Khutbah

Khutbah Eidul Adha pada 17 November 2010 di surau seri tanjung,seksyen 7 B.B.Bangi.


Pengorbanan sebenar yang perlu dihayati

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
اَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Dan yang paling penting tidaklah kita dimatikan melainkan dalam keadaan Islam.
Pada saat ini jemaah haji berkumpul di tanah suci Makkah bagi melaksanakan ibadah haji, dan kita di sini pula berkumpul untuk melakukan ibadah korban. Pada saat ini juga jemaah haji berkumpul di Mina bagi melontar jamrah yang diwajibkan kepada mereka manakala kita di sini berpeluang bertakbir, bertasbih dan bertahmid selama empat hari membesarkan Allah. Begitulah Rahmat dan Pemurahnya Allah, di manapun kita berada masing-masing boleh melakukan ibadah dan menambahkan pahala.
Oleh sebab itu pada hari ini. marilah kita menyingkap rahsia beberapa ibadah yang berkaitan dengan ibadah haji dan ibadah korban. Biarpun sebelum ini kita sudah mendengarnya berkali-kali, namun tahap kepekaan umat Islam terhadap rahsia ibadah itu masih rendah. Jadi, perkara ini perlu diulang lagi sehingga benar-benar berkesan dalam hati kita.
Ibadah haji bermula daripada pemakaian ihram sehingga kepada ibadah taqaf dan saie bukanlah satu amalan yang mudah. Walaupun kita lihat mudah dan senang tetapi amalan itu cukup besar cabaran dan rintangannya. Dalam melaksanakan ibadah ini kadang-kadang menyebabkan manusia mudah marah lalu melanggar pantang larang haji. Kadang-kadang mereka bersikap takabur lalu mereka terjebak dengan dosa tanpa sedar.
Begitulah keadilan hukum Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang sewajarnya kita sembah, kita tunduk dan patuh kepadanya, lalu taat segala perintahnya. Sebagai orang Islam, kita tiada pilihan lain dalam soal ibadah, tidak ada alasan untuk tidak melakukan solat, puasa, zakat dan haji. Oleh sebab itulah mereka layak dipanggil muslimin dan mukminin.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah
Sempena hari raya Eiduladha ini saya ingin mengajak tuan/puan sekalian melihat kembali sejauhmana ketaatan kita kepada Allah. Sejauhmana kita telah berkorban untuk Allah demi menjadi hambanya. Meskipun kita sudah lama mengaku Islam tetapi kita bimbang kalau-kalau ibadah kita semakin tidak berkualiti.
Berapa ramai umat Islam yang melakukan solat lima waktu dengan sempurna dan berkualiti? Dalam sebuah syarikat yang majoriti orang Islam, boleh kita kira berapa ramai kakitangan yang melakukan solat di surau yang disediakan. Kalau adapun solatnya pada waktu yang akhir. Perkara lain diutamakan daripada solat kepada Allah.
Dalam sesebuah kampung atau apartmen, pernah saya jumpa orang Islam yang tidak pergi solat Jumaat. Orang lain sudah bergegas ke masjid, dia masih melepak di tepi jalan dengan seluar pendeknya. Kalau solat Jumaat yang seminggu sekali itu pun mereka tidak indahkan, apakah ada jaminan dia akan melakukan  solat lima waktu?
Di sini saya mahu mengajak kita berfikir sejenak sekali gus dapat menyedarkan orang Islam yang masih lalai dalam hal ini. Sebenarnya solat atau sembahyang adalah menjadi asas kepada orang yang beragama. Lihatlah penganut agama hindu, mereka sembahyang, penganut agama budha ada bersembahyang, penganut agama kristian juga bersembahyang, bahkan orang asli yang beragama juga sembahyang. Apatah lagi orang Islam mereka tentulah ada sembahyang. Kalau begitu keadaannya, kalau ada umat Islam yang tidak mahu solat, jelaslah dia tidak beragama. Dia bukan sahaja tidak layak dipanggil Islam, nak kata budha pun tidak sesuai, nak kata hindu pun tidak betul. Jelaslah mereka itu golongan tiada agama.
Selain itu kalau ada orang Islam yang tidak melakukan solat lima waktu, solat apabila rajin, bolehkah kita iktiraf dia sebagai orang Islam? Bayangkan kalau dia solat sehari dua kali, bermakna dia seperti orang hindu yang setiap hari menyembah tuhannya sebanyak dua kali; sekali waktu matahari naik dan sekali waktu matahari jatuh.
Kalaulah ada orang Islam yang solat sekali sehari, boleh jadi sama dengan orang Cina, Budha kerana mereka hanya menyembah tuhan mereka sekali pada waktu hendak memulakan perniagaan mereka. Tetapi kalau sekali dalam seminggu, bermakna mereka samalah dengan orang Kristian kerana mereka sembahyang di gereja seminggu sekali.
Orang Islam mesti lain daripada mereka dalam semua keadaan. Jadi, lakukan solat lima waktu dengan istiqamah.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah
Kita perlu ingat, Allah s.w.t. telah berfirman:
إن الصلاة تنهي عن الفحشاء والمنكر ولَذِكْرُ الله أكبرٌ والله يعلم ما تَصْنَعون
 Antara lain bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mampu mencegah pengamalnya daripada kerja dosa dan maksiat. Dan demikian itu untuk mengingati Allah yang Agong dan Allah mengetahu apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ankabut :45)
Kenyataan al-Quran itu adalah jaminan Allah dan pastinya ini benar. Tetapi persoalannya berapa ramai umat Islam yang melakukan solat lima waktu terselamat daripada melakukan dosa dan maksiat? Jelas di sini, walaupun mereka solat lima waktu tetapi tidak benar-benar berkualiti.
Ya, perbuatan kita melakukan solat, lidah kita membaca dengan sepenuhnya, tetapi hati kita tidak melakukan solat bersama. Kalau tiga komponen ini tidak ada dalam solat bagaimana solat itu boleh berkualiti. Kalau dalam solat pun hati kita tidak boleh turut solat, tidak boleh ingat Allah, apakah jaminan kita akan ingat Allah pada luar waktu solat? Jadi, pastikan solat kita disertai oleh tiga komponen itu secara serentak.
Selain solat, bagaimana dengan puasa kita, zakat kita dan haji kita? Puasa boleh dikatakan cemerlang kerana semua umat Islam boleh berpuasa. Tetapi bagaimana dengan zakat. Hari ini orang ramai cuba mengelak daripada membayar zakat. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?
Kalau dia kaya, wang yang tersimpan akan digunakan sebaiknya sebelum cukup haul/tahun. Apabila wang itu tidak cukup nisabnya maka mereka tidak perlu keluar zakat. Inilah golongan pengelat zakat. Dan ada juga satu golongan yang tidak mahu jadi kaya kerana alasannya kalau jadi kaya perlu keluar zakat. Lalu dia buat kerja ala kadar sahaja.
Mereka lupa bahawa zakat adalah ibadah sama tarafnya dengan solat juga. Kalau tidak menunaikan zakat bermakna dia mengabaikan perintah Allah. Kalau dia tidak berzakat bermakna islamnya tidak sempurna. Oleh sebab itu setiap umat Islam perlu berusaha untuk menjadi kaya. Kita perlu berniaga, perlu cebur diri dalam usahawan. Kita perlu usahawan berjaya sepaya mereka boleh mengeluarkan zakat pada akhir tahun nanti.
Begitu juga dengan ibadah haji, Alhamdulillah kita di negara ini ada Tabung Haji, ramai juga orang Islam yang miskin akhirnya berjaya pergi ke Makkah dengan sistem tabungan yang betul di tabung haji. Namun masih ramai lagi yang tidak mahu berdaftar di tabung haji walaupun wang asas sudah cukup. Mengikut laporan tabung haji, sesiapa yang berdaftar sekarang, mereka mungkin akan ke Makkah 20 tahun daripada sekarang.
Oleh sebab itu, sebagai tanda taat kepada Allah, daftarlah untuk mengerjakan haji dengan Tabung Haji segera. Dengan daftar itu kita akan terlepas daripada anggap tidak mahu mengerjakan haji.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah
Di samping ibadah haji pada hari ini, kita disunatkan mengorbankan binatang ternakan sama ada kambing, biri-biri, kerbau, lembu, atau unta. Kita bersyukur kerana di kawasan kita terdapat 35 orang yang sanggup berkorban. Lima ekor lembu akan kita tumbangkan selepas ini. Nanti selepas itu seluruh penghuni di sini akan mendapat daging korban.
Di kesempatan ini wajar kita mengucapkan tahniah kepada mereka yang berkorban pada hari ini. Tahniah juga kepada urusetia korban pada tahun ini kerana berjaya mengumpulkan sejumlah peserta untuk berkorban. Kaedah tabungan bulanan yang dikenakan di sini lebih berkesan. Hanya dengan RM35 setiap bulan, selama 10 bulan mereka sudah melayakkan diri untuk melakukan ibadah korban. Saya percaya kaedah ini boleh diteruskan pada tahun hadapan bermula bulan Muharram depan. Saya percaya mungkin dengan kejayaan ini, ramai lagi penduduk di sini boleh berkorban pada tahun hadapan.
Ibadah korban dalam Islam adalah sunnat muakkat, sunat yang sangat dituntut berdasarkan banyak hadis. Sabada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tiada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah s.w.t. selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah) 
Apakah rasionalnya ibadah korban ini? Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (korban) itu?" Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim". Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh daripada Ud-hiyyah itu?". Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan". (HR. Ahmad dan Ibn Majah) 
Melihat kepada faedah itu, tentu tidak wajar kita mengabaikan perintah korban ini. Malah kalau seseorang itu mempunyai kemampuan untuk berkorban, wang banyak melebihi satu bahagian (RM350) tetapi tidak mahu melakukannya, mereka ini diberi amaran oleh Rasulullah dengan sabdanya:
مَنْ وَجَدَ سَعَةً لِأَنْ يُضَحِّىَ فَلَمْ يُضَحَّ فَلَا يَقَرَبَنَّ مُصَلَّانَا
Maksudnya: "Barang siapa yang diberi kemudahan, sehingga ia mampu berkorban akan tetapi tidak mahu berkorban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami ini". (HR. Ahmad dan Ibn Majah)
 الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Sidang Jemaah sekalian

Korban yang kita lakukan pada pagi ini sudah dijamin Allah pahala dan faedah yang berganda. Namun sesiapa yang terlibat pada hari ini pastikan keikhlasan dalam ibadah ini. Kita masih ada masa lagi untuk mengubah niat kalau selama ini niat kita tidak begitu ikhlas. Dan selepas itu, hadirlah ke tempat sembelihan untuk melihat sendiri bagaimana korban kita itu dijalankan.
Firman Allah s.w.t.:
وَالبُدنَ جَعَلْنَاها لَكُم مِنْ شَعَائِرِ اللهِِ لَكُم فِيهَا خَيْرٌ، فَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيهَا صَوَآفَّ، فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا القَانِعَ وَالمُعْتَرَّ. كَذَالِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ. لَنْ يَنَالَ اللهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَالِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ.
Maksudnya: "Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur". 
"Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan daripada kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan ". (Surah al-Hajj : 36-37) 
Selain orang yang berkorban, jemaah sekalian juga digalakkan bersama menyaksikan upacara korban ini. Mereka yang bersama meraikan ibadah ini akan mendapat berkat yang sama. Mereka juga mendapat pahala menyaksi, bertakbir dan menolong melapah daging dan sebagainya. Dan selepas selesai semua urusan, mereka dapat pula membawa balik daging korban walaupun sendikit. Di sinilah keberkatan yang dimaksudkan itu.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Muslimin muslimat sekalian
Sebenarnya ibadah korban ini bermula daripada peristiwa pengorbanan tiga watak yang sangat istimewa. Mereka itu ialah Nabi Ibrahim, Ismail dan Hajar. Pengorbanan mereka mewakili tiga kolompok manusia di dunia ini, iaitu wakil kaum bapa, wakil golongan anak dan remaja, seterusnya wakil golongan wanita atau kaum ibu.
Apakah pengorbanan Nabi Ibrahim? Bayangkan Nabi Ibrahim berpisah dengan anak dan isterinya sekian lama. Dalam keadaan itu dia teramat rindu untuk melihat anaknya. Dia ingin melihat wajah anak remajanya membesar bagi mewarisi tugasnya. Dan sudah tentu dia mahu hidup kekal bersama anaknya. Tetapi dalam perjalanan untuk bertemu anaknya, dia mendapat mimpi minta supaya disembelihkan anaknya.
Jika tuan-tuan di tempatnya apakah tindakan yang bakal diambil? Tentu kita tidak sanggup melakukannya, kita akan tolak mimpi itu bulat-bulat kecualilah kalau kita dalam kategori orang gila. Bukankah baru-baru ini ada seorang anak membunuh ayah dan datuknya kerana kononnya ada mendengar arahan ghaib. Akhirnya disahkan anak itu tidak siuman.
Tetapi itulah ujian untuk seorang nabi yang pastinya sedang diuji tahap kecintaannya kepada anaknya. Adakah dia lebih cintakan anaknya daripada cintakan Allah. Di sini ternyata dia cinta kepada Allah melebihi segalanya. Jadi, di mana kita? Kita kata cintakan Allah tetapi apabila anak melakukan dosa kita tidak berani menegurnya, kita kata cintakan Allah tetapi anak kita tak solat kita tidak berani membantahnya. Kita kata cinta kepada Allah tetapi bila isteri kita dedah aurat, kita biarkan saja. Maknanya kita lebih cinta kepada anak dan isteri daripada cintakan Allah.
Jadi, kepada golongan bapa ambillah kaedah pengorbanan ini dengan lebihkan cinta kepada Allah daripada mencintai anak dalam mencegah kemungkaran.
Manakala Ismail, anak nabi Ibrahim yang tergolong dalam usia remaja, dia tentu sudah tahu erti kebebasan, boleh menolak bahaya dan yang pastinya dia boleh memberi pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri. Tetapi apabila Ibrahim menceritakan mimpinya, anaknya dengan senang hati berkata, kalau itulah yang diperintahkan Allah, buatlah seperti yang diperintahkan. Ternyata dia lebih cintakan Allah daripada nyawanya sendiri.
Bagaimana dengan anak muda kita kini? Mereka bukan sahaja tak cinta Allah malah tidak cintakan nyawa sendiri, sanggup merempit, ketagih rokok dan dadah, menbunuh diri. Jadi, sekali lagi saya sarankan kepada anak muda, kembalilah kepada cintakan Allah dengan ikut perintah Allah, jangan cintakan nafsu, dosa dan maksiat. Inilah pengorbanan yang besar buat remaja.
Begitu juga dengan Hajar, isteri Ibrahim dan ibu Ismail, dia yang bersusah payah membesarkan anaknya. Langsung tidak ada campurtangan suaminya. Tetapi setelah anaknya besar, dia sanggup membiarkan suaminya merampas hak kepunyaannya. Ternyata dia lebih cintakan Allah lebih daripada cintakan anak kesayangannya. Pada masa yang sama demi cinta kepada Allah dia tidak langsung marah kepada suami.
Bagaimana puan-puan semua, kita kadang-kadang bukan saja tak cintakan Allah, juga tidak cintakan anak dan suami. Sudahlah perintah Allah mudah diabaikan, kalau suami buat dosa pun dibiarkan saja, kalau anak hendak bunuh diri pun dia sokong lagi. Wahai kaum ibu jagalah diri ini agar cinta kepada Allah 100 peratus, dan jagalah suami dan anak daripada terjebak dengan dosa dan maksiat demi cinta kepada Allah.
Saya percaya kalau tiga golongan ini dapat berkorban kepada Allah dengan sebaiknya pasti kita akan selamat  daripada bala Allah.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إِنَّآ أَعْطَينَاكَ الكَوْثَرَ. فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ. إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh sebab itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari rahmat Allah). (Surah al-Kausar :1-3)
بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، لا اله الا اللهُ والله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ



Khutbah Eidul Fitri pada 10 September 2010 di Masjid Putra Perdana, Sepang.


Cabaran menyambut Eidul Fitri

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
اَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ وَأَشْهَدُ أَنْ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُونَ0
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Dan yang paling penting tidaklah kita dimatikan melainkan dalam keadaan Islam.
Kita baru sahaja tamat menghadiri kursus membina ketaqwaan sepanjang bulan Ramadan. Kini kita berkumpul di sini seolah-olah untuk menerima sijil atau ijazah daripada Allah sebagai menandakan kita telah berjaya mencapai target kursus iaitu membina taqwa. Atau sekurang-kurangnya kita berpeluang menerima sijil penyertaan, adapun ijazah kejayaan mungkin agak sukar kerana tidak semua yang ikuti kursus itu berjaya mematuhi kehendak pengajur, Allah.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu puasa sama seperti yang difardukan keapda orang yang terdahulu, semoga kamu beroleh taqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Dalam tempoh kursus itu kita diberi latihan:
1.       Kawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan.
2.       Kawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan
3.       Kawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan
4.       Kawal lidah daripada bercakap perkara yang diharamkan
5.       Kawal perut daripada menerima yang diharamkan
6.       Kawal tangan agar tidak mengambil perkara yang haram
7.       Kawal kaki agar tidak menuju ke tempat yang haram.
Dalam tempoh itu juga kita diajar:
1.       Membudayakan segera berbuka puasa
2.       Dilewatkan bersahur
3.       Dimulakan dengan buah yang terbaik iaitu kurma
Dalam tempoh itu juga kita dibiasakan ibadah sunat:
1.       Solat sunat tarawih
2.       Solat witir
3.       Solat tahajud
4.       Solat hajat
5.       Iktikaf
6.       Sedekah
Selama 30 hari kita diasak, diorientasikan dengan amalan yang baik itu, kita dilatih tubi berhari-hari. Persoalannya adakah asakan orientasi dan latihan tubi selama 30 hari ini sudah cukup untuk mendidik kita? Apakah kita perlu ditambah hari lagi. Jawapannya tentu tidak mahu, tetapi apakah yang kita semua dapat hasil latihan itu?

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Saya percaya hari ini kita masing-masing mengharapkan agar dianugerahkan ijazah ketaqwaan, namun adakah kita dapat rasai hari ni bahawa aku layak mendapatnya? Yang pastinya, ijazah ketaqwaan ini akan diberi kepada mereka yang berjaya dalam semua latihan yang disebut tadi. Oleh sebab itu mulai saat, marilah kita muhasabah diri sendiri apakah sudah layak atau tidak.
Walau bagaimanapun Allah yang Maha Adil tidak mahu mengisytiharkan secara jelas, sebaliknya membiarkan kita menilai sendiri. Oleh sebab itu sebagai motivasi diri sendiri marilah kita bersangka baik bahawa kita telah berjaya.
Kuncinya, mereka yang berjaya melepasi latihan itu pasti nafsu dan anggota lahirnya sudah terpimpin, kehidupan akan terbiasa perintah yang baik, dan ibadahnya sudah boleh diistiqamahkan. Mereka dalam keadaan ini sudah tentu berjaya mendapat tawaran Allah, itqun minalnar, pembebasan daripada neraka. Mereka inilah yang selayaknya menyambut idulfitri.
Idulfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah merujuk kepada umat Islam yang menyambut idulfitri pada hari ini. Maka secara umumnya kita telah diiktiraf sebagai telah kembali kepada keadaan manusia yang tiada dosa, sebaliknya bertambah pahala. Kita sudah tahu untuk mengawal nafsu syahwat agar tidak terdorong kepada yang diharamkan. Sudah pastinya dia sudah tahu mengawal mata daripada melihat perkara yang diharamkan. Pada masa yang sama dia juga dapat mengawal telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan.
Selain itu kita akan mula berdisiplin dengan menyegerakan amalan yang diperintahkan supaya segera dan melewatkan ibadah yang dibenarkan. Kita juga boleh berdisiplin dalam soal makan minum agar memilih yang halalan taiba. Akhirnya kita boleh berdisiplin dalam melakukan ibadah atau terus istiqamah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Beginilah keadaan kita pada hari ini. Kita masih bersih sebersih fitrah. Bersih seperti kain putih, bersih seperti baru dilahirkan. Tetapi apakah yang akan terjadi selepas ini dan hari-hari selepas ini? Apakah kita akan terus berada dalam keadaan fitrah? Inilah cabaran yang kita akan hadapi selepas ini.
Nanti selepas ini kita akan menerima tetamu sahabat handai dan rakan taulan. Apakah bualan kita nanti? Siapakah yang akan kita umpatkan? Tetamu yang berkunjung  pula akan melihat itu dan ini, apakah yang dilihat itu sesuatu yang halal atau sebaliknya? Biasanya apa yang dilihat itulah yang akan diumpatkan.
Televisyen yang mempunyai pelbagai rangkaian kini telah menyediakan program hiburan yang langsung tidak mendidik jiwa. Anak dan isteri akan terpaku di hadapan TV sehinggalah mereka tertidur. Apakah yang ditonton itu habis begitu sahaja? Tidak, mata akan melihat aurat artis, lidah akan mengumpat, dan telinga akan mendengar perkara yang lagha.
Kalau mereka keluar berziarah, apakah yang akan mereka lihat di sekeliling? Apakah yang akan dibualkan semasa itu. Kalau kita sedang berpuasa, mungkin kita akan beringat-ingat takut hilang pahala puasa, tetapi selepas puasa berakhir tidak ada alasan lagi untuk mereka melihat semua itu.
Ingatlah, kursus selama 30 hari untuk memungkinkan kita beroleh taqwa hanya setahun sekali, maka setelah kita berjaya memperolehnya tentu tidak wajar kita musnahkan hanya tidak sampai satu hari. Bayangkan bagaimana kita harus berhadapan dengan 11 bulan lagi, kalau sehari pun kita sudah gagal. Jadi, awasi semua itu dengan tingkatkan iman diri, isteri dan anak-anak agar mereka terus berada dalam keadaan fitrah.

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
Sidang hadirin sekalian
Sesungguhnya Allah berbesar hati mengurniakan idulfitri kepada kita pada hari ini, maka gunakan kesempatan ini untuk bergembira sesama kita. Maka ucapkan tahniah kepada sahabat handai, kawan taulan yang kita temui kerana mereka telah berjaya mengharungi ujian dan kita beroleh taqwa. Kalau kita ucapkan tahniah sudah pasti kita juga akan menerima ucapan balas. Ertinya kita saling berdoa ke arah kebaikan. Allah yang mendengar doa hambanya ini akan segera kabulkannya kerana Allah mengikut sangkaan hamba-Nya.
Dengan cara ini, semua orang boleh dinilai sebagai berjaya pada hari ini. Cuba budaya seperti ini belum ada dalam masyarakat kita. Dan inilah yang saya ingin mengajak kita semua ke arah itu. Ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin tiada nilai di sini Allah kerana ucapan selamat menyambut hari raya walaupun ada nilai doa tetapi rendah nilainya. Begitu juga maaf zahir dan batin, kini sudah menjadi ucapan mainan, bukan lagi benar-benar permohonan maaf daripada segala dosa dan kesalahan.
Kalau anda perasan, satu iklan TM di tv3 dialognya berbunyi begini:
Budak lelaki Melayu: “Saya minta maaf”
Budak perempuan Cina: “Buat apa minta maaf tunggulah hari raya”
Padahal mohon maaf mesti dilakukan setiap hari sebaik saja kita melakukan kesalahan. Kita banyak dosa dengan ibu bapa, kawan-kawan, malah dengan Allah. Sudahkah kita meminta maaf? Jangan tunggu hari raya kerana umur kita tidak menjamin untuk sampai ke hari raya akan datang.
Jadi, mulai hari ini selain mengekalkan budaya lama, eloklah kita tukar kepada ucapan tahniah, “Tahniah anda berjaya di hari raya ini, maafkan salah silap saya dan doakan kebaikan saya.” Jawablah, “Terima kasih, tahniah juga atas kejayaan anda, maafkan kesalahan saya dan doakan kebaikan saya.”
Dalam masyarakat Arab Islam selalu diungkapkan:
تهنية بالعيد، انتم من العائدين والفائزين، كل عام وانتم بالخير
Selain saling berdoa kebaikan orang lain, orang ramai yang merasai masih kurang sempurna ibadahnya, bolehlah ditambahkan dengan amalan sedekah kepada anak-anak termasuk anak yatim, kerana pemberian yang ikhlas itu pasti mendapat doa yang baik daripada anak itu. Jadi, selepasa ini berilah kepada mereka walaupun sekadar RM1.00 semoga dinilai oleh Allah.

الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ، أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ .
Maksudnya: “Orang yang mendirikan solat dan membelanjakan apa yang direzekikan kepada mereka, mereka itu adalah orang yang beriman yang sebenarnya, bagi mereka beberapa darjat di sisi tuhan mereka dan pengampunan dan rezeki murah.”(Surah al-Anfal 3-4)

الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى، وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى، بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا، وَالاَخِرَةًُ خَيْرٌ وَأَبْقَى
“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri dengan beriman dan menyambut-menyebut dengan lidah dan hati akan nama tuhannya serta mengerjakan solat  dengan khusyuk. Tetapi kamu orang yang kafir memilih dan menyayangi kehidupan dunia padahal kehidupan akhirat lebih dan kekal.” (Surah al-A’la :14-17)
بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم.
أقول قولي هذا وأستغفرالله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم.
الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، لا اله الا اللهُ والله اَكْبَرُ، الله اَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الحَمْدُ

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...