01 Mac 2009

Ihsan perlu ada dalam jiwa Muslim elak rasuah

Oleh: AHMAD BAEI JAAFAR

Sifat ihsan ialah sifat semula jadi manusia iaitu yang lahir dari hati yang suci. Hati kecil manusia akan mudah rasa simpati kepada orang yang susah, malah terhadap binatang.
Sifat ini dimiliki oleh Islam dan yang bukan Islam juga. Oleh sebab itu dalam kehidupan di dunia ini sering kita lihat orang bukan Islam turut menyumbang derma kepada orang yang terlibat dengan bencana malah kadang-kadang lebih besar dan bernilai.
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadisnya menceritakan bagaimana seorang perempuan jahat sewaktu melihat anjing kehausan, lalu dia berusaha mendapatkan air dari sebuah perigi.
Tetapi kalau jiwa seseorang itu telah dikuasai nafsu jahat, akan hilanglah sifat ihsan pada dirinya. Oleh sebab itu Islam datang dengan memberi ganjaran kepada orang yang boleh bersikap ihsan dan mengancam neraka kepada orang yang sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang antara lain menceritakan bahawa seorang wanita yang mengurung kucingnya dan tidak memberi makanan yang diperlukan. Wanita ini dijamin neraka selagi dia tidak bertaubat dengan sesungguhnya.
Sebenarnya ihsan dalam Islam antara komponen yang terpenting yang menjadikan seseorang itu Muslim yang sempurna. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang ada mengisahkan tentang kunjungan Jibril a.s. bertemu Rasulullah s.a.w. bertanyakan sesuatu tentang iman, Islam dan ihsan.
Menjawab soal mengenai ihsan, baginda berkata, “Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak dapat melihat Allah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat kamu.”
Berdasarkan hadis itu, ihsan ialah satu sikap yang mesti dimiliki oleh umat Islam baik semasa bergaul dengan manusia mahupun dengan Allah S.W.T. Mereka yang memiliki sikap ihsan ini sentiasa merasai Allah S.W.T. melihatnya malah ada yang boleh merasai melihat Allah S.W.T.
Melalui hadis ini, umat Islam diajar supaya melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh ketekunan seperti sedang berhadapan dengan Allah S.W.T. Ibaratnya seorang pekerja berhadapan dengan bosnya, sudah tentu dia akan melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Mereka yang boleh bersikap begitu dalam setiap kerjanya, pasti dia boleh bersikap yang sama sewaktu melakukan kerja-kerja kebajikan yang lain. Malah mereka yang dapat melakukannya dengan seikhlas hati tanpa sebarang publisiti.
Mereka dalam kedudukan ini dapat merasai bahawa dia sedang diperhatikan oleh Allah S.W.T. Inilah hakikat orang yang berbuat ihsan terhadap manusia, apatah lagi terhadap Allah S.W.T.
Dalam al-Qur’an terdapat banyak tempat yang menyebut tentang ihsan, iaitu berbuat ihsan kepada ibu bapa. Tetapi sifat ihsan yang merujuk kepada dua ibu bapa ini kalau dikaitkan dengan hadis di atas sudah tentu bukan sekadar boleh menjaganya sewaktu mereka tua.
Meskipun seseorang anak itu boleh menjaga ibu bapanya dengan baik tetapi sesekali terkeluar dari lubuk hatinya rasa kecewa dan marah terhadap ibu bapa, sudah hilang sifat ihsannya. Hal ini kerana ketika itu dia lupa bahawa Allah S.W.T. melihat dan menilainya.
Seseorang anak yang setiap bulan mengirim wang kepada ibu bapa belum tentu bersifat ihsan jika sumbangannya bertujuan ada udang di sebalik batu. Sewaktu menyumbang wang itu dia terlupa bahawa Allah S.W.T. mengetahui isi hatinya.
Oleh sebab itu, seseorang Muslim mesti mendidik diri dan hati agar boleh memiliki sifat ihsan. Sebenarnya dalam ilmu Islam, ihsan disebut sebagai ilmu tasawuf iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh umat Islam.
Tetapi pengajian ilmu ini kini tidak diberi keutamaan oleh umat Islam kerana sering dikaitkan dengan ilmu kesufian, malah ada yang dikaitkan dengan ilmu salah. Padahal kedua-dua ilmu itu berlain. Salah faham umut Islam dalam hal ini menjadi punca umat Islam kurang sifat ihsan dalam diri mereka.
Usaha mendidik diri agar menjadi orang yang ikhlas kepada Allah S.W.T. dalam setiap perkara yang dilakukan tidak boleh dipandang ringan lagi. Usaha ini sepatutnya lebih serius dan berterusan kerana sifat ihsan seharus menjadi pakaian umat Islam sepanjang hidupnya.
Dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai gejala buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan dan juga swasta. Sikap pegawai ini jelas tidak memiliki sifat ihsan kerana sewaktu dia menerima rasuah atau memberi rasuah, dia terlupa bahawa Allah sedang melihatnya.
Jadi, pendekatan mendidik pegawai kerajaan dan orang ramai tentang ilmu tasawuf itu perlu diberi keutamaan. Kerajaan melalui JAKIM perlu memandang serius dalam mendidik umat Islam demi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Inilah satu-satunya ubat yang seharusnya dicari jika kerajaan benar-benar serius untuk membasmi perkara di atas. Sikap memusuhi ilmu tasawuf perlu ditamatkan segera.

2 ulasan:

a berkata...

setuju dengan pandangan saudara~

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih, sifat inilah yang perlu kita bangunkan dari sekarang.