27 Julai 2010

Doa Mustajab atau Terhijab?

Anda selalu berdoa? Ya ramai juga yang tidak mahu berdoa. Tetapi yang selalu berdoa sering bersungut, doa mereka tidak dikabulkan Allah. Mereka salahkan Allah, mengapa tidak kabulkan doa mereka, tetapi tidak pernah fikirkan adakah doa mereka itu sudah sampai kepada Allah atau tidak.
Sejauh mana serius kita berdoa? Mungkin ada yang berdoa sambil lewa dan berdoa pada waktu yang tidak sesuai. Boleh jadi juga berdoa kepada Allah sesuatu yang baik untuknya tetapi dia sendiri tidak berada hampir dengan Allah. Dosanya terlalu banyak sehingga Allah membenci sikapnya.
Persoalan ini kami bentangkan dalam Solusi isu 22. Anda perlu miliki dan membacanya dengan serius bagi mendapat panduan yang jelas dan mendapat solusi yang sesuai dengan masalah anda selama ini. Semoga doa anda selepas ini dikabulkan Allah.
Tinjaulah di toko buku anda, mungkin hari ini dan esok, boleh anda milikinya. Selamat membaca.

23 Julai 2010

Kenapa tuduh Datuk Dr Hasan Ali?

Ahmad Baei Jaafar

Sejak 2008, setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, Dr Hasan Ali dilanda pelbagai kontroversi, antaranya berhubung isu penguatkuasaan penjualah arak, hubungannya dengan DAP dan rombakan kontroversi dalam PAS Selangor. Yang terbaru beliau dituduh bertemu dengan Mufti Perak dalam isu kerjasama antara UMNO-Pas.

Siapa yang membuat tuduhan itu? Orang Pas atau media? Kenapa dibuat tuduhan sebegitu? Kenapa tidak bertanya dahulu orang yang terlibat. Kalau betul beliau berjumpa, tanya dulu isu apa yang dibincangkan. Kalau betul pun dia berjumpa kerana isu itu, kenapa hendak marahkan beliau? Kenapa kita tidak bertindak secara profesional dalam menangani isu ini.

Sebagai perjuang kebenaran dan keadilan mereka harus pandai menggunakan strategi yang berkesan, jangan sampai musuh tahu strategi itu. Oleh sebab itu setiap yang berlaku jangan bertindak secara membabi buta atau tergesa-gesa. Jangan gelabah dalam menyelidik punca dan tindakan. Ketika itu barulah terhasil kejayaan yang cemerlang.

Sebagai orang politik, mereka harus tahu sepak terajang musuh mereka. Maka apa yang dikatakan itu bukan itu yang dimaksudkan, tetapi sebaliknya atau kesannya. Kalau kita buat tafsiran lain, yang akan rosak ialah mereka yang kelam-kabutlah.

Sebenarnya isu pertemuan dan perpaduan itu bukanlah besar sangat, tetapi sengaja dibesar oleh pihak tertentu bagi menggoncangkan fikiran ahli-ahli yang tidak faham. Jadi, sebaiknya diamlah daripada menjawab dalam media, sebaliknya membuat penjelasan kepada ahli yang masih tidak faham.

Kalau ahli PAS faham mesej Presiden parti, “Pas dan Umno tidak mungkin bekerjasama” tidak perlu fikir panjang lagi kerana kerjasama parti tidak boleh berlaku. Tetapi ahli kena ingai bahawa presiden juga ada berkata yang perbincangan dari masa ke masa dalam isu umat Islam masih boleh diteruskan. Mesej ini juga jelas.

Daripada mesej itu dapat difahami bahawa pertemuan bukan atas nama parti tidak masalah. Jadi, pertemuan atas nama kerajaan pusat dan negeri tidak masalah. Pertemuan membincang isu rakyat dan kemiskinan tidak boleh dihalan. Apatah lagi berbincang pasal kenduri kendara dan sebagainya, tentu tidak masalah.

Berdasarkan itu kalau pemimpin Pas bertemu dengan pemimpin Umno untuk bincang soal perpaduan ummah apa salahnya, bukankah itu ajaran Islam. Dan ini tentu tidak bercanggah dengan mesej presiden. Tapi kalau pemimpin Pas bertemu dengan pemimpin Umno untuk berbincang soal kerjasama antara Pas dan Umno, awal-awal bismillah lagu sudah salah bahkan bercanggah dengan mesej presiden. Kedua-dua isu ini adalah berbeza.

Saya berharap perjuang-pejuang Islam boleh faham apa yang hendak saya sampaikan. Dan sekali lagi ditegaskan seperti yang pernah disebut sebelum ini (dalam blog ini), perpaduan Melayu tidak mungkin akan terjadi pada saat ini selagi orang yang hendak berbincang itu berdiri atas tiket parti masing-masing. Jika mereka mahu, bukalah baju Pas dan Umno dan buang asabiah parti, barulah boleh berbincang. Kalau tidak, tentu akan berlaku salah faham dan pemikian yang berat sebelah.

18 Julai 2010

Musibah terhadap seseorang boleh mendidik

Ahmad Baei Jaafar

Setiap orang tidak ada jaminan untuk selamat daripada ujian Allah. Ujian itu didatangkan Allah mengikut tahap iman seseorang. Orang awam tentu ujian terhadapnya lebih ringan daripada ujian terhadap ulama. Oleh sebab itu ujian Allah tidak sama antara seseorang dengan seorang yang lain.

Jenis-Jenis Musibah dan Tujuan Allah datangkan kepada seseroang adalah:

Jenis

Bila boleh berlaku

Tujuan

Firman Allah

Bala’

Apabila orang yang jahat melakukan kejahatan.

Dihina di dunia sebelum dihina di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (firaun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah al-Araf 7: 130)

Ibtila’

Apabila orang yang baik melakukan kebaikan.

Sebagai ujian dan meningkatkan darjatnya sebagai orang Mukmin.

Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut 29: 2-3)

Kafarah

Apabila orang yang baik melakukan kejahatan.

Supaya mereka kembali kepada Allah iaitu bertaubat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’ 21: 35)

Umat Islam yang didatangkan musibah kadang-kadang putus asa dan tidak sanggup hidup menderita. Padahal kalau dia bersabar dan membuat perubahan, mereka dijamin syurga. Namun realiti umat Islam kini tidak begitu, mereka lebih sanggup mati awal sebelum diuji. Sedangkan Allah menegaskan seseorang yang diuji itu adalah untuk meningkatkan iman mereka.

Beruntunglah mereka yang melihat positif kepada ujian atau musibah yang menimpa terhadap dirinya kerana dengan ini dia berpeluang membuat perubahan pada dirinya baik dalaman mahupun luaran.

16 Julai 2010

Mengapa wujudkan tembok pengadang?

Ahmad Baei Jaafar

Entah tiba-tiba kedengaran bahawa Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan UMNO bersedia untuk bertemu dengan PAS bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Walaupun tidak terkejut dengan kenyataan itu saya tercari-cari juga puncanya. Apakah perkara ini ditimbulkan wartawan?

Seperti yang dilaporkan Malaysiakini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi maklum balasnya katanya, beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai "apa juga perkara". Namun kata Menteri Besar Kelantan itu, perjumpaan tersebut biarlah tanpa diatur oleh mana-mana pihak ketiga.

Walaupun cakap-cakap seumpama ini sudah semakin memualkan kita, kerana cakap orang politik selalunya tidak ikhlas, namun rakyat masih mengharapkan pertemuan itu menjadi realiti. Rakyat sudah lama menunggu dan tidak sanggup lagi melihat sandiwara ini terus dimainkan. Sebagai rakyat Malaysia kita menyokong pertemuan yang boleh membuahkan kebaikan kepada rakyat.

Melihat kepada pengalaman silam, saya sehingga ke hari ini amat kecewa dengan keadaan itu. Malah saya semakin tidak faham dengan mainan politik orang Malaysia, Melayu yang amat suka main sandiwara. Yang menjadi mangsanya sudah tentulah pelakonnya, sedangkan pengarahnya mengaut keuntungannya. Namun yang lebih untung dalam kes ini ialah pemerhati politik yang sangat pandai mengambil kesempatan.

Sudah sampai masanya kita belajar main politik seperti amalan Rasulullah. Suka saya jelaskan di sini, ilmu politik Islam amat cantik dan mudah diikut oleh semua orang termasuk bukan Islam. Hal ini kerana konsep politik Islam tiada tembuk pengadang antara parti dan agama apatah lagi bangsa. Tiada konsep musuh dalam politik. Maknanya kalau semua pihak faham konsep ini, tidak akan ada musuh dalam politik.

Saya senaraikan di sini antara konsep tersebut:

1. Islam menolak perjuangan berasaskan asabiah. Mereka yang berjiwa asabiah akan tunduk kepada bangsa dan puaknya, sehingga apabila bangsanya atau puaknya melakukan kesalahan akan dibela dengan pelbagai cara. Pada dalam Islam, Rasulullah memberi jaminan “kalau anakku Fatimah mencuri akan kupotong tangannya.”

2. Pemimpin yang dipilih adalah dalam kalangan orang yang bersih daripada dosa, bukan penjenayah (penzina, pencuri, perasuah atau menerima rasuah dll.), tetapi sebaliknya kuat hubungannya dengan Allah. Cara pemilihan boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan dunia.

3. Pegawai tadbir kerajaan adalah bebas daripada pengaruh parti politik kerana pengaruh itu boleh menyebabkan ketidakadilan dalam mengurus hak rakyat. Oleh sebab itu pegawai tadbir perlu tunduk dan patuh kepada pemerintah.

4. Pemerintah yang terdiri daripada perdana menteri sehingga menteri dan timbalannya atau menteri besar dan ketua menteri dan exconya wajib adil dalam pentadbirannya terhadap rakyat. Dalam konteks ini, pemerintah harus mengenali dan memahami bahawa semua yang tinggal secara sah dalam negara ini atau negeri adalah rakyatnya.

5. Dalam konteks Malaysia, hubungan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri mestilah rapat ibarat bapa dengan anak. Hubungan baik itu adalah kewajipan bagi kerajaan pusat dan bagi kerajaan negeri menanti hak secara adil.

6. Rakyat mempunyai hak pelindungan, keselamatan, dan keadilan tanpa kecuali.

Melihat kepada konsep itu apakah halangan Timbalan Perdana Menteri untuk bertemu dengan Menteri Besar Kelantan? Sudah tentu tiada halangan dan tidak boleh ada yang mengadang pertemuan itu. Sebagai bapa beliau boleh datang bila-bila masa tanpa perlu membuat temu janji. Malah wajib bagi beliau menziarahi negeri Kelantan kerana negeri itu sebahagian dari Malaysia yang ditadbirnya.

Tetapi agak malang kerana setahu saya pemimpin negara termasuk menteri kabinet tidak pernah melawat negeri Kelantan dan akhir-akhir ini di negeri Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah juga menerima nasib yang sama. Adakah mereka tidak anggap negeri itu negeri mereka juga? Bukankah negeri tersebut termasuk dalam Malaysia? Di sinilah kesilapan pemerintah pusat sama ada dilakukan secara sedar mahupun tidak sengaja.

Dalam hal ini mungkin ada pihak yang menafikan kenyataan saya ini dengan berkata, pemimpin negara termasuk menteri selalu ke negeri-negeri tersebut. Ya, saya tidak nafikan mereka ada datang ke negeri tersebut, tetapi kedatangan mereka bukan atas nama melawat negeri dan rakyat, tetapi melawat parti dan ahli parti pimpinannya. Ertinya kalau Datuk Seri Najib Tun Razak pergi ke negeri tersebut bukan sebagai Perdana Menteri tetapi sebagai presiden parti. Kedudukan kedua-dua jawatan itu tidak sama.

Selain itu, kalau Perdana Menteri datang melawat sesuatu negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri mesti menyambutnya, itulah protokol yang sepatutnya dijaga. Apatah lagi kalau majlis itu dihadiri oleh Sultan, Menteri Besar mesti menjadi pengiringnya. Tetapi kalau mereka masuk ke negeri tersebut tanpa pengetahuan tuan rumah samalah macam pencuri. Kenapa jadi seperti itu? Kenapa pemimpin kita tidak boleh bersikap profesional dalam hal ini?

Kerjasama UMNO – PAS

Berbalik kepada isu pertemuan yang dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, memang wajar disambut oleh Menteri Besar. Memang TPM perlu melawat Kelantan, dan MB Kelantan wajar sambut dan melakukan pertemuan empat mata. Dan perkara yang menjadi perbincangan mereka nanti tentulah hal negeri dan kemajuannya.

Sebagai pemimpin yang diamanahkan rakyat sudah tentu berhak terhadap negerinya dan rakyatnya. Dan TPM sebagai bapa wajar melihat keperluan negeri dan rakyat negeri tersebut, maka persoalan peruntukan kewangan, kebajikan rakyat, projek dan pembangunan untuk rakyat dan seumpama perlu disepakati. Itulah skop yang boleh diusahakan dalam konteks itu.

Walau bagaimanapun jika TPM sebagaimana yang dilaporkan berminat hendak bincang soal kerjasama antara UMNO dengan PAS, maka Kelantan bukanlah tempat yang selayaknya. Dan MB Kelantan pun tidak perlu sambut, tetapi yang selayaknya ialah ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur. Dan orang yang layak bertemu dengan beliau hanyalah Timbalan Presiden PAS. Manakala Presiden PAS di segi protokolnya lebih sesuai berbincang dengan Presiden UMNO. Tetapi kalau hendak berbincang persoalan bebas, tanpa tajuk khusus, beliau boleh berjumpa sesiapa saja dan di mana-mana di negara ini.

Kalau semua pemimpin sama ada yang memerintah mahupun pembangkang boleh lakukan seperti yang dibentangkan, itulah ukuran kematangan kita dalam politik. Ketika itu semua yang dirancang untuk negara dan negeri dapat dilakukan dengan sebaiknya. Tidak akan timbulkan beberapa tindakan bodoh yang boleh ditertawakan oleh pihak lain.

Dengan kedewasaan kita berpolitik, malah melebihi 50 tahun kini tindakan bodoh itu tidak harus timbul lagi. Pemimpin yang memerintah negara tidak seharusnya melihat parti pembangkang sebagai musuh, sebaliknya sebagai rakan kongsi dalam membangunkan negara. Maka teguran pembangkang harus dinilai sebagai usaha mencantikkan pentadbiran negara.

Begitu juga dengan pemimpin di peringkat negeri, wakil rakyat pembangkang harus diberi hak memberi pandangan untuk membaik pulih kepincangan negeri tersebut. Namun semua ini perlukan ketelusan dan keikhlasan semua pihak bagi tujuan yang dimaksudkan.

Bayangkan hayat pemerintahan kita hari ini, apa yang boleh dilakukan secara mantap dengan mendapat sokongan semua pihak? Idea yang baik sering dibangkang oleh pihak yang berkepentingan, walaupun majoriti dewan boleh meluluskannya, namun kepuasan semua pihak tidak dapat dihasilkan. Jadi, akan ada cakap-cakap di luar dewan.

Di sinilah pentingnya kita bertindak secara matang dan profesional dalam berpolitik. Inilah masanya untuk kita semua bergerak untuk berubah.

13 Julai 2010

Jangan sampai senjata makan tuan

Ahmad Baei Jaafar

Menarik juga membaca isu yang dibawa Mingguan Malaysia yang memetik tulisan Elaine yang bertajuk 'CIA and Mossad want Anwar Ibrahim assassinated (CIA dan Mossad mahu Anwar Ibrahim dibunuh). Laporan itu menyebut bahawa Anwar merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara itu di Malaysia.

Akhbar tersebut menterjemah tulisan Elaine dalam blog - Culture of Life News - seperti berikut: "Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segala-galanya dan merupakan ejen CIA yang menyamar."

Kenapa isu ini menarik? Ya, CIA dan Mossad hendak bunuh Anuar, kenapa? Hal ini kerana Anuar yang menjadi alat CIA telah berjaya membungkar keburukan Kerajaan BN. Moral storynya, buruknya Anuar kerana menjual Negara kepada Yahudi.

Walaupun dia guna isu alat, tetapi mesejnya bukan alat. Isu alat sudah tidak penting kerana lazimnya alat itu digunakan apabila perlu dan dimusnahkan apabila selesai tugasnya. Malah boleh jadi alat itu tidak tahu yang dia dijadikan alat. Kalau dia tahu sudah tentu dia boleh melepaskan dirinya.

Hal ini samalah dengan isu bola sepak piala dunia yang baru berakahir hari ini. Peminat-peminat bola sepak dan judi memperalatkan sotong. Ramalan sotong semuanya benar dan keadaan ini menimbulkan kemarahan pihak yang kalah judi. Lalu kita dengar ura-ura mereka hendak bunuh sotong itu. Sotong sebagai alat itu tentu tidak tahu dia dialatkan sebegitu rupa. Kalau dia tahu tentu dia pun tidak mahu bekerja sebagai alat.

Tetapi saya agak hairan juga mengapa Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia sanggup menjadi alat Kerajaan terutama UMNO dalam keadaan dia sedar bahawa dia hanya alat. Dia amat setia dengan tuannya dalam mencari dan mencipta berita untuk kepentingan tuannya.

Lihatlah isu terbaru ialah curi pasir di negeri Selangor, isu ini dibesarkan oleh alat kerajaan yang terdiri daripada media cetak dan eletronik. Mereka sanggup menjadi alat membuat laporan mengenainya. Begitu itu sama ada betul atau tidak bukan menjadi isunya tetapi bagaimana isu itu boleh menguntungkan tuannya.

Tulisan ini bukan hendak mengesahkan Anuar itu alat CIA atau menafikannya, tidak juga untuk mengiakan isu curi pasir di Selangor atau tidak. Tetapi saya ingin mengajak pembaca dalam kalangan umat Islam supaya menilai semua isu yang dibincangkan itu dengan penuh sedar.

Kenapa Anuar dikatakan alat CIA dan sebelum ini dilaporkan Anuar dikatakan kesal apabila dibesarkan isu inti zionis. Dengan sebab itu dikatakan beliau terpaksa meminta maaf kepada Yahudi.

Kenapa isu ini ditimbulkan? Jawapannya mudah saja iaitu supaya menimbulkan keraguan orang ramai terhadap Anuar.

Saya percaya sebagai alat kerajaan laporan akhbar tersebut berjaya mempengaruhi jiwa orang yang di atas pagar. Mungkin pada pilihan raya akan datang, mereka tidak mengundi parti pembangkang lagi. Sungguhpun begitu, laporan tersebut mungkin tidak berjaya menggoncang keyakinan pengikut parti itu terhadap ketua mereka.

Sebenarnya, inilah sepak terajang orang politik, digunakan pelbagai sterategi untuk mengalahkan musuh. Cuma kadang-kadang kalau tersilap guna sterategi boleh makan tuan. Inilah yang perlu diperhatikan oleh orang politik.

Saya percaya dalam isu di atas, kalau soal alat ini terus dibongkar, kemungkinan akan terserlah siapa di belakang berita itu. Kalau didapati isu itu sengaja dicipta oleh orang tertentu untuk memburuk pihak lain, dibimbangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan selama ini akan terjejas.

Begitu juga dengan isu curi pasir, kalau isu itu terus dimainkan oleh UMNO atau BN, tentu isu ini akan terbungkar juga akhirnya. Siapa penjenayahnya akan diketahui kelak. Tetapi bagaimana kalau setelah terbungkar, orang yang ada kepentingan dengan UMNO dan BN yang terlibat, tentu keadaan ini akan memburukkan keadaan.

Jadi, pandai-pandailah main politik, jangan sampai salah langkah, untungnya orang lain. Orang yang zalim dan berniat jahat akan terbungkar juga pada suatu hari yang tidak dapat dijangkakan.

06 Julai 2010

Wajib mendatang perlu dilaksanakan seiring

Bahagian kedua

(Abaikan Syariat kerana salah faham tuntutan hukum)

Ahmad Baei Jaafar

Selain perintah wajib terdapat juga perintah wajib yang datangnya kemudian yang pada kebanyakan tempat disebut sebagai fardu kifayah. Perintah wajib ini tetap dituntut melaksanakannya terutama mereka yang berkemampuan dalam bidang tersebut. Menurut kaedah usul fiqh:

ماَ لَمْ يَتِمُّ الوَاجِبُ اِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: Sesuatu yang tidak sempurna wajib itu melainkan dengan perkara itu maka perkara itu juga dikira wajib.

Untuk mudah difahami, perhatikan beberapa contoh:

Wuduk wajib untuk menunaikan solat. Wuduk hanya sah dengan air. Maka hukum mendapatkan air adalah wajib. Setelah dicari tidak juga bertemu barulah boleh bertayamum. Jadi, berusaha mendapatkan air adalah wajib yang datang kemudian.

Menutup aurat adalah wajib apatah lagi untuk melakukan solat. Solat tidak sah tanpa pakaian yang menutup aurat. Jadi, mendapatkan pakaian yang boleh menutup aurat adalah wajib.

Menunaikan zakat wajib, maka untuk membolehkan kita mengeluarkan zakat kita perlu banyak harta yang melayakkan kita mengeluarkan zakat. Jadi berusaha memiliki harta yang banyak adalah wajib.

Menunaikan haji wajib, untuk membolehkan kita di Malaysia ini menunaikan haji ialah dengan kemampuan kewangan yang cukup. Jadi, usaha mencukupkan wang adalah wajib ke atas setiap individu.

Menunaikan puasa Ramadan wajib, untuk membolehkan kita berpuasa dengan sempurna kita perlu sihat. Jadi umat Islam wajib menjaga kesihatan agar sihat sepanjang masa.

Wajib yang mendatang ini tidak pernah diambil kisah oleh umat Islam. Malah mereka tidak rasakan semua itu wajib kepada mereka. Di sinilah kesilapan kita dalam memahami Islam hingga kita mengabaikan perintah wajib.

Jika umat Islam negara ini faham tentang kewajipan ini tentu umat Islam tidak semiskin seperti sekarang. Mengapa? Di sini saya hendak buktikan kepada anda semua bahawa dengan melaksanakan perintah wajib yang mendatang ini, kita akan jadi kaya malah menguasai ekonomi.

Tahukah anda, apabila kita faham wajib mendapatkan air, umat Islam perlu menguasai sumber air. Kita boleh kuasai takungan air, kita boleh kuasai perusahaan plumbing, dan juga boleh kuasai sistem perairan. Kita di negara ini agak bernasib baik kerana air dikuasai kerajaan dan syarikat yang dikuasai oleh orang Islam. Walau bagaimanapun plumbing masih dikuasai oleh orang lain walaupun sudah ada syarikat yang dimiliki orang Islam.

Jika umat Islam faham bahawa wajib menutup aurat, terutama yang menentukan sah solat, maka umat wajib menguasai industri pakaian, tekstil malah mempunyai kilang benang dan kain sendiri. Kita wajib memiliki modal yang besar untuk projek ini dan usaha perlu penglibatan seluruh umat Islam. Tetapi oleh sebab kita tidak nampak kewajipan ini, maka untuk membolehkan kita solat pun disediakan oleh orang bukan Islam.

Seterusnya untuk membolehkan umat Islam mengeluarkan zakat, wajib masing-masing menjadi usahawan yang berjaya. Boleh jadi sebahagiannya menjadi petani yang berjaya, penternak yang berjaya, pelombong yang berjaya, dan pedagang yang berjaya. Kalau berniaga sedikit-sedikit atau kecil-kecilan tentu tidak banyak untung. Zakat tentu dalam keadaan itu belum boleh dibayarkannya lagi.

Tetapi realiti yang berlaku hari ini, umat Islam beranggapan bahawa zakat wajib dikeluarkan hanya kalau cukup nisab dan haul. Oleh sebab itu, kita tidak perlu cukupkan nisab dan haul supaya kita tidak perlu bayar zakat. Cukuplah ala kadar, cukup untuk makan minum keluarga saja. Mengapa kita lebih suka menjadi orang miskin daripada orang kaya?

Untuk menunaikan haji kita wajib mencukupkan tahap kemampuan kewangan. Untuk itu umat Islam wajib menabung secara istiqamah. Di negara kita sudah ada Tabung Haji bagi membolehkan umat Islam menabung. Kalau umat Islam tahu menabung itu wajib sudah pasti mereka akan menggunakan perkhidmatan tabung haji ini. Selain tabung haji, umat Islam juga boleh menabung melalui syarikat takaful. Kita boleh pilih mana-mana syarikat takaful yang dengannya boleh dikhususkan untuk menunaikan haji. Pada masa yang sama setiap penyimpan di takaful diberi perlindungan pula.

Menabung melalui takaful membuatkan kita berdisiplin dalam menyimpan. Maka dengan cara ini kita boleh tentukan bila kita hendak pergi menunaikan haji. Tetapi berapa ramai yang mengetahui bahawa menabung untuk ini menjadi wajib? Ramai yang tidak kisah malah dengan mudah berkata, “apa susah-susah kalau tidak mampu tidak wajib mengerjakan haji.”

Untuk membolehkan kita melakukan puasa dengan sempurna, kita wajib menjadi orang yang sihat. Hari ini ramai umat Islam yang tidak sihat, kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga gastrik. Semua ini kerana kita tidak sedar bahawa menjaga kesihatan itu adalah wajib.

Jika mereka sedar tentang kewajipan ini sudah pasti mereka akan menjaga makan dan minum, selalu beriadah dan sebagainya. Umat Islam mesti sihat kerana Rasulullah mengingatkan kita dengan sabdanya, “Mukmin yang kuat dan sihat lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah.”

Untuk memastikan umat Islam sihat, wajib pula dalam kalangan umat Islam mempunyai kepakaran dalam perubatan, jadi doktor dan menguasai klinik dan hospital. Bayangkan kalau umat Islam menguasai bidang ini, umat Islam adalah golongan yang paling sihat dan kaya.

Contoh yang saya senaraikan cukup membuktikan bahawa dengan melaksanakan perintah wajib termasuk wajib mendatang, umat Islam telah menguasai ekonomi yang mantap. Bayangkan kalau kita menguasai ekonomi siapa yang sanggup memperlekehkan umat Islam lagi?

Tetapi semua itu tidak berlaku kerana umat Islam tidak memahami mesej daripada perintah wajib tersebut. Siapakah lagi yang kita nak salahkan kalau kita masih tidak maju pada hari ini?