21 November 2017

Bersamalah dengan Jemaah Muslimin

Saya terpanggil untuk menulis dan mengulas sebuah hadis yang sejak akhir-akhir ini dijadikan hujah oleh pihak tertentu untuk memencilkan diri daripada masyarakat. Saya percaya ramai yang salah faham dengan beberapa ulasan yang tidak bertanggungjawab. Dan jika itulah yang dipegang nanti umat islam akan terus mundur ke belakang.
Dalam ruang ini, saya hanya sekadar menurunkan makna hadis tersebut seperti berikut:
Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut kalau-kalau menimpa diriku, lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan?”
Rasulullah menjawab: Ya.
Aku bertanya lagi: “Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu?”
Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kesamaran.
Terus aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kesamaran itu?
Rasulullah menjawab dengan sabdanya: Terdapat satu kaum yang menjalankan kehidupan tidak dengan sunnahku dan mengambil petunjuk selain daripada petunjukku, sebahagian mereka kamu kenali dan sebahagian lagi kamu menolaknya.
Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu?
Rasulullah menjawab: Ya, ketika ada golongan yang menyeru atau mengajak manusia ke neraka jahannam, maka sesiapa yang menyahut ajakan mereka, orang itu akan dicampakkan ke dalam neraka itu.
Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah gambarkan kepada kami golongan itu.
Rasulullah manjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita.
Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu?
Rasulullah menjawab dengan sabdanya: "Kamu hendaklah bersama dengan jemaah muslimin dan pemimpin mereka."
Aku bertanya lagi: Bagaimanakah sekiranya ketika itu umat muslimin tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin?
Rasulullah menjawab lagi dengan sabdanya: "Kamu hendaklah hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian."
Berdasarkan dialog di atas dapatlah kita menilai di mana kedudukan kita sekarang. Secara pasti anda boleh bersetuju dengan saya bahawa kita semua berada pada peringkat kesamaran. Hal ini kerana sebahagian besar umat Islam tidak lagi menjalankan urusan dunia kini dengan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Malah mereka mengambil panduan yang disediakan oleh Barat. Inilah zaman yang kita berada.
Kalau kita sedar bahawa zaman ini seteruk itu, apa yang hendak tunggu lagi. Ikutlah arahan Rasulullah iaitu bersama dengan jemaah Muslimin. Persoalan sekarang apakah wujud jemaah Muslimin sekarang? Sememangnya jemaah Muslimin akan ada setiap musim selagi belum kiamat. Jemaah itu akan terus diperlihara oleh Allah bagaikan bara api.
Jemaah Muslimin ialah masyarakat Islam yang sama-sama mengamalkan ajaran Islam, yang mereka tidak berpecah belah. Hati mereka terpaut kepada Allah dan saling bekerjasama dalam menegakkan Islam. Mereka dipimpin oleh pemimpin berwibawa dan disegani oleh kawan dan lawan. Namun mereka sentiasa dimusuhi.
Ciri-ciri jemaah Muslimin, mereka tidak mudah tergugat dengan fitnah dan gangguan musuh. Dan jemaah Muslimin ini tidak semestinya sebuah pertubuhan. Sesungguhnya setiap umat Islam perlu berpaut dengan mereka demi mendaulatkan Islam. Namun jika usaha mereka terus dihalang, dan tidak ada lagi jalan keluar, maka barulah boleh umat Islam beruzlah menunggu mati. Tetapi ingatlah zaman itu adalah selepas datangnya imam Mahdi. Bukan sekarang. Wallahu Aklam

Tiada ulasan: