28 Mac 2011

Anak tak sah taraf bukan anak bapak

Ahmad Baei Jaafar

Dalam Islam anak luar nikah sepatutnya dibin atau dibintikan kepada ibu kerana anak itu memang anak ibunya yang sah. Tetapi di sudut syarak, anak itu dikira tak sah taraf kerana dilahirkan tanpa bapa yang sah. Oleh sebab itu anak tersebut tidak boleh dibin atau bintikan kepada bapa yang tidak sah itu.
Namun dalam masyarakat Melayu amalan membinkan atau membintikan kepada ibu adalah dianggap ganjil. Nanti pelbagai tuduhan yang akan datang dan ketika itu yang hina dan malunya ialah anak itu dan ibunya. Maka bagi menyelamatkan keadaan ini  suka saya mencadangkan dua keadaan iaitu:
Pertama, nama anak itu disandarkan kepada nama ibu tanpa memasukkan bin atau binti. Sebagai contoh; nama anak itu Soleh dan ibunya Kalsum, maka jadikan namanya Soleh Kalsum.
Kedua, nama anak itu disandarkan kepada nama suami ibunya tanpa bin atau binti. Sebagai contoh, suami ibunya bernama Badrul, jadi Soleh Badrul.
Sebenarnya status anak itu dengan bapa sandaran itu adalah bapa tiri yang sememangnya tidak boleh menjadi wali bagi anak perempuannya. Namun bengan sandaran begini sedikit sebanyak boleh mengurangkan tekanan kepada anak itu apabila dewasa. Walau bagaimanapun cadangan ini perlu mendapat kebenaran dan persetujuan Jabatan Pendaftaran Negara.

Anak luar nikah tidak berdosa
Walaupun anak tersebut tidak sah taraf namun sebagai manusia, kedudukan mereka adalah sama sahaja dengan mereka yang sah taraf. Mereka di sisi Allah dinilai siapa yang lebih bertaqwa. Mungkin kedudukannya lebih baik daripada anak sah taraf jika mereka lebih bertaqwa. Jadi, mereka tidak wajar dihina hanya atas kesalahan ibunya yang berzina.
Ibu dan bapanya yang berdosa melakukan zina memang wajar dihukum, tetapi kalau mereka berdua telah bertaubat nasuha sebelum berkahwin dan seterusnya dapat meneruskan kehidupan rumah tangga dengan baik, tidak wajar lagi kita menghukum mereka. Sesungguhnya orang yang bertaubat setelah diterima Allah, kedudukannya seperti orang yang tidak berdosa.
Anak ini walaupun tidak sah taraf, dia tetapi anak ibu yang sah. Walaupun anak itu tidak ada bapa yang sah, dia masih ada bapa tiri yang sah. Jadi, sebagai anak bapa tiri kedudukannya tetap mahram kalau dia anak perempuan. Cuma dalam hal ini bapanya itu tidak boleh menjadi wali pernikahannya dan anak itu tidak boleh mewarisi harta pusakanya.
Jika semua pihak dapat memahami isu ini dengan baik, masa depan anak tak sah taraf atau anak luar nikah ini akan berada dalam keadaan lebih baik. Anak-anak itu tidak lagi berasa seperti tiada bapa atau diejek oleh pihak lain tentang statusnya itu. Kita perlu ingat dalam Islam sikap mendedahkan aib orang lain adalah dosa, sebaliknya menutup keaiban orang lain satu pahala yang besar pula.

Wali Perkahwinan
Pasangan yang memiliki anak tak sah taraf akan berhadapan dengan dilema untuk menjelaskan status anak itu yang sebenar. Apatah lagi anak perempuan yang akan berkahwin tanpa wali. Oleh sebab itu ibu bapa anak tersebut perlu berterus terang dengannya apabila dia sudah cukup dewasa atau setidak-tidaknya sebelum dia bersedia untuk berkahwin.
Walau bagaimanapun jika anak itu dibintikan dengan bapa yang menyebabkan dia dilahirkan, tentu ada masalah untuk menjelaskan kepada anak itu akan kedudukan yang sebenar. Anak itu nanti akan mempersoalkan itu dan ini. Kenapa dibintikan kepada bukan bapa sebenar? Kenapa memalukan saya waktu ini? Kenapa bapa lakukan ini semua?
Keadaan ini pasti terjadi kerana kerana si bapa ini telah melanggar undang-undang Islam yang mengharamkan nasab anak kepada yang bukan bapanya. Anak luar nikah hakikatnya bukan anak bapa yang menyebabkan ia dilahirkan. Jadi, haram dinasabkan nama anak itu kepada bapa tersebut. Begitu juga dengan anak angkat, tidak boleh ditukar nasab sebenar kepada nasab bapa angkat.
Lain keadaannya dengan sekadar sandaran kerana sandaran tidak semestinya merujuk kepada bapa. Boleh jadi merujuk kepada suami, bapa angkat, bapa tiri, ibu yang semuanya termasuk dalam kategori penjaga. Sebenarnya perkara ini telah diamal oleh orang Melayu secara lisan sekian seperti kata seseorang, “saya nak pergi ziarah Kalsum.” Dengan kenyataan itu akan timbul pertanyaan, “Kalsum mana tu?”. Lalu dia jawab, “Kalsum Dolah” sedangkan Dolah itu suaminya. Sandaran ini kadang-kadang merujuk kepada orang yang lebih dikenali.
Percayalah dengan penggunan sandaran ini, anak-anak yang terlibat akan mudah diberi penjelasan apabila sampai waktunya. Biasanya anak yang sudah dewasa setelah memasuki sekolah atau universiti akan bertanya kepada ibu bapanya, mengapa namanya tidak ada bin atau binti. Di sinilah peluang ibu bapa menjelaskan kedudukan anak itu. Sebagai contoh, Soleh Badrul, maka terus dijelaskan bahawa Badrul ini adalah bapa angkat kamu atau bapa tiri kamu dan sebagainya.
Perkara ini tidak perlu dirahsiakan kepada anak-anak terlibat. Namun perlu diingat, kedudukannya sebagai anak tidak sah taraf tidak perlu dijelas. Ertinya perkara itu hendaklah terus menjadi rahsia. Kalau dia bertanya tentang ayahnya yang sebenar, lebih baik ditutupkan dengan kata-kata bahawa ayahnya sudah mati. Kata-kata ini bukan menipu tetapi itulah hakikat sebenar yang bapanya memang tiada secara sah.
Dengan cara ini mudahlah anak itu hendak berkahwin dan tidak menjadi satu keaiban baginya untuk berwalikan wali hakim. Ketika itu dia tidak akan berasa pelik kerana bukan dia seorang yang perlukan wali hakim seperti yang termaktub dalam undang-undang Islam. Jadi, dengan cara ini juga anak tak sah taraf tidak akan mengetahui statusnya apatah lagi orang lain.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...