14 Februari 2016

Ambil Hati dengan Jaga Hati berbeza

Kita selalu dengar orang kita berkata, kita kena jaga hati orang. Tetapi dalam keadaan lain pula kita dengar pula orang berkata, jangan ambil hati. Kedua-dua ungkapan mengenai hati itu adalah simpulan bahasa orang Melayu. Berdasarkan susunan katanya, sudah pasti membawa maksudnya yang berlainan, namun kedua-duanya membawa kepada natijah yang sama ialah kecil hati atau terasa hati jika tidak diselenggarakan dengan baik.
Hari ini saya nak mengajak anda untuk memahami kehendak dua simpulan bahasa ini sekaligus dapat kita menangani isu yang berkaitan dengan hati. Jika kita rujuk kepada buku simpulan bahasa, ambil hati bermaksud kemungkinan; (a) menarik perhatian seseorang atau membuat sesuatu supaya yakin kepadanya atau disukai orang; memikat hati. atau (b) perubahan sikap kerana tersinggung; merajuk atau menaruh perasaan marah.
Manakala simpulan bahasa, jaga hati bermaksud; bertolak ansur dan saling menghormati. Maknanya kedua-dua simpulan bahasa ini merupakan hukum komunikasi masyarakat. Maka jika seseorang itu gagal dalam salah satu daripada kedua-duanya akan gagallah sebuah perhubungan. Nanti akan ada satu pihak yang berkecil hati atau merajuk.
Jadi, dalam komunikasi yang berkesan perlu ada pada mana-mana pihak sikap ambil hati dan jaga hati. Dalam rumah tangga sebagai contoh, suami perlu tahu bagaimana menjaga hati isteri, sebagai bapa dia perlu tahu untuk menjaga hati anak-anak. Begitu juga sebaliknya, isteri terhadap suami dan anak-anak terhadap bapa, malah mereka lebih aula untuk menjaga hati suami atau bapa. Cuma persoalannya bagaimana seseorang itu perlu menjaga hati?Perlu ditegaskan di sini bahawa menjaga hati ini merujuk kepada ucapan atau perbualan. Maknanya setiap tutur kata mereka dengan pihak lain perlu disusun dengan baik agar hatinya tidak tercalar.
Lain pula halnya dengan ambil hati, seseorang itu perlu ambil seseorang dalam tindakan dan sikap, bukan pada percakapan. Seorang suami sebagai contoh perlu bertindak atau bersikap baik dengan isteri dalam semua keadaan. Jika suami bertindak hingga menimbulkan curiga isteri akan berlakulah kecil hati. Jadi, ambil hati penting untuk menjadikan rumah tangga harmoni. Kalau begitu, adab dan sopan semua pihak adalah menjadi keutamaan dalam rumah tangga.
Selain rumah tangga, masyarakat setempat, organisasi apatah lagi dalam sesebuah negara, pemimpin perlu juga mempraktikkan amalan ambil hati dan jaga hati ini. Sebagai pemimpin masyarakat dia perlu pandai jaga hati dalam ucapanya. Begitu juga pemimpin dalam organisasi, dia perlu pandai jaga hati anak buahnya dalam semua arahan. Begitu juga dengan amalan ambil hati dalam semua tindak tanduk pemimpin. Lebih-lebih lagi seseorang pemimpin negera dengan rakyat pemerintahannya.
Sudah banyak pengalaman yang berlaku di depan mata di mana pemimpin terlepas cakap hingga menyebabkan orang bawahnya merajuk. Pernah juga pemimpin bertindak membelakangkan kehendak rakyat, akhirnya mereka marah kepada pepimpin tersebut. Ya, kita nampak perkara ini mudah tetapi sering diabaikan oleh pemimpin, kesannya mereka bencikan pemimpin tersebut. Demikian dalam sesebuah negara.
Keadaan yang sama kalau tidak dipraktikkan dalam rumah tangga, akan terjadilah ketidakbahagiaan rumah tangga tersebut. Apabila semua pihak tertekan dengan keadaan itu, mereka akan bertindak di luar batas agama dan moral. Bayangkan kalau orang bawahan tidak berpuas hati dengan sikap pemimpin, tentu mereka sukar memberi taat setia kepada pemimpin lagi. Jadi, ambil hati dan jaga hati bukanlah perkara kecil yang boleh dikesampingkan dalam hidup bermasyarakat.
Walau bagaimanapun umat Islam perlu ingat, ambil hati dan jaga hati ini mempunyai tujuan yang lebih utama iaitu mendidik isteri. Namun berdasarkan pengalaman yang lalu, ramai umat islam yang tersalah dalam mempraktikan dua simpulan bahasa tersebut. Apa tidaknya, dia hendak jaga hati seseorang dengan menunjukkan sikap atau tindakan, kononnya hendak jaga hati. Sebaliknya dia mengambil hati seseorang dalam perbualan maka kesannya perbuatannya itu akan disalah anggap. Kata-katanya itulah yang sering dikatakan "buat baik ada makna tu."
Selain itu dalam amalan menjaga hati dan ambil hati ini, kita perlu berhati agar sentiasa berada pada tahap bersederhana. Sedarlah jika amalan melampau, akan terjadi tidak ikhlas atau menipu dan berdosa. Bayangkan demi mengambil hati isteri dia memuji isteri berlebih-lebih, padahal kalau sedikit cukup mengembirakannya. Tetapi dengan berlebih-lebihan memuji, dia rasa bangga dan ego lalu tidak rasa bersalah. Padahal tujuan suaminya adalah untuk menginsafkannya.
Begitu juga kalau dalam menjaga hati isteri, dia bertindak berlebih-lebihan seperti memberi hadiah dan sebagainya, kerana dengan sikap itu dia merasai dia adalah sempurna dan disayang oleh suaminya. Padahal suami amat tersiksa dengan karenah isterinya. Jadi, ingat sederhana ini dianjurkan oleh Islam. Semua yang dilakukan ada batas dan hadnya. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: