Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan

07 Ogos 2013

Selamat Hari Raya Edul Fitri

Ramadan berlalu Syawal mendatang meraikan orang yang bertaqwa. Dengan ini saya dengan rendah hatinya mengucapkan selamat hari raya kepada semua pengunjung dan Temanku blog ini, semoga Allah menerima segala ibadah kita dan kamu juga. Hendaknya kita digolongkan dalam kalangan orang yang kembali kepada fitrah dan orang yang berjaya. Dan semoga setiap tahun kita berada dalam keadaan baik dan berkat.
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ مِنَ العَائِدِينَ وَالفَائِزِينَ
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيرٍ
Selamat Hari Raya Edul Fitri
Maaf Zahir dan Batin
Daripada
Ahmad Baei Jaafar dan Keluarga

1 Syawal 1434

09 Julai 2013

Selamat Menyambut Ramadan Mubarak 1434H

Selamat Datang Ramadan 1434H, selamat kita melakukan ibadah puasa. Ibadah yang satu-satunya mampu menguji tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Oleh sebab itu marilah kita mulakan siri ibadah Ramadan malam ini dengan solat Tarawih.
Solat Tarawih tidak akan ditemui kecuali pada bulan Ramadan, maka rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan jumlah rakaat pada solat Ramadan. Mulakan juga membaca al-Quran pada setiap kali melakukan solat fardu lima waktu, sebelum dan selepas solat dua muka surat.
Seterusnya mulakan sahur pagi nanti dengan makanan yang boleh memberi tenaga sepanjang hari. Ingatlah bersahur adalah satu-satunya amalan yang membezakan puasa umat Islam dengan umat Yahudi.
Percayalah sesuatu yang dimulakan dengan betul dan bersungguh-sungguh akan menghasilkan natijah yang baik pada akhir Ramadan nanti. Selamat Menyambut Ramadan.

03 April 2013

Parlimen dibubarkan dengan rasminya

Sebagai orang politik suka saya nasihatkan kalian bahawa dalam kempen pilihanraya kita mesti rasional, berpijak di bumi nyata. Inilah politik secara profesional. Oleh sebab itu siapa yang bertanding tidak perlu diburukkan peribadinya. Kita tidak ada hak mendedahkan keaiban orang kerana Allah sendiri telah menyembunyikannya. 
Yang patut didedahkan ialah perancangan dan apa dan bagaimana perancangan itu dilaksanakan kalau memang. Besarkan perancangan parti agar dengan itu biar rakyat yang menilai.
Selamat Mengundi kepada semua rakyat Malaysia, anda tidak harus abaikan tangungjawab ini. Anda yang patut menentukan pemerintah. Islam patut ditegakkan dengan pengorbanan semua umat Islam dan bukan Islam.

29 Oktober 2012

Sahkah qurban anda?

Ahmad Baei Jaafar

Hari ini 13 Zulhijjah 1433 adalah hari terakhir untuk kita melakukan qurban. Apabila tenggelam sahaja matahari atau dalam kata lain masuk sahaja waktu Maghrib, maka qurban tidak boleh dilakukan lagi. Jika dilakukan juga maka jadilah sembelihan itu sebagai sembelihan biasa.
Dengan berakhirnya waktu qurban berakhir jugalah takbir hari raya. Tidak berpeluanglah kita untuk bertakbir setiap kali lepas solat fardu atau sunat. Oleh sebab itu peluang pada hari terakhir ini perlulah diambil dengan sebaiknya sama ada berqurban atau bertakbir.
Bagi mereka yang ingin berqorban pada hari ini suka saya ingatkan kepada mereka beberapa perkara berhubung dengan niat. Sebenarnya ada dua niat yang perlu dilakukan dalam ibadah qurban ini iaitu:

  1.    Niat membeli bahagian qurban
  2.     Niat menyembelih qurban.
Kebanyakan kita di negara ini tidak berpeluang membeli sendiri. Jika kita tidak boleh membeli sendiri maka bolehlah diwakilkan kepada seseorang untuk membelinya. Maka akad wakil membelinya perlu dibuat kepadanya. Begitu juga kalau kita tidak boleh atau tidak mampu menyembelih, bolehlah diwakilkan sebelihan kepada tukang sembelih. Untuk itu lafazkan akad wakil penyembelihan itu kepadanya.
Walau bagaimanapun timbul isu di sini bagaimana kalau ada hartawan yang bermurah hati menghadiahkan seekor lembu dan dia mahu tujuh nama individu untuk qurban itu. Dalam hal ini hartawan itu perlu niat membeli lembu tersebut untuk qurban. Boleh juga kalau dia wakilkan kepada seseorang untuk membeli bagi pihaknya.
Apabila lembu itu diserahkan untuk urusan sembelihan qurban, dia perlu dapatkan nama yang hendak qurban tersebut. Individu yang terlibat perlulah melafazkan aqad wakil kepada penyembelih. Dengan penyerahan itu maka sahlah qurban itu haknya. Dan dia berhak mengambil 1/3 daripada bahagiannya.
Sebenarnya, urusan sebegini jarang diberi peringatan kepada pihak yang berqurban mahupun pihak yang menjadi wakil pembeli dan penyembelih. Semoga urusan ini dapat difahami oleh umat Islam pada masa-masa akan datang. Selamat berqurban.

24 Oktober 2012

Salam Haji dan Salam Eduladha

Ahmad Baei Jaafar


Pada saat jemaah haji berjuang untuk mencapai haji mabrur umat Islam di Malaysia dan lain-lain negara membuat persiapan untuk menyambut hari raya Eduladha dan ibadah qurban. Tetapi pada saat jemaah haji membanyakkan ibadah sunat di tanah haram umat Islam di tanah halal leka dengan kerja harian yang kadang-kadang sia-sia.
Pada waktu ini sebahagian Jemaah berada di Madinah dan sebahagian lagi sudah sampai ke Masjidilharam. Beruntunglah mereka yang berniat haji tamattu’ kerena berpeluang untuk membuat umrah sebanyak mungkin sebelum tiba 9 zulhijrah. Peluang ini juga digunakan sebaiknya untuk beriktikaf, membaca al-Quran dan solat sunat kerana peluang ke tanah haram ini amat terhad apatah lagi bagi orang miskin.
Walau bagaimanapun mereka yang berniat haji ifrad dan qiran walaupun tidak dapat melakukan umrah mereka masih berpeluang untuk melakukan iktikaf, solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya. Maknanya peluang mereka adalah sama di Tanah Haram ini. Cuma dalam keghairahan itu kita bimbang tentang keceluparan mulut mereka sewaktu bercakap sesama mereka.
Alangkah ruginya kalau peluang ini mulut tidak dijaga dengan baik sehingga tercetus aktiviti mengumpat dan mengeji orang lain. Adakah patut wang yang  dikumpul sejak bernilai RM10 hingga mencapai RM11 000 tetapi semuanya habis hanya dalam tempoh 44 hari di Tanah Haram tanpa pahala yang diperoleh. Bukankah banyak tenaga diperlukan dan berapa banyak masa dikorbankan untuk mendapatkan wang itu? Tetapi mengapa pahala yang ditawarkan kepada mereka diabaikan.
Atas pengalaman itu, adalah diharapkan bakal jemaah haji terutama yang sedang berada di Tanah Haram sekarang supaya memberi tumpuan kepada urusan ibadah haji dan segala ibadah dan amalan yang berkaitan demi mendapat haji mabrur. Ingatlah Allah tidak mudah menghadiahkan haji mabrur ini hanya kerana melaksanakan rukun dan wajib haji, tetapi akan nilai ibadah lain yang sanggup direbut sewaktu di Tahan Haram.
Selain itu kalau ada lebihan wang, peruntukkan sedikit untuk sedekah kepada fakir miskin dan juga ibadah korban. Ketahuilah sebarang ibadah yang dilakukan di Tanah Haram besar ganjarannya. Jadi peluang ini tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Bagi umat islam terutama sanak saudara yang berada di tanah air harus ambil kesempatan itu untuk sama-sama berdoa kepada Allah agar semua Jemaah haji beroleh haji mabrur. Semoga doa itu juga dinilai sebagai ibadah dan kebajikan. Selain doa, kita boleh juga berikan jemaah haji kegembiraan dengan memberi hadiah yang berupa wang tunai sebagai ucapan tahniah kepadanya.
Sebenarnya budaya memberi sedekah kepada jemaah haji yang hendak berangkat ke Tanah Suci ini tidak wajar diteruskan. Hal ini kerana jemaah haji sudah cukup keperluannya dan kerana itu mereka sudah tidak layak menerima sedekah. Oleh sebab itu budaya ini perlu diubah kepada pemberian hadiah berserta ucapan tahniah dan doa. Inilah amalan yang paling tepat buat mereka. Selamat beribadah dan berkorban.

20 Julai 2012

Semoga puasa kita terbaik kali ini


Ahmad Baei Jaafar
Beberapa jam lagi kita akan memasuki Ramadan, semoga kita dapat masuk ke dalamnya sehingga berakhirnya Ramadan dengan sempurna. Semoga persiapan yang kita buat sebelum ini dapat memberi ruang yang baik untuk kita menunaikan pausa dengan sempurna.
Sebelum itu saya mengambil kesepatan ini untuk memohon kemaafan kepada semua umat Islam khususnya yang menziarahi blog sayaa dan yang lain juga. Sesungguhnya saya manusia biasa yang tidak terlepas daripada berdosa dan bersalah. Jadi, kemaafan kalian boleh memudahkan saya melaksanakan puasa dengan yang terbaik.
Saya bimbang, tanpa kemaafan, saya terus berdosa di sisi Allah maka dengan ini puasa yang dilakukan tidak diterima oleh Allah. Nanti banyak tawaran Allah dengan Ramadan tidak boleh dikecapi.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” : خُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَّبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ . قَالَ : قَالَ رَبُّكُمْ عَزَّ وَجَلَّ : عَبْدِي تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ، فَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ “. هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ . أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada nabi SAW dia bersabda: “Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bauan miski (kasturi).” Bersabda lagi, Allah berfirman: “Hambaku meninggalkan keinginannya, makan dan minumnya demi mendapat keredhaanku, maka puasa itu untukku dan Aku akan menilai berdasarkan puasa itu.” (Riwayat Ahmad – Sahih)
Marilah kita sama-sama berpuasa dan melaksanakan ibadah yang diperuntukkan di dalamnya. Salam Ramadan Karim.

28 Ogos 2011

Salam Eidul Fitri kepada semua pengunjung

Hari ini warga kota sudah mula mengosongkan rumah kediaman mereka dan mula bergerak ke kampung masing-masing. Berhati-hati di jalan raya kerana dalam kesesakan jalan raya ada kemungkinan yang terlalai. Jadi, sepanjang perjalanan ingat Allah dan ingat orang yang tersayang. Inilah kunci keselamatan.
Saya doakan anda semua selamat sampai ke distinasi dengan selamat. Pada kesempatan saya dahului ucapan selamat hari raya eidul fitri:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ، مِنَ العَائِدِينَ وَالفَائِزِينَ، كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيرٍِ
Ucapan ini sebagai penambahbaikan untuk ucapan yang selalu kita gunakan selama ini. Semoga ucapan ini menjadi doa untuk kita semua. Dan untuk membalas ucapan itu gunakan ucapan berikut:
مِنَّا وَمِنْكُمْ تَقَبَّلْ يَا كَرِيمٌ
Semoga ucapan ini boleh menjadi budaya baru untuk tahun-tahun mendatang.

27 Julai 2011

Ramadan Mubarak untuk orang yang beriman

Ahmad Baei Jaafar
Semua sudah tidak sabar hendak menyambut Ramadan. Orang yang beriman merindui Ramadan kerana di dalam bulan itu banyak ibadah yang disediakan dan pahala dilipat gandakan. Tetapi ada juga yang rindukan Ramadan kerana membayangkan syurga makanan sepanjang bulan. Manakala peniaga makanan pula, merindui Ramadan kerana itulah peluang untuk mereka mendapat meraih kewangan yang banyak.
Walau apapun niat mereka, puasa menjanjikan kebaikan kepada umat Islam. Yang penting waktu niat puasa dan menjalankan ibadah puasa dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah. Allah akan menilai puasa mereka berdasarkan keikhlasan itu.
Cuma untuk puasa kali ini saya ingin mengajak anda sekelian agar segera membersihkan hati daripada dosa, dosa dengan Allah dan dosa dengan manusia. Bertaubatlah dengan Allah atas dosa yang dilakukan, dan mohon ampunlah dengan manusia atas kesilapan lalu. Semoga dengan ini peluang untuk puasa kita diterima Allah lebih cerah.
Memohon maaf dan memaafkan orang lain sangat penting dalam Islam. Apatah lagi sebelum menjalankan ibadah puasa. Hal ini kerana dalam hadis diceritakan malaikat Jibril berdoa menjelang Ramadan: “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri; Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Aamin sebanyak 3 kali.“
Oleh sebab itu, saya memohon kemaafan kepada semua peminat Fikrah Islamiah dan juga rakan FB jika sepanjang berkomunikasi ini terdapat salah dan silap yang sama ada disedari mahupun tidak. Seterusnya saya doakan kalian beroleh kejayaan memperoleh taqwa.
Selamat menyambut Ramadan, selamat berpuasa, maaf zahir dan batin, kollu ‘amin waantum bikhair.
سلامت مثمبوت رمضان، سلامت برفواس، ماعف ظاهر دان باطن، كل عام وانتم بخير