang bila-bila masa boleh membawa keruntuhan. Wallahu aklam.