27 April 2012

Bahagia ditentukan pasangan pada malam pertama

Ahmad Baei Jaafar

Bahagia menurut orang kebanyakan ialah apabila banyak wang, banyak harta yang boleh buat apa sahaja dengan wang itu demi kebahagian suami isteri. Oleh sebab itulah suatu ketika dahulu apabila ada lelaki hendak masuk meminang dipersoalkan status kerja dan jawatannya. Walaupun akhirny diterima juga peminangan, hanya kerana terpaksa namun menantu tersebut bukanlah kesayangannya.
Walau bagaimanapun akhir-akhir ini terdapat sedikit angin perubahan, apabila lelaki yang tidak berada boleh berkahwin dengan perempuan yang berada. Keadaan berlaku apabila wanita berjawatan lambat berkahwin. Maka apabila perempuan tersebut bersetuju, ibu bapa akan ikut  sahaja. Suami yang menjadi pilihan itu tidak diharapkan apa-apa kecuali perlindungan.
Realitinya manakah di antara keduanya boleh wujud kebahagian? Kalau kekayaan semata-mata menjadi ukuran, kita lihat ramai juga yang tidak bahagia. Walaupun semua yang dihajati boleh diperoleh dengan wang tetapi masih ada hati yang tidak tenang. Begitu juga pasangan yang tidak memikirkan soal kewangan. Kadang-kadang suami rasa tertekan kerana tidak boleh bebas bergerak. Jadi, mereka tetap tidak bahagia. Kalau begitu apakah yang sebenarnya boleh membawa kebahagiaan?

Malam pertama
Walau apapun usaha dan ikhtiar yang dilakukan untuk bahagia, sebenarnya komunikasi atau hubungan dua hala yang berkesan itulah yang amat penting untuk mencapai kebahagiaan. Oleh sebab itu pada malam pertama, pengenalan diri secara yang lebih mendalam boleh dimulakan sebelum lain-lain urusan. Mungkin pasangan yang sudah lama berkenalan berkata mereka tidak berkenalan lagi, tetapi percaya mereka sebenarnya belum benar-benar kenal. Jadi, pada malam pertama perlu diluahkan segala-galanya agar tiada rahsia antara keduanya.
Pada masa yang sama, tuliskan pada satu kertas tentang empat perkara yang telah dimiliki dan akan dicapai. Empat perkara tersebut ialah tentang imannya, akhlaknya, sifat mawaddah dan sifat rahmatnya. Suami tulis dalam catatannya dan isteri juga lakukan perkara yang sama dalam catatannya.
Iman, tuliskan tahap iman anda. Apa yang anda tahu tentang iman. Ketahuilah orang yang beriman ialah orang yang apabila menyebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan al-Quran bertambah imannya. Inilah tahap iman yang sepatutnya dimiliki oleh umat Islam.
Akhlak, tuliskan tahap akhlak anda, adakah sudah baik atau kadang-kadang tidak boleh sabar. Allah datangkan Nabi Muhammad kepada umatnya untuk menyempurnakan akhlak manusia. Rasulullah sendiri amat tingga akhlaknya, sangat penyabar dan penyantun dalam pergaulan. Malah hasil akhlaknya itu musuh Islam boleh menerima Islam. Bolehkah kita memiliki akhlak sebegitu dalam berhadapan dengan isteri?
Mawaddah, tuliskan tahap sifat kasih sayang anda. Bolehkah anda memberi kasih sayang kepada isteri anda sepenuhnya. Orang yang kasih dan sayang tidak akan abaikan isteri, perhatian diberikan sepenuh kepada isteri. Dan kalau isteri membuat sesuatu yang baik untuk anda bolehkah dibalas dengan kasih sayang? Hargailah pengerbonan sepanjang dia menjadi isteri anda.
Rahmah, tuliskan tahap belas kasihan yang ada dalam diri anda. Dalam hal ini kalau isteri sakit bolehkah anda membelainya dengan belas kasihan. Kesalahan isteri terhadap anda bolehkah dibaiki dengan penuh belas kasihan. Kederhakaan isteri bolehkah diberi teguran dengan berhikmah dan belas kasihan? Belas kasihan ini penting dalam rumah tangga.
Isteri jugas perlu menulis perkara yang sama tetapi dia tidak boleh berpakat apa yang mahu ditulisnya. Setelah siap, berikan kepada pasangan masing-masing dan bacalah catatan pasangan anda dengan cermat. Setelah itu, masing-masing perlu berikrar di hadapan pasangan, “Saya akan menjadi suami/isteri yang beriman, berakhlak, ada sifat mawaddah dan rahmat, jika saya terseleweng dari landasan ini, saya bersedia ditegur oleh pasangan.” Demikian yang boleh dilakukan pada malam pertama.

Nilaian pasangan
Apabila masing-masing sudah mendapat catatan pasangannya, simpanlah baik-baik di tempat yang boleh dilihat. Tetapi sebelum tidur, bukalah lembar catatan itu dan masing-masing boleh buat penilaian terhadap pasangan anda. Kalau pasangan tersebut sudah baik imannya, akhlaknya dan semuanya memuaskan maka ucaplah terima kasih terhadap pasangan anda. Semoga kebaikan itu dapat diteruskan sehingga bila-bila.
Namun begitu kalau dalam penilaian itu terdapat kekurangan yang boleh menjejaskan hubungan bolehlah anda membuat teguran untuk menambahbaikkan kekurangan itu. Dalam hal ini perlu diingatkan, janganlah kesalahan atau kekurangan itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang teguran atau baik pulih. Percayalah kalau keadaan ini berterusan, boleh membawa kesan buruk kepada pasangan itu, dan boleh jadi dia tidak boleh menerima teguran lagi selepas itu.
Suka saya contohkan di sini kisah yang boleh dikaitkan dengan soal teguran. Bayangkan kalau seorang suami menulis dalam catatan itu bahawa dia mahu berbuat baik, berakhlak mulia. Ertinya dia perlu berbuat baik kepada isteri setiap masa. Nanti kalau dalam sehari itu, suami suka marahkan isteri, maka isteri bolehlah merujuk kepada catatan suami, dan tunjukkan kepada suami. Ketika itu suami anda akan sedar dan akan segera berubah. Kalaulah dia mahu berubah juga, ingatkan dia bahawa dia sebenarnya telah berjanji di hadapan Allah.
Percayalah dengan cara ini suami boleh reda dan isteri juga akan rasa tenang. Itulah hakikat kebahagiaan dalam rumah tangga. Kalau keadaan ini boleh dikekalkan, miskin harta tidak menghalang mereka untuk menjayakan kehidupan. Hakikatnya mereka kaya iman.

Muhasabah bulanan
Selain muhasabah harian boleh juga dilakukan muhasabah secara bulanan. Cuma perlu diingatkan, segala yang berlalu bahkan sudahpun diselesaikan setiap hari sebelum tidur maka tidak wajarlah diungkit-ungkit lagi. Yang sudah sudahlah, semoga yang berlalu itu akan menjadi panduan untuk masa depan mereka.
Muhasabah bulan itu seeloknya dibuat pada waktu sarapan pagi atau waktu makan petang. Jika masing-masing berpuas hati, sebaiknya antara mereka saling ucapkan ribuan terima kasih. Siapa yang hendak mula dahulu tidak timbul isu, yang penting siapa yang memberi tentu lebih besar pahalanya daripada orang yang menerima.
Walau bagaimanapun jika pasangan tersebut sukar membuat perubahan setelah ditegur berkali-kali, terimalah kekurangan itu dengan penuh rasa tolak ansur dan sabar. Ingatlah suami atau isteri yang cuba membuat perubahan akan diberi pahala walaupun dia gagal mencapainya. Manakala suami atau isteri yang boleh bertolak ansur dalam hal ini, pahala tentu lebih besar di sisi Allah.
Ketahuilah pasangan yang boleh bertolak ansur dan sabar dengan kerenah pasangannya, hakikatnya mereka telah benar-benar beroleh bahagia. Mengapa? Ya, dengan tolok anda dan sabar itu mereka akhir boleh melakukan hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang. Malah hubungan sebeginilah yang menjadi ukuran kebahagiaan.
Dalam hal ini kalau ada seseorang yang mendakwa empat perkara di atas sudah sempurna padanya, tetapi apa dilihat pada kehidupannya didapati tidak wujud hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang, mereka belum boleh lagi dikatakan bahagia. Ingatlah apabila hubungan mereka berlaku secara paksa atau sebelah pihak tidak mahu memberi kerjasama, bermakna empat perkara di atas tidak dilakukan secara baik.
Di sini mungkin ada pihak yang tidak suka isu hubungan kelamin ini dibesarkan. Tetapi percaya, kebanyakan punca hubungan keluarga yang tidak harmoni akhir-akhir ini ialah apabila pasangan itu menjauhkan diri daripada hubungan kelamin. Tidak percaya?
Pernahkah anda mendengar berita pasangan tua bercerai? Walaupun kes banyak tetapi tidak dibesarkan media. Pasangan itu walaupun sudah tua, sudah punyai anak dan cucu yang ramai, tetapi apabila hubungan kelamin tidak dapat dikekalkan, rasa mawaddah dan rahmat turut hilang. Jika ini gagal dilakukan keruntuhan rumah tangga boleh berlaku bila-bila masa.
Jadi, hubungan dua hala seperti yang dinyatakan di atas mesti dinilai setiap masa sehingga ke akhir hayat. Ingatlah kebahagiaan rumah tangga perlu diteruskan hingga ke dalam syurga.

21 April 2012

Benarkah Sultan Bayangan Allah?


Ahmad Baei Jaafar

Baru-baru ini saya ditanyakan tentang sebuah hadis yang menyebut Sultan bayangan Allah. Isu ini turut dibincangkan dalam fb dan blog tertentu. Ramai juga yang memberi komen mempertikaikan kesahihan hadis tersebut. Melihat pertikaian itu saya cuba merujuk kepada kitab-kitab hadis. Antara yang ditemui ialah riwayat dalam kitab al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:
السلطان ظل الله في الأرض، فإذا دخل أحدكم بلدا ليس به سلطان فلا يقيمن به
Maksudnya: “Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”.

Sultan dalam riwayat ini merujukkan kepada pemimpin sesebuah negeri atau negara. Jadi, sultan termasuk presiden, gabenor, raja, perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri. Kesemua pemimpin itu menurut riwayat itu adalah bayangan Allah.
Ada yang mempertikaikan riwayat itu dengan mengatakan bayangan Allah besar sangat, layakkah pemimpin sekarang menjadi bayangan Allah. “Bayang” biasanya terbentuk dengan adanya matahari, bulan atau lampu. Bayang sesuatu benda tidak sama dengan bentu tersebut tetapi kalau baying dalam cermin atau air ada persamaan. Sungguhpun begitu bayang itu tetap tidak sama dengan yang original di segi kandungannya.
Kalau begitu apakah maksud bayangan Allah? Sebelum menjawab persoalan itu kita fahami dulu maksud hadis di atas. Sebenarnya hadis berkenaan dengan bayangan Allah ini ada nilai sastera. Dalam ilmu balaqah hadis tersebut adalah termasuk “tasybih” yang dibuangkan adat (alat) tasybih. Sepatutnya hadis itu berbunyi yang maksudnya, “Sultan adalah seperti bayangan Allah”.
Tasybih ialah umpama, maka setiap yang diumpamakan itu tidak merujuk kepada semua tetapi sebahagian sahaja. Barangkali tasybih ini sering kita guna dalam bahasa Melaya, sebagai contoh kita selalu berkata kepada seseorang yang bodoh, “kamu lembu”. Ayat ini bukan bermaksud kamu itu binatang lembu. Tetapi bermaksud, kamu seperti lembu. Apabila disebut seperti lembu, tentu kita faham bahawa orang yang dimaksudkan itu bukan berkaki empat, ada ekor dll. Tetapi maksud “seperti lembu” itu adalah di sudut sifat lembu yang bodoh, boleh ditarik hidung ke mana-mana.
Begitulah yang sepatutnya kita faham dengan hadis di atas. Seharusnya kita faham hadis di atas begini, sultan yang memerintah adalah seperti bayangan Allah di sudut menjalankan urusan pentadbiran negara. Maka sultan atau pemimpin mesti mentadbir dengan cekap dan bijak seperti pentadbiran Allah. Jika sultan seperti kedudukan di atas maka wajarlah mereka disanjungi dan dihormati.
Sebaliknya jika sultan atau pemimpin zalim, tidak cekap, tidak amanah dia sudah mencabuli bayangan Allah. Maka mereka tidak wajar disanjungi. Seterusnya hadis itu diakhiri dengan amaran, jika seseorang masuk ke sebuah negeri yang tidak ada pemimpin diingatkan agar tidak tinggal dalam negeri tersebut. Larangan ini merujuk kepada negeri yang tidak ada pemimpin yang berjiwa bayangan Allah. Oleh sebab itu umat Islam harus bernaung di bawah pemimpin yang dimaksudkan di atas. Wallahu aklam.

03 April 2012

Niat Berkahwin Boleh Mengikat Kasih Sayang


Ahmad Baei Jaafar

Berapa ramai orang berniat apabila berkahwin? Berapa ramai pula yang berniat sesuatu yang baik dan yang sesuai dengan Islam? Apakah mereka tahu bahawa niat penting apabila memutuskan hendak berkahwin?
Ramai yang tidak sedar kepentingan niat dalam mendirikan rumah tangga. Sebab itulah apabila ditanyakan apa niat anda untuk berkahwin, baru mereka tercari-cari akan jawapannya. Ada yang tidak tahu hendak menjawab kerana terdapat perkara tertentu yang mahu dirahsiakan. Atau mungkin mereka malu untuk menyatakan niat mereka, atau mungkin juga kerana tiada niat langsung.
Namun niat yang lazimnya diberikan ialah berkahwin untuk mendirikan rumah tangga, dan ada juga yang berkata, ikut sunnah Nabi. Tidak kurang juga menjawab hendak merasai hidup berkeluarga. Apakah niat-niat seumpama ini boleh diterima sebagai niat baik atau sesuai dengan kehendak Islam?
Niat penting dalam melakukan segala urusan terutama ibadah kepada Allah berdasarkan hadis:
“Sesungguhnya setiap amalan ada niatnya, setiap seorang dinilai mengikut niatnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis masyhur ini bukan hanya khusus untuk amal ibadah sahaja, tetapi turut melibatkan amalan atau pekerjaan yang melibatkan orang Islam.
Jadi, pasangan yang hendak berkahwin perlu ada niat, dan niat itu nantilah yang akan direalisasikan oleh mereka sepanjang kehidupan berumah tangga. Kalau baik niat mereka maka itulah yang akan mereka kecapi. Sekiranya tidak, tentulah kecundang padahnya pada pertengahan jalan. Apatah lagi kalau mereka menyimpan niat yang tidak ikhlas, maka kewujudan rumah tangga yang diibaratkan sebagai syurga itu tidak akan menjadi kenyataan.

Niat yang Syarie
Sebenarnya niat seseorang lelaki tidak sama dengan niat seorang perempuan dalam soal kahwin. Memang naluri dua insan ini tidak sama sampai bila-bila, namun ia akan saling lengkap melengkapi setelah berkahwin. Malah niat itu akan menjadikan mereka lebih bahagia apabila saling mengetahui niat hati masing-masing.
Antara niat yang syarie ialah lelaki akan berniat untuk menjadi suami soleh dan memiliki isteri solehah dan bertekad untuk saling menyayangi. Niat ini amat baik, tetapi berdasarkan pengalaman saya jarang bertemu dengan lelaki seumpama ini.
Bagi perempuan pula, mereka boleh berniat untuk menjadi isteri yang taat dan memiliki suami yang boleh membimbing ke jalan yang diredai Allah. Niat sebegini amat baik dan wajar dimiliki seorang isteri. Tetapi sampai saat ini pun saya belum ada mendengar seorang wanita berniat sebaik ini.
Apa yang pernah saya dengar ialah, “Saya hendak berkahwin kerana cintakan dia.” “Saya mahu kahwin kerana sudah lama kenal dan percaya kebaikannya.” Dan tidak kurang juga yang berniat untuk berkahwin kerana sudah terlanjur. Saya percaya kecelaruan kehidupan umat Islam pada hari ini terutama dalam mengatur rumah tangga adalah berpunca daripada niat yang tidak sesuai malah bercanggah dengan Islam. Oleh sebab itu Allah tidak menerima niat mereka.

Niat Terbaik
Setelah melihat niat-niat di atas, suka saya mencadangkan kepada kaum lelaki satu niat yang pada saya amat relevan pada zaman ini. Niat itu berbunyi, “Aku hendak berkahwin untuk mendapatkan sesuatu yang halal yang tanpanya (kahwin) tidak akan kuperolehi.”
Tanpa berkahwin kita boleh dapat banyak perkara yang halal. Kita boleh makan makanan halal semahunya dengan membayar harganya di restoran. Kita juga boleh pakai pakaian halal lagi cantik dengan membelinya di butik. Dan banyak lagi yang boleh kita dapat secara halal tanpa perlu berkahwin.
Tetapi bolehkah anda memegang wanita apatah lagi menidurinya dengan pergi ke kedai, bayar dan guna? Ya, boleh tetapi yang itu tidak halal. Maka untuk mendapat yang halal perlulah berkahwin. Inilah yang saya maksudkan dan anda harus berniat begitu.
Percayalah, waktu anda berniat begitu, Allah campakkan keyakinan isteri kepada anda bahawa suaminya tidak mungkin akan mencari yang haram. Dia yakin suami ini tidak akan mencari peluang daripada perempuan murahan. Lainlah jika anda berniat secara tidak ikhlas, maka isteri akan meragui setiap tindakan suaminya.
Berbeza dengan kaum perempuan, niat mereka adalah supaya mendapat pembelaan daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Inilah niat terbaik yang seharusnya diungkapkan oleh para isteri. Kenapa? Lelaki memang ramai, tetapi bolehkah seseorang wanita yang tanpa berkahwin mengharapkan pembelaan daripada lelaki? Lazimnya harapkan pagar, pagar makan padi.
Jika seseorang perempuan itu berniat, “Aku hendak berkahwin untuk mendapatkan pembelaan daripada seorang lelaki yang bergelar suami,” tentulah isteri itu memberi kepercayaan kepada suaminya. Dan pastinya dia tidak akan menyerahkan hak pembelaan kepada orang lain selain suaminya.
Dengan niat isteri yang sebegitu, Allah campakkan ke dalam hati suaminya bahawa isterinya telah memberi kepercayaan kepadanya. Dengan itu suami akan memberi perhatian kepada isterinya dalam semua keadaan. Dan yang paling penting suaminya akan sentiasa memberi perlindungan dan akan sentiasa membela kehidupannya.
Saya yakin pasangan yang sudah berniat seperti di atas dengan ikhlas, mereka akan mendapatkan apa yang diniatkan. Allah tentu tahu apa yang diniatkan mereka, maka dengan sebab itu pasangan itu akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya.

Kasih Sayang Terbina
Apabila suami isteri telah berniat seperti yang dianjurkan di atas akan terbinalah ikatan kasih sayang sebenar. Allah akan campakkan ke dalam hati masing-masing perasaan “mawaddah warahmah” iaitu kasih sayang sejati. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum  30: 21)
Ayat “daripada jenis kamu sendiri” merujuk kepada ayat “min amfusikum” bukan sahaja pada unsur-unsur fizikal, tetapi juga melibatkan rohani iaitu niat. Niat isteri seperti yang dicadangkan di atas itulah yang menepati kehendak naluri suami. Ini kerana suami mahu mereka dihargai sebagai pemimpin dan pembela walaupun dia seorang cacat.
Sebenarnya, suami yang mendapat kepercayaan isteri akan menjadi seorang yang bertanggungjawab dan perkara itulah yang boleh mencernakan kasih sayang yang sejati. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh berubah apabila isteri secara fizikal atau rohaninya meragui suami lalu enggan memenuhi kehendak suami. Padahal si suami tetap mahu bermanja dengan isterinya.
Suami dalam keadaan apa pun tetap akan sayang kepada isterinya, dan itu fitrah. Ini kerana perkahwinannya pada awal-awal lagi diniatkan untuk mendapat yang halal. Tentu mustahil dia mencari yang haram selepas itu atau dengan sengaja melakukan perbuatan dosa. Sebab itu walau dalam keadaan terdesak sekalipun, seorang suami sukar untuk melafazkan cerai jika diminta oleh isterinya.
Keadaan ini berbeza dengan isteri kerana lazimnya isteri berkahwin berasaskan cinta kepada suami. Sedangkan kecintaan seseorang akan berkurangan apatah lagi jika sudah tertanam di dalam hatinya sangka buruk terhadap suami. Inilah yang sering terjadi dalam kehidupan rumah tangga.

Ibu Bapa Penyelamat
Selain niat suami isteri, ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam merealisasikan kehidupan rumah tangga anak-anak mereka. Walaupun anak-anak sudah dilepaskan dengan tanggungjawab mereka sendiri, tetapi ibu dan bapa masih ada hak memantau pergerakan anak mereka dari jauh.
Apabila didapati kehidupan anak dan menantu tidak begitu ceria, janganlah mengambil sikap “biar mereka selesaikan sendiri”. Sebaliknya pada peringkat awal lagi ibu bapa perlu bertanyakan keadaan anak masing-masing. Bantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera dengan memberikan kata-kata nasihat dan panduan berguna. Tetapi perlu diingatkan, jangan sesekali salahkan menantu dalam apa jua keadaan.
Sentuhan ibu bapa dalam keluarga anak-anak mereka boleh menjadikan hubungan suami isteri lebih murni. Tetapi ia perlu dibezakan dengan bentuk campur tangan yang boleh meruntuhkan. Jangan sampai masalah yang timbul amat sedikit, tetapi dengan campur tangan ibu bapa, isu kecil menjadi besar.
Oleh sebab itu ibu bapa juga perlu ada niat yang baik apabila mengahwinkan anaknya di samping niat anak itu sendiri. Begitu juga, niat ibu bapa melepaskan anak perempuannya kepada suaminya juga mesti ikhlas, jangan ada udang di sebalik batu. Ramuan inilah yang menjadikan kehidupan anak dan menantu sentiasa ceria dan bahagia.