26 Mei 2018

Islam dan Iman satu pencerahan

Ahmad Baei Jaafar
Walaupun orang Melayu sudah lama beragama Islam tetapi ramai juga yang masih keliru dalam soal agama. Tidak kurang juga yang memandai bercakap soal agama berdasarkan pembacaannya. Kadang-kadang apa yang difahami secara itu cuba berhujah dengan orang yang mahir tentang agama. Lebih malang lagi, mereka menganggap orang itu salah.
Saya dalam ruang yang sempit ini cuba memberi pencerahan dalam beberapa isu insya-Allah, moga-moga selepas ini tidak ada yang terus keliru. Untuk kali ini saya hendak perjelaskan tentang istilah Islam dan beriman. Istilah ini pada saya banyak mempengaruhi perselisihan ummah yang hidup pada hari ini.
Islam (orang Islam) lawannya kafir. Orang Islam bererti orang menyerah diri kepada Allah dan hukumnya. Manakala kafir bererti orang menentang Allah dan hukumnya.
Maknanya selagi kita tidak menentang Allah dan hukumnya tidak perlu kita bimbang, kerana status kita masih Islam atau akur dengan Islam dan hukumnya.
Oleh sebab itu orang bukan Islam tidak boleh kita katakan mereka kafir selagi mereka akur dengan Islam dan hukumnya. Sebab itu dalam istilah yang manis mereka disebut sebagai kafir zimmi iaitu orang kafir yang dilindungi oleh Islam dan undang-undangnya.
Mukmin atau orang yang beriman lawannya Musyrik. Mukmin ialah orang yang beriman kepada Allah dan semua rukun Iman. Manakala orang musyrik ialah orang yang menduakan Allah. Situasinya dalam percayakan Allah dia percaya juga kepada benda lain setanding dengan kuasa Allah. Maknanya orang musyrik tidak semestinya orang bukan Islam. Orang Islam juga boleh jadi musyrik.
Jelas di sini kalau Allah dan rasul menyebut "kamu tidak beriman" bukan bermakna kamu kafir. Jadi, orang yang tidak beriman menjadi mukmin asy atau mukmin yang derhaka. Anda ada peluang untuk bertaubat. Tetapi kalau anda dalam kategori mensyirikkan Allah dan sedar telah musyrik segeralah kepada syahadah yang baru.
Saya harap selepas ini tidak ada yang fobia dengan istilah ini. Jangan keliru, sehingga menganggap orang yang tidak beriman itu sebagai orang kafir. Ingatlah peringatan Allah itu supaya kita segera bertaubat. Sesungguhnya taubat itu untuk orang beriman yang berdosa. Ya, sememangnya kita selalu buat dosa.

10 Mei 2018

Sorotan kemenangan dan kekalahan PAS dalam PRU14

Ahmad Baei Jaafar

Menyorot keputusan PRU14, dapatlah saya simpulkan seperti berikut:
1. Rakyat Kelantan tidak terkesan dengan tohmahan dan fitnah yang disebarkan oleh golongan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan PAS. Dengan sebab itu mereka tidak pedulikan cakap-cakap orang mengenai kepimpinan PAS Kelantan.
2. Rakyat Kelantan tidak terkesan dengan penglibatan Nik Omar meninggalkan PAS kerana beliau tidak dikenali sebagai tokoh politik untuk memimpin Kelantan sebelum ini, walaupun dia datang dari susur galur Nik Aziz Nik Mat.
3. Rakyat Terengganu sangat mengenali Haji Hadi sebagai tokoh politik yang baik, maka mereka tidak terkesan dengan fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Keadaan ini sungguh berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia selain Kelantan dan Terengganu. Mungkin taraf hidup dan ilmu mereka mempengaruhi cara mereka berfikir. Jadi, perkara yang menyumbang kekalahan pas di Selangor, Perak dan Kedah seperti berikut:
1. Rakyat sebelah sini tidak terbiasa dengan gaya ceramah pemimpin PAS yang pada mereka amat tidak mesra pendengar.
2. Rakyat Selangor sebagai contoh tidak banyak mendapat pendedahan tentang dasar perjuangan PAS, dan pada masa yang sama mereka tidak cukup ilmu mengenai syariat Islam dan akidah.
3. Rakyat yang menjadi pengundi tidak begitu mengenali tokoh yang boleh meyakinkan mereka. Pemimpin mesra rakyat perlu turun padang memperkenalkan diri dan membantu urusan mereka.
4. Kesan daripada itu mereka mudah percaya fitnah yang dilemparkan terhadap kepimpinan pas, apatah lagi apabila keraguan mereka tidak dijelaskan secara terperinci di mana majlis.

Inilah pemerhatian saya yang seharusnya kepimpinan pas menelitinya semula secara adil. Akhirnya saya mendapati kerjasama dengan GS yang terlalu longgar tidak banyak membantu dalam menggerakkan jentera PRU14.

Untuk akan datang, kepimpinan PAS harus mengemaskan saluran komunikasi mereka dengan NGO Islam termasuk kumpulan Tabligh dan bekas al-Arqam. Memusuhi mereka bermakna telah menutup ruang-ruang rahmat Allah

09 Mei 2018

Taubat hanya melibatkan isu Syariat bukan Akidah

Ahmad Baei Jaafar

Apakah maksud taubat? Taubat dalam bahasa Arab dari kata dasar taba bermaksud kembali kepada punca. Orang yang tersesat dalam perjalanan, dia tidak boleh terus ke hadapan kerana boleh jadi bertambah sesat. Maka jalan selamat dia wajib patah balik ikut jalan yang dilalui itu hingga bertemu puncanya. Inilah yang dikatakan "taba".

Berbeza dengan perkataan 'ada bermaksud kembali juga tetapi kembali ke tempat dia keluar. Sebagai contoh dia keluar rumah untuk ziarah sahabat di Johor. Setelah selesai dia kembali ke rumahnya. Keadaan inilah yang dikatakan 'ada.

Satu lagi rajaa' atau rujuk bererti kembali juga atau biasa disebut balik. Perkataan ini digunakan untuk balik ke kampung sebagai contoh. Bagi orang Melayu pada musim raya, balik ke kampung maka digunakan "raja'". selepas dua hari di kampung dia kembali ke tempat mustautinnya. Kembali ini adalah "'ada".

Jelas di sini taubat berbeza dengan dua perkataan di atas. Jadi taubat ini khusus untuk orang yang sesat sahaja. Sesat bermaksud tersalah jalan lalu terbabas. Keadaan ini menyebabkan dia tidak jumpa jalan ke destinasi seterusnya. Jadi perlu susur balik jalan yang dilalui hingga bertemu beberapa alamat yang difahaminya. Mungkin pada hari ini agak mudah bagi orang yang pandai menggunakan waze.

Begitu juga halnya dengan agama. Kita boleh tersesat dalam memahami agama, tersalah dalam mengamalkan ajaran agama, atau kita telah melakukan dosa tanpa sedar. Apabila keadaan ini berlaku maka wajiblah dia bertaubat. Kembali kepada punca dia tersilap. Jadi urusan taubat adalah perkara yang berkait dengan agama khususnya ibadah atau syariat.

Mereka yang hendak bertaubat perlu melalui tiga proses:
1. Menyesal kesilapan yang lalu;
2. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi;
3. Memang tidak melakukan kejahatan itu lagi.
Tetapi jika salah itu melibatkan kesalahan dengan manusia ada syarat tambahan iaitu meminta maaf dengan orang yang terbabit dan kalau membabitkan harta wajib dipulangkan ganti ruginya. Maknanya kalau perkara ini tidak selesai, taubatnya tidak diterima oleh Allah.

Jelas di sini taubat tidak ada dalam persoalan akidah. Maka seseorang yang tersalah dalam soal akidah, sama ada kufur atau syirik maka dia tidak boleh bertaubat, malah taubatnya tidak diterima. Allah sendiri ada menyebut hal ini dalam firmannya yang antara lain, Allah menerima semua taubat dosa hambanya kecuali orang yang berdosa kerana syirik.

Bagaimanapun bagi orang yang syirik atau kufur jika sudah insaf daripada kesilapan dan mahu kembali kepada ajaran Islam, dia wajib mengucap dua kalimah syahadah semua. Itulah sahaja peluang yang diberikan kepadanya.

Dengan penjelasan ini, dapat kita faham bahawa isu syariat berbeza dengan akidah. Namun sebagai umat Islam kita tidak boleh terlepas daripada dua bahagian ini. Apapun yang kita buat dan dimanapun kita berada, kita dikawal oleh Allah sama ada dengan syariat mahupun akidah. Wallahu aklam.