11 Januari 2017

Redha Allah pada redha ibu bapa

Ahmad Baei Jaafar

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.”  (Hadis dikeluarkan oleh al-Tir
mizi dalam Sunannya)
Kenyataan Rasulullah di atas sangat besar ertinya kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa. Maknanya berdasarkan hadis ini anak-anak perlu pandai menjaga hati ibu bapa agar mereka tidak terguris hati dengan tindakan mereka. Maka sebagai anak mereka perlu mendapat keredhaan atau dalam bahasa mudah mendapat restu ibu bapa.
Seorang anak yang hendak berniaga sendiri sebagai contoh perlu mendapat keredhaan ibu bapa, barulah dengan itu perniagaannya menjadi berkat. Seorang anak yang hendak bermusafir meninggalkan kampung halaman perlu mendapat keredhaan ibu bapa, barulah perjalanannya mendapat pahala.
Pendak kata, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh anak-anak perlu mendapat keredhaan ibu bapa apatah lagi soal perkahwinan. Untuk mendapat keredhaan ibu bapa tidak susah apatah lagi dalam soal perkahwinan kerana biasanya ibu bapa tidak akan menghalang jika semua itu baik dan padan dengan mereka. Tetapi dalam hal inilah yang kadang-kadang ibu bapa boleh berkecil hati.
Meniti umur yang semakin penghujung ini, baru saya sedar betapa dulunya saya telah banyak kali mengecilkan hati kedua ibu bapa dalam urusan perkahwinan. Saya pernah menguruskan sendiri pertunangan bagi perkahwinan yang pertama kali. Ibu bapa saya hanya diberitahu setelah semuanya diterima oleh ibu bapa perempuan.
Walaupun mereka tahu hubungan kami sebelum itu, namun tindakan saya mungkin mengecilkan hati mereka. Namun saya percaya mereka redha dengan perkahwinan kami apabila mereka sudi datang pada hari pernikahan dan kenduri kahwin yang dibuat pada hari yang sama.
Perkahwinan seterusnya juga tanpa pengetahuan ibu bapa, sebaliknya diuruskan oleh jemaah yang saya anggotai pada masa itu. Saya percaya kedua-dua ibu bapa saya redha dengan perkahwinan itu sebab mereka tidak menolak kehadiran semua menantunya. Tetapi hati kecil mereka tetap terasa terguris kerana saya telah membelakangkan mereka.
Semoga mereka berdua dapat dan telah memaafkan daku sebelum mereka meninggal dunia. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku kepada mereka berdua, sama ada mereka sedar atau tidak, apa lagi yang aku tidak sengajakan, amin ya rabbal alamin.
Inilah kesilapan yang jarang sebagai anak merasainya. Dengan ini saya berharap anak-anak saya tidak mengulangi kesilapan seperti itu lagi. Biarlah urusan perkahwinan mereka selepas ini diserahkan kepada orang tua kerana merekalah yang selayaknya ditua-tuakan. Biarpun zaman berubah adab dan sopan yang diajarkan oleh Islam itu wajar dipertahankan. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: