18 September 2018

Kepimpinan Ulama Bukan Semestinya Ulama Menjadi Umara

Ahmad Baei Jaafar

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Ada dua golongan manusia, bila mereka baik, orang lain menjadi baik, bila mereka rosak orang lain menjadi rosak: ulama dan umara.” (Riwayat Abu Na’im)
Siapa ulama? Mereka adalah ahli ilmu dan beramal dengan ilmunya. Maka cerdik pandai agama yang boleh buat kuliah di masjid atau seumpama, tak perlulah diulamakan mereka. Hal ini kerana mereka kadang-kadang tidak amalpun apa mereka ajar kepada orang ramai.
Siapa pula umara? Mereka adalah ketua masyarakat sama ada imam solat sehinggalah presiden sesebuah negara. Dalam istilah kita ialah pemimpin. Maka siapapun anda kalau sedang memimpin satu kumpulan atau masyarakat adalah umara.
Hadis di atas apabila dirujuk kepada definasi di atas, jelas kedua-dua golongan ini perlu bergandingan di dalam masyarakat sama ada scala kecil atau besar. Gabungan dua tenaga tersebut boleh menjadikan masyarakat atau rakyat sebagai baik dan sempurna. Sebaliknya perpecahan atau pergeseran mereka akan membawa perpecahan masyarakat atau rakyat.
Sebenarnya hadis di atas menjadi dalil kepada pentingnya wujud sebuah kepimpinan ulama dalam sesebuah negara dan lain-lain. Tetapi apa yang anda faham dengan "kepimpinan ulama"? Adakah ulama mesti jadi pemimpin?
Berdasarkan hadis di atas, ulama dan umara adalah intiti yang berbeza. Maknanya umara di satu pihak dan ulama berada satu pihak yang lain. Tetapi antara mereka saling berhubung dan bergandingan dalam membangunkan kerajaan.
Supaya lebih jelas perhatikan apa yang saya gambarkan di sini sebagai contoh:
Perdana Menteri terdiri daripada tokoh politik yang hebat, Baik dalam merancang dan menguruskan negara. Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri diperhatikan oleh ulama sama ada mufti atau jawatan kuasa ulama sama ada secara dekat atau jauh. Maka sebagai Perdana Menteri sebelum melaksanakan sesuatu dia sebaiknya mendapat perkenan ulama terlebih dahulu. Atau dalam pengurusan negara, tiba-tiba ulama mendapat ada yang lari daripada dasar hukum Allah, maka mereka perlu menasihati perdana menteri atau membaiki kesalahan itu.
Jadi, Perdana Menteri tiada pilihan lain melainkan mengikut kehendak ulama. Sebenarnya kaedah ini turut terpakai kepada semua umara walaupun perdana menteri tersebut sudah dalam kalangan ulama. Dia juga perlu akur dengan nasihat ulama yang dilantik.
Inilah kaedah yang diamalkan oleh khalifah-khalifah sebelum ini, Ada sahabat lain yang bersedia menegur mereka. Wallahu aklam.

10 September 2018

Tiada Sebab Orang Bukan Islam Tolak Hudud


Ahmad Baei Jaafar

Undang-undang jenayah syariah untuk kesalahan melibatkan umat Islam. Itulah kenyataan yang selalu kita dengar daripada guru dan pemimpin Islam. Dan itu jugalah yang kita faham. Tetapi ramai juga orang Islam tidak puas hati kerana dilihat tidak adil kepada orang bukan Islam.
Pada masa yang sama orang bukan Islam juga ragui kenyataan ini, malah mereka bimbang mungkin sekarang tidak dihukum, tatapi satu hari nanti mereka juga akan dihukum. Tidak dinafikan keraguan itu berpunca daripada pengalaman mereka bersama orang Islam yang “cakap tak serupa bikin.”
Soalan balas saya kepada keraguan mereka, “kenapa fikirkan suatu hari nanti?” Kalau isu “suatu hari nanti” tentulah undang-undang ini tidak boleh digunakan lagi. Kalau mereka nak buat juga, mereka kena buat rang undang-undang baru, dan ketika itu kamu boleh menentang mereka. Ya, bukan senang nak buat undang-undang, setahun belum tentu boleh diterima dan diluluskan.

Enakmen Untuk Umat Islam
Sebenarnya selagi Negara ini mengamalkan enakmen undang-undang keluarga Islam, selama itulah orang bukan Islam tidak akan terlibat. Tetapi kalau undang-undang ini akhirnya dibawa masuk ke dalam Kanun keseksaan, barulah boleh melibatkan orang bukan Islam.
Berbalik kepada orang Islam sendiri yang bertanya, tidak adillah orang Islam kena hukum dan orang bukan Islam tidak kena hukum. Orang Islam kena rotan, kena potong tangan dan sebagainya. Orang bukan Islam selamat, nampak tak adil.
Baiklah, kalau anda kata, undang-undang Islam tak adil bererti Allah tidak adil membuat undang-undang begitu. Jadi, jangan kata tak adil kalau mereka tidak dihukum, sebab yang bersalah itu adalah orang Islam. Orang bukan Islam tidak tahu akan hukum itu, yang tahu hukum itu salah hanya orang Islam. Jadi, adillah mereka tidak dihukum.

Dosa Pahala Untuk Orang Islam
Sebenarnya orang Islam ada hukum “dosa dan pahala”. Ada hukum yang orang Islam mesti buat dan digalakkan buat. Semua itu tidak ada kepada orang bukan Islam. Jadi, perkara yang dilakukan oleh orang Islam akan dinilai sama ada dosa atau pahala. Manakala orang bukan islam tidak ada hukuman untuk mereka di dunia ini di sisi Allah.
Contoh mudah, orang Islam wajib solat lima waktu. Kalau dia tidak solat maka dia berdosa. Kalau ada peruntukan undang-undang untuk kesalahan “tidak melakukan solat”, dia boleh dihukum. Tapi bagi orang bukan islam, mereka tidak bersalah kalau tidak melakukan solat walaupun dia berada dalam rumah orang Islam.
Contoh lain, orang Islam yang berzina, dia telah melakukan dosa, dan dia boleh dihukum mengikut hukum Islam. Tetapi kalau orang bukan Islam masuk rumah perempuan Islam lalu berzina, dia tidak berdosa sebab dia bukan islam dan dia tidak boleh dihukum oleh undang-undang Islam.
Itulah keadilan, meletakkan hukum pada tempat yang sepatutnya. Lain pula kalau tiba-tiba perempuan itu mendakwa tidak adil kerana lelaki itu sebenarnya menceroboh rumahnya dan merogolnya. Kalau betullah begitu, buat laporan polis dan lelaki itu akan didakwa di mahkamah sivil sebagai menceroboh dan merogol. Tapi cukupkah bukti dia sebagai perogol?

Undang-undang untuk selamatkan
Suka saya nyatakan di sini, undang-undang ini dibuat untuk menyelamatkan umat Islam daripada melakukan dosa dan dihukum. Silaplah kalau ada orang Islam takut dengan undang-undang Islam dan memburuk-burukkan undang-undang itu kepada orang bukan Islam. Kenapa saya kata begitu?
Ya, Hukum fiqah melarang berzina, melarang mencuri, melarang ambil rasuah dan melarang buat fitnah. Kalau umat Islam boleh patuh, tentu mereka semua tidak berdosa dan dapat pahala lagi.
Manakala dalam undang-undang Islam pula, sesiapa yang sudah berkahwin berzina dia kena rejam sampai mati, kena sebat 100 kali rotan (bagi yang bujang dan tidak pernah kahwin), sesiapa yang mencuri akan dipotong tangan. Dengan hukuman berat ini tentu umat Islam tidak akan berzina dan tidak mencuri. Kesannya tidak sesiapa pun yang kena sebat dan rejam dan potong tangan.
Jelas dengan ini orang Islam semua menjadi terbaik kerana tidak melakukan dosa. Orang bukan Islam pun akan selamat di Negara Malaysia kerana mereka tidak takut lagi dengan orang Islam yang akan mencuri barang mereka atau berzina dengan perempuan mereka. Pada masa yang sama mereka pun tidak sampai hati nak ganggu orang Islam.
Sungguhpun begitu, saya yakin apabila undang-undang ini dilaksanakan di Malaysia, kemungkinan besar tidak ada kes yang melibatkan hukuman hudud kecuali sedikit. Kalau pun ada kes yang dibicarakan, mungkin sebahagiannya hanya boleh dikenakan hukuman takzir iaitu hukuman mengikut budi bicara hakim. Wallahu aklam.