28 Disember 2010

Di sebalik pesanan taqwa

Ahmad Baei Jaafar

“Bertaqwalah...” itu pesanan setiap minggu. Tetapi berapa orang yang mendengarnya dengan penuh perhatian? Yang saya pasti mereka berkata di dalam hati, “asyik-asyik taqwa, benda yang sama setiap minggu. Tidak perlu dengarlah, mari tidurlah.” Bayangkan kalau sudah tidur, apalagi yang kita nak kata, memang tidak fahamlah.
Khatib selalu berpesan, takutlah kamu kepada Allah dengan melaksanakan hukum Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Taqwa diterjemahkan sebagai takut, iaitu takut akan kehebatan Allah. Takut kepada Allah membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Kita rasa Allah hebat hingga segala perintahnya kita wajib ikut dan kita rasa kagum dengan kekuasan Allah lalu larangan-Nya kita sanggup tinggalkan.
Inilah taqwa yang seharuskan kita faham dan hayati. Bayangkan kalau semua jemaah sesuatu masjid itu faham mesej taqwa itu, masih ada lagikah umat Islam yang ponteng solat lima waktu, masih ada lagikah umat Islam yang cuai dengan perintah zakat? Masih ada lagikah umat Islam yang main judi, berzina, minum arak dan membuat fitnah dan sebagainya?
Realitinya, umat Islam masih ramai yang cuai dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Mengapa? Selain faktor di atas, taraf umat Islam pada masa kini masih rendah imannya. Hal ini kerana mereka tidak pernah didik bagaimana untuk memperkasakan iman mereka.
Sebenarnya perintah supaya bertaqwa ini merujuk kepada orang yang beriman. Maknanya taqwa banyak bergantung kepada tahap iman seseorang. Jika tahap imannya rendah maka rendahlah taqwanya dan jika imannya tinggi, tinggilah pula taqwanya. Jadi, orang yang beriman sahaja yang mampu memikul watak taqwa. 

Dapatkan artikel penuh dalam Solusi isu no 27.

27 Disember 2010

Apa persiapan anda menjelang tahun baru

Ahmad Baei Jaafar

Selepas menyambut Maal Hijrah baru-baru ini, kita bersiap-siap pula untuk menyambut tahun baharu Masihi, 2011. Kalau Maal Hijrah kita diingatkan tentang hijrah, tahun Masihi pula kita diingatkan dengan pakaian anak sekolah. Itulah realiti orang Melayu di negara ini.
Walaupun orang lain turut sebuk menguruskan hal itu, namun orang Melayu lebih nampak serius. Bukan serius kerana terlalu mengambil berat hal pendidikan anak-anak tetapi, baru gelabah mencari wang. Ada yang mengharapkan wang zakat, harapkan bonus kerajaan dan belas kasihan orang ramai.
Kenapa orang Melayu tidak membuat persiapan awal dari awal tahun lagi? Miskin sangatkah orang Melayu sehingga soal pendidikan anak terpaksa mengharapkan kerajaan dan bantuan zakat dan orang ramai? Bayangkan kalau sebulan seseorang bapa atau ibu boleh menyimpan RM10 sudah tentu pada akhir tahun sudah ada RM120. Rasanya jumlah itu cukup untuk membeli baju dan kasut serta peralatan sekolah anak-anak.
Sepatutnya orang Melayu tidak susah kerana Allah selalu memerintahkan mereka dengan solat dan mengeluarkan zakat. Dua ibadah itu adalah pakej yang wajib diutamakan oleh umat Islam. Orang Melayu yang beragama Islam pasti taat perintah Allah lalu mereka akan menunaikan solat dan berzakat. Soalnya bolehkah orang miskin mengeluarkan zakat?
Terfikirkah kita kalau Allah perintahkan orang Islam mendirikan solat, dan menunaikan zakat, maka wajiblah ditunaikan. Jadi, bagaimana orang Islam atau orang Melayu boleh mengeluarkan zakat kalau mereka miskin. Maknanya secara tidak langsung Allah perintah kita supaya menjadi orang kaya yang masing-masing boleh mengeluarkan zakat. Bayangkan kalau semua orang Islam kaya, semua orang Melayu banyak wang, akan berlakukan senario yang disebut di atas?
Kalaupun kita tidak jadi kaya, setidak-tidaknya kita pandai berjimat berbelanja dan pandai menabung. Menabung di mana? Bukankah kita ada Tabung Haji, kita ada bank, kita ada syarikat saham dan kita boleh sertai koperasi. Tetapi berapa ramai yang menabung dalam syarikat tersebut? Memang terlalu sedikit.
Hakikatnya ramai orang Islam tidak sedar atau terlepas pandang bahawa mereka seharusnya menabung dan tempat yang paling sesuai buat masa ini ialah di dalam syarikat takaful. Kenapa? Ya, dengan menyimpan di dalam syarikat takaful, mereka secara langsung mendapat tiga manfaat. Pertama menyimpan sekali gus melabur, kedua melakukan kebajikan dengan menyumbang khairat kepada peserta lain, dan yang akhir mendapat perlindungan harta dan pendapatan.
Bayangkan kalau semua orang Melayu berbuat begitu, bila anaknya ingin memasuki universiti, wang itu boleh digunakan sehingga tamat pengajian. Apatah lagi kalau bapa-bapa anak-anak tersebut telah menabung secara khusus untuk mereka dalam takaful. Selepas tamat ijazah pertama, boleh disambung lagi untuk membuat master.
Inilah yang tidak pernah difikirkan oleh ibu bapa semasa anak mereka masih kecil. Bila ditanya, kenapa tidak mahu menabung semasa anak itu masih kecil, katanya masih awal lagi. Nanti besar tahulah apa yang hendak dilakukan. Yalah, kena pinjam PTPTN. Jadi, kita telah mengajar anak kita supaya berhutang sejak bersekolah lagi.
Betapa zalimnya kita, ibu bapa termasuk saya. Semasa muda tidak sedar hal ini. Kita biarkan anak kita dalam keadaan terpaksa pinjam PTPTN. Atas kesedaran inilah saya pada hari ini mengajak anda kalian agar menabung dengan takaful dari sekarang. Sayangilah anak-anak sebelum anda tiada.

07 Disember 2010

Hijrah, lakukan tiga perkara untuk selamat

Ahmad Baei Jaafar

Hijrah secara fizikal sudah berlalu, malah Rasulullah tidak galakkan lagi umat Islam berhijrah. Kita tidak perlu lagi berhijrah ke kampung lain, selagi kampung itu baik dan aman. Selagi penduduknya tidak menghalau kita keluar, selama itulah kita perlu tinggal dalam kampung itu apatah lagi kampung itu sudah menjadi milik kita.

Tetapi hijrah dalam bentuk sikap perlu dilakukan secara tertib dan bersistematik. Jadi, marilah kita berhijrah ke arah itu demi menjaga iman. Rasulullah ketika ditanya seorang penduduk Sham, apakah iman yang paling afdal? Baginda bersabda, hijrah. Dia bertanya lagi, apa itu hijrah? Baginda menjawab, kamu meninggalkan kerja dosa.

Dalam hadis yang sama, dikatakan terdapat pelbagai jawapan kepada persoalan apakah hijrah yang paling afdal. Antaranya ialah:

1- Hendaklah kamu meninggalkan apa yang diharamkan ke atas kamu,

2- meninggalkan apa yang tuhan kamu benci.

3- Dan akhirnya ingatlah Allah banyak-banyak.

Untuk melakukan hijrah ini, seseorang itu perlu kepada jihad melawan nafsu. Di manapun anda berada, hijrah ini perlu dilakukan dan jihad ini tidak pernah terhenti apatah lagi nafsu memang sentiasa berada dalam diri kita.

Mari kita tanya diri sendiri, sudahkah kita meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah? Kalau anda masih bergelumang dengan dosa dan melakukan perkara haram, maka jelaslah anda masih tidak berhijrah. Begitu juga kalau anda sudah boleh meninggalkan apa yang dibenci oleh Allah, maka ketika itu sudah boleh dikatakan sudah berhijrah. Tetapi kalau belum, jelaslah dia belum berhijrah.

Ingat Allah banyak-banyak bukan merujuk kepada zikir, tahmid, dan hamdalah. Ingat Allah bukan sekadar menyebut subhanallah dll. Tetapi ingat kepada Allah merujuk kepada kerja hati dan tindakan. Ingat kepada Allah mendorong kita melakukan sesuatu dengan tekun dan sabar.

Jadi, buktikan anda semua sudah berhijrah dengan banyak zikir atau ingatkan Allah banyak-banyak. Orang yang banyak ingat Allah tidak akan melakukan dosa biasa. Mereka yang ingat Allah itulah tanda sudah berhijrah.


01 Disember 2010

Ketuanan Melayu kenapa kecoh sangat?

Ahmad Baei Jaafar

Setelah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdaya bangsa itu sendiri, ramai orang Melayu melenting. Orang Melayu itu sudah tentu dalam kalarangan pemimpin UMNO dan Perkasa. Mereka kelihatan serius menentang lalu melabelkannya dengan pelbagai gelaran.

Kenapa mereka melenting? Benarkah Azizah menolak hak ketuanan Melayu? Betulkah Azizah dalam kenyataannya itu sangat tidak bertanggungjawab seperti yang disebut oleh Hishamuddin?

Kita sedut kenyataan Azizah,: "Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.

"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi."

Ucapan itu diungkapkan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Berdasarkan ucapan itu, munasabahlah pemimpin Melayu itu melenting kerana ucapan itu tepat mengena pada sasarannya. Ucapan itu jelas merujuk kepada golongan pemimpin yang mempunyai kepentingan. Golongan Melayu inilah yang patut ditamatkan dalam sejarah kepimpinan Melayu menurut Azizah.

Tetapi agak malang, isu ini diterbalikkan seolah-olah Azizah hendak hapuskan ketuanan Melayu malah mahu menghapuskan institusi kesultanan. Bagaimana jadinya tafsiran itu? Apakah sengaja ditafsirkan begitu atau kerana tidak faham mesej yang sebenar?

Pada hari berikutnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan bangsa sendiri.

Titah baginda sewaktu merasmikan wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di Shah Alam itu merujukan pemimpin politik yang berselindung di sebalik ketuanan Melayu.

"Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan, dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, adalah amat tidak bertepatan," titah baginda.

Tetapi sekali lagi kenyataan sultan itu dilaporkan secara salah bahawa sultan menegur ucapan Azizah. Ternyata laporan itu tersalah tafsir atau mengaja berniat jahat untuk kepentingan orang tertentu.

Kenapakah orang kita suka membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kelamkabut?

Wahai orang Melayu hentikan kerja jahat, buat fitnah dan mencipta permusuhan sesama Melayu. Bersatulah wahai Melayu kalau mahu majukan bangsa Melayu. Ingatlah berlain parti bukan menjadi halangan ke arah perpaduan itu. Bukankah Islam mengajar kita bertolong bantu sesama umat Islam.

30 November 2010

Selamat Tinggal Telaga Biru


Hari ini genap setahun tujuh bulan khidmatku di Telaga Biru Sdn Bhd (TBSB) sebagai Editor Solusi. Sentuhan pertamaku bermula pada Isu No7, Solusi berjaya diterbitkan setiap bulan malah sudah ada dalam pasaran lebih awal daripada bulannya.

Sentuhan yang terakhir sebelum kumeninggalkan TBSB ialah Isu No 27 yang akan diterbitkan pada Januari 2011. Namun saya tidak pasti sama ada namaku masih digunakan lagi sebagai Editor atau tidak, kerana masih ada beberapa ruangan yang belum dihantar oleh penulis meskipun sudah beberapa kali diingatkan tentang deadline.

Pada saat saya mengucapkan selamat tinggal kepada TBSB dan rakan-rakan seperjuangan hari ini, ku sungguh berasa bangga dan bersyukur kerana Solusi sudah menjadi buah mulut peminat, malah sambutannya amat membanggakan. Bayangkan sewaktu saya mula masuk, Solusi baru dicetak sebanyak 30-40 ribu dan kini sudah lebih 110 ribu.

Wah, rupanya sudah 20 isu, digarap setiap hari tanpa disedari masa berlalu. Banyak suka dan duka sepanjang berurusan dengan manusia demi menyiapkan setiap keluaran. Sukanya apabila mempunyai team editorial yang boleh bekerjasama. Walaupun berhadapan dengan keadaan yang sukar, mereka dapat melakukannya dengan tabah.

Dukanya apabila berhadapan dengan penulis yang sentiasa sebuk hingga sukar menepati DEADLINE yang diberi. Nama-nama besar dalam masyarakat ini kadang-kadang memberi tekanan kepada team editorial pada saat akhir. Perbagai usaha dilakukan untuk memberi peluang mereka menepati deadline itu, namun usaha itu kurang berhasil sebaiknya.

Bukan senang untuk berhadapan dengan orang yang ada nama, di samping untuk menjaga maruah mereka. Jadi, kita perlu bersabar menunggu tulisan mereka walaupun sudah terbabas sasarannya. Kita sudah bersedia menerima risiko atas kelewatan penulis tersebut.

Namun pengamalan menerbitkan majalah agama sebelum ini telah banyak mengajarku mengatur dan merancang penerbitan yang bermutu walaupun dalam keadaan mendesak. Jadi, kesempatan ini kuberharap team Solusi seterusnya dapat meneruskan yang terbaik sekali gus mengatasi kepincangan yang lalu.

Tarikh 29 November 2010 kumelangkah keluar dari pintu Telaga Biru setelah merakam waktu keluar pada jam 2.12 Petang. Hari ini, 30 November 2010 adalah hari cutiku yang masih berbaki yang perlu kuambil.

25 November 2010

Apakah Nilai Anda?


Apakah nilai anda? Begitulah isu yang cuba kita bincang dalam Solusi kali ini. Isu 26 ingin mengisi akhir tahun anda dengan persoalan ini agar anda boleh memberi jawapan yang ikhlas dan tepat sebelum melangkah ke tahun baru 2010 nanti.
Bagaimana anda menilai kehidupan ini? Apa yang anda nilai tentang suami atau isteri anda? Apakah sebagai seorang anak anda menilai kebaikan ibu bapa dalam mendidik anda? Dan yang paling penting apakah nilai kita terhadap Allah dan Rasul-Nya?
Dalam hidup ini kita sentiasa berhadapan dengan semua di atas, tetapi setiap orang menilai dengan nilaian yang tidak sama. Alangkah beruntungnya mereka yang dapat menilai dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.
Untuk mengetahui penilaian sebenarnya dapatkan Solusi isu 26 hujung minggu ini. Jangan ketinggalan mendapatkannya kerana setiap keluaran sering ada yang tidak sempat membelinya.

21 November 2010

Politik oh politik mengapa gawat sangat?

Ahmad Baei Jaafar

Melihat pergolakan politik akhir-akhir ini saya menjadi hairan bin pelik, mengapa apabila suatu parti politik dikatakan bergolak, parti lain yang sebuk membuat ulasan yang pelbagai. Ada yang kata, apa yang nak jadi dengan parti tersebut. Tidak kurang juga yang mengatakan, parti itu akan berkubur dan banyak lagi yang boleh kita dengar dan baca ulasan.

Menyorot perhimpunan PKR sejak daripada pemilihan ketua ranting, ketua cabang hingga ke pemilihan calon timbalan presiden banyak kekecohan yang kita boleh dengar daripada parti lawan. Yang peliknya isu itu timbulkan oleh pemimpin besar, benarkah mereka yang buat hal, malah berlaku tuduh menuduh. Peliknya, mengapa guna media? Apabila isu ini disambut oleh media tentu akan membesarkannya. Daripada situlah parti lain mengulas.

Dalam keadaan itu, pihak parti terbabit tidak pula menjawab segala tuduhan. Mungkin ada jawapan tetapi tidak dibesarkan berita itu. Ada juga sesekali disiarkan, tetapi hanya mana-mana berita yang boleh dibesarkan lagi. Kemudian semestinya untuk kepentingan pihak lain.

Saya tidak tahu apakah semua itu benar dan siapakah yang salah dalam hal ini. Saya tidak tahu apakah kekecohan itu benar-benar berlaku atau sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu. Saya tidak tahu juga apakah niat parti lain membesarkan isu itu? Tetapi kalau melihat kepada strategi politik dan perniagaan agak sama saja, isu yang ditimbulkan untuk kepentingan pihak yang menimbulkannya.

Tetapi melihat kepada isu yang dibesarkan oleh pihak parti lawan, sudah tentu untuk kepentingan parti tersebut. Namun kita kena ingat, kadang-kadang silap-silap strategi, senjata boleh makan tuan. Oleh sebab itu berpadalah dalam membuat ulasan “jangan sampai hai pecah tembelang”.

Main politik yang tidak profesional boleh mencetuskan permusuhan, bukan sahaja antara ahli parti politik tertentu dengan ahli parti yang lain, bahkan boleh mencetuskan pergolakkan dalam parti terbabit. Padahal dalam Islam politik adalah untuk perpaduan, mengungkai kekelaruan, dan membangunkan yang belum ada.

Berbalik kepada isu ini, mengapa pihak lawan suka membesarkan isu dalaman parti lawan? Jawapanya, supaya menampakkan kegawatan parti lawan, gagal membawa perpaduan, gagal menjadi parti terbaik bagi menggantikan BN. Dengan paparan itu, orang ramai mahu dikejutkan bahawa parti yang terbaik masih berpihak kepada BN. Parti PKR yang menerajui PA tidak mampu bertahan sebagai jaguh. Oleh sebab itu jangan beri sokongan kepada PKR.

Isu sebegitu kalau terus digembargemburkan sehingga pilihan raya akan datang, sudah tentu keyakinan rakyat Malaysia kepada berita itu terus kukuh di hati mereka. Ketika itu mereka akan yakin kepada BN dan menolak PKR. Inilah strategi yang sering digunakan oleh peniaga dan ahli politik.

Cuma dalam hal ini, sudahkah mereka berfikir masak-masak, wajar atau tidak strategi sebegitu? Tidakkah dengan tidakan itu orang ramai akan berfikir sebaliknya? Biasalah, parti itu tidak ikhlas, parti itu berniat jahat, dan parti itu sengaja mereka cipta isu? Kalau begitulah persoalan yang ditimbulkan, orang ramai akan lebih benci kepada BN dan bertambah simpati kepada parti lawan.

Tentu orang akan berkata, kalau dia dedahkan keburukan untuk membaiki kelemahan itu, tentu tidak begitu caranya. Ingatlah, memburukkan suatu perkara yang secara lazimnya perkara itu dianggap baik, pasti mereka akan dianggap parti yang tidak suka kepada kebaikan. Maka kesannya orang ramai akan menolak parti tersebut. Kalau begitulah kedudukannya, usaha mereka akan gagal.

Walau bagaimanapun saya suka cara PKR berhadapan dengan isu ini. Tidak banyak menjawab pada media. Cara ini amat baik untuk memelihara maruah parti. Namun mereka pada masa yang sama perlu bertemu dengan ahli dan rakyat secara empat mata bagi menjelaskan kedudukan sebenar. Dengan cara itu segala tohmahan akan terhindar dan rakyat boleh terima dengan baik.

Sebenarnya saya suka situasi politik yang baik, harmoni dan bertindak secara profesional dalam menangani masalah yang dihadapi. Satu pesanan kepada semua parti politik, lebih baik kita jaga parti sendiri, dedahkan kebaikan kita kepada orang ramai, kemampuan kita dalam mentadbir. Manakala kegawatan orang lain, tidak perlu diulas sebaliknya jadikan pengajaran dan iktibar.

18 November 2010

Cinta Pandang Pertama Membawa Bahagia

Ahmad Baei Jaafar

Anda selalu dengar orang berkata, cinta pandang pertama. Biasa kita dengar ungkapan itu daripada pasangan suami isteri yang bahagia. Ada juga sesuatu pasangan itu apabila ditanyakan bagaimana mereka boleh bertemu dan berkahwin, dengan bangganya mereka berkata inilah berkat cinta pandang pertama.

Apa istimewanya cinta pandang pertama?

Berdasarkan kata-kata di atas dapat kita rumuskan bahawa hasil cinta pandang pertama, sesuatu perkahwinan itu akan membawa kebahagiaan. Tetapi tahukah anda mengapa cinta pandang pertama dan bagaimana dikatakan cinta pandang pertama, dan mengapa cinta pandang pertama itu boleh menjadikan sesuatu pasangan bahagia?

Di sini saya ingin mengajak remaja termasuk pelajar universiti yang sedang mencari pasangan supaya bersama saya meneliti isu ini dengan penuh minat. Semoga dengan ini anda semua akan boleh mencapai kebahagiaan hasil cinta pandang pertama.

Pandang pertama bermaksud, seseorang lelaki atau wanita yang secara kebetulan terserepak dengan pasangan yang belum pernah kenal. Apabila dikatakan cinta pandang pertama, bererti hasil pertemuan yang tidak terancang itu sudah ada bibit cinta antara kedua, rasa cinta mula berputik di hati. Pada pertemuan itu mereka mungkin tidak sempat berkata-kata, tetapi sudah tersimpan dalam hati bahawa “dia sesuai untuk aku.”

Hasil pertemuan itu, salah seorang daripadanya akan cuba merisik dengan bertanya-tanya kawan masing-masing kalau-kalau mengenali orang yang dimaskudkan itu. Apakah yang menyebabkan seseorang itu mahu didekati dan dikenali secara lebih dekat?

Ya, sudah pasti pada lelaki atau wanita yang dipandang itu terdapat keistimewaan. Mungkin terpancar pada wajahnya akhlak yang baik, mungkin pada tingkah lakunya terserlah kasih sayangnya. Dan mungkin pada rupanya yang manis terserlah hati yang suci.

Bolehlah pandang pertama itu sudah boleh dibuat ukuran? Kenapa tidak? Lazimnya pertemuan pertama tanpa terancang akan terserlah keaslian peribadinya. Maknanya kalau kita jumpa seseorang yang kita belum kenal, kita akan kenal perwatakan asalnya. Jadi, kalau dia seorang yang baik budinya, sepanjang pertemuan itu dia akan menampakkan kebaikannya. Sebaliknya jika dia seorang yang panas baran sebagai contoh, sewaktu pandang pertama itu sudah nampak riaknya, sudah nampak kelibat buruknya. Kalaupun tidak nampak pada awalnya, akan terlihat juga sesekali kemudiannya.

Inilah yang dikatakan cinta pandang pertama. Pandang mata itu biasanya tidak menipu malah orang yang dilihat juga tidak sempat menipu. Apabila hati sudah berkenan tindakan seterusnya perlu disusuli iaitu jalinan secara yang dibenarkan oleh Islam. Selagi mereka tidak mencetuskan dosa, sudah pasti mereka boleh menjadi suami isteri yang bahagia.

Memahami maksud di atas, maka pertemuan yang terancang tidak boleh dikategorikan sebagai cinta pandang pertama. Sebagai contoh, perkenalan melalui internet, SMS atau telefon, setelah sekian lama bercinta, tentu mereka merancang pertemuan empat mata. Siapa yang boleh pastikan bahawa pertemuan itu akan menampilkan watak yang tulen? Saya pasti pertemuan terancang itu akan mengundang watak pelakon yang pastinya berlainan daripada asal.

Bayangkan jika hasil pertemuan itu mereka berakhir di jinjang pelamin, adakah perkahwinan mereka boleh bahagia? Mungkin dalam kehidupan itu penuh lakonan demi cinta. Kalaupun boleh bahagia, mereka terpaksa berhadapan dengan krisis yang memeritkan.

Di sini saya sekali lagi mengajak remaja termasuk pelajar universiti yang sedang mencari pasangan agar mencari cinta, dapatkah cinta pandang pertama. Setelah ada ciri-ciri kebaikan yang dicari, risiklah secara lebih dekat melalui wakil yang jujur. Setelah itu, binalah hubungan secara lebih dekat dengan bertemankan kawan yang amanah. Setelah berpuas hati, mintalah ibu bapa rancang peminangan dan seterusnya perkahwinan.

Percayalah kalau kaedah ini dapat diikuti, pasangan itu akan bahagia sehingga ke dalam syurga.

10 November 2010

Adab Berbicara yang dianggap remeh

Ahmad Baei Jaafar

Kita sering marah kepada anak muda kini kerana tidak ada abab ketika berbicara dengan ibu bapa dan orang ramai. Tetapi kita lupa untuk melatih mereka supaya beradab dalam semua keadaan. Tentu tidak wajar kita terus salahkan anak-anak kita. Di sini saya senaraikan 12 adab sopan untuk kita amalkan bersama.

1. Semua pembicaraan harus berunsurkan kebaikan. Firman Allah: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka Kami akan memberi pahala yang besar.” (QS 4/114)

Firman yang lain: “Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (QS 23/3)

Dan dalam hadis nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa yang beriman pada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (HR Bukhari Muslim)

2. Berbicara harus jelas dan benar, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Aisyah ra:
“Bahawasanya perkataan rasulullah s.a.w. itu selalu jelas sehingga boleh difahami oleh semua yang mendengar.” (HR Abu Daud)

3. Seimbang dan menjauhi bercakap kosong, berdasarkan sabda nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku nanti di hari Kiamat ialah orang yang banyak cakap dan berlagak dalam berbicara.” Maka dikatakan: Wahai Rasulullah kami telah mengetahui erti al-thartharun dan mutasyaddiqun, lalu apa makna al-mutafayhiqun? Maka jawab nabi s.a.w.: “Orang yang sombong.” (HR Tirmidzi dan dihasankannya)

4. Menghindari banyak berbicara, kerana dikhuatiri boleh membosankan orang yang mendengar, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il:
“Adalah Ibnu Mas’ud r.a sentiasa mengajar kami setiap hari Khamis, maka berkata seorang lelaki: Wahai abu Abdul Rahman (gelar Ibnu Mas’ud)! Bolehkah anda mahu mengajar kami setiap hari? Maka jawab Ibnu Mas’ud : Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana aku pun pernah meminta yang demikian pada nabi s.a.w. dan baginda menjawab dikhuatiri boleh membosankan kami.” (HR Muttafaq ‘alaih)

Namun tidak salah mengulangi kata-kata yang penting jika diperlukan, daripada Anas r.a bahawa adalah nabi s.a.w. jika berbicara maka baginda mengulanginya tiga kali sehingga semua yang mendengarkannya menjadi faham, dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang maka baginda pun mengucapkan salam tiga kali. (HR Bukhari)

5. Menghindari daripada mengucapkan yang bathil, salah berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya seorang hamba yang mengucapkan satu kata yang diredhai ALLAH s.w.t. akan dicatat oleh ALLAH s.w.t. keredhaan-NYA bagi orang tersebut sehingga hari Kiamat. Dan seorang lelaki mengucapkan satu kata yang dimurkai ALLAH s.w.t. maka ALLAH s.w.t. mencatatnya yang demikian itu hingga hari Kiamat.” (HR Tirmidzi dan ia berkata hadis hasan shahih; juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

6. Menjauhi perdebatan sengit, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)
Dalam hadis lain baginda bersabda:
“Aku jamin rumah didasar syurga bagi yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya.” (HR Abu Daud)

7. Menjauhi kata-kata keji, mencela, melaknat, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Bukanlah seorang mu’min jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (HR Tirmidzi dengan sanad shahih)

8. Menghindari banyak bergurau, berdasarkan hadis nabi SAW:
“Sesungguhnya seburuk-buruk orang di sisi ALLAH s.w.t di hari Kiamat kelak ialah orang yang suka membuat manusia tertawa.” (HR Bukhari)

9. Menghindari menceritakan aib orang dan saling memanggil dengan gelar yang buruk, berdasarkan firman Allah: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.” (QS 49/11)

Sabda nabi s.a.w.:
“Jika seorang menceritakan suatu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi dan ia menghasankannya)

10. Menghindari dusta, berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
“Tanda-tanda munafik itu ada tiga, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat.” (HR Bukhari)

11. Menghindari ghibah dan mengadu domba, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibbah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (HR Muttafaq ‘alaih)

12. Berhati-hati dan adil dalam memuji, berdasarkan hadis nabi s.a.w. daripada Abdur Rahman bin abi Bakrah daripada bapaknya berkata:
“Ada seorang yang memuji orang lain di depan orang tersebut, maka kata nabi s.a.w: ‘Celaka kamu, kamu telah mencelakakan saudaramu! Kamu telah mencelakakan saudaramu!” (dua kali), lalu kata baginda s.a.w.: “Jika ada seseorang ingin memuji orang lain di depannya maka katakanlah: Cukuplah si fulan, semoga ALLAH mencukupkannya, kami tidak mensucikan seorangpun disisi ALLAH, lalu barulah katakan sesuai kenyataannya.” (HR Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafzh Muslim)

Dan dari Mujahid dari Abu Ma’mar berkata: “Berdiri seseorang memuji seorang di depan Miqdad bin Aswad secara berlebih-lebihan, maka Miqdad mengambil pasir dan menaburkannya di wajah orang itu, lalu berkata: Nabi s.a.w. memerintahkan kami untuk menaburkan pasir di wajah orang yang gemar memuji.” (HR Muslim)

05 November 2010

Konsep ketaatan kepada pemimpin

Ahmad Baei Jaafar

Ketaatan kepada pemimpin sering diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Maka pada kali ini, marilah kita cuba kupas sedikit mana-mana yang dilihat kurang tepat.

Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan. (Surah al-Nisa’: 59)

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling daripada mentaati kedua-duanya. Mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Katakanlah Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran : 32)

Jadi, ketaatan kepada Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan perintah itu. Cuma dalam hal ini, ketaatan kita masih rendah. Kita sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.

Bayangkan kalau ketaatan kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada pemimpin itu.

Tetapi siapa pemimpin sebenar? Apabila menyebut pemimpin, tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.

Jelas di sini, pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, hamba juga pemimpin kepada harta tuannya. Dan setiap seorang itu ada tanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.

Dalam kariah ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Itulah pemimpin yang boleh dinamakan dengan pelbagai gelaran mengikut kedudukannya: PM, menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.

Ketaatan Tidak Mutlak

Ketaatan kepada pemimpin walaupun tidak mutlak tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahnya.

Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin ini ada syarat yang ditetapkan. Maka ketaatan yang dimaksudkan itu boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan kepada perkara maksiat atau melanggar syariat. Sabda Rasulullah s.a.w:

لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ

Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Sebaliknya ketaatan kepada pemimpin adalah pada arahan yang baik sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف

Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)

Berdasarkan dua hadis di atas, ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:

  1. Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
  2. Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
  3. Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
  4. Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.

Ciri-ciri kebaikan itu jika dirujuk kepada pemimpin negara dan negeri wajiblah kita memberi ketaatan dan jika sebaliknya boleh ditolak. Oleh sebab tidak semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.

Katalah suatu arahan beerbunyi begini: “Semua umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut perayaan demi perpaduan.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam kerana menggugat aqidah dan merugikan Islam dan umatnya. Menyedari keadaan itu, kita tidak wajib taat arahannya. Malah tidak berdosa kita abaikan arahan itu.

Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Tidak wajarlah dengan penolakan satu arahan, maka semua arahan yang lain kita tolak juga.

Peraturan Bukan Menyusahkan

Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat tidak berkait secara langsung dengan ibadah dan Islam. Sebaliknya arahan itu berkaitan dengan kehidupan yang melibatkan rakyat dan pembangunan.

Dalam hal ini kadang-kadang ada peraturan yang ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan, tetapi kalau dilihat di sebaliknya akan kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut wajib dipatuhi.

Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.

Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak taat kepada pemimpin, hakikatnya mereka berdosa. Dan setiap yang berdosa ertinya ke neraka.

Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar peraturan jalan raya, sudah tentu dia berdosa.

26 Oktober 2010

Mujahadah Melawan Nafsu Jadi Agenda Utama


Mujahadah Melawan Nafsu menjadi fokus Solusi Isu no25 kali ini. Mengapa perlu kita melawan hawa nafsu? Bagaimana hendak melawan hawa nafsu dalam diri kita sendiri? Semua persoalan itu akan dikupas dan dijelaskan penyelesaiannya.

Nafsu merupakan musuh manusia yang sangat hampir dengan manusia. Nafsu bersama dengan syaitan tidak pernah mengisytiharkan genjatan senjata dengan manusia. Oleh sebab itu, mereka akan terus berusaha menggagalkan manusia daripada taat kepada Allah.

Jalan Keluar kepada isu ini ialah masing-masing perlu bertindak mengawal nafsu dan syaitan dan kita perlu menunggang kedua-duanya bukan kedua-duanya menunggang kita. Dalam hal ini ulama perlu mampu menundukkan nafsu dan syaitan, dan selepas itu baru orang ramai boleh mengikutnya.

Semoga kita berjaya menyelamatkan diri kita daripada dikudai nafsu dan syaitan. Solusi akan memberi panduan kepada anda semua. Selamat Membaca.

15 Oktober 2010

Banggakah anda sekadar jadi Muslim?

Oleh Ahmad Baei Jaafar

Kita harus berasa bangga kerana dilahirkan daripada keluarga Islam, nama sudah pun direkodkan sebagai Islam, dan pasti kalau mati pula akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam. Dan kita juga harus bersyukur kerana sebaik sahaja kita boleh mendengar dan bercakap kita sudah dibiasakan dengan perkataan Allah.

Kita tidak susah untuk mencari Islam kerana semuanya sudah tersedia buat kita. Sedangkan kawan-kawan kita ada yang terpaksa bersusah payah mencari Islam, dan dalam pada itu mereka dihalang dan dihina malah disisihkan keluarga. Namun mereka tetap bersyukur kerana telah diberi hidayah walaupun sudah agak terlambat daripada kita.

Walau bagaimanapun kedudukan kawan kita itu kadang-kadang lebih baik daripada kita yang sudah lama beragama Islam. Kita hanya boleh berbangga dengan keislaman yang kita milik, tetapi kita tiada upaya menjaga iman dan agama kita. Kita belum bebas dan terselamat daripada gangguan syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan kita.

Tahukah anda setelah kita mengucap dua kalimah syahadah maka secara rasmi kita telah digelar sebagai seorang Muslim. Bagi yang Muslim keturunan, sejak baligh dan mendirikan solat, mereka sudah direkodkan sebagai muslim secara rasmi. Tetapi setelah bergelar Muslim banyak kemungkinan boleh berlaku, ada yang boleh meningkat menjadi Mukmin atau berubah menjadi kafir atau musyrik atau munafiq.

Dalam ruang yang terbatas ini, saya cuba untuk menghuraikan kemungkinan itu semoga kita boleh berhati-hati dalam kehidupan ini:

  1. Apabila anda kuat hubungan dengan Allah, tauhidnya mantap, taqwa kepada Allah pada tahap tinggi, perintah Allah dilaksanakan dan larangannya ditinggalkan, maka terbinalah sebahagian mukmin pada diri anda. Seterusnya dikuatkan hubungan dengan manusia; akhlaknya, muamalatnya, dan toleransinya sesama manusia, maka sempurnalah mukminnya.
  2. Apabila anda mula meragui kekuasaan dan kehebatan Allah; perintah Allah diabaikan seolah-olah mencabar hukum Allah, dan larangan Allah dibuat secara sedar seolah-olah tidak takut kepada hukuman Allah, ketika itu jadilah anda seorang kafir.
  3. Apabila anda menyembah Allah tetapi pada masa yang sama anda turut memperakui tuhan-tuhan lain setaraf dengan Allah. Anda memperakui ubat yang dimakan mampu menyembuhkan sakit anda. Meyakini bahawa jin boleh memberikan sakit dan sihat terhadap seseorang manusia. Dan juga sanggup tunduk sujud kepada manusia yang bertaraf pemimpin atau pembesar. Sedangkan semua kelakuan itu hanya layak untuk Allah, maka mereka yang berbuat begitu telah dikira musyrik.
  4. Apabila anda bersifat talam dua muka, sering bermuka-muka dengan seseorang kerana sesuatu kepentingan maka anda termasuk dalam kalangan orang munafiq. Anda tahu kebenaran pada seseorang, tetapi anda selewengkan maklumat kerana hendak menjatuhkan orang itu, sahlah anda bukan Muslim yang jujur. Ketahuilah golongan itu terdapat tiga sifat berikut: Apabila berkata-kata dengannya dia berbohong; apabila dia berjanji dia akan mungkiri; dan apabila diberi amanah dia akan khianati.

Dalam sebuah hadis, ditambah satu sifat lagi iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafiq yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafiq hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kemungkinan di atas, mampukah kita sekadar berbangga sebagai seorang Islam atau Muslim? Anda janganlah mudah terpengaruh dengan jaminan Rasulullah bahawa setiap yang mengucap dua kalimah syahadah akan dimasukkan ke dalam syurga. Janganlah berasa senang hati dengan tawaran bahawa seseorang Islam pasti akan masuk syurga juga akhirnya.

Memang betul ada jaminan dan tawaran itu, tetapi kita perlu ingat, seorang Muslim dalam kategori kafir itu akan dicampakkan ke dalam neraka terlebih dahulu. Entah berapa tahun di situ, bukan sehari dua. Kemudian kalau masih ada terselit kalimah syahadah pada dirinya, mungkin bolehlah setelah dibakar hagus dipindahkan ke dalam syurga. Walaupun akhirnya masuk ke syurga, sanggupkah anda dibakar dalam neraka sebegitu lama?

Seorang musyrik pula, Allah memberi jaminan bahawa dosanya tidak akan diampunkan. Dosa lain boleh ampunkan tetapi dosa syirik tidak boleh diampunkan begitu sahaja. Hal ini kerana syahadahnya sudah terbatal, maka perlu diulangi syahadah yang baru. Bagaimana kalau anda mati sebelum mengucap syahadah? Kadang-kadang kita mati mengejut, tidak sempat hendak bertaubat? Apakah masih ada jaminan ke syurga? Jadi, insaflah segera.

Seterusnya seorang munafiq, mereka ini akan diazab dalam neraka jahanam pada bahagian bawah sekali. Entah berapa lama mereka akan disimpan di situ. Kalaupun mereka ada peluang ke syurga (bergantung kepada syahadahnya kalau masih ada, tentu ada peluangnya, tapi kalau tiada, melepaslah) tentulah mereka itu orang yang paling akhir masuk syurga. Mahukah begitu, orang lain sudah bersenang hati menikmati syurga, anda baru hendak bermula.

Jika anda rasa tidak senang hati dengan keadaan dan kedudukan itu, pastikan anda tidak memilih tiga jalan di atas. Sebaliknya pilih yang satu iaitu mukmin. Tidak susah untuk menjadi seorang mukmin kerana Allah hanya memberi tiga syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu:

1. Apabila disebut nama Allah gementar hatinya;

2. Apabila dibacakan ayat Allah bertambah imannya;

3. Dan kepada Allah mereka berserah diri.

Mungkin kita boleh menilai diri sendiri, adakah ketika kita berbuat dosa, hati kita boleh tersentak apabila diingatkan kawan atau sahabat bahawa Allah sedang memerhatikan perbuatan kita? Barangkali kita boleh tersentak apabila diberitahu bahawa polis ada membuat sekatan jalan raya, tatkala lesen kereta kita sudah tamat tempoh. Kalau begitulah keadaannyaa, taraf mukmin anda masih rendah.

Kita selalu membaca al-Quran, tetapi berapa kali anda terasa iman meningkat ketika membaca al-Quran itu. Iman boleh meningkat kalau kita faham apakah teguran Allah terhadap kita, apakah sindiran Allah terhadap kita, dan apakah pengajaran yang disampaikan kepada kita. Tetapi kebanyakan kita tidak faham mesejnya, lalu dibacakan begitu sahaja. Bolehkah dengan cara itu boleh meningkat iman? Inilah yang perlu difikirkan semula.

Seterusnya setelah berusaha dan berikhtiar dalam kehidupan ini, kita harus berserah kepada Allah, bertawakal mengharapkan kejayaan. Hasil dan keputusan sama ada jaya atau gagal hanya Allah yang menentukannya. Jadi, sebagai seorang mukmin kita perlu redha dengan apa yang tentukan Allah.

Sehingga di saat ini, di manakah anda sekarang? Anda boleh pilih mana yang anda suka tetapi ingat, Allah hanya mahu hamba-Nya berada di tempat yang terbaik di dunia dan akhirat.