Ahmad Baei
Jaafar
Bercerai
memang mudah semudah menyebut satu dua dan tiga. Benar, suami boleh lafazkan
“aku ceraikan engkau” sewaktu di hadapan isterinya. Dengan lafaz itu sudah
jatuh satu talak. Atau suami menyebut “aku ceraikan isteriku” yang sememangnya itulah
isterinya, maka jatuh talaknya walaupun dia menyebut lafaz itu bukan di hadapan
isteri atau tanpa pengetahuan isteri.
Memang nampak
mudah tetapi tidak semudah itu boleh berlaku perceraian. Walaupun hukum
bercerai dibenarkan tetapi disukarkan oleh Allah agar tidak berlaku perceraian.
Bagaimana? Dalam kesempatan ini saya datangkan bukti betapa Allah tidak suka
umatnya bercerai lalu disukarkan amalannya.
Kuasa talak
diberi kepada suami
Allah berikan
kuasa talak kepada lelaki bukan kepada isteri. Lazimnya lelaki tidak akan menggunakan
kuasa talak semudah hukumnya. Hal ini kerana suami sebelum berkahwin telah
menghabiskan wang yang banyak untuk mengahwini isterinya, tentu tak mungkin
kerana sedikit salah faham maka dengan mudah dia nak menceraikan isterinya.
Selain itu,
suami berfikiran luas dan sabar dalam menghadapi ujian hidup. Dengan karenah
isteri yang sedikit itu tidaklah boleh menggugat kasih sayangnya kepada
isterinya. Biarpun isterinya meminta cerai dia boleh memekakkan telinga. Paling
tidak, kalau dia tidak mahu mendengarnya dia akan keluar rumah mencari
ketenangan di luar.
Walaupun
isterinya memeningkan kepalanya, suami tidak perlu fikir untuk ceraikan isteri
kerana dia boleh berkahwin lagi walaupun isteri itu masih bersamanya. Walaupun
isterinya meminta cerai kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain, dia boleh
menghalangnya. Kalau isterinya bersikap dingin terhadapnya dia ada alasan untuk
kahwin lagi. Dengan cara itu perceraian tidak akan berlaku. Inilah yang saya
maksudkan disukarkan oleh Allah.
Kalau
begitu, mengapa berlaku juga perceraian?
Jawapannya
mudah, apabila tiga sebab di atas tidak dikuasai oleh suami berlakulah
perceraian. Pertama, suami kahwin koboi atau kawin percuma atau kawin kerana
terpaksa. Kalau ada cabaran yang mendatang lalu tidak dapat dikawal olehnya
pasti dia dengan mudah melafazkan cerai. Fenomena ini dapat dilihat pada hari
ini di mana-mana sahaja.
Sebab
kedua, suami tidak boleh sabar malah panas baran. Dia tidak mampu mendengar
leteran isterinya apatah lagi kalau isterinya menguasai ekonomi rumah tangga.
Atas ketidaksabaran itu dia akan melafazkan cerai demi mengelak pergaduhan yang
berpanjangan.
Sebab yang
ketiga, keegoan isterinya mencabar kelakiannya sebagai suami. Tentu kalau dia tidak
menceraikan isterinya akan menjadi bebanan kepada dirinya pula. Pada masa yang
sama niat hendak mengahwin isteri lagi mendapat tentangan isterinya. Maka jalan
selamat diceraikan isterinya lalu bolehlah dia berkahwin baru.
Jadi, kalau
anda suami di mana kedudukan anda? Dan kalau anda isteri di mana kedudukan
anda. Oleh sebab itu, pilihlah untuk tidak bercerai. Maka suami bertindaklah
sebagai suami dan isteri bertindaklah sebagai isteri. Ego isteri tidak membawa
kebaikan kepada rumah tangga, dan sikap terlalu berlembut suami tidak akan
membawa isteri rasa bangga dan suka dengan anda.
Isteri
tiada kuasa mutlak
Bolehkah
anda bayangkan bagaimana kalau kuasa talak atau cerai ini diberikan juga kepada
isteri. Apakah yang akan terjadi pada sesebuah rumah tangga? Perceraian akan
berlaku dalam satu hari berkali-kali. Maka jelaslah kepada kita, dengan
memberikan kuasa cerai kepada lelaki adalah untuk mengelak daripada berlaku
perceraian yang berkali-kali itu.
Allah tahu
kelemahan wanita maka demi menyukarkan perceraian diberikan kuasa kepada suami
sahaja. Namun Islam tidak mahu dilihat terlaku mengungkong isteri, diberikan
juga kuasa talak kepada isteri, tetapi tidak secara mutlak. Mereka boleh
menuntut cerai khuluq, fasakh dan faraq di mahkamah dan hakimlah yang boleh mengarahkan
perceraian itu. Jelas di sini, perceraian masih disukarkan oleh Allah.
Diharamkan
bercerai pada waktu isteri hamil
Hukum haram ini hanya dikenakan kepada suami supaya mereka tidak dengan senang-senang
hati hendak menceraikan isterinya. Mentang-mentanglah isterinya mengandung,
tidak dapat layanan seksnya seperti biasa, lalu hendak diceraikannya. Maka
dengan larangan ini suami takut untuk menceraikan isteri sekali gus bertambah
sayang kepada isterinya.
Dengan
hukum ini hendaknya tidak ramailah isteri menjadi janda. Maka isteri bolehlah
dalam keadaan itu bersenang hati bersama suaminya tanpa ragu-ragu akan
diceraikannya. Namun begitu hukum ini tidak dikenakan kepada isteri. Mungkin
isteri dalam keadaan mengandung itu rasa diabaikan, dari awal mengandung
sehingga lima bulan tidak diperdulikan, maka boleh isteri memohon perceraian di
mahkamah. Jika hakim membenarkan perceraian dalam keadaan itu tidaklah isteri
itu berdosa.
Sungguhpun
begitu amalan ini tidak pernah berlaku, dan kalau adapun tuntutan cerai semasa
mengandung, hakim nasihatkan mereka bersabar sehingga bersalin. Ini juga boleh
dianggap sebagai usaha menyukarkan perceraian.
Cuma agak
malang masyarakat kita di Malaysia, sesetengah pasangan atas kejahilan mereka,
tidak menghiraukan larangan Islam itu. Walaupun Islam mengharamkan perceraian
semasa isteri hamil, dilafazkan juga cerai. Barangkali lelaki ini termasuk
dalam salah satu daripada tiga golongan di atas. Tanpa perdulikan hukum haram,
tanpa perdulikan dosa yang bakal diterima, cerai terus dilafazkan. Kesian
isterinya sudah bergelar janda.
Ya, cerai
tetap jatuh apabila menepati syarat dan rukunnya. Apabila suami yang
melafazkannya, jatuhlah talak. Dan lafaz yang dikeluarkan oleh suami itu pula jelas
boleh difahami sebagai cerai, maka sahlah perceraian itu. Jadi, cerai dalam
tempoh isteri mengandung, sah tetapi perbuatan suami berdosa kerana melakukan
perkara yang haram. Pada masa yang sama menzalimi isterinya kerana telah
memanjangkan tempoh eddahnya.
Begitu juga
haram perceraian kalau dilafazkan oleh suami selepas mereka melakukan
persetubuhan. Maknanya kalau malam tadi mereka baru bersetubuh, maka haram
suami menceraikan isterinya pagi esok. Kalau begitulah kedudukannya, bilakan
akan berlaku perceraian kalau setiap malam mereka melakukan persetubuhan. Nampaknya,
ini satu lagi yang menyukarkan perceraian.
Sedarlah semua
yang saya bentangkan di sini adalah untuk menunjukkan bahawa perceraian memang
disukarkan walaupun perceraian itu mudah. Kesukaran ini adalah menepati
kehendak sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Talak atau bercerai adalah
perkara halal yang paling dibenci Allah.”
Jadi,
berfikirlah banyak kali sebelum bercerai wahai suami dan sayangilah suami dan
rumah tangga walaupun isteri rasa tertekan. Perkahwinan adalah untuk bahagia
dan menyelesaikan keperluan suami isteri secara halal. Jadi hargailah semua ini
demi Islam dan maruah umat Islam.