Ahmad Baei Jaafar
Syurga sebagaimana yang digambarkan al-Quran, suasananya yang menarik dan sedap mata memandang. Terdapat di dalamnya tumbuh-tumbuhan yang menghijau, sungai yang mengalir bersih, dan ada pula jambatan yang merentanginya. Selain itu haiwan atau hidupan boleh hidup bebas dalam taman itu tanpa diganggu gugat oleh penghuninya.
Itulah gambaran syurga yang seharusnya dibina dalam rumah tangga umat Islam. Suasana tenang, damai dan menghiburkan dapat dirasai oleh penghuni syurga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak yang baik. Mereka ini mampu menjaga alam sekitar dengan baik dan tidak merosakkan apatah lagi memusnahkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan di dalamnya.
Jelaslah penghuni syurga ini terdiri daripada orang yang beriman; suami beriman, isteri beriman dan anak-anak juga beriman. Suami yang beriman sudah tentu berperanan sebagai ketua keluarga, isteri berperanan sebagai pendidik, manakala anak merupakan ahli keluarga yang terdidik. Mereka sama-sama hidup di bawah naungan ilahi, dengan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna.
Keluarga yang harmoni ini tidak syak lagi akan sentiasa taat kepada agama dan pastinya tidak akan terlintas dalam hati mereka untuk melakukan dosa, derhaka kepada Allah. Pada masa yang sama mereka tidak menyakitkan hati jiran dan manusia yang lain.
Halangan Membina Syurga Rumah Tangga
Persoalan sekarang masih wujudkah keluarga yang harmoni dan dijamin syurga seperti yang digambarkan di atas? Wujudkah suami atau isteri yang beriman seperti itu? Wujudkah anak-anak yang beriman sehingga mereka tidak menderhakai ibu bapa mereka? Jawapannya sudah tentu ada, tetapi peratusnya amat sedikit. Kenapa?
Sememangnya pasangan yang berkahwin itu mengidamkan syurga dalam rumah tangga mereka, tetapi sejauhmana mereka bersedia ke arah itu. lazimnya, suami sebelum berkahwin tidak pun membuat persiapan untuk menjadi suami yang beriman dan untuk menjadi suami yang baik. Dan isteri juga sebelum berkahwin tidak cuba membuat persiapan untuk tingkatkan iman di dada.
Meskipun mereka menghadiri kursus pra perkahwinan, tetapi kebanyakan peserta hadir hnya untuk mendapatkan sijil bukan ilmu. Dalam keadaan itu bolehlah mereka membentuk keluarga sakinah yang menjadi asas kepada syurga rumah tangga? Tentu mustahil bagi mereka mengecapinya.
Walau bagaimanapun peluang itu masih ada kalau terdapat salah seorang daripada pasangan itu beriman dan beramal soleh. Yalah kalau salah seorang daripada mereka beriman dan berjaya mengekalkannya, secara tidak langsung dia dapat mendidik pasangannya ke arah yang sama.
Andaikan isterinya beriman dan mampu berperanan sebagai isteri yang solehah, lambat laun suaminya boleh menjadi baik sepertinya. Apa tidaknya, apabila suami pulang ke rumah, disambut di hadapan pintu dengan senyuman walaupun dia penat mengurus rumah. Kemudian suami yang kehausan dihidangkan pula dengan air suam dan tempat rehat yang selesa sudah disiapkan.
Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah mereka yang apabila kamu melihatnya menyenangkan hatimu, apabila kamu menyuruhnya dia taat, apabila kamu tiada, dia menjaga maruahnya dan menjaga hartamu.” (Riwayat al-Tabrani - 12106)
Isteri yang sebaik itu pasti menambat hati suami setiap kali pulang ke rumah. Sikapnya yang konsisten itu bukan sahaja dapat mengembirakan suami, malah menyenangkan hati anak-anak. Semasa ketiadaan suami, dia mendidik anak dengan sempurna hingga jadi manusia yang berguna.
Anak yang dididik ke arah iman dan taqwa pula akan memelihara ibadah kepada Allah. Bukan sahaja solat lima waktu, dan ibadah yang wajib tetapi solat sunat mampu dilakukan berterusan. Selain ibadah, hubungan dengan manusia hendaklah dilakukan dengan penuh beradap, dan sistem muamalat terus dihayati secara sopan.
Artikel penuh boleh anda baca dalam Solusi isu no 29
Tiada ulasan:
Catat Ulasan