30 Julai 2009

Mengapa Influenza A(H1N1) menyerang orang Islam?

AHMAD BAEI JAAFAR

Wabak selesema babi 2009 bermula pada Mei dan sehingga 21 Jun 2009, terdapat 50 kes di Malaysia, tetapi hingga 28 Julai ini terkumpul 1219 kes dengan kematian tiga orang. Dan pada hari ini satu lagi maut disahkan di Hospital Melaka. Peningkatan kes yang pantas ini amat membimbangkan semua pihak.

Persoalannya mengapa begitu pantas berlaku di negara ini padahal di peringkat awal pihak berwajib memberi jaminan bahawa kes ini terkawal. Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan berkerja keras bagi memastikan penyakit itu tidak menular ke negara ini. Namun kerja keras mereka berdua gagal membendung.

Bermula dari beberapa sekolah jenis kebangsaan Cina ditutup, tapi dalam tempoh tidak sampai sebulan beberapa UiTM ditutup, kemudian kolej dan politeknik termasuk sekolah agama di Johor turut terlibat. Perkembangan ini sungguh menghairankan. Mengapa pelajar Melayu dan Islam menjadi mangsa H1N1?

Rencana ini cuba menyingkap rahsia di sebalik wabak ini dan kaitannya dengan umat Islam. Sebenarnya sepanjang virus ini menyerang dunia, umat Islam daripada golongan pemimpin sehingga orang awam di kampung berasa sangat selesa dan selamat. Malah sebahagian orang Islam berkata, selesema babi hanya akan menyerang orang yang makan babi. Maka orang Melayu tidak akan kena wabak itu.

Oleh sebab tidak bimbang penularannya terhadap orang Islam, pemimpin termasuk ulama tidak serius dalam usaha mengelaknya. Mereka tidak mengambil kisah dengan penjagaan kesihatan dan kebersihan. Umat Islam sudah ada rasa berbunga di hati bahawa mereka boleh bebas daripada selesema babi, namun hakikatnya mereka sombong kepada Allah.

Sebenarnya Allah datangkan wabak ini untuk menguji hamba-Nya, tetapi apabila hamba-Nya tidak mahu mengambil iktibar daripada wabak itu, maka Dia membiarkan wabak itu menyerang sesiapa sahaja. Siapa yang langsung tidak mahu menjaga kesihatan dan kebersihan akan lebih cepat mendapat penyakit itu.

Rencana ini bukan hendak menuduh universiti, kolej, dan sekolah agama itu tidak bersih dan tidak menghiraukan kesihatan tetapi lazimnya anak-anak Melayu terlalu meremehkannya. Bukti jelas dapat kita saksikan pengakuan ayah mangsa keempat. Katanya, anaknya mengalami selesema pada 16 Julai, tetapi tidak mahu pergi ke hospital. Setelah ayahnya melihat keadaan anaknya semakin teruk pada 26 Julai baru dibawanya ke hospital. Ayah mengaku menyesal dengan kejadian itu. Tetapi sesal kemudian itu tidak berguna lagi.

Selain itu, umat Islam yang terus lalai, leka, dan sombong itu tidak pernah berpaut kepada Allah. Mereka tidak pernah berdoa kepada Allah untuk memohon ditolak bala itu. Mereka tidak pernah meminta perlindungan Allah daripada wabak itu. Inilah hakikat yang sukar dinafikan.

Menyedari keadaan ini, saya menyeru semua umat Islam supaya bertaubat daripada kealpaan itu. Marilah kita membaca doa minta Allah hindarkan wabak itu daripada kita dan negara. Baca doa ini sebanyak tujuh kali setiap kali lepas solat:

لِي خَمْسَةٌ أُطْفِي بِهَا حَرَّ الوَبَاءِ الْحَاطِمَة
اَلْمُصْطَفَى وَالْمُرْتَضَى وَابْنَاهُمَا مَعَ فَاطِمَة

Bagiku lima orang yang dengannya boleh memadamkan kepanasan wabak iaitu Nabi Muhammad, Ali, Hasan, Husin bersama Fatimah.

Umat Islam seharusnya bergantung kepada Allah dalam semua keadaan, waktu baik apatah lagi waktu bencana. Apabila kita banyak bergantung kepada Allah waktu senang pasti Allah bersama dengan kita waktu kita susah.

24 Julai 2009

Dapatkan Solusi Terbaru Isu 10


Bagaimana solat anda? Apa persiapan anda untuk menyambut Ramadan? Dalam pengalaman harian kita, kita sering melihat orang Islam masih terjebak dengan dosa dan maksiat walaupun mereka taat solat dan puasa, malah pernah pergi haji. Di mana silapnya ibadah kita kepada Allah?

Saya mencadangkan anda mendapatkan majalah SOLUSI isu 10 di pasaran atau buat pesanan melalui kami kerana jawapan kepada persoalan di atas terdapat di dalamnya. Saya percaya dengan satu naskhah bernilai RM 9.00, anda tidak rugi kerana ilmunya cukup berbaloi dalam mendidik diri dan jiwa kita ke arah hamba Allah yang tulin.

Bagi mereka yang hendak majalah isu lama boleh juga dapatkan melalui kami dengan harga yang istimewa. Selamat membaca.

23 Julai 2009

Isu Wahabi mengapa masih berlarutan?

Ahmad Baei Jaafar
(siri pertama)

Sewaktu saya kecil, sudah terdengar di hujung-hujung telinga saya orang tua-tua bercakap soal “kaum tua” dan “kaum muda”. Jelasnya, orang yang bercakap itu marah benar kepada “kaum muda” hingga melabelkan mereka sebagai “kaum mudah”. Saya masih belum memahami isu perbincangan mereka.

Tetapi setelah saya memasuki sekolah agama, dan sudah mula berminat membaca majalah, perbalahan golongan tua dan muda ini semakin jelas. Malah semakin memahami isu apabila membaca majalah al-Islah terbit di Pulau Pinang, majalah Warta terbitan Jabatan Agama Islam Johor, dan majalah Pengasuh terbitan Kelantan. Membaca majalah tersebut sedikit sebanyak dapat menilai siapa yang dimaksudkan dengan “kaum muda” dan “kaum tua”.

Tahun 70-an pengetahuan penulis bertambah apabila memasuki Yayasan Pengajian Islam Kelantan, Nilam Puri, (sekarang ini Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya). Di sini perbahasan tentang kaum tua dan muda tidak lagi kedengaran, tetapi dilanjutkan perbahasan seumpamanya atas isu Wahabi. Di sini juga pelajar diperjelaskan secara umum perbezaan fikiran itu dan puncanya.

Walaupun kini sudah memasuki tahun 2000, isu itu terus diperbesarkan. Sehingga hari ini saya tertanya-tanya mengapa isu ini terus dibahaskan tanpa ada keputusan yang masing-masing boleh mengakui kebenaran pihak lawan atau dalam kata lain menghormati pandangan orang lain. Dalam keadaan dunia yang berubah mengapa fikiran dan ilmu mereka masih tidak berubah?

Sejarah Wahabi di Malaysia
Setelah mengalami pengalaman, pergaulan, perbincangan dan sedikit kajian, saya dapati pergeseran antara “kaum tua” dan “kaum muda”, Wahabi dan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini bukanlah isu besar. Isunya kecil sahaja tetapi dibesarkan kerana salah faham dan rasa ego dalam kalangan orang yang berkepentingan.

Dahulu sebelum merdeka, Sheikh al-Hadi (Syed Sheikh bin Ahmad Al-Hadi - 22 November 1867 - 20 Februari 1934) dan beberapa rakannya menubuhkan sekolah agama sistem moden, antaranya Madrasah al-Mashoor Penang, Madrasah al-Iqbal al-Islamiyyah di Singapura. Kewujudan sekolah ini menjadi alternatif kepada sekolah sistem pondok pada masa itu.

Beliau turut aktif dalam penerbitan dan menyebarkan pemikiran modennya melalui majalah. Mereka memulakan penerbitan Majalah Al-Imam pada 23 Julai 1906 di Singapura. Pada tahun 1927, beliau meninggalkan profesion perguruan dan membuka Percetakan Jelutong di Pulau Pinang yang merupakan penerbitan yang bersifat reformasi Islam.

Beliau menerbitkan Tafsir Al-Quran oleh Muhammad Abduh dan juga lain-lain penerbitan berkaitan artikel dan buka reformasi. Pada tahun 1926, beliau melancarkan jurnal bulanan, Al-Ikhwan dan pada tahun 1928, beliau menerbitkan akhbar harian, Saudara. Antara penulis untuk akhbar Saudara ialah Abdul Rahim Kajai.

Kewujudannya telah mencabar kewibawaan ulama pondok yang masih pada takuk lama dalam kaedah penyebaran dakwah. Sistem pembelajaran “umumi” di pondok tidak banyak membantu pelajar ke arah pemikiran kreatif dalam membina kemajuan ummah. Sistem dakwahnya sekadar di sekolah, surau dengan pendekatan ceramah dan mengajar golongan tertentu. Cara tersebut tidak banyak yang boleh mendidik masyarakat. Sedangkan apa yang dibawa orang-orang al-Hadi dapat difahami oleh orang ramai melalui pembacaan.

Di sinilah timbullah apa yang dikatakan kaum tua dan kaum muda. Golongan tua yang tidak senang dengan kehadiran “kaum muda” terus menyerang mereka dari jauh. Keadaan ini menyebabkan orang ramai menjadi keliru. Padahal kalau mereka bertemu dan berbincang mengambil pendekatan bertolak ansur, sudah tentu pergaduhan itu tidak berpanjangan.

Melihat perkembangan itu saya sekali lagi berasa pelik kerana walaupun pemikiran ini timbul di Pulau Pinang dan Singapura tetapi suburnya di negeri Perlis sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun sebahagian pemikirannya di sudut pembangunan umat Islam tidak dibawa bersama. Yang masih tinggal sekarang ialah perjuangan soalan furu’iyah yang sepatutnya tidak dipertikaikan oleh kedua-dua belah pihak.

Fahaman yang tinggal itulah yang dikatakan Wahabi iaitu fahaman yang suka membidaahkan segala amalan yang tidak ada hadis dan tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka bacaan qunut pada solat Subuh, talkin jenazah, dan tahlil dihukumkan bidaah dhalalah.

Asal Usul Wahabi
Sebenarnya kumpulan Salafi Wahabi diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab. Asas perjuangan beliau ialah membanteras khurafat dan bidaah kerana menganggap umat Islam setelah zaman salaf (zaman Rasulullah s.a.w. sehingga 300 Hijrah) mengalami kepincangan khususnya dari sudut aqidah dan terlibat dengan amalan bidaah.

Beliau beranggapan begitu setelah melihat fenomena umat Islam yang pada ketika itu terlalu mengagungkan para wali, sering menziarahi kubur mereka, dan pelbagai lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Bahkan sebahagian umat Islam pada musim haji, lelaki dan perempuan menangis-nangis pada sisi maqam Rasulullah dan para Sabahat.

Asas perjuangan Muhammad Abdul Wahab ini mendapat sokongan pemerintah Kerajaan Arab Saudi ketika itu. Pada ketika itu maqam Rasulullah terpaksa ditutup atau dipagarkan daripada dimasuki pengunjung. Kalau tidak, banyak lagi khurafat yang dilakukan oleh umat Islam.

Selain itu golongan Wahabi ini terpengaruh dengan fahaman Syeikh Ibn Taimiyah yang sedikit berbeza pegangan aqidahnya dengan pegangan Imam Al-Asy’ari dan Imam Al-Maturidiyah. Mereka berpegang kepada pendapat golongan salaf sedangkan yang lainnya mengikut pegangan khalaf.

Berdasarkan itu, golongan Wahabi dikatakan mempercayai bahawa Allah s.w.t. duduk di atas Arasy dan Allah s.w.t. sedang berada di atas langit. Mereka juga percaya bahawa Allah s.w.t. mempunyai rupa paras dan berjasad. Mereka berhujah demikian berdasarkan ayat-ayat al-Quran Mutasyabihat yang pada mereka kedudukan yang sebenar diserahkan kepada Allah, kerana kedudukan-Nya tiadalah menyerupai makhluk ciptaan-Nya.

Meneliti sejarah di atas, saya melihat fikiran umat Islam yang masih berbalah ini amat statik fikirannya baik golongan Wahabi mahupun golongan yang mendakwa Ahli Sunnah wal-Jamaah. Malah kejumudan fikiran ulama tersebut adalah antara sebab mengapa umat Islam kini masih ketinggalan dalam banyak bidang. Masa yang ada dihabiskan untuk berbalah.

Jalan Penyelesaian
Sebenarnya, jika kedua-dua golongan itu dapat menerima hakikat perubahan dunia pasti mereka boleh akur dan menerima semua itu dengan baik. Di sini saya akan membawa beberapa contoh:
1. Kemajuan yang diperjuangkan oleh al-Hadi hari ini telah diterima oleh golongan tua, malah mengakui baik. Antara perjuangan itu ialah mewujudkan sistem persekolahan, mencadangkan wanita turut belajar di sekolah, menerbitkan majalah, akhbar dan buku. Beliau juga antara pembakar semangat untuk mencapai kemerdekaan.
2. Khurafat yang mahu dibanterasnya kini sudah diterima oleh golongan tua. Kubur keramat di Melaka, Pulau Pinang, dan banyak lagi sudah tidak dipuja lagi.

Kalau pandangan itu diterima dengan baik oleh kaum tua suatu ketika dahulu sudah tentu negara lebih cepat maju berbanding sekarang. Bayangkan kalau sekolah Islam wujud dan menjadi saingan hebat dengan sekolah Kristian ketika itu, orang kita tidak banyak masuk sekolah Kristian. Tetapi oleh sebab asyik bergaduh bagi mempertahankan sistem pondok, kita terus ketinggalan dalam pendidikan.

Begitu juga dengan soal khurafat, dulu kaum tua menentang malah mereka menjadi tukang tolong baca doa untuk orang yang hendak membayar niat. Hendak lawat kubur keramat dibenarkan oleh golongan tua itu. Tetapi kini mereka sudah menolak khurafat itu. Kenapa tidak dari dahulu lagi? Kita tidak berfikir secara kreatif maka kita terus ketinggalan.

Selain itu golongan tua juga sudah dapat menerima bahawa baca Yassin pada malam Jumaat bukan wajib, tahlil arwah bukan wajib, dan talkin jenazah di atas kubur juga bukan wajib. Malah itulah pegangan mereka sebelum ini, cuma pada waktu itu sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Melayu hingga sukar dibuang.

Kalau begitulah pegangan golongan tua mengapa golongan muda tidak boleh bertolak ansur, kalau hendak baca Yassin atau tidak, terpulanglah. Kalau nak buat tahlil atau talkin sila lakukan, kalau tidak mahu tidak mengapa. Bukan wajib, tetapi daripada berbual kosong selepas solat, baca Yassin apa salahnya, bukankah baca al-Quran dapat pahala? Talkin di kubur kalau boleh dijadikan dakwah dan peringatan kepada keluarga si mati dan sahabat handai, bukankah dapat pahala daripada berbual kosong di atas kubur?

Di sini saya lihat orang-orang kaum muda masih berfikiran statik, beku dan tidak pernah melihat perubahan zaman yang sudah banyak berubah kini. Ingatlah bukan semua yang tidak disebut oleh Rasulullah dan tidak dilakukan oleh Baginda tidak boleh dilakukan oleh umat akhir zaman. Ingatlah juga, kalau kita boleh beri pandangan, orang lain juga boleh memberi pandangan, malah lebih bernas.

Begitulah juga yang berlaku pada amalan doa qunut dan azan dua kali pada waktu solat Jumaat. Kenapa hendak dibidaahkan kalau hukum itu telah diputuskan oleh ulama yang berijtihad. Bukankah Rasulullah telah memberi jaminan bahawa sesiapa yang ijtihadnya betul dapat dua pahala, kalau salah dapat satu pahala. Ertinya Allah iktiraf pendapat itu. Siapakah kita untuk menolak pengiktirafan Allah?

Jadi, masing-masing boleh beramal mengikut apa yang telah dilakukan selama ini segala tidak bercanggah dengan syariat. Mana-mana hukum yang terdapat sedikit perubahan, seharusnya mereka menghormati.

Akhir sekali, “pegangan Wahabi tentang Allah dengan berdasarkan salafi” akan saya bentangkan pada siri akan datang.

13 Julai 2009

Janji BN boleh makan diri

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan kesilapan besar apabila membuat janji untuk membina jambatan baru di Manek Urai jika BN menang dalam pilihan raya tersebut. Lebih besar kesilapannya apabila beliau menolak permintaan pemimpin PAS supaya jembatan itu terus dibina walaupun BN kalah.

Dalam politik, cakap pemimpin, sikap pemimpin, dan diam pemimpin adalah percaturan yang tidak boleh pandang ringan. Janji pemipin BN, TPM bukan janji kecil. Rakyat sedang memerhatikan janji itu sama ada ikhlas atau tidak. Kini, rakyat sudah tahu jawapannya bahawa janji TPM itu tidak ikhlas.

Rakyat Manik Urai mungkin memberi kepercayaan kepada janji BN itu jika cara menolak itu lebih berhati-hati atau berhikmah. Tetapi dengan mengatakan bahawa kerajaan pusat tidak akan membuat jembatan itu jika rakyat tidak memilih BN satu jawapan ugutan, maka telah menghilangkan separuh kepercayaan rakyat kepada BN.

Sebenarnya kerajaan pusat apatah lagi atas slogan 1Malaysia, tidak boleh memilih bulu berdasarkan parti politik dalam pentadbiran. Hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa semua negeri dalam Malaysia ini adalah berada di bawah perintahan satu kerajaan pusat. Semua rakyat di seluruh Malaysia adalah rakyat Malaysia, satu Perdana Menteri. Jadi, mereka wajar mendapat perhatian yang sama daripada kerajaan pusat.

Kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang hakikatnya sebahagian daripada kerjaan Malaysia juga. Mereka sebenarnya membantu kerajaan pusat dalam mentadbir kerajaan negeri yang gagal mereka kuasai. Jadi, kerajaan negeri itu perlu diberi perhatian sekali gus mengucapkan terima kasih kerana membantu bebanan kerajaan pusat.

Oleh sebab itu, peruntukan yang sepatutnya mereka dapat perlu disalurkan seperti biasa, bukan disekat. Amanah Allah, rakyat perlu dilaksanakan. Kalau tidak Allah akan hukum dan rakyat juga akan menghukum mereka pada masa akan datang.

Tawaran kerajaan pusat untuk membina jambatan baru yang dianggar berharga RM7 juta hingga RM10 juta itu, perlu ditunaikan walaupun pengundi Manek Urai tidak memilih BN dalam pilihanraya kecil DUN itu kerana wang itu adalah wang rakyat, bukan wang BN. Pemimpin hanya memegang amanah.

Esok rakyat Manik Urai akan memilih salah satu dari dua calon sama ada dari BN atau PAS. Kita tidak boleh paksa pilihan rakyat tetapi daripada apa yang disebut di atas, kita dapat agakkan pilihan rakyat. Semoga rakyat pandai memilih yang terbaik untuk mereka.

12 Julai 2009

Tahniah kerana tiada kekecohan kali ini

Sebelum penamaan calon di Pilihan raya kecil DUN Manik Urai, anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar batasan dan sebaliknya mereka perlu mengutamakan perpaduan dan bersikap rasional dan profesional. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata walaupun PAS mengganggap Umno dan BN sebagai musuh utama, namun Umno dan BN tetap mengajak kepada perpaduan dan semangat 1Malaysia.

Kesan nasihat itu, kini suasana berkempen berjayan dengan baik tanpa ada masalah yang boleh dikaitkan dengan keganasan dan sebagainya. Hal ini diakui oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin sewaktu berada di Manik Urai. Tahniah diucapkan kepada Pemimpin Umno dan BN dan anggota masing-masing kerana berjaya merealisasikan demokrasi.

Persoalannya bolehkah keadaan ini dikekalkan sampai bila-bila dalam mana-mana pilihan raya akan datang. Adakah semua ini boleh direalisasikan hanya setelah pemimpin membuat arahan, baru didengari oleh ahli semua. Bolehkah ahli Umno menilai sendiri mana yang baik mana yang baik walaupun tanpa mendapat arahan pemimpin?

Tetapi pada masa yang sama, kita tidak pula dengar arahan yang seserius itu untuk ahli PAS. Memang ada juga arahan seumpama itu setiap kali berlaku pilihan raya, namun arahan itu sekadar mengulangi tradisi sebelumnya. Di sini timbul persoalan adakah anggota PAS tidak membuat kekacauan pada hari penamaan calon dan kempen kerana menghormati arahan pemimpin BN atau arahan pemimpin PAS?

Logiknya, tidak mungkin mereka mendengar arahan pemimpin BN. Kalau hendak dikatakan mereka dengar arahan pemimpin PAS, kenapa pada kali ini boleh sedangkan pada pilihan raya sebelumnya tidak boleh patuh? Inilah yang perlu dianalisis oleh semua pihak.

Ya, kalau benarlah kekecohan dahulu itu dicetuskan oleh PAS, tentu keadaan itu menunjukkan bahawa mereka tidak patuh kepada pemimpin mereka. Tetapi kalau mereka menafikannya, sebaliknya mengaku mematuh arahan pemimpin, ada beberapa kemungkinan berikut:

1. Selama ini pemimpin BN tidak pernah memberi arahan dan nasihat seperti itu, atau nasihat juga tetapi seperti cakap-cakap terbuang.
2. Ahli Umno yang membuat kecoh dengan menggunakan orang lain untuk mengelirukan anggota polis.
3. Ahli Umno yang membuat provokasi untuk menimbulkan kemarahan ahli PAS. Lalu tercetuskan tindak balas.

Analisis ini sekadar membuka fikiran temanku dan pengunjung Fikrah Islamiah. Saya bukan menuduh tetapi kalau benar begitu, tahniah sekali lagi kepada pemimpin BN. Semoga keinsafan itu boleh dikekalkan pada masa hadapan.

Bagaimanapun kalau semua itu salah, diharapkan kejayaan pada kali ini dapat diambil iktibar oleh semua pihak bahawa politik sepatutnya bukan mencari musuh tetapi untuk merapatkan jurang. Apa-apa yang salah pada kerajaan wajar ditegur oleh pembangkang demi kebaikan negara dan rakyat.

09 Julai 2009

Pembelajaran Bahasa Inggeris perlu disegerakan

Ramai yang berasa lega dengan keputusan telah dibuat terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Mahyudin Yasin petang semalam. Walaupun PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, namun pelajar luar bandar boleh bernafas lega.

Berdasarkan keputusan itu mulai tahun hadapan murid-murid tahun satu hingga tahun tiga akan menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dua pelajaran tersebut. Murid tahun 4 - 6 akan terus menghabiskan sisa-sisa PPSMI hingga 2012.

Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit buku teks sudah boleh buat persiapan untuk mengembalikan ke Bahasa Melayu dan Cina juga India. Manakala stok lama boleh dihabiskan dalam tempoh tiga tahun lagi itu. Yang pasti penerbit tidak rugi kerana mereka tidak mencetak dalam jumlah yang banyak setiap tahun.

Tetapi persoalan sekarang, sudahkan kerajaan bersedia dengan korikulum baru untuk Bahasa Inggeris? Kerajaan terutama menteri yang terlibat harus sedar bahawa murid sekolah rendah dan menengah di luar bandar, malah bandar juga tidak pandai bahasa tersebut bukan kerana tidak minat atau tidak pandai. Kerajaan harus sedar, orang Melayu minat Bahasa Inggeris tetapi sistem dan kaedah pembelajaran Bahasa tersebut tidak mengikut cara yang betul.

Menteri tidak tahu keadaan sebenar kerana mereka jarang turun padang melihat guru di luar bandar mengajar anak murid mereka. Kesilapan guru-guru inilah yang menyebabkan orang Melayu tidak pandai berbahasa Inggeris.

Jadi, pendekatan pembelajaran oleh guru perlu dipantau oleh kementerian. Sistem latih tubi, penggunaan bahasa dan perbualan seharian perlu dilakukan secara serius. Jika semua itu dapat dilakukan oleh kementerian, masalah bahasa Inggeris itu tidak akan timbul lagi. Apabila tamat tahun 6 mereka sudah berani berbahasa Inggeris.

Oleh sebab itu, pelajaran Bahasa Inggeris dalam bentuk dan pendekatan baru itu perlu dilakukan segera mulai tahun hadapan. Janganlah menunggu hingga tiga tahun lagi baru sistem itu baharu hendak dimulakan.

04 Julai 2009

Hukum hudud untuk elak jenayah

AHMAD BAEI JAAFAR

Apabila menyebut hudud ada yang rasa jelek dan tidak kurang juga yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya hudud itu. Yang demikian itu dirasai oleh umat Islam yang berbangsa Melayu apatah lagi yang belum beragama Islam.

Sesetengah orang tidak mahu bercakap soal hudud kerana terlalu sinonim dengan agenda parti politik. Pada mereka hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara yang dihuni oleh masyarakat majmuk. Manakala orang bukan Islam langsung tidak mahu menyebut hukum hudud kerana sering dinagatifkan oleh orang politik.

Hari ini saya ingin mengajak ahli jemaah sekalian keluar dari persepsi di atas dan melihat kembali hudud di sudut hukum Islam yang sebenar. Barangkali benarlah, “tidak kenal maka tidak cinta”, ramai yang tidak kenal dengan hudud lalu mereka membencinya, apatah lagi jika sering diberi gambaran salah tentang hudud.

Sebenarnya hudud ialah satu dari hukum-hukum Islam yang melibatkan kesalahan jenayah. Selain hudud ialah qisas dan takzir.

Hudud ialah hukum yang ditentukan oleh Allah atas beberapa kesalahan terhadap Allah dan ia telah ditetapkan bentuk hukumannya. Hukuman itu tidak boleh dimaafkan oleh manusia tetapi yang bersalah boleh bertaubat kepada Allah.

Kesalahan hudud

Apakah kesalahan seseorang manusia yang membabitkan Allah? Terdapat kesalahan yang disepakati oleh ulama dan ada juga yang masih khilaf.

Senarai yang sepakati ialah:

1. Kesalahan zina; perbuatan perhubungan seks antara dua jenis sama ada secara paksa atau rela, sama ada bujang, janda ataupun duda. Perbuatan itu tidak sampai mencerakan orang lain.

2. Kesalahan qazaf (menuduh); perbuatan menuduh orang baik sebagai berzina tanpa membawa empat orang saksi atau bukti. Tuduhan ini boleh jadi suami terhadap isteri atau orang lain terhadap mana-mana perempuan.

3. Kesalahan mencuri; perbuatan mencuri barang berharga orang lain atas niat jahat dalam kadar tertentu. Perbuatan itu tidak mengakibatkan kecederaan orang lain.

4. Kesalahan minum arak; perbuatan minum arak sama ada sedikit atau banyak. Perbuatan itu tidak sampai mencederakan orang lain.

Senarai yang tidak disepakati ialah:

1. Kesalahan meninggalkan solat fardu; mereka meninggalkan solat atau niat mengikari ajaran Islam malah mereka bangga tidak melakukan solat.

2. Kesalahan murtad; mereka yang telah memeluk Islam tetapi bertindak keluar daripada Islam sama ada secara suka atau paksa.

Semua kesalahan di atas dianggap melakukan kesalahan terhadap Allah dan mereka wajar diberi hukuman hudud. Hukuman ini perlu dilaksanakan oleh pemerintah yang sah, bukan individu yang mendakwa dia berkuasa. Hukuman ini tidak boleh bertolak ansur apatah lagi dimaafkan oleh pihak tertentu.

Bentuk hukum itu juga telah ditentukan oleh Allah iaitu untuk kesalahan zina, sebat 100 kali rotan bagi yang bujang sama ada lelaki mahupun perempuan. Tetapi rejam dengan batu sehingga mati bagi mereka yang berkahwin.

Bagimanapun jika mereka bertaubat dalam tempoh kesalahan itu sama ada semasa menunggu hukuman dia terlepas lari atau kerana belum ada hukuman hudud dalam negara itu, Allah bersedia menerimanya. Mereka yang bertaubat adalah seperti tidak dosa lagi, demikian janji Allah.

Perlu diingat kesalahan zini tidak sampai melibatkan keceraan atau kematian seseorang. Jika berlaku begitu lelaki yang terlibat telah melakukan dua kesalahan iaitu kesalahan di bawah hudud dan satu lagi kesalahan di bawah qisas yang akan dibincangkan nanti.

Bagi kesalahan qazaf (menuduh), pelakunya dikenakan hukuman sebat 80 kali rotan. Kes ini sering berlaku dalam masyarakat kita tanpa mereka sedari bahawa yang demikian satu dosa qazab. Sebagai contoh, suami melihat isterinya keluar dengan seorang lelaki dan kebetulan isterinya mengandung, lalu dia menuduh isterinya curang kepadannya.

Perbuatan suami itu ada qazab dan boleh dihukum 80 kali rotan. Jika negara kita belum laksanakan hukum itu lagi maka dia perlu bertaubat dan hilangkan rasa curiga itu dan terima seadanya anak dalam kandungan isterinya itu. Begitulah ajaran Islam.

Bagi kesalahan mencuri, pelakunya perlu dihukum potong tangan sebelah untuk satu kesalahan. Tujuannya supaya dia tidak boleh mencuri lagi pada masa hadapan. Tetapi jika negera ini belum laksanakan hukum itu, dia wajib bertaubat sepenuhnya.

Bagaimanapun jika di samping mencuri dia turut mencederakan orang lain seperti meragut, merompak dan sebagainya, dia telah melakukan dua kesalahan iaitu mencuri di bawah hudud dan mencederakan di bawah qisas.

Bagi kesalahan minum arak, pesalah perlu dihukum dengan hukum sebat 40 kali rotan. Jika hukuman itu tidak dilaksanakan di negara itu, dia perlu bertaubat dengan sesungguhnya. Bagaimanapun jika dengan minum itu dia melakukan zina atau membunuh orang, maka banyak lagi hukuman yang mununggunya.

Jika semua umat Islam tahu hukum ini, pasti mereka tidak mahu melakukan kesalahan itu walaupun belum ada perlaksanaan hukum hudud. Tetapi jika ada manusia yang degil, terus melanggar hukum itu, maka di sinilah perlunya hukum hudud itu dilaksanakan oleh pemerintah.

02 Julai 2009

Bila hukuman hudud boleh disabitkan?

Ahmad Baei Jaafar

Setelah kita menyenaraikan jenis-jenis kesalahan di bawah hukuman hudud sebelum ini, pada kali ini mari kita halusi satu daripada kesalahan hudud sebagai contoh kes. Fokus kita adalah pada kesalahan zina iaitu bagaimana seseorang itu boleh disabitkan sebagai berzina dan bagaimana dia boleh dihukum dengan hukuman hudud?

Zina diharamkan oleh Islam berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah amalan kotor dan seburuk-buruk perjalanan hidup” (Surah Isra’: 32).

Sebenarnya dalam ayat tersebut Allah melarang seseorang itu menghampiri zina, bukan hanya sekadar melarang perbuatan zina semata-mata. Namun pada hari ini larangan itu tidak diambil perhatian terutama remaja.

Dalam masyarakat kita hari ini lelaki dan perempuan dilihat bebas bergaul. Batasan agama sudah tidak diambil kisah apatah lagi apabila mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa. Terdapat beberapa kes yang kita temui di taman perumahan khususnya di apartmen, beberapa lelaki senang-senang membawa teman wanitanya bermalam di rumahnya.

Pernah juga ditemui di rumah atau apartmen yang disewa oleh wanita bujang, turut dikunjungi oleh lelaki pada waktu malam. Malah ada juga yang dibenarkan tidur di mana-mana antara bilik di rumah tersebut. Pada mereka perbuatan itu tidak salah selagi tidak berzina.

Mereka yang terlibat dalam kes ini lazimnya tidak dapat dikesan jiran setaman kerana kehadiran mereka ke rumah itu bagaikan suami isteri. Kecuali jiran yang peka dengan keadaan sebenar jirannya, ada kemungkinan akan membuat laporan kepada pihak berwajib. Namun sebahagian besarnya tidak berani untuk melakukan sesuatu kerana takut dikatakan “menjaga tepi kain orang.”

Penulis pernah bertemu dengan beberapa orang yang dikesan dalam kes seumpama ini. Apabila disoal tentang hukum agama, ternyata mereka berada dalam keadaan terkeliru. “Kami tidak buat apa-apa, salah ke macamni?” jawab salah seorang daripada mereka. Ada juga yang berkata, “Ayah saya tahu kedudukan kami, dia pun tidak pernah marah.”

Sebenarnya keberadaan mereka di dalam rumah sebegitu boleh dikategorikan sebagai berkhalwat dan ia satu kesalahan dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995, antara lain menyebut bahawa mana-mana lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri berada dalam keadaan yang mencurigakan dalam sesuatu tempat adalah melakukan kesalahan khalwat.

Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah memperuntukkan pada 9(1) “Mana-mana orang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Khalwat kerana Jahil
Apabila ditangkap baru dia tersedar bahawa khalwat adalah satu kesalahan. Kejahilan umat Islam terutama remaja dalam hal ini amat dikesali. Barangkali inilah antara sebabnya mengapa masih berlaku gejala sosial dalam masyarakat Islam kini.

Bayangkan kalau berkhalwat sudah dikira satu kesalahan, apatah lagi kalau mereka berzina. Jadi, mereka yang peka atau sensitif dengan hukum Allah ini pasti tidak akan berkhalwat kerana dalam keadaan itu peluang ke arah zina sudah terbuka luas.

Menurut pengamal undang-undang Syariah, kes yang banyak diputuskan dalam mahkamah syariah adalah melibatkan kesalahan khalwat berbanding kesalahan zina. Hal ini kerana kesalahan zina sukar dibuktikan kecuali dengan pengakuan pihak terbabit.

Siapakah di dunia ini pada zaman ini yang sanggup mengaku salah apabila dia benar-benar bersalah? Kalau boleh, mereka akan menutupnya kerana malu atau takut dihukum. Kalau adapun yang mahu mengaku salah, hanya apabila telah didesak dengan pelbagai cara. Sesetengahnya terpaksa mengaku salah apabila kesnya berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa.

Kalau begitulah keadaannya bagaimana hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini? Sedangkan kebanyakan hukum hudud yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah adalah dengan pengakuan sendiri sama ada pihak lelaki mahupun perempuan.

Sabit Kesalahan Zina
Saya ingin mengajak anda menghayati kisah berikut; pada satu hari Dolah membawa Joyah ke hotel di ibu kota dan bermalam di situ. Pada malam itu Dolah berjaya memujuk Joyah untuk melakukan hubungan seks. Tanpa rasa bimbang dan takut diserbu pihak berkuasa, berlakulah drama seks antara mereka sampai pagi. Tiga bulan kemudian Joyah didapati mengandung. Dan sembilan bulan kemudian, Joyah dengan rasa bangga bersalin anaknya dengan selamat. Tetapi pada tahap ini, Joyah menangis sedih kerana anaknya terpaksa didaftarkan sebagai anak tanpa bapa. Hal ini kerana Joyah gagal menunjukkan sijil nikah mereka.

Ya, cuba anda bayangkan jika hukum hudud telah dilaksanakan sekarang di negara ini, bagaimana mereka berdua boleh disabitkan sebagai berzina? Bolehkah mereka berdua dihukum setelah disedari oleh pegawai pendaftar kelahiran?

Sebenarnya dalam Islam, untuk mensabitkan kesalahan zina adalah dengan salah satu daripada tiga sebab iaitu:

1. Pengakuan sendiri oleh lelaki atau perempuan
2. Wanita mengandung sedangkan dia belum berkahwin
3. Empat orang saksi terhadap kejadian zina tersebut
.

Pengakuan sendiri
Terdapat banyak peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah bagi menyokong sebab pertama. Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah di masjid, dia mengaku dengan katanya, “Wahai Rasulullah aku berzina,” maka Baginda berpaling muka daripadanya. Maka dia beralih tempat bagi menghadap muka Baginda lalu mengulangi kata, “aku berzina,” Baginda sekali lagi berpaling daripadanya. Dia mengulangi perbuatan yang sama sehingga cukup empat kali.
Setelah pengakuan yang keempat Baginda terus bertanya, “apakah kamu gila?” Tidak jawabnya. “Adakah kamu sudah berkahwin?” Ya sudah katanya. Sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabat yang hadir: “Bawalah dia dan rejamlah,” (Muttafa’ alaih).

Berdasarkan hadis ini, walaupun pengakuan dilakukan oleh orang yang terlibat, masih diperlukan pengakuan sebanyak empat kali. Ini bagi memastikan dia serius dan melakukannya bukan kerana tertekan.

Dalam hadis lain daripada Amran bin Husain dia berkata, seorang wanita, Jahniah dalam keadaan mengandung hasil perzinaan datang menemui Rasulullah lalu mengaku dengan katanya, “wahai Rasulullah aku telah terlanjur, hukumlah aku. Maka Baginda memanggil walinya dan berkata, “jaga elok-elok anakmu.” Setelah bersalin, dilakukan seperti yang diminta. Maka nabi pun meminta wanita itu memakai pakaian menutup tubuhnya, kemudian diperintahkan supaya dia direjam sehingga mati. Rasulullah melakukan solat jenazah ke atas jenazahnya.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).

Wanita Bujang Mengandung
Bagi wanita yang mengandung sedangkan dia belum berkahwin, pensabitannya tidak perlu kepada empat kali pengakuan. Dan untuk itu juga, pihak berkuasa tidak perlu mengharapkan mereka datang membuat aduan sendiri. Sebaliknya mereka boleh ditangkap dan didakwa sebagai berzina. Cuma dalam keadaan itu terdapat dua keadaan yang diputuskan ulama:
1. Jika wanita itu mendakwa dia dipaksa atau dia tidak tahu tentang zina, tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud untuknya. Demikian pendapat Imam Syafii, Abu Hanifah dan Ahmad al-Hanbali.

2. Wanita itu tetap dihukum hudud kecuali jika dia dapat mendatangkan bukti bahawa dia dirogol. Demikian pendapat Imam Malik.

Empat Saksi
Sabit kesalahan zina apabila terdapat empat orang saksi terhadap kejadian zina itu. Saksi adalah menjadi penentu jika tidak terdapat sebab pertama dan kedua. Firmah Allah, “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara wanita kamu, maka buktikan dengan empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.” (Surah al-Nisa’: 15).

Hadis daripada Abi Hurairah menyebut bahawa Saad bin Ubadah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu jika aku dapati lelaki lain bersama isteriku, lalu aku bertenang sehingga dibawakan kepadaku empat orang saksi? Baginda bersabda, ya betul,” (Riwayat Syafii, Ahmad, dan Malik).

Berdasarkan hadis itu, sebagai suami mereka harus bertenang, jangan membuat tuduhan melulu apabila melihat sesuatu yang meragukan terhadapa isteri. Kalau suami sendiri begitu kedudukannya, bagaimana orang lain, tentulah tidak wajar bertindak melulu. Begitu juga jika dakwaan itu datang daripada saksi yang tidak cukup syarat, dakwaan itu seharusnya ditolak sahaja.

Dalam hal ini jika dakwaan tanpa empat orang saksi, maka dakwaan itu dianggap palsu dan pendakwanya dianggap sebagai pembohong. Jadi, dakwaan itu bukan sahaja tidak boleh disabitkan, bahkan pendakwa itu boleh disebat dengan 80 kali sebat.

Pembuktian saksi boleh diterima apabila:

Empat saksi melihat sendiri perbuatan zina berlaku antara lelaki dengan perempuan tersebut.
Mereka membuat pengakuan menyaksikan zakar lelaki berada dalam faraj wanita.
Saksi tersebut akan disoal tentang apa yang difahami tentang zina, bagaimana berlaku zina, tempat berlaku zina, masa berlaku zina, dan perempuan yang dizinai itu.

Jika berlaku percanggahan dalam persaksian itu antara empat saksi tersebut, saksi itu akan ditolak dan kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hukum hudud tidak boleh dikenakan. Oleh sebab itu saksi dalam kes ini tidak boleh bertindak merancang dan berpakat bagi memerangkap mangsa.

Realiti Masa Kini
Berdasarkan sebab-sebab yang boleh mensabitkan zina hingga boleh dikenakan hukuman hudud, saya mengajak anda padankannya dengan kisah di atas. Sebab yang manakah boleh disabitkan pasangan itu?

Jelas di sini, empat orang saksi sudah tentu tidak boleh mengesan kesalahan mereka. Meskipun mereka dibantu oleh pegawai hotel untuk menunjukkan biliknya, namun mereka tidak mampu nampak perbuatan zina itu. Jadi pasangan itu boleh bebas sampai ke pagi.

Katalah empat pegawai penguat kuasa berjaya memecah masuk bilik itu, mereka sudah tidak nampak aksi seks itu kerana mereka sudah bangun, malah pasangan tersebut berjaya menyorok di tempat berasingan. Jadi, kesalahan zina itu tidak boleh disabitkan dan hudud tidak boleh dikenakan terhadap mereka walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina.

Dalam kes itu juga, pasangan itu tidak mahu membuat pengakuan berzina, malah sanggup mengguna peguam untuk menyelamatkan mereka daripada tuduhan itu. Jika mereka mengaku kemudian setelah dibicarakan, kesalahan zina itu juga tidak boleh disabitkan dengan hukuman hudud.

Katalah pasangan itu selamat daripada diberkas penguat kuasa, hingga anak yang dikandungi itu berjaya dilahirkan, maka sebab kedua tidak boleh digunakan lagi. Waktu dia mengandung tidak siapa yang berjaya mengesannya kecuali bahagian pendaftaran sewaktu hendak membuat pendaftaran kelahiran anaknya. Bukti kelahiran anak tidak termasuk dalam sebab yang membolehkan mereka disabitkan kesalahan itu walaupun hakikatnya mereka berzina. Kalau begitu, hudud tidak akan boleh dilaksanakan dalam keadaan ini.

Peranan Ulama Mendidik Iman
Sekadar andaian, barangkali itulah sebabnya mengapa para ulama pada ketika itu sehingga ke hari ini tidak begitu secara serius mengetengahkan hukum hudud. Mungkin pada mereka kalau hudud dilaksanakan pada hari ini, akan berleluasalah perzinaan kerana peluang untuk sabit zina seperti mustahil.

Mungkin umat Islam pada zaman Rasulullah yang terdidik iman, mampu mengaku salah apabila terjebak dalam kancah zina. Mereka sanggup mengadu dan meminta dihukum atas keinsafan. Tapi bagaimana dengan umat pada hari ini, iman senipis kulit bawang, tidak mungkin mereka akan mengadu dan minta dihukum.

Pada hari ini, ramai wanita yang mengandung di luar nikah. Maka untuk mengelak daripada hukuman hudud, mereka akan mengaku dirogol. Ya, kerana tidak ada iman, mereka boleh buat apa sahaja.

Selain itu, tanpa iman ramai lagi lelaki dan wanita akan merancang untuk berzina. Hal ini kerana pada mereka, kalau melakukannya di hotel atau di rumah yang tertutup tidak mungkin dijejaki oleh empat orang saksi kerana Islam tidak benarkan mengintai.

Jika benarlah ulama berfikiran begitu, mungkin ramai yang boleh menerimanya sebagai munasabah dan relevan pada zaman awal kemerdekaan, namun setelah beberapa tahun berlalu, apakah ulama itu tidak cuba menaiktarafkan iman umat Islam? Tentulah tidak wajar iman mereka semakin menurun kalau mereka terus berdakwah secara serius dalam tempoh itu.

Realiti yang dapat dilihat pada hari inilah, iman umat Islam semakin luntur, maksiat semakin menjadi-jadi. Adakah ulama, pendakwah, dan ahli cerdik pandai Islam tidak begitu memainkan peranan mereka ke arah itu?

Tentu tidak munasabah setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, kefahaman umat Islam terhadap agamanya tidak meningkat. Jika semua agensi agama, ulama, mubaligh dakwah, dan NGO memainkan peranan masing-masing bukan sahaja umat Islam bertambah ini, orang bukan Islam pula semakin faham tentang Islam. Kalau begitu kedudukannya, apakah alasan lagi untuk kita takut untuk melaksanakan hukum Islam sepenuhnya.

Sebenarnya hukum hudud berdasarkan perlembagaan sudah boleh dilaksanakan di negara ini tanpa rasa ragu. Tetapi persoalannya sudahkah ulama cuba meyakinkan pemerintah? Sudahkah ulama menjelaskan faedah sebenar pelaksanaan hudud itu? Hakikatnya, ulama sendiri tidak sanggup mempengaruhi pemerintah dan pada masa yang sama mereka tidak serius dalam mendidik iman umat Islam dan rakyat Malaysia.

Dalam hal ini ulama yang mewakili umat Islam seharus menyahut seruan Allah, “Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan untuk kebaikan manusia, kerana kamu berperanan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman),” (Surah Ali Imran: 110).

Maknanya ulama seharusnya merobah fikiran masyarakat termasuk pemimpin, bukan sebaliknya, pemimpin dan masyarakat yang merobah fikiran ulama. Namun itulah realiti yang berlaku pada hari ini, ulama lebih dipengaruhi oleh pemerintah dan masyarakat. Apabila pemimpin mengeluarkan satu idea, ulama akan sambut dan mencari hujah untuk menyokongnya.

Apakah Jalan Keluarnya
Berdasarkan apa yang dibentangkan di atas, hukum hudud seharusnya boleh digubal mengikut kesesuaian iklim negara kita. Walaupun hukum hudud itu pada masa ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu digusarkan kerana pada jangka panjang, perlembagaan itu boleh dipinda kemudiannya.

Pada masa yang sama, ulama termasuk NGO perlu bergerak mendidik iman dan takwa. Umat Islam perlu disedarkan tentang iman, Islam, dan ihsan. Rakyat Malaysia seluruhnya perlu diberi penjelasan sebenar tentang kebaikan Islam dan hukumnya.

Kemudian sementara menunggu perlaksanaan sepenuhnya, sebab kedua bagi mensabitkan hukuman hudud boleh diguna sebagai percubaan. Hal ini kerana terlalu berleluasa mereka yang mengandung di luar nikah pada hari ini. Mereka itu seharusnya didakwa dan dihukum dengan yang setimpal bagi menyedarkan orang lain bukan sekadar melindungi di rumah pemulihan akhlak sahaja.

Benar mengikut pendapat di atas, wanita yang rogol tidak boleh sabitkan sebagai zina dan tidak boleh dikenakan hukum hudud. Kes ini samalah juga dengan kes yang empat orang saksi lelaki yang tidak cukup syarat untuk mensabitkannya.

Dalam hal ini perlu dijelaskan bahawa apabila mereka disyaki oleh pemilik hotel terdapat pelanggannya dan kemudiannya berjaya dikesan oleh empat pegawai penguat kuasa agama, hudud tidak boleh disabitkan kerana mereka tidak dapat melihat secara jelas perbuatan zina itu. Walaupun ujian DNA menunjukkan mereka telah berzina, hudud tetap tidak boleh dikenakan kepada mereka.

Sungguhpun begitu, kita kena ingat apabila syarat untuk mensabitkan kesalahan itu tidak dapat dipenuhi, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, tetapi ada gantinya. Kesalahan mereka wajib dihukum dengan takzir. Hukuman takzir adalah menjadi hak hakim sama hendak mendendanya dengan wang, atau penjara, atau rotan yang jumlahnya tidak menyamai kadar hudud.

Perlu ditegaskan di sini, undang-undang jenayah syariah yang sekian lama dijalankan di negara kita kini adalah berdasarkan takzir. Hukum ini tidak bercanggah dengan Islam kerana syarat untuk sabit hudud tidak dapat dipenuhi. Jadi, hukum takzir hakikatnya adalah undang-undang Islam juga.

Oleh sebab itu, adalah keterlaluan kalau ada dalam kalangan umat Islam yang menentang perlaksanaan undang-undang syariah di sini dengan pelbagai tuduhan liar. Tuduhan bahawa undang-undang itu sebagai tidak Islamik adalah salah kerana takzir juga sebahagian daripada hukum Islam.