07 Julai 2019

Fahami hukum melalui perintah dan larangan Allah

Ahmad Baei Jaafar

Apabila kita membaca al-Quran, kita akan bertemu dengan ayat perintah, ayat larangan dan ayat cerita. Setiap bentuk ayat itu memberi mesej yang penting kepada umat Islam. Beruntunglah mereka yang rajin membaca dan memahami mesejnya dengan yang sebenarnya.
Dalam ruang yang sempit ini saya berhasrat untuk memperturunkan mesej al-Quran secara dasar, semoga dapat kita fahami yang lainnya. Al-Quran secara umumnya mengandungi persoalan akidah, syariah dan hukum dan selebihnya adalah sejarah silam untuk diambil iktibar umat akhir zaman.
Ayat hukum syariat biasanya datang dalam bentuk ayat perintah dan larangan. Daripada perintah Allah terdapat tiga hukum iaitu wajib, sunat dan harus. Manakala larangan membawa maksud haram dan makruh.
Perintah Wajib: Mana-mana perintah yang diulang banyak kali di dalam al-Quran. Contoh mudah, Allah banyak kali berfirman, “Dirikan solat dan keluarkan zakat.” Banyak lagi perintah lain yang boleh anda temui di dalam al-Quran.
Perintah Sunat: Mana-mana perintah yang datang dalam bentuk tawaran atau secara tidak kerap berbanding yang wajib. Contoh perintah sunat ialah, “berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.”
Perintah Harus: Mana-mana perintah galakan kerana yang demikian itu sudah menjadi amalan manusia umum. Contohnya perintah Allah, “maka nikahlah mana-mana perempuan yang baik pada kamu.” Perintah ini tidak diulang banyak kali di dalam al-Quran.
Larangan Haram: Mana-mana larangan yang diulang banyak kali di dalam al-Quran, dan disusuli dengan ancaman maka jadilah ia larangan haram kepada umat Islam. Contohnya firman Allah, “Jangan kamu menghampiri zina kerana yang demikian itu amalan dosa dan mungkar dan jalan membawa kepada kekejian.
Larangan Makruh: Mana-mana larangan yang jarang disebut dalam al-Quran sebaliknya dilarang oleh Rasulullah. Firman Allah, “Jangan kamu menghampiri solat dalam keadaan kamu mabuk.” Walaupun ayat ini diturunkan sebelum pengharaman arak tetapi hukum makruhnya boleh dikiaskan dengan yang seumpamanya. Jadi, larangan itu boleh dikiaskan dengan larangan solat dalam keadaan mengantuk.
Inilah asas ilmu al-Quran yang seharuskan kita tahu sewaktu membaca al-Quran. Tetapi orang awam yang tidak dapat mengenali ayat perintah yang dalam istilahnya disebut al-amr dan ayat larangan yang disebut an-nahy, tentu tidak boleh menentukan kedudukan hukumnya. Jadi, cukuplah dengan mendalami apa yang telah dibahaskan oleh ulama terdahulu.
Sebenarnya umat Islam yang sejahil seperti saya, tidak perlu susah-susah nak bahas hukum yang terdapat di dalam al-Quran. Cukuplah kita belajar daripada guru yang arif dalam ilmu tersebut. Tapi kalau anda bercita-cita untuk mampu menafsirkan sendiri, belajarlah ilmu al-Quran, ilmu hadis, ilmu usul fiqh, ilmu balaghah dengan sempurna. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: