26 Januari 2009

Awasi hubungan suami isteri elak perceraian

Ahmad Baei Jaafar

Semua orang tahu bahawa perceraian sesuatu yang halal tetapi dibenci Allah. Sememangnya semua orang tidak mahu bercerai dengan pasangannya tetapi akhirnya terjadi juga sama ada sedar atau tidak.
Persoalannya kenapa hal ini boleh terjadi? Terdapat beberapa keadaan yang boleh mendorong kepada terjadinya perceraian.
1. Sikap suami isteri yang gagal memahami hati budi pasangan masing.
Sepatutnya pada malam pernikahan selepas diijabkabulkan pasangan itu mengenali hati budi antara satu sama lain. Mereka sepatutnya mengambil masa untuk berkenalan bertaaruf secara lebih mendalam bukan sekadar tahu nama dan sifat luaran sahaja.
Suami perlu tahu apa kesukaan isteri, apakah makanan yang disukai isteri, apakah yang tidak disukai isteri dan apakah makanan yang tidak disukai olehnya. Begitu juga isteri perlu tahu apa yang disukai oleh suami, apakah makanan yang digemari oleh suami. Apakah yang dibenci oleh suami dan apakah makanan yang tidak disukai oleh suami.
Biasanya dalam masyarakat kita selepas majlis perkahwinan, acara ini tidak diberi perhatian. Sebaliknya suami lebih suka memberi kebebasan kepada isteri untuk melakukan apa sahaja. Semua yang tidak baik pada isterinya masih dianggap baik, bak kata orang, kentut isteri masih dianggap baik dan wangi.
Apabila keadaan itu berlarutan berbulan-bulan, suami ketika itu tidak akan mampu lagi untuk menegur kesalahannya. Apabila suami tidak boleh tenang dalam keadaan itu maka lambat laun akan berlaku krisis yang berpanjangan.
2. Meragui kejujuran pasangan masing-masing sebaliknya mempercayai sumber dari luar.
Apabila hubungan sudah renggang dan tidak harmoni lagi, masing-masing akan mencurigai kejujuran pasangan. Kesilapan yang sedikit dibesarkan. Tidak berasa senang dengan perbuatan isteri sama ada di dalam rumah apatah lagi di luar rumah.
Sikap ini boleh mencetuskan pergaduhan jika suami atau isteri tidak tidak boleh mengawal kesabaran. Isteri boleh bila-bila masa dilafazkan cerai jika suami tidak dapat mengawal imannya.
3. Campur tangan ibu bapa atau mentua dalam hal-hal yang tidak secucuk dengan mereka.
Ibu bapa atau mentua mampu melengkapkan kehidupan pasangan suami isteri dengan terus memberi bimbingan untuk mencapai kebahagiaan rumah tangga. Tetapi mereka tidak boleh campur tangan jika pasangan itu berada dalam keadaan yang tidak sempurna kecuali bertujuan membantu menyelamatkan rumah tangga mereka.
Biasa berlaku dalam masyarakat kita, mentua akan menyalahkan menantunya dalam keadaan yang tidak sempurna itu. Ibu bapa akan memihak kepada anak sendiri dan langsung tidak bersimpati kepada menantunya.
4. Suami dan isteri tidak mematuhi pantang larang dalam kehidupan rumah tangga.
Suami perlu tahu akan kewajipan dan tanggungjawab terhadap isteri dan pada masa yang sama isteri juga perlu tahu akan hak yang mesti ditunaikan dalam rumah tangga. Jika mereka berdua tidak mematuhi pantang larang itu pasti ada kepincangan.
5. Suami atau isteri tidak takut kepada Allah atau jauh daripada perhatian Allah.
Suami isteri yang tidak takut kepada Allah, akan melakukan banyak dosa terhadap pasangan masing-masing. Jika mereka tidak melakukan solat, tidak melakukan perintah Allah, sebaliknya melanggar perintah-Nya pasti mereka mudah untuk melakukan dosa terhadap pasangannya.
Semua ini jika tidak diatasi dengan baik pasti akan berlaku perceraian. Apatah lagi jika tidak ada orang yang mahu menghalang niat mereka itu.

Tiada ulasan: