27 Mac 2009

Bersara Karangkraf tidak bersara menulis isu Agama

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Kawan-kawan seperjuangan, masa saya di bumbung Karangkraf S.B berakhir pada 27 Mac ini, kerana pada 28 Mac 2009 genap usia saya 55 tahun. Jadi, sesiapa yang ada terambil buku atau barang saya bolehlah membuat penyerahan kepada saya semula. Kalau anda ada terhutang dengan saya bolehlah membayar kepada saya pada hari-hari yang berkesempatan kerana hutang wajib dibayar. Tetapi kalau anda terhutang budi tidak perlu dibayar kerana semua itu adalah percuma, namun Allah sudah bayar kepada saya.
Kalau anda rasa saya berhutang atau terambil apa-apa daripada anda, tolong beritahu saya nanti saya akan bayar. Tetapi kalau saya bersalah dan telah melakukan dosa terhadap anda, beritahu saya supaya saya boleh memohon maaf kepada anda dan bertaubat kepada Allah. Maklumlah mulut saya lesernya. Tetapi kalau salah dan silap anda kepada saya sudah saya maafkan dari kesalahan anda kepada saya.
Sebenarnya saya berada dalam karangkraf sehingga akhir bulan adalah selama 12 tahun, satu tempoh yang agak lama. Kalau ibarat sebuah universiti, pengajian media, saya hari ini sudah beroleh Phd dalam bidang persuratan. Banyak ilmu yang dipelajari terutama dalam gaya penulisan DBP dan yang terakhir gaya tulisan Akhbar. Selain ilmu, pengalaman dalam banyak bidang telah diperoleh, yang buruk dan baik semua adalah baik untuk masa depan saya.
Tetapi yang paling mengembirakan saya di saat saya hendak meninggalkan kampus Karangkraf ini ialah karangkraf dan warganya sudah banyak berubah ke arah kebaikan. Saya bangga dengan perubahan itu. Walaupun saya hanya sekadar boleh berdoa sewaktu saya menjejaki karangkraf sehingga sekarang tanpa melakukan sesuatu, tetapi Allah mahu hambanya berubah. Bos kita adalah sebab semua ini terjadi, syabas bos dan syabas juga kepada kawan-kawan yang terus berubah.
Kepada kawan wanita yang sudah berjinak-jinak dengan tudung yang menjadikan anda lebih muda dari sebelumnya, saya minta kekalkan iman di dada semoga Allah kurniakan yang lebih daripada itu. Bukan senang untuk seseorang beroleh Hidayah Allah, maka kalau dah dapat jangan mudah abaikan.
Kepada kawan-kawan yang sudah berjinak-jinak dengan Surau, saya harap kekalkan keazaman untuk berubah. Ingatlah yang membezakan kita dengan bukan Islam ialah solat lima waktu. Orang Cina sembahyang pada setiap pagi sebelum bukan kedai, orang Hindu sembahayang dua kali pada pagi dan petang, orang Kristian sembahyang pada hari minggu, maka kita lakukan lima kali. Kalau kita buat dua sahaja samalah dengan Hindu, kalau satu saja sama macam Cina, kalau seminggu sekali, samalah dengan Kristian. Jadi, jangan samakan dengan mereka kalau anda mahu jadi muslim dan mukmin sejati.
Kawan-kawan, sepeninggalan saya nanti ingatlah saya dan lawatilah saya kerana saya hendak tinggalkan kepada anda blog saya, http://baei.blogspot.com yang mungkin dengan ini kita boleh terus berhubung. Perhubungan yang diredhai Allah tentu ada manfaat yang boleh diambil.
Kalau sebelum ini anda selalu menghubungi saya di pejabat untuk bertukar-tukar pandangan dan bertanya hukum, masih ada ruang untuk kita teruskan usaha itu demi kebaikan kita bersama di dunia dan juga akhirat. Boleh hubungi saya di e-mel: baei54@streamyx.com atau ustaz_baei@hotmail.com .
Sebenar, saya tidaklah sedih untuk meninggalkan Karangkraf, bos dan kawan-kawan semua, kerana kebanggaan saya terhadap Karangkraf, bos dan kawan-kawan adalah mengatasi segala-galanya. Jadi, teruskan perjuangan anda selagi anda diperlukan. Selamat berjuang dan salam perpisahan.

25 Mac 2009

Tabiah merokok dibenci Allah, Rasul

AHMAD BAEI JAAFAR

Fizikal rokok yang terdiri dari tembakau dan kertas balutan itu telah lama dihukumkan haram oleh ulama al-Azhar. Hal ini kerana kandungannya dikatakan terdiri daripada bahan-bahan terlarang dan membahayakan kesihatan penghisapnya. Menurut kaedah perundangan Islam sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan manusia maka ia adalah dilarang.
Rokok seperti yang disebut dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 mendefinisikan rokok sebagai tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau lainnya. Berdasarkan satu kajian Pusat Racun Negara USM, di dalam rokok mengandungi anggaran 4000 jenis racun, sebahagiannya amat toksik seperti sianid, arsenik, racun-racun makhluk perosak. Dioksin juga boleh dihasilkan melalui penggunaan tembakau.
Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom (ketika itu), berkata, Selangor mengambil keputusan mengharamkan rokok itu selepas berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Kemudian keputusan mengharamkan rokok itu diwartakan mengikut Sub-seksyen 31(1) dan Seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989.
Jika fizikal rokok haram, maka menjual rokok juga adalah haram, membeli rokok adalah haram, dan menghisapnya juga haram. Begitulah kaedah yang terdapat dalam Islam iaitu, “tidak sah jual beli bahan yang haram”.
Berdasarkan itu, berapa ramaikah umat Islam yang terlibat dengan perkara haram hanya melalui sebatang rokok sahaja. Tauke kedai, penjual (juru jual), pembeli, dan penghisap dalam kalangan umat Islam adalah dikenal pasti paling ramai. Kalau begitu, sebahagian besar umat Islam di dunia ini terlibat dengan perkara haram tanpa kita sedar. Inilah barangkali mengapa doa umat Islam tidak dikabulkan Allah.
Mengikut statistik pada tahun 1989, rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM2 juta sehari untuk membeli rokok tanpa menghiraukan kesan merokok itu yang dikatakan membahayakan kesihatan. Setiausaha Agung, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu (ketika itu), berkata, ini bermakna rakyat membelanjakan kira-kira RM720 juta (nilai pada masa itu) setahun untuk membeli rokok. Kalau nilai sekarang entah berapa kali ganda jumlahnya.
Menurut satu kenyataan mutakhir ini, hasil keuntungan penghasilan rokok Amerika Syarikat, sebahagian besarnya adalah untuk membantu Israel membangunkan negaranya termasuk memerangi Palestin. Dikatakan satu hari diperuntukkan 10 juta dolar untuk Israel. Sudah pasti saham umat Islam yang menghisap rokok itu telah dimasukkan di dalamnya tampa kita sedari.
Jika umat Islam sedar akan penglibatan saham mereka dalam membantu Israel bagi memerangi Palestin, mahukah kita menghisap rokok lagi? Bayangkan, jika kita masih mengabaikan hukum haram fizikal rokok itu, apakah dalam soal memberi saham kepada Israel masih hendak diabaikan? Hanya iman sahaja yang boleh merubah segala kehendak hati dan perasaan yang masih dikuasai nafsu.
Selain fizikal rokok, kita perlu juga melihat kepada tabiat perokok yang secara sepintas lalu boleh dinilai sebagai terkeluar dari adab sopan seorang Islam. Maknanya selain perbuatan merokok itu haram, tabiat perokok adalah dibenci Allah kerana beberapa tabiat buruknya.
Antara tabiat buruk perokok ialah:
1. Merokok sambil berjalan yang pastinya berdiri.
2. Menghembus asapnya di hadapan orang lain sama ada perokok sepertinya atau yang tidak merokok.
3. Merokok sambil berbual perkara yang melalaikan.
4. Perokok sanggup merokok di dalam tandas.
5. Perokok tidak tahu menghormati orang lain yang tidak merokok.
6. Perokok sengaja membazirkan wang untuk membeli barangan haram.
Biasanya mereka yang merokok tidak sedar bahawa semua itu melanggar tatasusila sebagai seorang Islam. Tetapi kalau seseorang itu mahu bertanya pandangan orang lain terhadapnya, pasti ada jawapan yang ikhlas daripada mereka.
Dalam hal ini jika umat Islam merenung hukum di atas dan melihat kepada perbelanjaan yang menguntungkan musuh Islam dan ditambah pula dengan tabiat buruk di atas, mahukah anda terus merokok? Tepuk dada tanya selera, tanya iman di dada.
Sebenarnya sudah terbukti, kebanyakan perokok boleh meninggalkan tabiat merokok apabila mereka telah mengidap penyakit itupun setelah dinasihatkan doktor. Jika tidak mereka akan terus menghisap walaupun setelah mengetahui hukum dan perkara yang disebut di atas.
Perlu dijelaskan di sini, sesiapa yang meninggalkan tabiat merokok kerana sakit atas nasihat doktor, tindakannya tidak beroleh pahala kecuali sekadar kesihatan yang agak baik di dunia ini.
Dalam hal ini terlalu jarang kita dengar perokok meninggalkan tabiat merokok kerana sedar perintah dan larangan Allah. Jarang kita dengar perokok meninggalkan rokok kerana tidak mahu kompromi dengan musuh Islam. Jarang kita dengar perokok meninggalkan rokok kerana mengelak pembaziran dan meninggalkan tabiat buruk yang dibenci Allah.
Kalau umat Islam boleh tinggalkan merokok kerana Allah dan sebab-sebab selain nasihat doktor pasti mereka akan diberi pahala. Untuk ini kepada perokok saya ingin cadangkan supaya anda bayangkan rokok yang akan diletakkan pada bibir anda itu benda haram sama seperti babi. Pasti anda tidak mampu untuk menghisapnya. Kalau itupun anda tidak sanggup, tiada siapa yang boleh mengubah anda.

24 Mac 2009

Pilih isteri yang sanggup jadi ibu anak-anaknya


Pada hari ini lelaki mencari isteri seperti membeli ikan di pasar. Apabila melihat sahaja pada zahirnya baik dan cantik dia terus membeli. Tetapi sebelum membelinya dia akan membelek-belek ikan itu kiri dan kanan malah membuka insangnya untuk memastikan masih segar. Kalau dia tidak berkenan terus ditinggalkan.
Inilah realiti yang dapat dilihat pada hari ini di mana-mana. Kesan daripada itulah kita lihat perkahwinan yang terbentuk pada hari ini tidak mencapai tahap kecemerlangan seperti yang dihendaki oleh Islam. Mungkin hasil perkahwinan itu dikurniakan anak yang ramai tetapi kehidupan suami isteri terus tidak bahagia. Mungkin isteri terpaksa melahirkan anak itu atas kehendak suami sedangkan dia belum bersedia untuk menjadi ibu.
Dalam keadaan itu isteri tidak senang dengan perbuatan suami dan sebaliknya suami juga tidak berpuas hati dengan sikap isteri. Hidup mereka penuh kepura-puraan, berlakon di pentas dunia sementara belum terbongkar segala rahsia di hati.
Sesetengahnya setelah 10 tahun berumah tangga, anak sudah lima enam orang, mereka masih berpeluang untuk memikirkan hendak bercerai dan hendak membawa haluan masing-masing atas alasan tidak sehaluan. Akhirnya anak dibiarkan menjadi mangsa perceraian pasangan tersebut.
Persoalannya mengapa tidak sehaluan sedangkan pada awal perkahwinan dilihat seperti sehaluan. Mengapa tidak boleh sefahaman setelah lama membina rumah tangga. Bukankah semakin hari semakin mengenali isi budi masing-masing dan semakin memahami jiwa antara satu sama lain?
Jelas di sini, semasa mereka membina rumah tangga, tidak diambil peluang untuk saling mengenali hati budi pasangannya. Mereka ego dengan sikap masing-masing lalu apa yang difikirkan baik untuk diri dirasakan sudah difahami oleh pasangannya.
Di sinilah kesilapan umat Islam sama ada muda mudi, lelaki dan perempuan termasuk ibu bapa dalam memilih isteri untuk anak-anaknya. Sebenarnya dalam Islam, terdapat konsep, “apabila seseorang memilih isteri bererti dia memilih ibu untuk anak-anaknya.” Maka kerana itu mereka perlu merancang masa depan kehidupannya dengan memilih isteri yang sesuai untuk dijadikan ibu suatu hari nanti.
Siapakah isteri yang layak menjadi ibu? Bagaimana sifat isteri itu? Bagaimana rupa dan tingkah lakunya?
Persoalannya, bolehkah seorang isteri yang tidak berakhlak boleh mendidik anaknya menjadi seorang yang berakhlak. Bolehkah isteri yang berlatar belakangkan keluarga yang tidak menentu boleh menjadi ibu yang baik kepada anak-anaknya nanti?
Berdasarkan itulah rasionalnya Rasulullah menyebut dalam sebuah hadis, “pilihlah yang beragama, nanti kamu akan beroleh kebaikan dan keselamatan.” Jadi, beragama adalah teras kepada kejayaan bahtera kehidupan.
Seorang lelaki yang bijak sewaktu memilih bakal isteri akan melihat latar belakang kehidupannya, keluarganya dan cara hidupnya. Jika latar belakangnya adalah orang yang beragama pasti cara hidupnya sangat mematuhi peraturan agama. Mereka pasti tidak melanggar perintah Allah walaupun dalam soal yang kecil dan remeh-temeh.
Jadi, mana mungkin isteri dipilih melalui internet, boleh terjamin imannya, ibadahnya dan akhlaknya. Tiada siapa yang boleh menyokong pemilihan itu kecuali sekadar pandangan zahir pada gambar atau tulisannya.
Mana mungkin isteri dipilih melalui pandang pertama di majlis keraian, majlis hiburan dan sebagainya. Siapakah yang menyokong pilihan itu secara pasti? Walaupun dengan kadar kenalan zahir dalam tempoh yang lama, belum tentu terjamin kerana manusia biasa boleh berpura-pura.
Mana mungkin isteri dipilih melalui kenalan yang tidak tentu tahap keimanannya. Kenalan itu bukanlah boleh dijadikan sokong kerana lazimnya sokongan itu akan membawa rebah.
Oleh sebab itu pilihan isteri mesti berasaskan agama, amalannya zahir dan batin sudah teruji, akhlaknya terpuji dan disenangi semua pihak. Pilihan isteri tersebut seharusnya dinilai dan diteliti oleh orang yang tidak berkepentingan dan yang pastinya dia juga orang yang beragama.
Pilihan itu pasti disokong oleh bukti pergaulan harian, sikap dan akhlaknya dengan Allah dan manusia. Mereka yang beragama tidak mampu ditipu dengan kosmetik, tidak mampu dilakonkan dan tidak mampu disembunyikan rahsia yang tersirat.
Isteri berdasarkan pilihan ini pasti mampu menjadi ibu kepada anaknya dengan baik dan sempurna. Isteri yang mampu menjadi ibu ini akan terus mempertahankan maruah diri, suaminya dan anak-anaknya. Isteri inilah yang dijamin boleh membawa suami dan anak ke dalam syurga.

22 Mac 2009

Bila maksiat diremehkan umat Islam

AHMAD BAEI JAAFAR

Bila menyebut maksiat terlintas dalam kotak pemikiran kita, kes khalwat dan zina. Lalu orang akan kutuk pasangan yang berkhalwat atau berzina dengan pelbagai label. Satu kampung rasa terhina jika berlaku maksiat itu dalam kawasan kampung atau perumahan mereka.
Benarkah golongan itu sahaja yang melakukan maksiat atau ada lagi maksiat lain yang lebih besar dari khalwat dan zina itu? Untuk mencari jawapan itu cuba kita hayati maksud hadis berikut:
“Tiada ketaatan kepada manusia pada perkara yang menderhaka Allah,“
Hadis ini merujuk kepada perintah mentaati pemimpin yang jika pemimpin itu memerintahkan orang bawahannya supaya melakukan sesuatu yang menderhaka akan Allah, maka perintah itu boleh diabaikan. Persoalan sekarang apakah bentuk perintah yang tidak perlu ditaati?
Dalam teks hadis itu Rasulullah menyebut perkataan “fi maksiatillah” yang bererti pada perkara maksiat kepada Allah. Dalam bahasa mudah kita terjemahkan sebagai "menderhaka akan Allah S.W.T." Jadi, maksiat dalam konteks ayat ini bererti derhaka. Jelasnya maksiat tidaklah harus disempitkan kepada khalwat dan zina sahaja.
Maksiat Dalam Islam
Sebenarnya maksiat atau derhaka dalam Islam terlalu luas mencakup soal syirik kepada Allah dam juga tidak mentaati perintah Allah apatah lagi membuat larangan Allah S.W.T. Berdasarkan itu, perbuatan tidak melaksanakan perintah Allah atau melanggar larangan Allah S.W.T. dikira sebagai melakukan maksiat atau derhaka.
Apakah perbuatan melanggar perintah Allah? Allah perintahkan solat, jika kita tidak melakukan solat bererti kita telah melanggar perintahnya. Itulah maksiat. Begitu juga Allah perintahkan puasa, jika kita tidak mahu berpuasa, kita telah melakukan maksiat. Allah juga menyuruh kita mengeluarkan zakat, jika kita tidak mahu mengeluarkannya bererti kita telah melakukan maksiat. Soalnya mengapa maksiat ini tidak diberi perhatian serius,
Ada pihak yang menyalahkan pemerintah kerana telah mengkategorikan maksiat kepada juzuk yang kecil. Katanya dalam enakmen undang-undang keluarga Islam hanya memperuntukkan bentuk maksiat tertentu sahaja maka itulah yang boleh diambil tindakan.
Alasan yang diberikan itu cukup lemah kerana dalam Perlembagaan Persekutuan telah memberi ruang yang cukup kepada kerajaan negeri membuat peruntukan yang luas mengenai maksiat itu. Malah pada Perkara 11 Perlembagaan memberi kebebasan umat Islam beramal dengan ajaran Islam dan pada masa yang sama memberi hak mengawal ajaran salah dan perkara yang bercanggah dengan syariat.
Dalam undang-undang keluarga Islam sudah ada peruntukan tentang kesalahan melakukan syirik, menyebar ajaran sesat, dan banyak lagi. Terdapat juga peruntukan yang membolehkan menghukum orang yang meninggalkan sembahyang dan puasa. Begitu juga dengan perbuatan yang tidak bersopan, boleh diambil tindakan melalui enakmen itu. Tetapi mengapa semua itu seperti tidak diambil tindakan bagi memerangi maksiat.
Maksiat Dipandang Sebelah Mata
Walaupun peruntukan sudah ada tetapi untuk bertindak belum lagi terlaksana. Barangkali alasannya tenaga penguat kuasa tidak ramai maka cukuplah ditumpukan kepada persoalan khalwat dan zina. Tetapi benarkah penguat kuasa tidak cukup?
Memanglah, penguat kuasa untuk menangkap orang buat maksiat terlalu sedikit. Tetapi persoalan yang perlu difikirkan secara serius bukan tangkapannya tetapi mendidik manusia supaya tidak terjebak dengan maksiat. Untuk urusan itu tidak perlu penguat kuasa sebaliknya jabatan dakwah dan orang ramai boleh dimanfaatkan.
Dalam pemerintahan Rasulullah s.a.w. dan para Khulafa’ ar-Rasyidin, pendekatan mendidik mampu membasmi gejala maksiat. Rasulullah mendidik iman para Sahabat dan kemudian Sabahat itu pula mendidik anak-anak dan mereka yang tidak bersama Rasulullah.
Sebenarnya maksiat yang paling serius pada hari ini ialah syirik dan murtad. Tetapi semua pihak pandang sebelah mata meskipun isunya menjadi riuh rendah. Mengapa hal ini terjadi? Jawapan yang sering didengari ialah peruntukan tidak ada ataupun tidak begitu kuat untuk didakwa.
Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa kerja kita bukan untuk menangkap dan menghukum mereka. Mereka perlu diselamatkan dengan usaha dakwah dan didikan pemulihan. Kerja ini tidak perlu undang-undang dan semua pihak perlu dilibatkan dalam usaha menyelamatkan mereka.
Begitu juga dalam soal kesalahan tidak melakukan sembahyang lima waktu dan Jumaat. Inilah maksiat yang berat malah boleh menjadi murtad jika meninggal sembahyang dengan sengaja. Tetapi siapa yang mahu menyelamatkan golongan yang melakukan maksiat itu?
Orang yang meninggalkan sembahyang termasuk Jumaat terlalu ramai pada masa ini, tetapi mereka terus bebas tanpa sebarang tindakan meskipun sudah ada peruntukan mengenainya. Siapa yang boleh menyedarkan mereka dari kemaksiatan itu?
Golongan pendakwah baik yang bertauliah mahupun yang tidak bertauliah tidak pernah mendekati golongan yang meninggalkan sembahyang. Lazimnya pendakwah akan masuk masjid dan program rasmi agama sedangkan golongan yang terjebak dalam maksiat di atas tidak menghadirinya. Mengapa pihak berkuasa agama tidak memikirkan pendekatan harmoni untuk mendekati mereka?
Satu lagi maksiat yang sering terlepas pandang ialah amalan mendedahkan aurat, bergaul bebas, dan berpelesiran di taman-taman bunga. Dalam hal ini syabas diucapkan kepada majlis perbandaran yang sesekali membuat tindakan pembersihan.
Tetapi sebagai umat Islam apakah peranan kita untuk menyelamatkan mereka dari terus melakukan maksiat. Alasan hak asasi manusia tidak boleh diguna bagi orang Islam kerana perbuatan mereka termasuk dalam kategori melakukan maksiat. Jadi, pendekatan serius daripada Jabatan Agama Islam dengan kerjasama AJK masjid, surau, persatuan penduduk perlu disegerakan.

21 Mac 2009

Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks

AHMAD BAEI JAAFAR

Setelah dua rencana mengenai poligami muncul dalam blog saya, tiada lelaki yang memberi respons. Adakah kerana mereka bersetuju dengan tulisan itu atau mereka tidak mahu baca kerana tidak berminat dengan poligami?
Mungkinkah ada lelaki yang membaca rencana itu langsung terbantut niat hendak berpoligami? Mungkin rencana itu membuatkan lelaki yang hendak berkahwin lebih daripada seorang berfikir dua kali. Mereka sudah ada rasa "perlu tepuk dada tanya imannya", mampukah dia berlaku adil dalam aspek-aspek yang tertentu. Kalau dirasakan tidak mampu cukuplah seorang dulu.
Tetapi syabas golongan wanita, mereka nampaknya seperti lebih berminat untuk membacanya, malah menemui sesuatu yang dikatakan boleh mengelirukan, malah tidak wajar. Keprihatinan mereka saya hargai. Mereka bukan mempertikaikan hukum Allah dan Rasul tetapi mereka meragui apa yang saya tulis. Semoga Allah berikan kepada mereka ilmu yang lebih luas untuk memahami ajaran Islam yang sebenar.
Sebenarnya pada rencana pertama, tidak ada isu yang ditimbulkan kecuali seorang lelaki yang menyatakan kurang bersetuju dengan tajuk, poligami mengundang ke neraka, alasannya poligami sepatutnya mendorong ke syurga. Tetapi pada kali ini seorang pembaca lelaki dan beberapa orang wanita mempertikaikan kewajaran dihukumkan haram kepada suami yang melakukan persetubuhan dengan isterinya yang bukan pada gilirannya.
Sebenarnya persoalan poligami jarang dibincangkan oleh ulama secara serius, dan kalau bincang pun tidak begitu mendalam. Mungkin kerana tidak ramai yang terlibat dengan poligami kecuali para ulama. Oleh sebab mereka tahu hukumnya dan tidak pernah berlaku perkara yang berbangkit maka tidak perlulah dipanjangkan huraiannya.
Bagaimanapun kalau ada orang awam yang hendak poligami, mereka akan terus rujuk secara empat mata dengan ulama. Jadi, masalah mereka dapat selesai di situ secara empat mata. Tetapi pada hari ini, ramai orang awam yang berpoligami tidak mengikut peraturan, ikut nafsu dan kemahuan. Lalu mereka sudah berani pergi ke Thailand untuk menyegerakan poligami. Padahal mereka tidak belajar hukum dan pantang larang dalam poligami itu.
Menyedari kesilapan dan pelanggaran hukum syariat mereka yang berpoligami itu, maka saya memberanikan diri untuk menulis mengenainya. Ini dirasakan sebagai tanggungjawab saya kerana kebetulan saya adalah Penolong Pendaftar Nikah di Selangor.
Beruntunglah mereka yang hendak berpoligami dilakukan melalui tangan saya. Berpeluanglah saya mengajar sedikit sebanyak pantang larang mengenainya. Untuk pengetahuan semua setakat ini saya baharu menikahkan seorang untuk kes poligami dan telah cuma menasihatkan beberapa orang yang hendak berpoligami dalam kawasan saya sama ada lelaki atau perempuan.
Jadi, bagi menjawab persoalan pembaca rencana ini, suka saya mengajak anda semua merujuk kitab fiqah sama ada kitab kuning atau moden atau lebih baik lagi dalam bahasa asal iaitu Arab. Tapi untuk mudah baca dan mudah faham bolehlah rujuk kitab jawi yang bernama “Idaman Penuntut, penggal kedua” buku ini terbitan dan cetakan Johor, penulisnya telah memudahkan bahasa yang sebahagian besarnya diambil dari kitab kuning, “Matlaal Badrain” tulisan Syeikh Daud Fatani.
Jika anda ada kitab itu sila buka bab “berbilang isteri (poligami)” dan cari ceraian tajuk “giliran dan nusyuz”. Tetapi dalam ruang yang terbatas ini saya ingin memetik beberapa para penting iaitu.
“Jika sudah bermalam dengan seorang isteri wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama macam itu sekalipun mereka itu ada uzur seperti sakit, haid, kemaluan tersumbat atau dalam ihram. Kerana tujuannya supaya berjinak-jinak bukan kerana hendak bersetubuh sahaja. Wajib menyamakan giliran itu ialah tentang bermalam jua bukan tentang bersetubuh atau sebagainya iaitu sunat sahaja. (halaman 114 : Idaman Penuntut- penggal kedua).
Penting difahami di sini, wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama seperti yang dilakukan pada seorang isteri yang pertama. Maknanya kalau ada empat isteri, kalau yang pertama satu malam, maka isteri yang kedua juga satu malam dan begitulah seterusnya. Tapi kalau pilih dua malam, sama jugalah seterusnya walaupun isteri kedua dan ketika dalam haid. Setiap kali berlaku giliran tidak semestinya berlaku perhubungan seks. Perkara itu tidak wajib tetapi sunat sahaja kalau mereka berhajatkannya.
“Adalah hukum wajib menyamakan giliran itu dikira dari segi tempat kediaman dan dari segi masa. Dari itu wajib disediakan tempat kediaman berasing-asing. Maka haram dikumpulkan dua isteri atau berapa isteri di satu tempat kecuali mereka bersetuju dan izin.” (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).
Dalam bab tempat tidak perlu ulasan lanjut kerana tulisannya jelas. Memang Islam tidak galakkan menghimpunkan isteri dalam satu rumah, walau sebaik mana pun isteri-isteri itu mereka mesti diasingkan. Tentu ada hikmahnya, hanya yang sudah alami tahu hikmah yang sebenarnya.
“Dan di segi masa maka orang yang bekerja siang hari hak gilirannya ialah malam dan siang ikut sahaja. Kecuali ada hajat seperti menjengah kesakitan atau menghantar barang, atau menyampaikan duit belanja ataupun tak boleh lama, jika lama kena ganti pada tuan punya giliran, bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh." (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).
Tetapi di segi masa perlu dijelaskan dengan agak terperinci. Orang yang bekerja pada siang hari maka gilirannya ialah malam dan siangnya. Inilah yang saya maksudkan 24jam. Dalam ayat itu diikuti dengan "kecuali" iaitu memberi maksud bahawa di sebelah siang yang menjadi sambungan bagi giliran malam tadi, walaupun masih milik gilirannya, terdapat sedikit pengecualian. Maksudnya, atas sebab-sebab tertentu pada siang hari itu bolehlah dia pergi ke rumah isteri yang lain. Antara sebab yang dicontohkan dalam ayat di atas ialah untuk melihat isteri keduanya itu dalam keadaan sakit, hantar barang, hantar belanja dapur atau sekadar singgah sebentar sekadar hendak bertanya khabar.
Walau bagaimanapun kalau dia dalam keadaan itu singgah terlalu lama, maka waktu itu wajib diganti pada gilirannya nanti, iaitu dikurangkan masanya. Satu lagi fakta yang penting di sini ialah, apabila seseorang suami itu singgah di rumah isterinya yang bukan giliran itu, dia boleh bergurau senda, boleh berseronok dan boleh bersembang seperti biasa. Namun begitu dia tetap dilarang bersetubuh. Itulah yang dimaksudkan dengan “bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh,” dalam teks itu.
Apakah yang anda boleh faham dengan maksud kata-kata berikut; kamu boleh buat itu dan ini kecuali yang ini? Kamu boleh lakukan semua yang ada di sini selain daripada yang ada di atas meja saya. Tidakkah kata-kata ini satu larangan. Dan larangan itu sudah tentulah haram, bukan makruh kerana lazimnya kalau dimaksudkan makruh, akan disebut oleh ulama secara jelas, makruh.
"Sekurang-kurang giliran dan yang afdal ialah satu malam pada seorang isteri dan haram lebih daripada tiga malam dengan tidak persetujuan isteri-isterinya itu.” (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).
Seterusnya pada perenggan ini ada menyebut cara giliran yang boleh dipilih. Sekurang-kurang gilirannya ialah semalam dan siangnya. Tidak boleh kurang daripada itu. Tetapi seseorang suami tidak boleh mengambil lebih daripada tiga malam dan siangnya. Berdasarkan itu adalah haram bagi suami tinggal di rumah isterinya lebih dari tiga hari kecuali jika suami sakit.
Berdasarkan itu kalau ada orang mendakwa ada hadis yang menyebut bahawa nabi ada menggilirkan semua isterinya dalam satu malam, saya beranggapan suatu yang istimewa buat nabi. Bagaimanapun pada saya kalau betul berlaku begitu mungkin telah mendapat keizinan semua isterinya. Kalau ada izin tidak timbul isu dan masalah.
Sungguhpun begitu saya meragui dakwaan itu kerana kemungkinan orientalis sengaja mahu memutar belitkan sunnah, seolah-olahnya Rasul kuat seks. Jadi, umat Islam perlu berhati-hati.
Ya, kalau hendak dilogikkan dengan akal, adakah kita nak kata Rusul itu kuat sangat seksnya, bayangkan Sembilan isteri hendak digilirkan semuanya dalam satu malam. Saya nak bayangkan diri saya sewaktu baru berumur 45 tahun, selepas bersama isteri, terus tidur, tidak mampu untuk ulang lagi dua atau tiga kali. Janganlah kita gambarkan Rasulullah sebegitu kerana baginda ketika itu pun sudah tua dan isterinya juga sudah tua.
Kalau benarlah ada hadis itu saya lebih percaya dia hanya membuat lawatan ke semua isterinya sebelum tidur dengan isteri yang dalam gilirannya. Inilah yang lebih tepat dan sesuai dengan yang terkandung dalam kitab di atas.
Tetapi ada juga tersebut dalam sebuah hadis Qudsi, yang Allah menegur Nabi Sulaiman yang berkata, aku telah menggauli semua isteriku pada malam ini supaya nanti semuanya mengandung dan melahirkan anak serentak. Allah menjawab, sepatutnya kamu berkata insya-Allah baru akan aku kabulkan. Oleh sebab dia tidak menyebut insya-Allah, hanya seorang isterinya sahaja yang mengandung dan beranak.
Hadis ini popular dalam bab jimak untuk menunjukkan sunat berdoa ketika berjimak. Sungguhpun begitu perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman tidak menggambarkan bahawa kita boleh menggilirkan isteri-isteri dalam satu malam. Dalam hal ini kita kena ingat bahawa syariat Nabi Sulaiman dengan Syariat Nabi Muhammad tidak sama.
Mengenai Rasulullah bersama Mariah Qitbiyah di rumah Habsah, ia tidak termasuk dalam giliran isteri kerana dia bukan isteri, tetapi hamba yang bebas daripada semua hukum di atas. Wallahu a'lam.

15 Mac 2009

Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?

Ahmad Baei Jaafar

Membaca rencana keluaran lalu, ramai yang bertanya mengapa pula poligami boleh mengundang kepada neraka, bukankah poligami sunnah Rasulullah. Benar, sesiapa yang mengamalkan sunnah Rasulullah akan beroleh pahala, syurga. Tetapi siapa yang boleh memberi jaminan bahawa mereka yang mengamalkan poligami pada hari ini benar-benar mengikut sunnah?
Sebenarnya sama ada kahwin poligami atau tidak, hukumnya adalah harus. Dan setiap yang harus kadang-kadang boleh menjadi wajib, boleh jadi sunat, boleh jadi makruh dan boleh jadi juga haram.
Bagaimanapun apabila seseorang itu telah secara rasmi berkahwin secara poligami, suami dan isteri-isteri terdedah kepada dosa yang boleh menghampirkan mereka kepada neraka. Semua ini adalah berpunca daripada kurang pengetahuan agama khususnya dalam soal hukum poligami sama ada suami atau isteri.
Di sini disenaraikan kesalahan yang sering terjadi kepada pengamal poligami:
1. Berbohong
Ada orang kata, bohong dalam poligami tidak sampai masuk neraka kerana bohong diharuskan untuk menyelamatkan keadaan yang gawat. Dalam kes ini siapa yang gawat? Siapa yang hendak diselamatkan hingga terpaksa mengguna senjata berbohong?
Jelas dalam kes ini suami berbohong untuk melepaskan dirinya sendiri. Maka dalam keadaan ini tidak ada keharusan dalam berbohong. Apatah lagi kalau pembohongan itu dilakukan berpanjangan tanpa henti, tentu berdosalah si suami itu.
Apabila seluruh hidupnya penuh dengan pembohongan, bahagiakah kehidupannya? Setiap detik gerak-gerinya dirasakan sedang diintai oleh isterinya. Maka sebelum dia dimasukkan ke dalam neraka di akhirat, hakikatnya dia telah memasukkan dirinya dalam neraka dunia.
2. Tidak Adil
Dalam keadaan di atas, suami tersebut tidak mungkin akan berlaku adil terhadap isterinya. Ada isteri yang teraniaya di sudut nafkahnya, ada juga isteri yang dicuaikan gilirannya dan ada isteri yang dibiarkan langsung atas alasan nusyuz dan sebagainya.
Bayangkan apa akan jadi kepada suami yang tidak adil kepada isteri-isterinya. Dia bukan sahaja berdosa dengan isterinya kerana tidak berlaku adil, dia juga berdosa terhadap Allah kerana melanggar perintah-Nya supaya berlaku adil. Sekali lagi suami dalam keadaan semakin hampir ke neraka.
Dalam sebuah hadis Rasulullah ada bersabda yang maksudnya, mana-mana suami yang tidak adil terhadap isteri-isterinya, di akhirat nanti dia akan berdiri dalam keadaan senget sebelah.
Berhubung dengan adil, yang paling penting ialah giliran malamnya. Dalam bab itu ramai suami atau isteri yang tidak tahu, lalu mereka terus melakukan dosa.
3. Salah Giliran
Sebenarnya giliran seseorang yang berpoligami adalah berdasarkan 24jam sehari. Maknanya kalau dia menentukan gilirannya bermula pada waktu asar, maka berakhir tempohnya pada waktu asar esoknya. Berdasarkan itu jika dia bermalam dengan isterinya pada malam itu, maka esok siangnya adalah termasuk gilirannya juga. Begitu juga sebaliknya kalau suami bekerja malam, maka siangnya adalah mula gilirannya.
Dalam hal ini kalau suaminya keluar kerja sama ada siang atau malam, maka waktu keluar itu juga dikira masih giliran isterinya itu. Jadi, selagi dalam tempoh giliran isteri itu, suami tidak boleh mengambil kesempatan untuk tidur dengan isteri yang lain.
Dia boleh pergi zirah isteri itu tetapi dia tidak boleh tidur bersama isteri itu. Dia boleh menghantar barang atau melihat anak dan isteri tetapi tidak boleh tidur dengannya. Jika berlaku persetubuhan sedangkan bukan gilirannya, maka perhubungan itu adalah haram. Jika lahir anak hasil persetubuhan itu adalah dikira haram, walaupun tidak sampai kepada hukum berzina.
Perkara inilah yang sering terjadi kepada pasangan poligami yang bermasalah semuanya hendak dirahsiakan. Boleh jadi pada malam Jumaat dia bersama isteri pertama, tetapi pada pagi Jumaat keesokannya dia singgah di rumah isteri keduanya dan pada kesempatan itu juga dia sempat bersama isteri tersebut. Sedangkan siang hari Jumaat itu adalah masih giliran isteri pertamanya.
Dalam kes ini, isteri pertama tahu suaminya ke tempat kerja, tetapi sebaliknya dia melencong ke rumah madunya. Jadi, selain dia menipu isterinya dia telah mencuri giliran isteri pertama untuk bersama isteri yang bukan gilirannya. Bayang berapa banyak dosa yang dilakukan oleh suami ketika itu. Semua ini kalau dia tidak bertaubat, sebaliknya mengekalkan amalan itu, pasti tempatnya adalah neraka.
Selain suami, isteri juga boleh terlibat dengan dosa dalam beberapa kes. Antara dosa isteri ialah:
1. Isteri menghalang suaminya bagi memenuhi giliran pada isteri yang lain.
2. Isteri menggauli suaminya padahal dia tahu hari tersebut bukan gilirannya.
3. Isteri menyekat madunya daripada mendapat manfaat, nafkah dan sebagainya.
4. Isteri bersangka buruk terhadap suaminya lalu mengintip gerak-gerinya.
5. Isteri bersangka buruk terhadap madunya lalu mengintip gerak-gerinya.
6. Tindakan isteri itu menyebabkan madunya hilang hak kenikmatan hidup berkeluarga.
Jika isteri tersebut tidak bertaubat malah meneruskan kesalahan di atas, mereka memang dijamin neraka. Namun oleh sebab para isteri tidak tahu kedudukan hukum ini maka mereka terus mengekalkan dosa-dosa itu.

10 Mac 2009

Isu Perkataan Allah, tamparan buat pemimpin Islam

Menyentuh isu penggunaan perkataan “Allah” oleh sebuah akhbar The Herald yang diterbitkan di Sabah dalam empat edisi, termasuk edisi bahasa Melayu, ramai orang Melayu termasuk pemimpin melenting. Memang pada dasarnya Kerajaan Malaysia melalui JAKIM tidak membenarkan penggunaan Allah, solat, wahyu dan sebagainya dalam agama lain selain Islam.
Persoalannya mengapa akhbar berkenaan hendak menggunakan perkataan Allah sedangkan akhbar itu berasaskan agama Kristian? Kenapa pula kita sebagai umat Islam melarang mereka berbuat begitu?
Jawapan kepada persoalan pertama ialah mereka memang berniat hendak mengajak seramai mungkin orang peribumi, bumiputera terutama yang belum ada agama supaya menganut agama Kristian. Niat mereka jelas, tetapi mengapa mereka menggunakan perkataan Allah sedangkan dalam Kristian tidak menyebut Allah secara jelas?
Sebenarnya dalam Kristian, tuhan mereka ialah Allah, Mariam dan Isa yang mereka sebut sebagai GOD. Mereka tidak menyebut Allah secara langsung kerana mereka tidak iktiraf Allah bagi orang Islam. Tetapi apabila mereka berniat untuk tarik peribumi, bumiputera dan orang Melayu yang imannya tipis, mereka sanggup berkorban pegangan mereka, lalu mereka zahirkan perkataan Allah.
Adapun jawapan kepada soalan yang kedua, kita sebenarnya takut orang Islam terpengaruh dengan agama Kristian, kita bimbang nanti ramailah umat Islam yang murtad. Agaknya mengapa kita takut? Adakah kita tidak yakin dengan keimanan umat Islam terutama orang Melayu pada masa ini, padahal kita sudah lama memeluk Islam?
Walau apapun jawapannya, sebenarnya isu ini mahu menyedarkan umat Islam daripada golongan pemerintah sehingga orang bawahan, rakyat jelata seluruhnya daripada tidur yang panjang. Umat Islam seharusnya mula menilai diri sendiri, apakah kita selama ini telah menjadi orang Islam yang betul tulen atau tidak? Apakah kita sudah melaksanakan perintah Allah dengan betul atau tidak? Adakah kita mengambil peluang untuk mengamalkan Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan atau tidak?
Sebenarnya merujuk kepada isu perkataan Allah, secara jelasnya saya tidak pasti, tetapi setakat yang saya tahu belum ada peruntukan dalam perlembagaan atau akta yang diwartakan melarang perkataan Allah dan sebagainya untuk diguna oleh agama lain. Memang dalam peraturan JAKIM ada larangan seumpama itu tetapi belum diwartakan sebagai akta.
Di sinilah sebenar kelemahan atau ketidakpekaan badan Islam, pemimpin Islam daripada wakil rakyat hingga kepada Perdana Menteri. Mereka tidak mahu mengambil kesempatan pada waktu mereka masih berkuasa. Pada waktu mereka masih kuat untuk menggubal rang undang-undang bagi menyekat kemungkinan berlaku kemungkaran pada masa hadapan, tidak dilaksanakan.
Sepatutnya waktu wakil rakyat Melayu Islam majoriti, mereka berani membuat rang undang-undang yang boleh menyelamatkan Islam dan umat Islam. Tetapi peluang itu tidak diambil kerana kononnya untuk menjaga hati kawan-kawan dalam parti pemerintah. Pada masa yang sama mereka memusuhi kawan Islam yang berada dalam parti lain. Sedangkan kalau mereka berpakat, banyak undang-undang yang dapat diluluskan ketika itu.
Antara akta yang boleh diwujudkan ialah:
1. Akta menghalang penggunaan Allah, solat, ka’bah, wahyu dan sebagai oleh bukan Islam
2. Akta kesalahan murtad
3. Akta kesalahan hudud
3. Akta menghina Islam
Perlu dijelaskan di sini walaupun wujud akta di atas ia tidak bercanggah dengan kuasa negeri dalam persoalan agama yang sememangnya tertakluk di bawah kuasa sultan. Akta ini boleh tegak sendiri seperti akta bank Islam dan takaful. Selain itu perlembagaan persekutuan juga boleh dipinda bagi mengukuhkan perkara tiga dan sebelas dan begitu juga dalam senarai jadual negeri.
Tetapi sayang, semua itu tidak diambil peluang di dalam dewan yang mulia itu sehingga ke hari ini. Pemimpin Melayu dan Wakil Rakyat Melayu asyik berpolitik yang tidak berkesudahan sehingga perkara yang penting untuk kepentingan Melayu dan Islam diabaikan begitu sahaja.
Pada hari ini kedudukan pemimpin Melayu Islam sudah semakin tergugat, majoriti mereka semakin terhakis. Kesannya, kalau mereka hendak buat perubahan pada perlembagaan dan akta di atas sudah tentu terdapat sedikit kesukaran. Inilah antara kesilapan dan kecuaian mereka yang akhirnya memakan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, perkara ini masih belum terlambat untuk dilakukan jika mereka mahu kerana majoriti Islam masih ramai, tetapi sejauh mana mereka yang berlainan parti politik itu boleh berpakat untuk kebaikan Islam, itulah yang perlu difikirkan secara serius.
Selain itu, dalam tradisi amalan kerajaan pimpinan BN sekarang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan. Maksudnya, apabila kabinet membawa usul dalam parlimen semua anggota BN mesti sokong usul tersebut. Jika mereka (anggota BN) menentang, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka.
Tradisi ini masih dipakai sehingga ke hari ini, tetapi mengapa peluang ini tidak diambil oleh Perdana Menteri? Kecuaian kerajaan dalam hal inilah yang menyebabkan semua yang buruk berlaku pada hari ini. Percayalah kalau peringatan ini masih tidak diambil perhatian, kerajaan yang ada sekarang akan Allah gantikan dengan kerajaan baru.

09 Mac 2009

Orang bukan Islam tidak iktiraf Allah sebagai tuhan

Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, bahawa beliau menyatakan tidak salah untuk orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Saya tidak pasti apakah ayat sebenar yang digunakan oleh Nik Aziz sebab lazimnya apa yang paparkan dalam utusan boleh diragui.
Bagaimanapun saya percaya beliau merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bertanya mereka (orang kafir), siapa yang mencipta langit dan bumi nescaya mereka menjawab, Allah.”
Beliau dikatakan mengulas isu penggunaan perkataan Allah selepas timbul bantahan orang ramai apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan kalimah Allah digunakan oleh sebuah akhbar (membawa mesej ajaran Kristian) di Sabah. Setelah mendapat bantahan daripada banyak pihak, kerajaan terpaksa mengeluarkan arahan pembatalan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mengulas hal itu berkata, keputusan KDN menarik balik perintah membenarkan penggunaan nama 'Allah' dalam penerbitan agama lain adalah satu langkah profesional yang menghormati undang-undang sedia ada.
Dalam situasi itu banyak pihak yang menolak pandangan Nik Aziz di atas, apatah lagi apabila isu ini terus dimainkan media. Pihak parti pemerintah pula mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Apabila isu itu dibangkitkan dalam Dewan Rakyat dan bagi menguatkan keputusan kerajaan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta Wakil Rakyat Baling memberi penjelasan mengenai isu penggunaan kalimah Allah, yang agak hangat dibincangkan oleh beberapa anggota Dewan pada hari ini.
Taib Azamudden Mat Taib (Pas-Baling) berkata, Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.
Taib Azamudden, yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara dalam jawapan yang pendek itu telah dianggap seperti bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Nik Aziz, malah Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih titah ucapan diraja, kemudian berkata, penjelasan oleh Ahli Parlimen Baling itu selari dengan pegangan kerajaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Persoalannya benarkah jawapan dua tokoh ulama PAS itu bercanggah dan yang satunya selari dengan pendirian kerajaan?
Sebenarnya tidak ada percanggahan jawapan itu sama ada dengan dua tokoh politik pembangkang itu atau dengan kerajaan. Jawapannya sama tetapi diputarbelitkan dengan tujuan mengelirukan orang awam.
Suka saya jelaskan di sini, Allah telah mengesahkan melalui firman di atas bahawa orang bukan Islam mengiktiraf Allah sebagai pencipta alam, langit dan bumi ini tetapi tidak iktiraf sebagai Tuhan. Ayat al-Quran yang disebut di atas itu adalah sekadar menyebut contoh apa yang berlaku pada zaman awal Islam, tetapi pada hari ini kita dapati lebih banyak bukti tentang kebenaran itu.
Barangkali pernah anda mendengar orang Cina atau India yang bukan Islam mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini? Bukankah masing-masing berkata, tuan Allah punya kuasa. inilah hakikat yang tidak boleh dinafikan.
Kalau orang Cina dan India berkata begitu, betapalah orang Kristian, mereka lebih patut menyebut Allah kerana mereka lebih dahulu mengenal Allah daripada umat Islam. Allah juga tuhan mereka, Cuma mereka turut percaya bahawa Mariam dan Isa ada kaitan dengan Allah, lalu ketiga-tiganya disebut sebagai GOD.
Jelas di sini, Allah kepada orang lain selain daripada Kristian dan Yahudi adalah pencipta alam ini tetapi tidak mengiktirafnya sebagai Tuhan. Manakala orang Kristian dan Yahudi percaya kepada Allah sebagai tuhan tetapi tidak sama dengan apa yang difahami oleh umat Islam.
Berdasarkan itu, kenyataan kedua-dua tokoh ulama di atas tidak bercanggah dengan pendirian kerajaan berdasarkan pengakuan Ahmad Zahid Hamidi dalam parlimen.
Walau bagaimanapun untuk membenarkan akhbar mereka menulis perkataan Allah sebagai menunjukkan tuhan mereka tidak boleh dibenarkan di negara ini. Hal ini kerana Allah pada mereka adalah satu daripada tiga tuhan. Jika perkataan Allah ditulis dalam akhbar nanti mengelirukan orang ramai sama ada yang dimaksudkan itu, Allah tuhan Islam atau tuhan Kristian.
Sungguhpun begitu, kalau dalam akhbar itu tidak merujuk kepada agama Kristian, tiada masalah untuk menulis Allah kerana lazimnya, Allah itu merujuk kepada Islam. Seperti Akhbar New Straits Times, Star dan juga akhbar Cina dan India, boleh menyebut Allah jika artikel atau berita yang merujuk kepada Islam.
Jadi, kalau Allah itu merujuk kepada agama Kristian sudah tentu tidak boleh dibenarkan di negara ini kerana dua sebab; mengelirukan pembaca kerana kenyataan di dalamnya seperti Islam tetapi ada kelainan maksudnya. Dan kedua secara tidak langsung menghina tuhan Kristian kerana hanya menyebut satu dari tiga tuhannya sahaja.
Atas dua alasan itu pun sudah tidak seharusnya mereka menggunakan perkataan Allah, apatah lagi kalau mereka berbuat begitu dengan niat untuk memperdaya orang Islam supaya memeluk Kristian. Perbuatan dan niat mereka itu adalah menyalahi peruntukan perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya mengikut perlembagaan Persekutuan, orang bukan Islam tidak boleh menyampaikan atau menyebarkan agama mereka kepada orang ramai terutama orang Islam. Mereka hanya boleh beramal dengan ajaran agama mereka dalam lengkungan mereka sahaja.
Tetapi atas kejahilan umat Islam atau kecuaian umat Islam tentang peruntukan perlembagaan itu, umat Islam bukan sahaja tidak mengamalkan ajaran Islam secara meluas, sebalik membiarkan agama lain menyebar luas kepada umum secara bebas.
Contoh yang jelas ialah, dokumentari mengenai agama Buddha, hindu dan Kristian bebas disiarkan dalam TV pada musim perayaan mereka. Ramai yang tidak sedar, isi kandungannya cukup membawa maksud mengajak orang ramai supaya memahami dan mempercayai kebaikan agama mereka. Tidakkah ini melanggar perlembagaan?

08 Mac 2009

Poligami boleh mengundang ke neraka?

AHMAD BAEI JAAFAR

Menyebut tentang poligami banyak pihak akan memandang serong kepada yang terlibat walaupun pada setiap hati kecil lelaki inginkan dua tiga isteri. Hal ini kerana poligami yang wujud hari ini dilihat keburukannya lebih terserlah daripada kebaikan.
Poligami dibenarkan oleh Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu takut boleh berlaku adil terhadap anak yatim, kahwinilah perempuan lain sama ada dua, tiga atau empat. Tetapi jika takut untuk berlaku adil, cukuplah satu,” (Surah an-Nisa’: 3).
Melihat pada ayat itu, jelas tiada hukum sunat berpoligami tetapi sekadar tawaran yang membolehkan mereka berpoligami jika mereka mahu. Sungguhpun ada tawaran tetapi disusuli pula dengan ingatan “kalau takut tidak boleh berlaku adil, cukuplah dengan seorang isteri”.
Amalan poligami pada zaman Rasulullah s.a.w. bermula selepas kewafatan isteri Rasul, Khadijah. Setelah berkahwin dengan Aishah yang masih keanak-anakkan, baginda mengahwini wanita lain juga. Amalan pada waktu itu antara lain bertujuan membela ibu tunggal dan anak yatim iaitu dengan mengahwini ibu anak yatim itu.
Walau bagaimanapun amalan itu tidak lagi menjadi perkiraan umat Islam di akhir-akhir ini. Hal ini mungkin kerana anak yatim hari ini sudah ada pembelanya. Rumah anak yatim sudah mengambil peranan para lelaki yang prihatin.
Kini berlaku poligami secara tidak sihat sehingga orang ramai menganggap poligami sebagai menzalimi wanita dan anak-anak. Kesan poligami, keharmonian rumah tangga bertukar kepada kehancuran.
Demi mengawal amalan poligami yang mudah disalahgunakan pada zaman ini, kerajaan menggubal beberapa peruntukan undang-undang mengenai poligami. Terdapat syarat tertentu yang dimasukkan yang lazim telah menjadi amalan ulama terdahulu.
Menurut Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor, Seksyen 23(5) Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada antara lain hal-hal keadaan berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak di segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Sebenarnya berdasarkan peruntukan ini menunjukkan secara nyata bahawa tidak semua orang layak untuk berpoligami. Walaupun terdapat lelaki yang mempunyai pendapatan lebih, belum tentu mereka boleh meneruskan poligami.
Perlu dijelaskan di sini selain ke-wangan faktor iman dan takwa perlu diambil kira sebelum sesuatu perkahwinan poligami itu hendak diteruskan. Kalau tidak, syarat di atas boleh diputarbelitkan oleh pihak yang berkepen-tingan.
Tanpa iman dan takwa, sesebuah perkahwinan poligami itu tidak mungkin akan berlaku adil, malah akan mencetus dosa yang berpanjangan. Lebih malang lagi, apabila hukum hakam tentang poligami sendiri tidak difahami.
Dalam isu ini mungkin kita boleh merujuk kepada filem P.Ramlee, “Madu Tiga”. Melalui filem itu ramai yang rasa terhibur dengan watak lucu pelakonnya, tetapi berapa ramai yang memahami mesejnya. Sebenarnya dalam filem komedi ini cukup memberi mesej yang serius kepada suami dan isteri tentang hukum poligami.
Memang pada permulaannya niat Jamil untuk berkahwin dengan anak pakcik tua yang menyewa rumah sewa ayah Jamil sesuatu yang murni. Selain kerana hendak membela ayah anak gadis itu, Jamil mahu juga menyelamat imannya (kerana keinginan seksnya) yang sering diabaikan isterinya yang sudah tua. Pada masa yang sama niat baik Jamil itu jelas tidak mendapat tentangan daripada bapa mentuanya.
Tetapi niat yang baik itu jelas tidak mendapat restu daripada Allah kerana terdapat unsur-unsur penipuan sejak awal perkahwinan itu lagi. Pertama, Jamil menipu gadis dan bapa gadis itu tentang status dirinya yang sudah berkahwin. Yang kedua, dia menipu isterinya yang kononnya untuk menghadiri majlis perkahwinan orang lain, padahal dia sendiri hendak berkahwin.
Kesan dari penipuan itu, dia terpaksa meneruskan agenda menipu berhari-hari malah berbulan-bulan. Bayangkan dalam tempoh itu, berapa saat dia boleh bahagia dengan isteri barunya. Jawapannya jelas, tidak pernah ada kebahagiaan walaupun sesaat.
Oleh sebab tidak mendapat kebahagiaan dengan perkahwinan itu, dia berkahwin seorang lagi anak gadis yang ternyata lebih cantik daripada kedua-duanya. Tetapi malangnya belum sempat bahagia, tembelangnya terbongkar. Akhirnya berlaku drama kejar mengejar.
Dalam Islam faktor iman dan takwa seseorang akan menjadikan dia jujur dalam segala tindakan. Percayalah kalau Jamil berterus terang dengan isterinya, walaupun pada awalnya dia menentang namun pasti ada titik pertemuan yang baik selepas itu. Memanglah seseorang isteri sukar untuk memberi keizinan kepada suaminya supaya berkahwin lagi, tetapi jika dia jujur, semuanya akan berjalan dengan baik.
Tegasnya jika isteri tidak mahu mengizinkannya, tidak perlu diteruskan demi menyelamatkan rumah tangga yang ada. Jika berlaku juga perkahwinan dalam keadaan tidak restu isteri, boleh jadi suami tidak bahagia kerana terpaksa mencipta pembohongan demi pembohongan sepanjang hayat.
Pada masa yang sama, isterinya terus memendam rasa dan curiga terhadap suami. Keadaan ini akan menjadikan hubungannya dengan isteri pertama tidak murni lagi. Apa guna dapat isteri baru tetapi isteri pertama terus menyepi? Apalah bahagianya dapat isteri muda tetapi isteri tua terus menderita.
Sepatutnya dengan poligami, suami bertambah bahagia di samping isteri-isterinya, dia dapat manfaat daripada semua isterinya. Suami tidak akan ketandusan belaian kasih sayang isteri-isterinya. Pada masa yang sama isteri-isterinya rasa cukup terbela.
Walau bagaimanapun, mana-mana isteri yang tidak mahu berkongsi kasih dengan madunya, harus memberi khidmat bakti, belaian kasih kepada suami seperti awal perkahwinannya walaupun pada usia tuanya. Ingatlah, sikap isteri Jamil dalam kisah di atas adalah punca suaminya terdorong hendak berkahwin lain.

07 Mac 2009

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat

Pasangan suami isteri yang mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan akan berhadapan dengan satu keadaan untuk merelakan anak mereka berpisah daripada kongkongan mereka. Anak-anak itu pasti berkahwin, dan diharapkan mereka terus bahagia berpanjangan.
Atas niat di atas, kedua-dua pasangan itu hendaklah memberi tunjuk ajar atau wasiat tertentu kepada anak yang hendak dikahwinkan. Mungkin suami lebih sesuai menasihatkan anak lelakinya bagaimana seharusnya dia menjadi suami yang terbaik. Manakala isteri harus menasihatkan anak perempuannya dengan petua yang sesuai sebagai isteri solehah.
Di sini suka saya catatkan satu pesanan yang dilakukan oleh isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sebelum dikahwinkan, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya seperti berikut:
“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini adalah untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata seorang wanita tidak memerlukan suami kerana berasa sudah cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Oleh sebab itu, jadilah 'hamba' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'hamba' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Dalam hal ini, peliharalah sepuluh sifat berikut terhadapnya, nanti dia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”
Nasihat di atas seharusnya diterima oleh anak gadis yang hendak berkahwin dengan beberapa asas penting:
l. Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.
2. Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak memerintahkan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.
Suami isteri atau ibu bapa harus melihat perkembangan anak-anak mereka setelah berkahwin dan mengenal pasti nasihatnya diamalkan. Sikap ibu bapa dalam keadaan ini akan memberi motivasi kepada anak dan menantunya.
Kepada yang bakal mendirikan rumah tangga, percayailah kita sahaja yang boleh ubah diri sendiri, orang lain tidak boleh mengubah diri kita. Hayati ingatan pujangga berikut: "Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif.”

03 Mac 2009

Istighfar sebelum nikah perlu datang dari hati

Kalau anda menghadiri majlis akad nikah kawan anda atau saudara mara anda pasti anda dan hadirin termasuk pengantin dinasihatkan supaya beristighfar. Tok imam atau juru nikah yang hendak menikahkan pasangan itu akan memulakan bacaan istighfar itu dan diikuti oleh hadirin serentak.
Lazimnya orang ramai akan mengikut apa sahaja yang diminta tanpa mempersoalkan apakah tujuan istighfar itu. Imam yang mengendalikan majlis itu pun tidak menjelaskan kedudukan sebenar kecuali sekadar menyebut satu peraturan yang telah ditetapkan.
Kalau begitu, apakah tujuan sebenar istighfar dalam majlis seumpama itu? Mungkin ada yang berpendapat bahawa majlis akad nikah ini satu ibadah maka eloklah dibacakan istighfar terlebih dahulu.
Jawapan itu boleh dipakai tetapi tidak begitu tepat dengan kehendak yang sebenar. Memanglah majlis pernikahan termasuk dalam ibadah iaitu untuk mendirikan masjid, untuk mendirikan satu perkongsian hidup yang sekukuh masjid. maka istighfar di sini adalah persediaan awal untuk memastikan komponen untuk menjadikan masjid terdiri daripada bahan yang bermutu.
Bayangkan apakah yang akan terjadi kalau komponen untuk mendirikan masjid itu tidak baik atau tidak bermutu? Pastinya bangunan itu akan mudah musnah dalam tempoh yang amat singkat. Begitulah hal dengan pasangan yang hendak berkahwin, perlu bermutu, tidak disulami dengan dosa sama ada kecil mahupun besar.
Kalau pasangan itu yang menjadi fokusnya, mengapa pula diminta orang ramai melakukan istighfar sama? Apakah kaitan orang ramai yang bermutu dengan pengantin yang bermutu?
Sebenarnya orang ramai yang hadir dalam majlis itu ialah mereka yang turut membina sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Mereka adalah saksi kepada pembinaan keluarga tersebut. Mereka juga yang mendoakan kebaikan kepada pasangan yang dinikahkan itu.
Bayangkan apa akan jadi kalau semua saksi itu membawa rebah? Bagaimana pula kalau orang yang berdoa itu bermasalah dengan Allah? Doanya tidak dikabulkan Allah kerana hubungan orang yang berdoa dengan Allah tidak begitu disenangi kerana banyak dosa.
Berdasarkan maklumat itu, tentu kita hendakkan pengantin bermutu dan orang ramai juga bermutu. Soalnya, berapa ramai orang yang menghadiri majlis itu benar-benar berkualiti iman dan Islamnya? Kadang-kadang yang hadir ke majlis itu tidak pernah solat, kaki sebar fitnah dan mengumpat.
Kalau mereka ini terus dijadikan sebagai saksi, tukang doa untuk pengantin, apa akan jadi kepada pasangan itu? Apatah lagi kalau pengantin itu sendiri dalam kategori yang sama. Mereka yang diibaratkan sebagai komponen yang hendak mendirikan masjid sudah tentu mereka akan menjadi pemusnah jangka pendek.
Jadi, untuk menyelamatkan keadaan itu, tok iman atau juru nikah itu cuba berikhtiar memulihkan kualiti iman dan Islam para hadirin. Mereka sama-sama diajak supaya bertaubat. Semoga dengan diajar istighfar: “Astaghfirullah al-Azim allazi lailahailla huwal Haiyul Qaiyum, wa atubu ilaih, ashadu anla ilahaillah, wa ashaduanna Muhammadan Rasulullah. Allahuma solliala Muhammad” yang diulang sebanyak tiga kali itu dapat membersihkan dosa mereka.
Diharapkan dengan istighfar atau taubat yang datang dari hati mereka itu, akan diterima oleh Allah S.W.T. Bagaimanapun, taubat mereka itu harus dikekalkan selama-lamanya walaupun selepas selesai majlis tersebut.
Sesungguhnya majlis yang dihadiri oleh orang yang tidak ada dosa, pasti majlis itu menjadi berkat. Pada masa yang sama pasangan pengantin itu juga akan terus bahagia hingga dimasukkan ke dalam syurga.
Sebaliknya, kita bimbang kalau majlis itu dicemari dengan suasana dosa para hadirin kerana berpura-pura taubat akan menjadi sebab sesuatu pasangan itu menjadi tidak harmoni. Inilah yang sering berlaku dalam masyarakat kita kini.

01 Mac 2009

Ihsan perlu ada dalam jiwa Muslim elak rasuah

Oleh: AHMAD BAEI JAAFAR

Sifat ihsan ialah sifat semula jadi manusia iaitu yang lahir dari hati yang suci. Hati kecil manusia akan mudah rasa simpati kepada orang yang susah, malah terhadap binatang.
Sifat ini dimiliki oleh Islam dan yang bukan Islam juga. Oleh sebab itu dalam kehidupan di dunia ini sering kita lihat orang bukan Islam turut menyumbang derma kepada orang yang terlibat dengan bencana malah kadang-kadang lebih besar dan bernilai.
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadisnya menceritakan bagaimana seorang perempuan jahat sewaktu melihat anjing kehausan, lalu dia berusaha mendapatkan air dari sebuah perigi.
Tetapi kalau jiwa seseorang itu telah dikuasai nafsu jahat, akan hilanglah sifat ihsan pada dirinya. Oleh sebab itu Islam datang dengan memberi ganjaran kepada orang yang boleh bersikap ihsan dan mengancam neraka kepada orang yang sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang antara lain menceritakan bahawa seorang wanita yang mengurung kucingnya dan tidak memberi makanan yang diperlukan. Wanita ini dijamin neraka selagi dia tidak bertaubat dengan sesungguhnya.
Sebenarnya ihsan dalam Islam antara komponen yang terpenting yang menjadikan seseorang itu Muslim yang sempurna. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang ada mengisahkan tentang kunjungan Jibril a.s. bertemu Rasulullah s.a.w. bertanyakan sesuatu tentang iman, Islam dan ihsan.
Menjawab soal mengenai ihsan, baginda berkata, “Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak dapat melihat Allah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat kamu.”
Berdasarkan hadis itu, ihsan ialah satu sikap yang mesti dimiliki oleh umat Islam baik semasa bergaul dengan manusia mahupun dengan Allah S.W.T. Mereka yang memiliki sikap ihsan ini sentiasa merasai Allah S.W.T. melihatnya malah ada yang boleh merasai melihat Allah S.W.T.
Melalui hadis ini, umat Islam diajar supaya melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh ketekunan seperti sedang berhadapan dengan Allah S.W.T. Ibaratnya seorang pekerja berhadapan dengan bosnya, sudah tentu dia akan melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Mereka yang boleh bersikap begitu dalam setiap kerjanya, pasti dia boleh bersikap yang sama sewaktu melakukan kerja-kerja kebajikan yang lain. Malah mereka yang dapat melakukannya dengan seikhlas hati tanpa sebarang publisiti.
Mereka dalam kedudukan ini dapat merasai bahawa dia sedang diperhatikan oleh Allah S.W.T. Inilah hakikat orang yang berbuat ihsan terhadap manusia, apatah lagi terhadap Allah S.W.T.
Dalam al-Qur’an terdapat banyak tempat yang menyebut tentang ihsan, iaitu berbuat ihsan kepada ibu bapa. Tetapi sifat ihsan yang merujuk kepada dua ibu bapa ini kalau dikaitkan dengan hadis di atas sudah tentu bukan sekadar boleh menjaganya sewaktu mereka tua.
Meskipun seseorang anak itu boleh menjaga ibu bapanya dengan baik tetapi sesekali terkeluar dari lubuk hatinya rasa kecewa dan marah terhadap ibu bapa, sudah hilang sifat ihsannya. Hal ini kerana ketika itu dia lupa bahawa Allah S.W.T. melihat dan menilainya.
Seseorang anak yang setiap bulan mengirim wang kepada ibu bapa belum tentu bersifat ihsan jika sumbangannya bertujuan ada udang di sebalik batu. Sewaktu menyumbang wang itu dia terlupa bahawa Allah S.W.T. mengetahui isi hatinya.
Oleh sebab itu, seseorang Muslim mesti mendidik diri dan hati agar boleh memiliki sifat ihsan. Sebenarnya dalam ilmu Islam, ihsan disebut sebagai ilmu tasawuf iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh umat Islam.
Tetapi pengajian ilmu ini kini tidak diberi keutamaan oleh umat Islam kerana sering dikaitkan dengan ilmu kesufian, malah ada yang dikaitkan dengan ilmu salah. Padahal kedua-dua ilmu itu berlain. Salah faham umut Islam dalam hal ini menjadi punca umat Islam kurang sifat ihsan dalam diri mereka.
Usaha mendidik diri agar menjadi orang yang ikhlas kepada Allah S.W.T. dalam setiap perkara yang dilakukan tidak boleh dipandang ringan lagi. Usaha ini sepatutnya lebih serius dan berterusan kerana sifat ihsan seharus menjadi pakaian umat Islam sepanjang hidupnya.
Dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai gejala buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan dan juga swasta. Sikap pegawai ini jelas tidak memiliki sifat ihsan kerana sewaktu dia menerima rasuah atau memberi rasuah, dia terlupa bahawa Allah sedang melihatnya.
Jadi, pendekatan mendidik pegawai kerajaan dan orang ramai tentang ilmu tasawuf itu perlu diberi keutamaan. Kerajaan melalui JAKIM perlu memandang serius dalam mendidik umat Islam demi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Inilah satu-satunya ubat yang seharusnya dicari jika kerajaan benar-benar serius untuk membasmi perkara di atas. Sikap memusuhi ilmu tasawuf perlu ditamatkan segera.