02 Februari 2017

Ucapan Salam Sunnah dan Berjabat Tangan Budaya

Rasulullah Saw bersabda: "Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya ada enam: (1) Jika engkau bertemu dengannya, maka ucapkan salam, dan (2) jika dia mengundangmu maka datangilah, (3) jika dia minta nasihat kepadamu berilah nasihat, (4) jika dia bersin dan mengucapkan hamdalah maka balaslah (dengan doa: Yarhamukallah), (5) jika dia sakit maka kunjungilah, dan (6) jika dia meninggal maka hantarkanlah (jenazahnya ke kuburan).” (HR. Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, seseorang Islam ada enam perkara yang perlu dilakukan dalam hidup bemasyarakat. Biar saya senaraikan keenam-enam itu untuk kita lihat sejauhmana kita telah melaksanakannya.
1. Apabila kita bertemu seorang muslim, ucapkan salam iaitu “Assalamualaikum...” Siapa nak mulakan? Ingat, sesiapa yang memberikan salam kepada seseorang, dia akan dapat pahala sunat. Jadi, berebutkan untuk memberi salam. Orang yang terkemudian hendaklah menjawab salam tersebut, dan dia akan mendapat pahala wajib, yang pahalanya lebih kecil daripada pahala sunat.
2. Apabila seseorang mengundang orang Islam ke suatu majlis khususnya kenduri kahwin, maka orang itu wajib menyahut panggilan tersebut. Kalau dia gagal untuk hadir kerana ada urusan yang lebih penting, maklumkan awal atau iringkannya dengan pengganti diri. Hal ini kerana mereka mengharapkan sangat akan kedatangan tetamu ke majlisnya.
3. Apabila seseorang muslim meminta khidmat nasihat, maka wajiblah dia memberi kata-kata peransang sesuai dengan keperluannya. Jika dia mengabaikan permintaannya, boleh jadi akan mengecewakannya. Seseorang Islam sepatutnya menggembirakan muslim yang lain.
4. Jika seseorang muslim bersin lalu menyebut “Al-Hambdulillah”, maka orang yang mendengar itu wajar menjawab “Yarhamkallah”. Ucapan itu sebagai doa untuknya agar dia sihat dan dalam rahmat Allah. Begitulah sikap orang mukmin sesama mukmin.
5. Apabila seseorang Islam itu sakit kita patut ziarahnya di mana sahaja dia berada. Ziarah adalah sebagai moral spot kepadanya agar dia pulih daripada sakitnya. Pastinya kita datang ziarah dengan doa yang baik untuknya.
6. Jika seseorang muslim itu meninggal dunia, iringilah jenazahnya hingga ke tanah perkuburan. Maknanya sebelum itu kita sudah berada di tempat itu untuk sama-sama berdoa, membantu mandi dan kafankan jenazah. Inilah penghormatan terakhir yang boleh kita berikan untuknya.
Keenam-enam hak orang muslim ini sekali gus adalah adab yang menjadi akhlak yang sangat mulia di sisi Allah. Beruntunglah mereka yang dapat menjaga adab sopan itu sepanjang hidup. Cuma dalam menjaga adab tersebut raikan juga budaya tempatan yang sekali gus menjadi adat setempat.
Sebagai contoh, dalam melaksanakan adab pertemuan dengan ucapan salam, sertakan juga dengan berjabat tangan. Ini adalah adat dan budaya yang baik, namun cara berjabat itu mungkin berbeza antara satu negara dengan negara lain. Ya, adat ini mungkin tidak sama antara satu negara dengan negara yang lain. Jadi raikan perbezaan itu tanpa mencela perbuatan itu.
Selain itu ada juga budaya berpelukan, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan selepas bersalaman. Mungkin budaya Melayu tidak sama dengan budaya Arab dan lain-lain negara. Adat dan budaya ini wajar diteruskan mengikut negara masing-masing.  Kita orang Melayu tidak perlu meniru budaya mereka.
Contoh lain yang boleh didapati dalam masyarakat kita iaitu semasa membuat kunjung hormat untuk jenazah hendaklah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terbabit. Inilah sunnah yang termasuk dalam adab yang baik. Namun, selain itu mereka mengambil kesempatan membaca tahlil dan membaca Yasin. Ini adalah budaya atau adat di alam Nusantara.
Saya percaya kemungkinan di negara lain juga ada budaya tersendiri yang dilakukan semasa mengunjung hormat pada jenazah. Jadi raikan perbezaan itu tanpa mempersalahkan pihak yang tidak sama dengan budaya kita. Ingatlah adat atau budaya yang baik itu diiktirafkan Islam, iaitu al-adatu muhakkamah. Wallahu aklam

Tiada ulasan: