14 Februari 2016

Erti Ikhlas Pada Anda

Ikhlas adalah kerja hati yang hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang tahu. Tiada sesiapapun yang boleh tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak. Maka sebagai hamba Allah kita wajar bersangka baik kepada semua orang bahawa dia ikhlas. Dengan itu kita tiada ruang untuk memanda serong kepada orang lain.
Tetapi sebenarnya, walaupun setiap individu tahu keikhlasan dirinya namun dia tetap menyatakan bahawa dia ikhlas. Atas sikap itulah mereka berasa selesa dengan keadaan lalu tidak mahu membuat perubahan bagi mengikhlaskan harinya. Kesan daripada sikap itu, kehidupannya tidak mencapai kehidupan yang sempurna di sisi Allah.
Oleh sebab itu, sebagai hamba Allah, anda wajib ikhlaskan diri dalam melakukan ibadah kepada Allah. Berbuatkan kerja yang Allah kehendaki dengan penuh rela tanpa sebarang sungutan, tanpa mengharapkan ganjaran, apatah lagi beribadah supaya Allah melihat anda sebagai orang yang taat. Semua itu adalah tanda-tanda tidak ikhlas kepada Allah.
Ketahuilah, ibadah tanpa ikhlas seperti di atas akan menyebabkan ibadah anda tidak diterima oleh Allah. Allah tidak menilainya sebagai ibadah atau persembahan yang baik dan sempurna. Bayangkan kalau itu yang terjadi sepanjang hidup anda, peluang apa lagi untuk Allah masukkan anda ke dalam syurga Allah dengan Rahmat-Nya?
Kalau anda seorang anak, ikhlaskan diri anda dalam melakukan kerja untuk ibu bapa anda. Buatlah kerja yang diperintahnya tanpa sebarang sungutan, tanpa mengharapkan dipuji atau dihargai, apatah lagi melakukan kerja kerana ada udang di sebalik batu. Ingatlah persembahan anda kepada ibu bapa anda jika ikhlas akan menjadikan hidup anda kemudiannya tidak berkat.
Ya, biasanya anak akan buat kerja yang disuruh oleh ibu bapa dengan sempurna, tetapi di dalam hati anda tersimpan rasa tak rela, rasa marah, rasa sikit hati, “asyik-asyik suruh dia sahaja, kalau salah marah, kalau elok tak puji pun.” Itulah yang anda sebutkan walaupun di dalam hati, Allah menilainya sebagai tidak ikhlas.
Teringat suatu ketika semasa saya masih kecil dan remaja, selalu ayah saya menyuruh saya ke sawah untuk merumput (buang rumput sebelum proses menanam padi). Adik masih kecil, dan kakak ke sekolah, maka sayalah yang menjadi mangsa suruhan ayah. Saya tetap pergi sawah untuk tujuan itu. Tengah hari balik rumah dan berehat. Namun ayah tidak pernah tanya kerja saya dan tidak juga mengucapkan terima kasih.
Saya berasa lega apabila masuk sekolah menengah kerana masa untuk ke sawah sudah kurang kecuali hari Sabtu dan Ahad. Namun waktu itu saya tidak sedar bahawa sikap saya itu adalah tidak ikhlas. Kini setelah mengharung hidup yang serba mencabar, saya sering bertemu dengan masalah yang sukar diselesaikan. Kadang-kadang selesai satu masalah datang masalah lain pula.
Hari ini saya percaya semua itu adalah kerana saya tidak ikhlas kepada ibu bapa saya dalam segala yang dikerjakan untuknya. Walaupun setiap kali hari raya saya meminta maaf zahir dan batin, namun permohonan secara umum itu tidak termasuk amalan hati yang tidak ikhlas kepada mereka. Apakah daya hari ini mereka berdua sudah tiada, peluang untuk memohon ampun sudah tiada lagi. Hanya satu, kepada-Mu ya Allah, ampunkan dosa-dosaku yang tidak ikhlas kepada ibu bapaku dalam segala kerja yang diperintahkan.
Oleh hal yang demikian saya nak ingatkan kalian sekali lagi, kita semua adalah anak kepada ibu bapa kita, jika mereka masih hidup, ikhlaskan setiap kerja yang anda lakukan untuknya. Kalau dia sudah tiada, mohonlah ampun kepada Allah semoga Allah menilainya sebagai satu usaha yang baik.
Kalau anda seorang isteri ikhlaskan kepada suami anda dalam apa yang kamu lakukan untuknya. Ya, mungkin anda masuk untuknya, membasuh baju untuknya, melayan nafsu seksnya, tetapi di dalam hati anda ada rasa yang tidak reda. Ada ada rasa tak suka dengan sikap suami lalu persembahan anda seperti acuh tak acuh sahaja.
Mungkin kerana suami anda ada isteri maka anda rasa terpaksa melayan kehendak suami anda. Semua itu dikira tidak ikhlas, apatah lagi melayan secara buruk kepada suami. Kalau anda tidak ikhlas dan melakukan secara paksa, hidup anda tidak akan bahagia sepanjang hayat. Apabila suami tiada barulah anda menyesal yang tidak sudah-sudah.
Jadi, belajarlah untuk ikhlas dalam semua kerja kita sama ada sebagai hamba Allah, atau anak atau isteri. Jika sudah terlanjur, mohonlah kemaafan selagi anda masih bernyawa. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: