Ini adalah petikan khutbah Jumaat yang disampaikan di Surau As-Sakinah pada 15 Syaaban 1435
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari ini 15 Syaaban dan malam semalam sebahagian besar umat Islam
membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib sempena Malam
Nisfu Syaaban. Walaupun ada suara-suara yang cuba membidaahkan amalan itu,
rakyat Malaysia masih teguh mengamalkannya. Syabas rakyat Malaysia khususnya
anak kariah Surau as-Sakinah.
Memang benar, tiada satu arahan pun yang datang daripada Rasulullah
supaya umat Islam membaca surah Yaasin pada malam nisfu Syaaban, tetapi amalan
baik itu datang daripada kreativiti ulama terdahulu dalam merealisasikan sabda
Rasulullah SAW berdasarkan hadis daripada Abi Umamah iaitu:
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ
الْبَاهِلِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " خَمْسُ لَيَالٍ لا تُرَدُّ فِيهِنَّ الدَّعْوَةُ: أَوَلُ
لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَةُ
الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةُ الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ " . (ابن عساكر الدمشقي)
Katanya Sabda Rasulullah SAW:
Lima malam yang Allah tidak tolak doa mereka iaitu awal malam Rajab, malam
nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Idul fitri dan malam idul adha. (Hadis
Riwayat Asakir al-Dimasyqi)
Ya dengan membaca Yaasin tiga
kali, kita hakikatnya berdoa malah selepas itu dengan serius pula kita berdoa supaya
panjang umur dalam memantapkan Iman, juga supaya terhindar bala sekali gus dimurahkan
rezeki dan disudahkan akhir hidup dengan husnul khatimah. Tetapi tidak cukup
dengan itu sahaja, kita boleh dilakukan ibadah lain seperti membaca al-Quran
dan solat sunat pada tengah malam. Waktu itu juga elok kita berdoa. Soalnya
siapakah yang melakukan semua itu pada malam tadi?
Berdasarkan hadis di atas, umat Islam seharusnya membanyakkan doa dan melakukan
amal kebaikan pada malam-malam yang disebut di atas. Tetapi realitinya, siapa
yang membaca doa atau berdoa pada malam pertama Rejab? Lazimnya kita lepaskan
begitu sahaja malam itu. Malang sungguh, peluang yang diberi Allah, kita
abaikan begitu sahaja.
Seterusnya siapa pula yang berdoa pada malam Jumaat? Orang Melayu hanya
nampak malam Jumaat, baca Yaasin dan bagi yang berkahwin, malam sunat bersama
isteri. Nasib baik selepas baca Yaasin ada doa dan semasa hendak bersama
isteri, ada doa. Tetapi selebihnya tiada doa lagi. Dan yang pastinya, orang
bujang tidak fikir langsung soal doa ini. Alangkah ruginya kita.
Begitu juga dengan malam hari raya idul fitri dan adha, tidak ada yang
berdoa selain membaca takbir raya. Itu pun ramai yang tidak pandai membaca
takbir hari raya. Bayangkan kalau waktu yang mustajab doa ini pun umat Islam tidak
diambil perhatian, bagaimana dengan hari-hari lain?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Dua minggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadan, bulan mulia bulan
barakat berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ, شَهْرٌ
مُبَارَكٌ, كَتَبَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ, فِيْهِ تُفْتَحُ أَبْوَابُ
الْجَنَّةُ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ
الشَّيَاطِيْنُ. فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. مَنْ ُحُرِمَ
خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.
"Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan
yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada
bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan
diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan,
barang siapa yang tidak memperoleh kebaikannya, maka ia tidak memperoleh
apa-apa." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa`i)
Berdasarkan hadis ini kita ditawarkan banyak lagi
peluang untuk membaiki diri dalam bulan Ramadan. Amalan puasa satu hal yang
sememangnya wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan
atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar
kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)
Tetapi selain itu banyak lagi yang Allah buka peluang kepada kita demi
membantu kita masuk ke dalam syurganya iaitu:
1. Pintu-pintu syurga dibuka
2.
Pintu-pintu neraka ditutup
3.
Para syaitan diikat atau dirantai
4.
Terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari
seribu bulan.
Bayangkan kalau sebegitu hebat peluang yang diberi tetapi umat Islam masih tidak
memperoleh kebaikannya, maka sudah tentu tidak memperoleh apa-apa. Tentu
rugikan?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Dalam tempoh berbaki dua minggu lagi ini,
marilah kita membuat persediaan yang kuat untuk menempuh ujian dan peluang
Ramadan. Namun untuk membuat latihan puasa sudah tidak boleh lagi kerana mereka
yang tidak puasa sebelum ini tidak boleh puasa sunat lagi bermula pada 16 syaaban.
Beruntunglah mereka yang berpuasa Rejab dan Syaaban baik penuh atau pun secara
berkala. Sebenarnya Rasulullah pernah menyuruh umat Islam berpuasa secara
konsesten pada bulan Rejab dan Syaaban berdasarkan hadis berikut.
عَنْ أبي هريرة رَضِيَ اللَّهُ
عَنْهُ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , قَالَ : "
لا آمُرُ بِصَوْمِ
شَهْرٍ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ إِلا بِرَجَبٍ وَشَعْبَانَ "
Dariapda Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah bersabada
aku tidak pernah menyuruh puasa selepas Ramadan kecuali Rejab dan Syaaban. (Riwayat
Ibnu Asyakir)
Sebenarnya selain latihan puasa, banyak lagi latihan
berbuat baik boleh dilakukan iaitu, tidak biasakan mengumpat dan membuat fitnah
atau menyebar fitnah. Banyakkan berderma menyumbang kepada masjid dan surau khusus
untuk persiapan Ramadan. Begitu juga dengan ibadah sunat seperti solat sunat
dan sebagainya, perlu dibanyakkan.
Paling kurang, lakukan ibadah solat sunat rawatib dan
solat sunat bersebab seperti selepas berwuduk, masuk masjid dan banyak lagi.
Kita perlukan semua ini supaya kita jadi terbiasa sebelum melaksanakan solat
tarawih. Kita tidak mahu lagi ulangi sikap yang hanya berminat untuk banyakkan
solat pada bulan Ramadan tetapi tidak selepas itu. Jadi istiqamahlah sebelum Ramadan
supaya boleh diteruskan selepas itu.
Akhirnya sebelum Ramadan, marilah kita berdoa supaya
kita diberi peluang untuk masuk ke bulan Ramadan. Kita tidak tahu nasib kita,
kerana ramai juga kawan-kawan kita yang sudah pergi sebelum datang Ramadan.
Doalah seperti yang diajar Rasulullah dalam sebuah hadis:
عَنْ أنس بن مالك، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا
فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ " (سليمان بن أحمد الطبراني)
Apabila masuk Rejab, doalah ya Allah berkatilah untuk kami dalam Rejab
dan Syaaban dan sampaikan umur kami ke Ramadan ( At-Tabrani)
Ambillah peluang ini selagi usia kita diberikan
Allah untuk melakukan kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan