31 Januari 2009

Kemesraan suami isteri bawa bahagia

Kebahagian rumah tangga menjadi idaman semua pasangan yang berkahwin. Bukan sahaja mereka idamkan semua itu pada awal perkahwinan tetapi sampai ke akhir hayat malah sampai ke dalam syurga.
Tetapi kadang-kadang idaman itu tidak tercapai kerana hanya beberapa punca yang kecil. Mungkin kerana suami mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh isteri dan isteri pula mengharapkan sesuatu yang tidak difahami oleh suami.
Suka dijelaskan di sini, suami dan isteri masing-masing mempunyai rahsia yang mereka terpaksa simpan kerana tidak mampu untuk menjelaskannya secara lisan. Di sinilah titik mula masalah sebenar.
Dalam hal ini pasangan itu perlu memahami rahsia diri pasangannya secara pandangan mata hati dan merasainya melalui gerak hati. Dengan cara itu sahaja mereka dalam lakukan yang terbaik untuk keluarga mereka.
Tetapi kalau sesama mereka ada hijab yang menutup hati kecil mereka, pasti mereka tidak nampak apa yang dihajati pasangannya. Perlu diingat, untuk membuka hijab itu mereka perlulah bertolak ansur dan cuba menurunkan ego masing-masing terutamanya isteri.
Sebenarnya seseorang suami ada menyimpan beberapa rahsia yang malu untuk dijelaskan kepada isterinya kerana takut ditertawakan isterinya. Antara rahsia itu ialah suami mahu “bermanja” dengan isteri apatah lagi pada usia tuanya. Selain itu suami mahu dia dibelai dan hormati isteri sepanjang masa.
Supaya lebih jelas suka dipaparkan contoh terbaik dan yang pasti rujukannya ialah Rasulullah. Baginda adalah panduan kita ke arah memacu bahteri keluarga bahagia. Perhatikan dua perkara yang sering dilakukan baginda.
1. Berbaring dipangkuan isteri
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran" (Hadis Riwayat Abdurrazaq).
Kalau para isteri sedar, suami anda sesekali menyandar dan menyentuh bahu anda. Malah kadang-kadang dia berbaring di atas paha anda. Itulah tandanya dia hendak bermanja.
Tetapi kadang-kadang isteri cuba mengelak dan bangun. Sebenarnya suami pada ketika itu akan berasa kecewa, tetapi dia tidak berani untuk melahirkan rasa kecewa itu.
Suami memang hendak bermanja dengan isteri, bukan sahaja pada waktu malam tetapi juga pada waktu berehat di siang hari.
Bayangkan kalau rasulullah mahu bermanja dengan isterinya, dan isterinya pula reda dengan sikap baginda, mengapakah isteri-isteri pada hari ini tidak boleh melakukan begitu juga.
Percayalah kalau suami boleh bermanja dengan suami, dan isteri sanggup melayan kehendak suami itu, pasti akan tercantum rasa sayang yang berkekalan. Pastinya, isteri yang memahami sikap manja suami itu akan diberi pahala oleh Allah.
2. Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Umairah yang memberi maksud pipi merah bak delima.
Dalam budaya masyarakat kita, suami memanggil isterinya dengan namanya yang manja atau “yang” bagi maksud sayang. Ada juga yang menyebut “bib” yang bermaksud habibi, kekasihku dan banyak lagi. Sebaliknya isteri akan memanggil suami dengan panggilan “abang” atau “bang” yang juga dengan nada manja.
Panggilan sebeginilah yang akan membuahkan rasa sayang sentiasa berputik di hati suami. Namun begitu terdapat juga panggilan manja kerana sudah biasa dengan panggilan itu. Lahirnya panggilan itu bukan kerana ikhlas dari hati lagi.
Dalam masyarakat Melayu, panggilan manja itu lazimnya hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi semakin pudar apabila sudah beransur tua. Malah mereka malu untuk memanggil dengan panggilan manja, kononnya malu kepada anak dan cucu. Inilah keadaan yang tidak kena kepada masyarakat kita, malah sikap mereka jauh daripada kehendak Rasulullah.
Seharusnya sebagaimana suami memanggil isteri dengan kasih sayang itulah yang sepatutnya disambut oleh isteri. Panggilan mersa pada setiap kali memulakan ucapan dan kata-kata merupakan sentuhan yang boleh membangkitkan rasa sayang antara mereka. Jadi, binalah kemesraan dengan saling manja bermanja dan sebagainya. Semoga kita beroleh bahagia. Wallahu aklam.

28 Januari 2009

Pemimpin UMNO tidak mahu belajar dari kekalahan

AHMAD BAEI JAAFAR

Sehingga ke hari ini, masih ada lagi yang bercakap-cakap tentang keputusan pilihan raya kecil P36, Kuala Terengganu. Pelbagai ulasan yang kita dengar baik daripada pihak yang kalah mahupun yang menang. Tetapi yang pasti, pihak yang kalah belum mahu mengakui kekuatan pihak lawan.
Melihat keadaan itu, penulis sempat membuat kajian dan mendapat beberapa sebab yang menyebabkan orang ramai menolak BN khususnya UMNO. Sebenarnya pada penulis keputusan itu tidak begitu mengejutkan malah telah dijangka calon Barisan Nasional (BN) itu akan kalah teruk. Hanya pemimpin UMNO yang menaruh keyakinan untuk menang sahaja yang agak hairan mengapa mereka boleh kalah.
Sebenarnya kalau mengikut perkiraan matematik, calon BN sudah kalah sebelum bertanding lagi, apa tidaknya, tiga DUN sudah berpihak kepada pembangkang, hanya satu DUN sahaja yang dimiliki BN. Secara logiknya, parlimen mesti dimenangi oleh pembangkang. Tetapi rakyat Kuala Terengganu pada pilihan raya ke 12 baik hati dan sengaja ingin memberi peluang kepada BN untuk menguasai P36.
Bagaimanapun apabila parlimen itu ditadbir oleh BN, wakil rakyatnya pula menjadi orang penting dalam kerajaan pusat, jadi timbalan menteri. Sebagai menteri sudah tentu tugas sebagai wakil rakyat akan terabai. Dalam keadaan itu, peluang rakyat untuk melihat wakil mereka bercakap di Parlimen membawa masalah mereka sudah berkecai.
Tidak dinafikan beliau banyak menyumbang kepada rakyat Terengganu, tetapi lebih tertumpu pada pendidikan dalam kawasannya. Tetapi bagaimana di sudut lain, tiada kemajuan baru yang boleh rakyat banggakan.
Apakah sumbangan dan usaha wakil rakyat untuk menyelamatkan orang miskin di Kuala Terengganu yang masih ramai? Mereka yang menyokong BN dahulu terus dilupakan. Buktinya semasa kempen pilihan raya baru-baru ini, massih banyak sumbangan untuk orang miskin di bandar itu dikeluarkan. Timbalan Perdana Menteri melihat sendiri keadaan itu masih wujud di Kuala Terengganu.
Perhatian pemimpin dalam hal itu pada pandangan pengundi Kuala Terengganu, bukan pemimpin BN prihatin terhadap orang miskin, tetapi sebaliknya pemimpin BN hanya kenal orang miskin pada musim pilihan raya sahaja. Waktu mereka menang dilupakan. Itulah persepsi pengundi yang seharusnya difahami oleh pemimpin UMNO dan BN.
Pengundi Kuala Terangganu mahu wakil mereka orang yang boleh membuat kerja untuk merekaa dan membela mereka di Parlimen. Tetapi malangnya dalam pilihan raya kecil kali ini sekali lagi UMNO dan BN memilih seorang yang berjawatan timbalan menteri. Walaupun dia telah meletakkan jawatan untuk membolehkan dia bertanding di P36, namun dia telah dijanjikan untuk dilantik semula menjadi timbalan menteri jika menang.
Barangkali mengikut perkiraan pemimpin UMNO dan BN, janji itu sesuatu yang disenangi oleh rakyat Kuala Terengganu. Tawaran itu dianggap hadiah buat mereka yang mengundi calon BN. Tetapi mereka silap, rakyat tidak mahu menteri untuk kawasan mereka kerana pengalaman yang lalu cukup mengajar mereka. Mereka mahu wakil rakyat yang boleh bercakap bagi pihak mereka di parlimen.
Berdasarkan itu, mungkin benar pendapat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kekalahan BN di Terengganu itu bukan salah Najib. Tetapi salah kepada pemilihan calon. Bagaimanapun penulis tidak bersetuju dengan Tun jika hal itu disalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana seolah-olah tersalah pilih.
Sebenarnya pilihan tidak salah tetapi janji yang bukan-bukan oleh Pemimpin BN termasuk janji TPM yang menjadi puncanya. Rakyat sudah jelak dengan janji pilihan raya. Kerana lazimnya semua janji itu akan tertunai hanya apabila tiba pilihan raya yang akan datang.
Selain itu, rakyat Malaysia pada hari ini sudah bijak menilai kepimpinan Negara berdasarkan percakapan dan tindakan mereka setiap hari. Secara umumnya mereka sudah tidak mahu dengan sikap angkuh dan sombong pemimpin BN yang hanya mendakwa mereka sahaja yang mampu memberi pembangunan dan kesenangan kepada rakyat.
Sebenarnya ucapan pemimpin BN itu menggambarkan seolah-olah mereka lupa bahawa lima negeri telah jatuh ke tangan parti pembangkang. Mereka seolah-olah tidak nampak apa yang telah berlaku di lima negeri tersebut. Pada masa yang sama mereka terlupa untuk melihat apa yang telah dilakukan oleh negeri yang di bawah BN selepas pilihan raya untuk membuat sedikit perbandingan.
Hakikatnya, rakyat yang bijak dapat melihat sendiri apa yang berlaku di keliling mereka, mereka dapat membaca dan menilai apa yang dipaparkan dalam media apakah betul atau salah. Kadang-kadang mereka dapat menilai setiap ucapan pemimpin mereka itu sebagai ucapan yang bodoh atau sengaja hendak membodohkan rakyat jelata.
Penulis boleh mendatangkan beberapa contoh dari ucapan pemimpin yang menunjukkan kebodohan mereka. Kata pemimpin BN, “sekarang mereka dah memerintah negeri, buatlah apa yang dijanjikan kepada rakyat kita nak lihat.”
Rakyat umumnya menyedari kerajaan negeri tertakluk kepada kuasa negeri dan kuasa persekutuan. Mana-mana yang di bawah kuasa kerajaan negeri sudah dilaksanakan seperti yang dijanjikan. Tetapi jika perkara itu masih dalam kuasa persekutuan, kerajaan negeri tidak boleh buat apa-apa.
Selain itu, kerajaan negeri masih terikat dengan kerajaan persekutuan di sudut peruntukan kewangan. Jika kerajaan persekutuan menyekat peruntukan itu ke negeri berkenaan, bagaimana kerajaan negeri boleh bertindak pantas. Kerajaan negeri mungkin boleh lakukan dengan peruntukan kerajaan negeri yang agak terbatas.
Jadi, ucapan pemimpin di atas sebenarnya mempamerkan kebodohan dirinya sendiri atau mahu memperbodohkan rakyat terutama yang berada di luar negeri yang terlibat. Sikap pemimpin sebeginilah yang menyebabkan rakyat rasa tawar hati kepada kepimpinan BN.
Contoh lain, pemimpin UMNO ada berkata, “kita cabar kerajaan Pas supaya laksanakan hudud di Kelantan, kenapa tidak mahu melaksanakan hudud, asyik cakap sahaja setiap kali pilihan raya.” Mereka bercakap seolah-olah menganggap orang ramai tidak pandai undang-undang. Mereka sangka rakyat boleh menerima apa yang dikeluarkan oleh pemimpin. Dahulu mungkin boleh tetapi tidak sekarang.
Sebenarnya rakyat pada hari ini sudah tahu bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di mana-mana negeri di negara ini kerana peruntukan hukum hudud itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan negeri hanya boleh buat undang-undang hudud, tetapi tidak boleh dilaksanakan pada mana-mana perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, cabaran yang buat oleh pemimpin itu sebenarnya membuka pekung di dada sendiri. Mereka sebenarnya mendedahkan keangkuhan mereka untuk tidak mahu melaksanakan hudud. Mereka bukan sahaja angkuh tetapi turut memberi maklumat yang salah kepada orang bukan Islam hingga mereka menyangka bahawa undang-undang Islam itu zalim dan tidak praktikal.
Menyentuh soal penolakan pemimpin BN terhadap perlaksanaan hudud itu sebenarnya mereka bukan sekadar mempermain-mainkan fikiran rakyat, tetapi turut menghina hukum Allah. Mereka bukan sahaja hendak mengelirukan masyarakat Islam tetapi turut memeningkan fikiran orang bukan Islam yang mula mahu berjinak-jinak dengan ajaran Islam.
Dalam hal ini sepatutnya pemimpin BN tidak menolak hudud kerana faedahnya akan kembali kepada umat Islam dan menguntungkan orang bukan Islam. Sebaiknya untuk jalan selamat, mereka harus berjanji kepada rakyat untuk membuat pindaan pada perlembagaan untuk membolehkan hudud dilaksanakan di negara ini. Percayalah jika sikap itu diambil oleh pemimpin, pasti rakyat boleh menilai semula untuk memberi kepercayaan kepada mereka.
Selain itu, sikap pemimpin BN terutama UMNO yang melanggar undang-undang dan peraturan setiap kali tiba musim pilihan raya terus dinilai oleh rakyat. Antara pelanggaran tersebut ialah:
1. Kempen dilakukan sebelum dibenarkan oleh SPR; sebelum penamaan calon tidak siapa pun boleh menjalankan kempen, itulah peraturannya. Tetapi orang BN sudah mula kempen secara terbuka termasuk dalam media cetak dan elektronik.
2. Kempen dengan mengguna peralatan dan kemudahan kerajaan, sedangkan kerajaan adalah milik semua rakyat termasuk orang bukan BN. Sepatutnya mereka menggunakan wang parti sendiri.
3. Mengupah orang tertentu supaya membuat kecoh dan kemudiannya mengaitkan semua itu dengan perbuatan pihak lawan.
Sikap pemimpin UMNO itu diperhatikan oleh rakyat, apatah lagi mereka itu adalah penyokong kuat UMNO sendiri. Mungkin mereka yang taasub kepada parti, mereka akan sokong calon BN seadanya, tetapi kalau mereka sendiri jijik dengan sikap itu, pasti mereka akan berkecuali dalam hal memberi undi.
Pemimpin UMNO harus sedar perkembangan mutakhir ini dan berusaha menyesuaikan dengan keadaan itu. Kalau dahulu semua ahli perlu dengar dan percaya apa kata pemimpin mereka, tetapi kini, mereka perlu menilai semula mana yang baik pada diri, rakyat dan agama.
Walau bagaimanapun penulis percaya, TPM sudah sedar malah telah dizahirkan semua itu dalam tegurannya baru-baru ini dekat Negeri Sembilan. Oleh itu jika UMNO masih mahu merasai parti itu relevan, mereka perlu menilai semua apa yang dibentangkan di sini.
Dalam hal ini penulis mahu mengajak semua ahli UMNO termasuk pemimpin atasan supaya kembali kepada perjuangan untuk menyelamatkan Melayu dan Islam di negara ini. Bagi menjayakan seruan ini, UMNO perlu menyokong idea mendaulatkan Islam walaupun datang daripada Pas. Sebaliknya Pas perlu menyokong idea untuk memartabatkan Melayu walaupun datangnya daripada UMNO.
Kalaupun semua itu tidak boleh dinyatakan secara nyata oleh ahli parti, maka lakukanlah secara di belakang tabir. Inilah politik bijak yang seharusnya kita perjuangkan dari dahulu dan selama-lamanya.

26 Januari 2009

Awasi hubungan suami isteri elak perceraian

Ahmad Baei Jaafar

Semua orang tahu bahawa perceraian sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah. Sememangnya semua orang tidak mahu bercerai dengan pasangannya tetapi akhirnya terjadi juga sama ada sedar atau tidak.
Persoalannya kenapa hal ini boleh terjadi? Terdapat beberapa keadaan yang boleh mendorong kepada terjadinya perceraian.
1. Sikap suami isteri yang gagal memahami hati budi pasangan masing.
Sepatutnya pada malam pernikahan selepas diijabkabulkan pasangan itu mengenali hati budi antara satu sama lain. Mereka sepatutnya mengambil masa untuk berkenalan bertaaruf secara lebih mendalam bukan sekadar tahu nama dan sifat luaran sahaja.
Suami perlu tahu apa kesukaan isteri, apakah makanan yang disukai isteri, apakah yang tidak disukai isteri dan apakah makanan yang tidak disukai olehnya. Begitu juga isteri perlu tahu apa yang disukai oleh suami, apakah makanan yang digemari oleh suami. Apakah yang dibenci oleh suami dan apakah makanan yang tidak disukai oleh suami.
Biasanya dalam masyarakat kita selepas majlis perkahwinan, acara ini tidak diberi perhatian. Sebaliknya suami lebih suka memberi kebebasan kepada isteri untuk melakukan apa sahaja. Semua yang tidak baik pada isterinya masih dianggap baik, bak kata orang, kentut isteri masih dianggap baik dan wangi.
Apabila keadaan itu berlarutan berbulan-bulan, suami ketika itu tidak akan mampu lagi untuk menegur kesalahannya. Apabila suami tidak boleh tenang dalam keadaan itu maka lambat laun akan berlaku krisis yang berpanjangan.
2. Meragui kejujuran pasangan masing-masing sebaliknya mempercayai sumber dari luar.
Apabila hubungan sudah renggang dan tidak harmoni lagi, masing-masing akan mencurigai kejujuran pasangan. Kesilapan yang sedikit dibesarkan. Tidak berasa senang dengan perbuatan isteri sama ada di dalam rumah apatah lagi di luar rumah.
Sikap ini boleh mencetuskan pergaduhan jika suami atau isteri tidak tidak boleh mengawal kesabaran. Isteri boleh bila-bila masa dilafazkan cerai jika suami tidak dapat mengawal imannya.
3. Campur tangan ibu bapa atau mentua dalam hal-hal yang tidak secucuk dengan mereka.
Ibu bapa atau mentua mampu melengkapkan kehidupan pasangan suami isteri dengan terus memberi bimbingan untuk mencapai kebahagiaan rumah tangga. Tetapi mereka tidak boleh campur tangan jika pasangan itu berada dalam keadaan yang tidak sempurna kecuali bertujuan membantu menyelamatkan rumah tangga mereka.
Biasa berlaku dalam masyarakat kita, mentua akan menyalahkan menantunya dalam keadaan yang tidak sempurna itu. Ibu bapa akan memihak kepada anak sendiri dan langsung tidak bersimpati kepada menantunya.
4. Suami dan isteri tidak mematuhi pantang larang dalam kehidupan rumah tangga.
Suami perlu tahu akan kewajipan dan tanggungjawab terhadap isteri dan pada masa yang sama isteri juga perlu tahu akan hak yang mesti ditunaikan dalam rumah tangga. Jika mereka berdua tidak mematuhi pantang larang itu pasti ada kepincangan.
5. Suami atau isteri tidak takut kepada Allah atau jauh daripada perhatian Allah.
Suami isteri yang tidak takut kepada Allah, akan melakukan banyak dosa terhadap pasangan masing-masing. Jika mereka tidak melakukan solat, tidak melakukan perintah Allah, sebaliknya melanggar perintah-Nya pasti mereka mudah untuk melakukan dosa terhadap pasangannya.
Semua ini jika tidak diatasi dengan baik pasti akan berlaku perceraian. Apatah lagi jika tidak ada orang yang mahu menghalang niat mereka itu.

23 Januari 2009

Tiada bohong sunat dalam Islam

Ahmad Baei Jaafar

Realiti yang tidak dapat dinafikan pada zaman ini kebanyakan orang terpaksa hidup dalam kepura-puraan. Kononnya kerana untuk jaga hati kawan, isteri, malah pemimpin mereka terpaksa berbohong dalam istilah yang dinamakan “bohong sunat”.
Sebenarnya persoalan ini jika dilihat dalam konteks pentadbiran sesebuah kerajaan, pembohongan ini termasuk dalam strategi politik. Lazimnya dalam istilah kampung ia dikatakan helah atau taktik.
Seorang menteri atau wakil rakyat misalnya sewaktu menjawab permasalahan rakyat, dia jarang mengatakan tidak boleh atau menolak permintaan secara terang-terang. Sebaliknya jawapan yang diberi cukup menyenangkan hati rakyat.
“Datuk, jambatan tempat kami sudah kelihatan uzur, bolehkah datuk mempercepatkan baik pulihnya, lagipun kami dah lama memohon?” mohon rakyat.
“Tentang jambatan itu, masih dalam pertimbangan, saya berjanji akan cuba percepatkan,” jawab Menteri itu.
Jelas jawapan menteri itu sekadar menenangkan hati rakyat di penempatan itu, padahal yang sebenarnya persoalan jambatan itu belum dimasukkan lagi dalam agenda mesyuarat kabinet. Inilah strategi orang politik.
Kalau dalam rumah tangga, kadang-kadang anak meminta sesuatu dari ayah yang perkara itu tidaklah mustahak sangat. Namun si ayah tidak menolak permintaan itu, sebaliknya berkata ayah, “akan difikirkan kemudian”.
Begitu juga yang berlaku dalam masyarakat baik di kampung mahupun di bandar, seseorang terpaksa berhadapan dengan jiran yang pelbagai kerenah. Kalau jiran itu baik sudah tentu dia menyenangkan kita, tetapi terdapat juga jiran yang langsung tidak berbudi bahasa.
“Malamni jemput ke rumah, saya buat kenduri arwah sedikit,” kata seorang penduduk di taman itu.
“Tengoklah kalau saya sempat balik, sebab ada kerja di luar hari ini,” jawab jirannya.
Sebenarnya cakap-cakap seperti di atas pada orang Melayu ialah “bohong sunat” atau “cakap berlapik”. Berdasarkan konsep sunat itulah sebahagian besar masyarakat Melayu menggunakannya secara berleluasa.
Persoalannya, benarkah wujud “bohong sunat” dalam Islam? Logiknya, kalau bohong pada dasarnya haram bagaimana pula boleh jadi sunat? Jelasnya istilah tersebut tidak tepat pada konsepnya.
Sebenarnya, pembohongan dalam konteks di atas diharuskan selagi bertujuan baik. “Harus” dalam Islam bermaksud boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan dan tidak akan dicatatkan pahala atau dosa. Jadi, pembohongan dalam keadaan di atas tidak berdosa dan tidak pula berpahala.
Sungguhpun begitu, kesan pembohongan itu tetap akan diambil kira oleh Allah S.W.T. Maka jika natijahnya mendorong kepada keburukan maka seseorang yang berbohong itu tetap berdosa. Sebaliknya jika kesannya menjurus ke arah kebaikan, pasti dia akan beroleh pahala pula.
Merujuk kepada tiga kes di atas, menteri yang berjanji itu mungkin beroleh pahala jika rakyat boleh berasa tenang dan dapat melakukan kerja dengan baik. Manakala menteri itu akan beroleh pahala yang lebih besar lagi kalau projek yang dicadangkan itu terlaksana juga akhirnya.
Sebaliknya jika menteri itu sudah berniat untuk menipu rakyat kampung itu, rakyat pula terasa penipuannya maka menteri itu tetap berdosa. Malah sikap menteri berkenaan lambat laun akan terdedah kepada pengetahuan umum, lalu dibenci rakyat jelata.
Sikap bapa dan anak dalam contoh di atas, boleh dilihat di sudut didikan. Ayah yang hendak mempertimbangkan semula permintaan anaknya tentu boleh menggembirakan hati anaknya. Tetapi jika ayah itu tidak dapat menunaikan permintaan itu, sebaliknya cuba mencari alternatif lain. Ketika itu si ayah mendapat dosa.
Begitu juga dengan kes jiran di atas. Tetapi jika jiran itu menipu hanya kerana tidak mahu menghadiri kenduri jirannya suatu tindakan yang salah. Pembohongannya dalam kes itu suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.
Walau bagaimanapun jika jiran yang membuat kenduri itu memang tidak bermasyarakat, tetapi cuba berbuat baik dengan jirannya hanya ketika memerlukan masyarakat, maka dia wajar diajar seperti di atas. Pembohongan yang dibuat itu hakikatnya untuk mengajar jirannya tentang erti hidup bermasyarakat.
Dalam Islam, jaga hati jiran memang penting tetapi jangan kerananya kita terpaksa berbohong. Pastikan apa yang hendak dilakukan itu membawa kesan yang positif semoga dengan itu kita beroleh pahala.

20 Januari 2009

Suami wajib menjaga keselamatan isteri

Apabila suami mengijabkabulkan pernikahan, sudah terbeban pada bahunya suatu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan sehingga akhir hayat. Dalam Islam perkara itu dianggap sebagai hak isteri.
Perlu dijelaskan di sini, apabila dikatakan hak isteri, isteri ada hak menuntut apabila tidak diberi oleh suami. Isteri juga ada hak melarang jika suami melanggarnya. Semua ini terpakai selagi isteri itu tidak melakukan nusyuz.
Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: “Apakah hak isteri yang wajib dijaga oleh suami? Baginda bersabda: Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah, jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik, dan tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.”
Terdapat tiga hak isteri yang wajib dijaga oleh suami, namun kebanyakan suami cuai dalam hal ini. Kesan daripada kecuaian itulah, berlakunya ketidak sempurnaan rumah tangga yang dibina itu.
Perhatikan tiga perkara itu dengan baik:
1. Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah. Sama ada isteri itu kaya atau tidak, suami wajib memberi nafkah kepadanya kecuali isteri dengan rela hati tidak mahu menyusahkan suaminya.
Nafkah yang perlu diberi ialah soal makan dan minum seharian. Tuntutan lain daripada makan dan minum bukanlah nafkah yang wajib ditunaikan, namun kalau suami boleh memberinya itulah pahala besar yang bakal diterimanya kelak.
Nafkah yang kedua ialah pakaian. Pakaian bukan keperluan setiap hari. Tetapi kalau dia perlu maka wajib dipertimbangkan dengan segera. Tuntutan selain dari kategori pakaian tidak wajib ditunaikan.
Nafkah yang ketiga ialah menyediakan tempat tinggal. Suami wajib menyediakan rumah untuk penginapan sama ada rumah sendiri atau dengan menyewa. Tuntutan lain daripada rumah tidak wajib ditunaikan kerana ia tidak termasuk dalam kategori nafkah.
2. Jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik. Suami dilarang memukul isteri atas niat mendera. Maka memukul isteri pada bahagian muka termasuk dalam kategori mendera. Hal ini kerana muka terlalu sensitif kulitnya, mudah lebah dan bercalar.
Tetapi memukul bahagian lain dibenarkan dengan syarat tidak atas tujuan mendera. Islam membenarkan suami memukul isteri dengan niat mendidik. Mungkin dengan pukulan itu dia sedar akan kesalahannya lalu bertaubat.
3. Tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah. Hak ketiga ini jarang disedari oleh suami mahupun isteri. Maka setiap detik perbualan mereka terungkap kata-kata menghina. Akhirnya mereka bergaduh hingga membawa kepada perceraian.
Suka disebut di sini, suami tidak boleh menghina isteri ketika mereka berduaan, apatah lagi kalau di hadapan orang lain termasuk anak-anaknya sendiri. Jadi, janganlah kerana tidak pandai masak, isteri dihina, janganlah kerana isteri tidak pandai dalam sesuatu urusan, dihina isteri.
Seterusnya yang paling penting ialah tidak meninggalkan isteri bersendirian kecuali di dalam rumah. Maknanya kalau pasangan itu keluar ke bandar, lalu dia tinggalkan isterinya di situ dalam keadaan marah. Sedangkan dia balik atau ke mana-mana destinasi. Perbuatan itu adalah salah di sisi Islam.
Islam menyediakan peraturan itu adalah untuk menjaga keselamatan isteri zahir dan batin. Percayalah jika semua suami dapat lakukan yang terbaik seperti di atas, pasti tidak berlaku pergaduhan dan penceraian.

16 Januari 2009

Kekejaman Zionis Israel perlu dihukum

Hingga ke minggu ini sudah 1000 umat Palestin yang tidak berdosa maut hasil pencerobohan tentera Zionis Israel. Namun belum kedengaran mana-mana negara Arab yang secara serius membuat tindakan menentang tindakan Israel itu.
Sebaliknya negara kita termasuk yang bukan beragama Islam bangun menentang tindakan Israel itu dengan mengambil berapa tindakan berani. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan sokongan NGO lain telah bangun bertindak menyeru semua rakyat Malaysia terutama umat Islam supaya memboikot barangan keluaran Yahudi dan Amerika Syarikat yang keuntungannya disalurkan kepada Yahudi untuk memerangi umat Palestin.
Gesaan itu mendapat sokongan kerajaan, malah Perdana Menteri sendiri meminta rakyat Malaysia serius dalam hal ini. Malah pada 12 Januari lalu sidang Parlemen Khas diadakan bagi mengusulkan bantahan dan seterusnya mencadangkan suatu tindakan negara terhadap kekejaman Israel. Jelasnya, seluruh wakil rakyat menyokong usul itu demi keamanan dunia dan keselamatan rakyat Palestin.
Syabas Malaysia dan rakyatnya, tetapi sejauh mana keberkesanan tindakan kita itu terhadap Amerika Syarikat dan Israel itu. Perkara inilah yang perlu kita fikirkan supaya apa yang dirancang itu tidak sekadar “hangat-hangat tahi ayam” sahaja.
Merujuk kepada kempen memboikot barang keluaran Yahudi dan Amerika Syarikat, kita belum nampak starbucks yang terdapat di seluruh Malaysia kosong. Kita juga belum nampak Mc Donalds tidak dikunjungi orang ramai. Kita belum nampak lagi kedai yang menjual coca-cola bersungut kerana tidak dibeli oleh pengguna.
Persoalannya adakah orang ramai tidak sedar akan kempen itu? Adakah kempen itu tidak cukup strategi dan tidak sampai kepada sasaran? Adakah orang ramai menganggap kempen itu menyusahkan mereka lalu diabaikan sahaja?
Apapun jawapannya, diharapkan umat Islam mengambil pendirian yang betul dalam memacu agenda ummah. Ertinya niat kita mesti betul iaitu untuk memajukan produk keluaran umat Islam. Perlu disedari bahawa dengan agenda ini, kita akan mencapai sekurang-kurangnya dua target:
1. Umat Islam akan terjamin apa yang dimasukkan ke dalam perutnya iaitu sesuatu yang halal lagi baik. Apabila umat Islam tidak terlibat dengan perkara haram, mereka akan diberi kekuatan oleh Allah.
2. Ekonomi umat Islam akan kukuh dan lambat laun kita mampu mengatasi ekonomi masyarakat lain, malah negara lain. Apabila ekonomi umat Islam atau negara Islam kukuh, dunia akan tunduk kepada kekuatan Islam.
Menyedari keadaan itu, memang wajar umat Islam memboikot barangan keluaran di atas. Hal ini bukan sahaja kerana dua agenda di atas tetapi juga kerana kita tidak mahu wang kita yang dibelanjakan itu disalurkan kepada rejim Zionis.
Mungkin ada orang kata, apalah sangat wang kita itu, berapa ringgit sahaja yang kita boleh boikot, sedangkan orang lain ramai lagi yang terus menyokong. Ekonomi Amerika dan Israel tidak akan terjejas dengan boikot umat Islam di sini.
Sewaktu Nabi Ibrahim dihukum oleh Raja Namrud, membakarnya hidup-hidup, seekor burung pipit berusaha membawa air melalui paruhnya untuk memadamkan api bakaran itu. Syaitan mempersoalkan usaha burung itu, “mengapa melakukan kerja sia-sia kerana api tidak akan padam dengan air yang sedikit itu.” Dengan tenang burung itu menjawab, “Yang penting aku berusaha, Allah melihat dan pasti ada pertolongan Allah.”
Usaha yang dilakukan walaupun sedikit, lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa usaha. Nanti kita akan dipersoalkan apa usaha kamu untuk membela Islam dan umatnya. Tidak boleh buat semua jangan tinggal semua. Itulah falsafah yang patut dipegang oleh umat Islam.
Memang benar usaha kita tidak terkesan, tetapi kita perlu ingat matlamat kita, kalaupun tidak tercapai usaha untuk menggagalkan ekonomi mereka, tetapi kita telah berjaya mencapai dua agenda ummah di atas. Inilah yang kita harapkan sekian lama.
Selain itu, kita perlu ingat, mahukah kita membelanjakan wang kita itu untuk agenda membunuh umat Islam sendiri? Kalau tidak mahu, tidak perlulah kita berbelanja untuk itu, sebaliknya kita alihkan perbelanjaan tersebut kepada membeli produk orang kita sendiri.
Walau bagaimanapun suka disarankan di sini, umat Islam sepatutnya lebih utama memboikot rokok sama ada yang dihasilkan oleh Amerika atau mana-mana negara. Boikot ini amat penting kepada umat Islam, bukan sahaja kerana hukumnya haram, tetapi kerana hasil belian rokok itu hakikatnya kita telah menyumbangkan sebanyak 10 juta dolor sehari kepada Israel.
Jadi, belajarlah untuk menjadi umat Islam yang baik kepada diri sendiri, baik kepada umat Islam yang lain, dan jadilah umat yang baik kepada Allah. Oleh itu buatlah apa yang boleh membela diri, umat Islam dan agama Islam. Kunci kepada semua itu ialah, takutlah kepada Allah dengan melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

13 Januari 2009

Peranan ibu bapa membina keluarga bahagia

Ibu bapa ada peranan untuk membahagiakan anak-anaknya baik sebelum berkahwin mahupun setelah berkahwin. Sebab itulah dalam Islam ada peruntukan tentang wali mujbir, wali yang ada kuasa paksa dalam soal mengahwinkan anak perempuannya.
Peruntukan itu banyak membantu ibu bapa untuk memberi kebahagiaan kepada anak-anak gadisnya. Ibu bapa yang menentukan bakal suami anaknya kerana anak gadis pada waktu itu tidak ada kesempatan untuk mencari bakal suaminya seperti sekarang.
Kini, zaman sudah tidak sama, anak gadis sudah bebas keluar masuk rumah, mereka juga ada peluang untuk memilih bakal suami mereka. Anak gadis yang baik akan memaklumkan kepada ibu bapanya tentang lelaki pilihan itu. Tatkala itu ibu bapa ada hak untuk mengenali lelaki itu dengan memanggi dia datang ke rumah. Bapa boleh pada masa itu membuat sedikit kajian tentang kemampuannya bakal menantunya.
Jika bapa berpuas hati, dia boleh meminta lelaki itu membuat peminangan secara Rasmi. Tetapi kalau dia tidak berkelayakan, bapa ada kuasa menolak dan melarang hubungan anaknya dengan lelaki itu. Sebaliknya dia boleh mencadangkan dengan lelaki lain. Inilah maksud wali mujbir dalam membahagiakan anaknya.
Apabila anak gadisnya berkahwin, kuasa mutlaknya sudah berpindah tangan kepada suaminya. Anak gadisnya tidak wajib taat kepada kedua ibu bapanya lagi sebalik wajib taat kepada suaminya. Namun, anaknya dan menantunya tetapi wajib menghormati ibu bapa dan mentua masing-masing.
Bagaimanapun peranan ibu bapa tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka tetap wajib memantau perjalanan rumah tangga anak mereka. Mereka masih wajib memberi tunjuk ajar dalam hal rumah tangga anak menantunya.
Dalam hal ini jika berlaku sebarang krisis rumah tangga, ibu bapa atau keluarga terdekat perlu mengambil tanggungjawab menasihati anak masing-masing. Mereka perlu mencari puncanya agar krisis itu tidak berpanjangan.
Perlu dijelaskan di sini, apabila kedua-dua pihak bertemu puncanya, besan terbabit perlu berbincang bagi mengungkai segala yang menjadi duri dalam daging itu. Dalam ini perlu dielakkan, mentua menyalahkan menantu kerana lazimnya cara itu akan membawa keretakan yang lebih parah.
Sebenarnya dalam Islam, mana-mana anak yang hendak dikahwinkan, wajib ibu bapa mengajar anaknya baik lelaki atau perempuan tentang perkara yang menjadi rahsia kebahagiaan rumah tangga. Dalam hal ini, pengalaman ibu bapa wajib diperturunkan kepada anaknya.
Jika semua ini dapat dihayati, pastilah kebahagiaan rumah tangga dapat dibina dengan sebaiknya.

10 Januari 2009

Bencana alam ada kaitan dengan agama

Apabila berlaku bencana alam, ramai juga yang takut hendak mengaitkannya dengan hukuman Allah. Isu Bukit Antarabangsa yang meranapkan beberapa buah banglo pada 6 Disember 2008 lalu hanya disebut sebagai bencana alam, padahal banyak lagi bangunan di sekelilingnya tidak terjejas dengan malapetaka itu.
Hal yang sama turut dikatakan kepada peristiwa thunami beberapa tahun lalu di sebelah utara tanah air. Walaupun ada pihak yang mahu menyatakannya sebagai hukuman Allah, ada pihak yang menolaknya dengan pelbagai alasan.
Mengapa takut mengakui bencana alam itu sebagai hukuman Allah? Mengapa ada dalam kalangan umat Islam yang susah hendak mengakui kehebatan Allah? Mengapa ada umat Islam yang terikut-ikut dengan rentak pemikiran songsang Barat?
Suka dijelaskan di sini, apa sahaja yang berlaku di muka bumi ini adalah dengan kehendak Allah SWT. Itulah yang perlu diyakini oleh umat Islam. Sama ada perkara itu baik atau buruk, semuanya dengan kehendak Allah. Allah kata jadi, maka jadilah dia, itulah yang diungkapkan dalam firman Allah: "Kun payakun." (Yasin).
Jadi, runtuhan di Bukit Antarabangsa itu sudah tentu ada kaitan dengan kuasa Allah. Samalah seperti thunami yang mengorbankan banyak jiwa suatu ketika dahulu. Kalau semua itu berlaku dengan kuasa Allah, apakah hak manusia untuk menafikannya?
Allah mengungkapkan kata-kata orang yang beriman seperti yang difirmankannya dalam al-Quran yang bermaksud: “Ya Tuhan, tidaklah apa yang Engkau ciptakan itu sia-sia, maha suci Engkau, maka jauhilah kami dari api neraka.” (Ali Imran: 191).
Difahamkan daripada ayat itu, Allah ciptakan sesuatu bukan sia-sia, maka jika dimusnahkannya juga tidak sia-sia. Tentu ada hikmah yang perlu kita fikirkan bersama. Memang Allah mahu umatnya berfikir apa yang mereka lihat dan alami dalam kehidupan.
Apa yang boleh kita fakir mengenai kejadian itu?
1. Mengapa banglo di lereng bukit itu sahaja terlibat sedangkan bangunan di bahagian atas bukit tidak turut terlibat?
2. Mengapa dalam kalangan orang kaya-kaya sahaja yang terlibat?
3. Mengapa ada yang meninggal dunia sedangkan sebahagian besarnya dapat menyelamatkan diri?
Jawapan kepada persoalan itu hanya mampu dijawab oleh orang yang terlibat, jika mereka mahu berfikir dengan mata hati. Tetapi lazimnya mereka akan menjawab dengan pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri.
Tetapi mereka yang tidak terlibat tidak boleh memberi jawapan yang jelas, apatah lagi untuk memberi andaian sangka buruk kepada mereka. Tetapi kita boleh menilai secara zahir untuk diambil iktibar. Antara jawapan zahirnya ialah:
1. Peristiwa ini menggambarkan betapa Allah berkuasa membuat sesuatu dengan adil, memberi bencana kepada yang dia kehendaki dan menyelamatkan orang lain untuk diinsafi.
2. Allah memilih orang kaya untuk memberi peringatan kepada mereka bahawa wang bukan segala-galanya. Mereka masih memerlukan bantuan orang lain yang mereka itu boleh jadi tidak memerlukan kewangan daripadanya. Ketika itu mereka perlukan kasih sayang dan simpati yang mungkin sebelum ini mereka tidak memerlukannya kerana sombong.
3. Allah menghidupkan mereka yang dia mahu dan mematikan siapa yang dia mahu. Beruntunglah jika Dia mengambil seseorang itu dengan baik kerana itu tandanya Allah sayangkannya dan keluarganya. Sebaliknya jika diambil berserta dengan kepayahan itulah tanda satu penghinaan daripada Allah.
Selain itu, kita perlu sedar bahawa bencana alam itu juga berpunca daripada kedegilan umat manusia yang menghuni alam Allah ini. Firman Allah yang bermaksud: "Lahirlah kerosakan pada daratan dan lautan hasil tangan-tangan manusia."(Rom: 41).
Antara perbuatan tangan-tangan manusia ialah:
1. Gunung-ganang dan bukit-bukau diciptakan Allah untuk menjadi pasak kepada bumi. Tapi manusia menggondolkan bukit bukau untuk penempatan manusia. Sebagai gantinya pokok yang ditebang itu, ditanam dengan pokok baru yang sudah pasti fungsinya tidak sama dengan yang asal.
Ciptaan Allah sudah pasti tidak sama dengan ciptaan manusia. Kekuatan dan teknologi manusia tidak sehebat teknologi Allah. Sebab itu bukit itu boleh runtuh walaupun pokok gentian sudah ditanam.
2. Bukit bukau juga memberi manfaat kepada manusia untuk mengambil hasil mahsul daripada tanah bukit itu. Manusia dibenarkan duduk dan berkampung di atas bukit tetapi untuk menjaga hasil mahsulnya. Bukankah tanaman di atas bukit lebih baik mutunya dari di bawah, maka bahagian itu perlu diterokai oleh manusia.
Tetapi apabila bukit bukau dihuni oleh manusia untuk kemewahan, fungsi asal untuk pertanian dan sebagainya sudah terhakis. Akhirnya bukit tidak dapat berbakti lagi kepada manusia. Maka peranan gunung dan bukit seperti yang ditetapkan Allah ditarik balik.
3. Bukit bukau juga dijadikan sumber tadahan air untuk kegunaan manusia. Allah ciptakan fungsi air mengikut saluran yang ditetapkan. Tetapi apabila pembinaan dan pembangunan dilakukan di atas bukit, saluran air itu disekat dan digantikan dengan longkang. Pastinya saluran itu tidak sesuai lalu terbentuklah saluran lain yang akhirnya menghakiskan kedudukan asal bukit bukau itu.
Inilah yang dimaksudkan Allah, dirosakkan oleh tangan-tangan manusia sendiri. Kita berani buat maka kitalah kena tanggung sendiri. Allah pasti berlepas tangan dan tidak akan memberi pertolongan lagi.

08 Januari 2009

Bubur Asyura budaya Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam

Ada orang Tanya, adakah bubur asyura itu ada dalam ajaran Islam? Secara mudahnya, bubur asyura adalah budaya Melayu yang tidak kaitan langsung dengan ajaran Islam. Tetapi membuat bubur asyura itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Sebenarnya bubur asyura diambil sempena haru asyura iaitu hari ke sepuluh Muharam. Menurut ajaran Islam, apabila tiba 10 Muharam, umat Islam disunatkan berpuasa. Bahkan umat lain juga berpuasa termasuk Yahudi dan Nasrani.
Sunat berpuasa pada 10 Muharam adalah kerana meraikan terselamatnya tokoh-tokoh silam dalam perjuangannya. Antaranya ialah nabi Noh dan pengikutnya terselamat daripada banjir besar. Nabi Musa selamat daripada gangguan Firaun dan banyak lagi.
Bagaimanapun ajaran Islam itu tidak diamalkan oleh umat Islam di Negara ini, sebaliknya mereka membuat bubur asyura untuk makan pula. Inilah yang tidak kena pada kefahaman orang Melayu.
Islam tidak melarang memasak bubur asyura dan membedakkan kepada penduduk kampung, malah kerja baiknya akan beroleh pahala pula. Tapi alangkah baiknya jika mereka memasak bubur asyura itu dalam keadaan berpuasa. Sama seperti mereka mengacau dodol dalam bulan puasa.
Mereka berpuasa dapat pahala sunat Asyura dan berbuka puasa dengan bubur asyura, dapat lagi pahala di sini. Inilah budaya baru yang seharusnya dilakukan oleh orang Melayu tentang bubur asyura itu.
Lahirnya bubur asyura itu konon mengikut kisah nabi noh dan pengikutnya meraikan kemenangan mereka dengan mengumpulkan segala saki baki makanan yang mereka bekalkan sebelum bertolak. Kemudian mereka masak bersama dan makan ala kadar. Betul atau tidak kisah itu bukan persoalannya, tapi yang pasti ia sudah menjadi adat dan budaya orang Melayu.

06 Januari 2009

Kunci kebahagian rumah tangga

Akhir-akhir ini kerapuhan rumah tangga umat Islam semakin menjadi-jadi, lepas satu kes, timbul pula kes lain bagaikan tiada penghujungnya. Kita sedih malah marah setiap kali membaca laporan akhbar tentang perceraian artis saban hari. Namun tiada siapa yang tahu apakah punca di sebalik perceraian itu.
Selain artis, orang awam juga tidak terlepas daripada kes ini tetapi oleh sebab perceraian mereka tidak dilaporkan oleh media, kita anggap seperti tidak pernah berlaku. Padahal kalau kita rujuk kepada kes mahkamah syariah, golongan orang awam tidak kurang ramainya berbanding dengan artis.
Mengapa begitu rapuh hubungan suami isteri dalam rumah tangga yang dibina padahal sesetengahnya memakan belanja jutaan ringgit. Setelah bersusah payah berhutang dan bergadai bergolok untuk mendapatkan seorang isteri idaman, tetapi sanggup melepaskannya hanya kerana sedikit salah faham.
Sebenarnya umat Islam telah diajar pantang larang dalam kehidupan rumah tangga oleh Rasulullah, tetapi semua itu tidak diendahkan oleh mereka. Mereka tidak mahu belajar daripada kejayaan orang terdahulu mengharung hidup dengan damai dan harmoni.
Pasangan suami isteri seharusnya menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Hak suami yang mesti dipatuhi isteri ialah tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya pemberian suami, mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak keluar rumah, dan tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah.
Berdasarkan hadis ini isteri perlu manjaga hak suami, iaitu lima perkara:
1. Tidak meninggalkan tempat tidur suami, penting diberi perhatian oleh isteri. Islam tidak membenarkan isteri membiarkan suami tidur bersedirian kerana suami memerlukan belaian kasih daripada seorang isteri.
Perlu dijelaskan di sini, tidur bersama tidak seharus difikirkan hanya untuk urusan seks sahaja. Seks mungkin tidak perlu tiap-tiap hari tetapi tidur tetap diperlukan setiap hari. Inilah ubat ketenangan bagi seseorang lelaki.
Kajian terhadap beberapa kes perceraian mendapati kebanyakannya isteri tidak mahu tidur dengan suami atas pelbagai alasan. “Malu dekat anak-anak yang sudah besar, letih tidak mahu diganggu, tidak selesa kerana dah monopos dan dalam keadaan haid.”
Ketahuilah, suami dalam keadaan itu akan mencari ketenangan di luar rumah. Kalau dia beriman mungkin dia boleh bersabar dan mengekang nafsunya. Mungkin kalau dia ada lebihan wang, itulah yang menjadi punca dia berkahwin wanita lain. Tetapi kalau dia tidak beriman, dia akan berfoya-foya dengan teman wanita lain secara haram. Hal ini kerana lazimnya lelaki suka didampingi oleh wanita. Kesannya, apabila isteri cemburu, dia minta cerai daripada suami tanpa mencari punca sebenarnya.
2. Menerima seadanya pemberian suami, juga penting bagi isteri kerana nafkah yang wajib bagi suami ialah sekadar yang termampu olehnya. Jika rezekinya banyak pasti dia memberi yang banyak, tetapi kalau dia dapat sedikit tentulah dia akan memberi kadar yang sedikit. Isteri yang memahami keadaan itu akan bersyukur dan berterima kasih walaupun kehendaknya belum tercapai. Sikap isteri ini memberi ketenangan kepada suami.
3. Mentaati perintah suami, kecuali jika suami meminta dilakukan sesuatu yang dilarang oleh Islam. Dalam konteks ini, seseorang isteri perlu memahami kehendak suami walaupun dia tidak memintanya. Sikap isteri yang cuba memahami kehendak suami sebelum dia meminta tentu akan lebih dikasih. Dia dikatakan pasangan sehati sejiwa.
4. Meminta izin suami ketika hendak keluar rumah. Pada hari ini bagi isteri yang bekerja di sesuatu pejabat, jika diperintah bos untuk urusan di luar pejabat dia perlu juga meminta izin suami. Tidak susah untuk meminta izin kerana kemudahan teknologi kini semuanya tidak ada yang mustahil. Telefon ada, sms boleh, e–mel pun boleh. Tetapi perlu diingat, meminta izin tidak sama dengan memberi tahu. Maka sekadar memberi tahu tidak termasuk dalam kategori meminta izin.
5. Tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah. Orang dibenci suami boleh jadi lelaki atau perempuan. Hakikatnya mereka yang dimaksudkan itu ialah golongan yang boleh merosakan hubungan suami isteri.
Percayalah kalau isteri boleh lakukan semua itu sepanjang hidup bersama suami, suami akan berasa tenang dan bahagia. Pergaduhan dapat dikurangkan. Inilah kunci kebahagian yang semua orang hajatkan.

04 Januari 2009

Hakikat Hijrah yang perlu dihayati

Ahmad Baei Jaafar


Tahun baru hijrah telah kita lalui dengan tenang malah kita telah sama-sama membaca doa akhir tahun 1429 tanpa rasa sedih. Kita juga turut membaca doa awal tahun 1430 baru-baru ini dengan penuh harapan agar beroleh kejayaan yang lebih gemilang. Walaupun pada sesetengah orang sambutan awal tahun atau awal Muharram atau dalam istilah moden sekarang Maal Hijrah tidak semeriah tahun Masihi, namun bagi umat Islam tahun hijrah amat penting untuk dihayati.
Sebenarnya sejarah perkiraan tahun hijrah mengambil sempena peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bagi menyelamatkan iman umat Islam ketika itu. Bahkan hijrah juga adalah untuk memelihara maruah Islam yang semakin tercalar angkara musuh yang sentiasa membenci Nabi Muhammad dan Islam. Menyingkap peristiwa hijrah umat Islam baik ke Habsyah mahupun ke Madinah, banyak pengajaran yang boleh diambil. Tetapi yang paling penting hijrah itu adalah lambang kebijaksanaan Rasulullah dan ketabahan umat Islam menempuh ujian. Oleh sebab itu umat Islam seharusnya mewarisi semangat hijrah yang dilalui oleh baginda rasul dan para sahabat. Maka setiap kali kita menyambut awal Muharam seharusnya kita membaharui keazaman untuk meningkatkan kebijaksanaan dan ketabahan hati agar mampu menempuh sebarang ujian mendatang. Menyentuh dua perkara penting itu, suka dipaparkan di sini contoh yang boleh diteladani oleh umat Islam. Malah dua perkara itu harus kita perkasakan mulai hari ini.

Kebijaksaan mengatur strategi

1. Sebelum berhijrah baginda telah mendapatkan seorang pakar untuk mengenal pasti jalan yang selamat untuk ke Madinah. Baginda menyerahkan sesuatu urusan kepada orang yang mahir dalam urusan berkenaan.

2. Sebelum bermula episod hijrah, baginda meminta Ali Abi Talib tidur di tempat tidurnya. Kebijaksaan itu telah menyelamatkan nyawa baginda. Sama ada baginda memberitahunya dan berpakat dengan Ali atau tidak, tidak pula dicatatkan dalam sejarah. Tapi yang pasti tentu Ali sudah tahu bahawa baginda rasul akan berhujrah ke Madinah.

3. Setelah keluar dari rumah baginda terus menuju ke rumah Abu Bakar dan mengajaknya berhijrah bersama. Memilih teman yang memahami segala perjauangan adalah satu daripada kebijaksanaan yang seharusnya dimiliki. Kerana tanpa teman yang memahami kehendak kita, akan merosakkan segala strategi yang baik. Barangkali kalau anda pernah menonton filem “Ali Baba Bujang Lapok” pasti anda dapat lihat kebijaksanaan ketua penyamun mengatur strategi, namun dia gagal membawa bersamanya teman yang memahami kehendak bosnya. Maka apabila dia menyanyikan lagu, teman-temannya turut menyanyi, lalu rosaklah program dan strategi yang diatur.

4. Akhirnya baginda bijak memilih tempat berehat dan berlindung supaya tentera quraisy tidak dapat mengesan mereka.

Ketabahan hati

Menyentuh ketabahan hati menempuh sebarang ujian, tidak sahaja dirujuk kepada baginda rasul tetapi juga kepada sahabat yang turut terlibat. Hal ini kerana ketabahan baginda lazimnya sudah difahami iaitu bermula daripada memulakan gerakan dakwah sehinggalah ke akhir hayatnya. Tetapi apa yang lebih peting di sini ialah beberapa orang sahabat yang terlibat secara langsung dalam hijrah itu.

1. Ali Abi Talib, sanggup menggantikan Nabi untuk berada di tempat tidurnya. Kalau dia tidak tabah pasti dia tidak akan banyak soal dan akan memberi pelbagai alasan untuk tidak berada di tempat tidur baginda. Sewaktu tentera Quraisy memasuki bilik Rasulullah, Ali tidak gelabah malah mampu menjawab segala persoalan mengenai Rasul tanpa rasa was-was. Ali yang masih remaja ketika itu sudah mampu berkumonikasi dengan orang tua dan pemimpin Quraisy dengan berakhlak.

2. Abu Bakar As-Siddiq, sanggup menemani Rasulullah hingga ke Madinah dengan menempoh pelbagai rintangan. Dalam gua syur dia menjaga keselamatan rasul daripada dipagut ular bisa. Dalam perjalanan dia sentiasa ke hadapan dan ke belakang rasul semata-mata untuk menjamin tiada musuh yang boleh menggagalkan perjalanan mereka. Selain itu Abu Bakar tidak pernah bersungut penat dan lelah apatah lagi meminta rehat untuk seketika. Dia sanggup berjaga malam ketika baginda rasul tidur. Manakala di Quba’ dia turut membantu rasul membina masjid. Ketabahannya tiada tandingannya.

3. Asma’ Abu Bakar, dia sanggup menyediakan susu untuk Rasulullah semasa di gua syur selain menjadi pengintip rahsia pergerakan tentera Quraisy. Dia sanggup berjalan berulang alik dari rumah ke gua syur di atas bukit yang tinggi.

4. Selain itu ketabahan sahabat yang lain baik Muhajirin ataupun Ansur, masing-masing menunggu baginda dengan penuh sabar di kota Madinah. Tetapi sebelum itu mereka tabah dengan kerja-kerja dakwah di sekitar Madinah.
Setiap kali kita menyambut awal Muharram, adakah kita cuba menghayati dua perkara di atas? Masing-masing sudah ada jawapannya. Jadi, untuk lebih bermakna sambutan kita kali ini, marilah kita berazam untuk menjadi umat yang bijaksana dan tabah dalam menjalani hidup ini sesuai dengan kehendak Islam. Insaflah kalau hidup kita sekarang masih sama dengan esok, tiada perubahan sedikutpun, maka hakikatnya kita belum berhijrah. Lebih malang lagi kalau hari esoknya lebih teruk dari hari ini. Perubahan daripada yang kurang kepada yang lebih, daripada sedikit kepada banyak itulah hakikat hijrah yang patut kita hayati pada hari ini demi maruah Islam.