14 Februari 2016

Renungan Buat Yang Belum Sedar

Tahukah anda apa maksud "bertaklid membabi buta". Dan apa pula yang dimaksudkan dengan "raikan pandangan orang lain". Dua perkara ini harus difahami dengan betul agar Islam yang kita amalkan ini sentiasa berada dalam keadaan yang betul. Sebaliknya, seseorang Islam akan teraba-raba mencari jalan pulang.
Apabila dikatakan bertaklid buta atau membabi buta tentu merujukkan kepada orang yang tiada ilmu. Mereka yang tiada ilmu asas tentang Islam atau ilmu yang kurang sempurna akan mengikut pendapat seseorang tokoh yang dikagumi sama ada A atau B. Mereka percaya segala ilmu yang dibawa oleh tokoh itu walaupun selama ini dia sudah mengamalkan yang sebaliknya. Golongan inilah yang akhirnya menjadi pemuja taksub atau ektrem dalam agama.
Berbeza dengan orang yang ada ilmu, pandangan tokoh itu dinilai mengikut ilmunya yang sedia ada. Jika ada percanggahan dia akan segera membuat rujukan lain bagi menentukan kesahihan pendapat tokoh tersebut. Mereka ini walaupun mengikut mana-mana mazhab yang muktabar, mereka tidak juga terikat kepada pandangan mazhab itu. Mereka tahu bagaimana untuk mengamalkan ilmu tersebut.
Jelas di sini, orang yang ada ilmu bertaklid dengan mazhab tokoh mereka, tetapi mereka tidaklah bertaklid secara buta tuli atau membabi buta. Mereka ikut hukum hakam yang diputuskan oleh ulama tersebut kerana sesuai dengan kehendak al-Quran dan Hadis. Tetapi kalau didapati bercanggah mereka ada hak mengubahnya. Namun sehingga ke hari ini, saya sebagai pengikut Mazhab As-Syafii belum bertemu hukum atau pandanganya yang bercanggah. Al-Hamdulillah.
Oleh sebab itu, mereka yang masih pada tahap tidak ada ilmu atau kurang ilmu, segeralah belajar dan mendalami ilmu agama agar mereka tidak termasuk dalam golongan bertaklid buta atau membabi buta.
Selain itu, apa pula yang anda faham dengan raikan pandangan orang lain? Pandangan orang lain ini tentu merujuk kepada pandangan mazhab atau tokoh lain dalam soal fiqh. Mazhab terbesar adalah empat iaitu Hanafi, Hambali, Maliki dan Syafii. Namun kita tidak nafikan mazhab lain yang wujud di dunia ini. Pandangan mereka berbeza antara satu sama lain bergantung kepada tahap ilmu dan bahan rujukan mereka.
Sesetengah negeri atau negera tidak menentukan mazhab yang dipegang oleh rakyat. Berbeza dengan negara kita, telah ditetapkan sebagai mazhab Syafii mazhab utama dan rasmi. Sungguhpun begitu kerajaan tidak menghalang mazhab lain diamalkan oleh pengikutnya secara bersendiri. Tetapi untuk urusan rasmi atau negara mestilah mengikut mazhab Syafii. Walau bagaimanapun demi maslahah ummah dan negara, pandapat mazhab lain boleh dipakai setelah diwartakan kerajaan.
Dalam hal-hal seperti inilah perlunya semua umat Islam meraikan pandangan orang lain. Namun berapa orang yang tahu maksud ungkapan tersebut? Untuk mudah faham perhatikan kisah ini, Imam Syafii telah singgah di kota Kufah, tempat berkembangnya mazhab Hanafi. Imam al-Syafie telah diberi peluang mengimamkan solat subuh dan beliau tidak membaca qunut.
Apabila selesai solat makmum yang bermazhab Hanafi bertanya: Bukankah tuan telah menuntut supaya dalam solat subuh dibaca qunut dan orang yang tertinggal pula tuan meminta sujud sahwi? Kami dapati tuan bukan sahaja meninggalkan qunut malahan tuan juga tidak sujud sahwi?.
Lalu imam al-Syafie sambil menunjukkan makam imam Abu Hanifah dengan ibu jarinya dan menjawab: Adakah patut aku menyanggahi beliau sedang beliau berada di hadapan ku?
Inilah yang dimaksudkan dengan meraikan pandangan atau pengangan orag lain. Jadi, kalau orang mazhab lain datang ke Malaysia dan berada dalam majlis orang mazhab Syafii, dia perlu meraikan mahzab Syafii dengan mengamalkan ajarannya. Maknanya kalau dia solat subuh bersama imam mazhab Syafii dia perlu juga membaca doa qunut mengikut imam. ini soal qunut, sama jugalah dengan hal ini. Kalau semua orang dapat memahami konsep ini tidak timbullah konflik seperti sekarang ini.
Orang yang bermazhab lain boleh amalkan ajaran daripadanya di tempatnya, sebagai contoh orang India yang melakukan solat di masjid India dan Pakistan, mereka bebas melakukan ibadah dengan mazhab mereka. Berdasakan itu kita boleh amalkan ajaran Islam mengikut ilmu dan kefahaman kita. Maka tidak perlulah kita menyalahkan pandangan mazhab lain atau mempengaruhi orang lain supaya mengikut pandangan kita pula. Inilah yang perlu kita fahami maksud meraikan padangan orang lain. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: