30 Jun 2009

Peringatan kepada kaum lelaki

Saya ingin berkongsi ilmu dengan temanku dan pengunjung blog ini terutama kaum lelaki. Saya sesekali duduk di saf belakang dalam masjid. Suatu hari seorang lelaki gemok solat di hadapan saf saya (lebih kurang 3 meter), waktu dia sujud, ternampak sebahagian lutut dan pahanya. Saya jangkakan mungkin lelaki gemuk sahaja, tetapi rupa-rupanya lelaki biasapun keadaannya sama. Di sini saya mula risau kerana saya juga memakai kain pulaikat ketika solat. Ini menyebabkan saya cuba lakukan sendiri di rumah seperti lazimnya. Sebenarnya kerisauan itu bersangkutan dengan hukum sah atau tidak solat itu.

Saya merujuk kembali kepada kitab tua yang pernah dipelajari dahulu. Jika anda ada kitab Sabilul Muhtadin, mukasurat 183 Jilid1, cuba rujuk perenggan berikut: "Syahdan, disyaratkan pula pada menutup aurat itu dari atas dan pada sekalian pihak kelilingnya, maka tidak diwajibkan menutup dia dari bawah. Maka jikalau sembahyang seseorang pada tempat tinggi maka kelihatan kepada orang auratnya dari bawah maka iaitu tidak mengapa. Bersalahan apabila kelihatan auratnya dari atas seperti leher bajunya atau pada kelilingnya seperti pada tangan bajunya maka iaitu tidak memadai, (maka batal sembahyang)."

Berdasarkan contoh di atas, saya percaya untuk wanita kerana bahagian leher dan tangan adalah aurat wanita. Contoh ini juga mungkin tidak melibatkan wanita Melayu kerana pakaian wanita kita lebih bersopan iaitu memakai telekong. Cuma mungkin ketika sujud, tapak kakinya jika terbuka boleh membatalkan solatnya.

Tetapi pada lelaki, jika dengan hanya pakai kain sarung, kepala lutut dan pahanya dijangkan boleh dilihat oleh orang di belakangnya, maka solatnya boleh batal. Perkara ini memang menjadi budaya orang Melayu. Jadi bagi mengelak solat itu terbatal, saya suka mencadangkan sepuya kita memakai seluar panjang di dalam kain sarung itu. Kita mungkin pernah lihat orang Arab dan India memakai jubah dan di dalamnya dipakaikan seluar panjang. Inilah jalan yang selamat bagi kaum lelaki.

27 Jun 2009

Kematian Michael satu peringatan Allah

Saya berpuas hati dengan kenyataan abang Michael Jackson, Jermaine bahawa jenazah Michael akan dikebumikan secara Islam. Semoga Allah menerima jasad dan rohnya sebagai orang Islam yang bertaubat dan beriman.

Cuma dengan kematiannya saya ingin mengingatkan umat Islam terutama wanita di negara ini yang suka sangat membuat pembedahan muka atau juga yang serupa dengannya supaya berhenti segera. Ingatlah selain mengubah ciptaan Allah, perbuatan itu mambawa kesan negatif kepada tubuh manusia. Lihatlah barah yang dihidapi Michael, lihatlah penderitaannya sebelum meninggal dunia.

Hari ini wanita kita mudah terpengaruh dengan usaha merosakkan tubuh mereka. Apabila ulama menentang, mereka dakwah apa yang mereka buat itu halal, bukan botok dan bukan itu. Ingatlah apa namapun yang kita lakukan terhadap wajah kita dalam keadaan wajah kita sudah sempurna ciptaannya adalah merubah ciptaan Allah.

Hal ini tentu tidak sama dengan mereka yang cacat sebab kemalangan. Mereka boleh buat pembedahan untuk memulihkan kecerderaan itu.

20 Jun 2009

Kenapa suami berubah angin setelah berkahwin

Ahmad Baei Jaafar

Kenapa suami tiba-tiba sahaja suka melakukan perkara yang pada peringkat awal perkahwinan tidak melakukannya? Kenapa suami secara tiba-tiba terlibat semula dengan amalan yang telah ditinggalkan sebaik sahaja berkahwin? Jawapannya tentu suami sahaja yang tahu.

Lazimnya isteri dalam keadaan itu tidak banyak soal sebaliknya membiarkan sahaja gelagat suami itu. Padanya kalau perkara itu adalah hobinya tidak boleh dihalang. Tetapi apabila suami sering melakukan amalan itu sehingga mengabaikan dirinya dan rumah tangga, barulah ketika itu isteri bising-bising dan marahkan suami.

Tanpa mencari puncanya, dia terus marah malah sering menuduh suami dengan pelbagai tuduhan liar. Kononnya suami sudah tidak sayangkannya. Malah ada yang menuduh suaminya ada orang lain. Ketika itu, suami tidak diberi peluang untuk menjelaskan sebab musababnya.

Bagi menyelesaikan masalah suka dijelaskan di sini bahawa kehidupan suami isteri yang paling indah hanyalah tiga bulan pertama perkahwinan. Pada waktu itu semua yang dilakukan oleh isteri adalah baik. Begitu juga bagi isteri, apa yang dilakukan oleh suami semuanya baik dan disukai. Walaupun hakikatnya mereka kurang bersetuju dengan perbuatan dan tindakan pasangan masing-masing.

Selepas tempoh itu, suami tidak boleh sabar lagi. Maka dia akan marah kepada isteri jika perkara yang sama terus dilakukan. Pada masa yang sama isteri juga akan marah kepada suaminya jika sikap suami yang tidak disukainya terus dilakukan. Di sinilah bermulanya permusuhan yang kadang-kadang berlarutan.

Sebenarnya, apa yang berlaku selepas itu adalah kerana kesilapan suami yang tidak pandai mentadbir dan mengurus kehidupan mereka. Suami tidak tahu berperanan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Maka suami lambat bertindak sehingga akhirnya nasi menjadi bubur.

Ajaran Islam
Jelas di sini, pasangan yang berkahwin tidak pernah mengambil kesempatan pada saat awal, pada saat semua manis, pada saat masih ada sayang untuk membuat sesuatu bagi membina kekuatan. Sepatutnya pada malam perkahwinan mereka, kedua-dua pasangan itu boleh duduk semeja berbincang dan melakukan akujanji sekali gus menandatangani perjanjian persefahaman (MOU). Antara perkara yang perlu dibincangkan ialah:
1. Apakah sikap kesukaan suami dan isteri
2. Apakah sikap yang tidak disukai suami dan isteri
3. Apakah makanan yang disukai oleh suami dan isteri
4. Apakah makanan yang tidak disukai oleh suami dan isteri
5. Apakah pakaian yang disukai oleh suami dan isteri
6. Apakah pakaian yang tidak disukai oleh suami dan isteri


Setelah mendapat jawapan, senaraikan secara jelas dan buatlah rumusannya. Selepas itu ambillah solusi pada perkara yang ada persamaan. Manakala perkara yang tiada persamaan, pilihlah salah satu yang masing-masing boleh berkompromi. Setelah itu, apa yang dipersetujui itu harus dipatuhi sampai bila-bila.

Selain itu sebagai pemimpin, suami hendaklah tegas mendidik isteri. Apa yang dilakukan isteri dilihat bertentangan dengan perjanjian, apatah lagi yang bertentangan dengan ajaran Islam, hendaklah ditegur segera.

Sebenarnya sikap suami yang membiar perbuatan buruk isteri diulangi beberapa kali akan menyebabkan teguran suami selepas itu tidak berkesan lagi. Oleh sebab itu, teguran mesti segera supaya ada kesan pengajarannya.

Dalam keadaan ini isteri mesti patut pada suami dalam hal yang dipersetujui bersama. Dia perlu sedar bahawa membantah kehendak suami adalah derhaka dan itulah yang boleh membawa pergaduhan rumah tangga. Pada masa yang sama kalau suami yang melanggar peraturan, isteri juga hendaklah secara sopan menegur suami. Isteri juga tidak boleh menangguh untuk menegur kesilapannya.

Jika semua itu dapat dilakukan oleh pasangan yang baru berkahwin, sudah pasti mereka akan mengenali hati budi pasangan masing-masing. Suami pasti tahu apa kesukaan isterinya dalam soal makan dan pakaian. Begitu juga isteri, dia sudah tahu apa yang disukai oleh suami.

Bukan itu sahaja, isteri juga sudah tahu apakah hobi suami sebelum berkahwin, malah sesetengahnya dengan sebab hobi itu jugalah yang menyebabkan mereka dipertemukan. Mungkin mereka sudah berjanji sama ada ingin meneruskan hobi itu atau tidak.

Realiti Pada Hari Ini
Berdasarkan pengalaman lampau, kebanyakan pasangan tidak membuat sebarang perjanjian seperti yang disebut di atas. Lazimnya pasangan itu tidak ambil kisah tentang hal itu, masing-masing bawa diri dengan kesukaan dan hobi masing-masing.

Toleransi, itulah pendekatan yang diambil oleh mereka. Apa yang suami suka, isteri tidak kisah, dan kalau suami tidak suka, dibiarkan sahaja. Begitu juga dengan isteri apa yang diinginkannya tidak pernah diambil tahu oleh suami.

Bayangkan apa yang akan terjadi jika keadaan ini berlarutan bulan ke bulan, tahun ke tahun. Bolehkah mereka hidup bahagia? Ya, kemungkinan kehidupan mereka akan mudah goyah dan lambat laun mereka akan bercerai.

Walaupun mereka sudah mempunyai anak yang ramai, namun kemesraan sudah tidak ada. Suami hendak menegur sikap isteri apa-apa yang tidak disukainya sudah tidak boleh lagi. Isteri juga tidak mampu menyayangi suami dalam keadaan itu kerana dia sudah tidak boleh menghormati suaminya sebagai ketua rumah tangga. Di sinilah berlakunya apa yang dikatakan retak mencari belah.

Hakikat yang Diabaikan
Sebenarnya lelaki apabila berkahwin dia mahu bermanja dengan isterinya dan mengharapkan dimanjai selama-lamanya. Apa yang menjadi idamannya pada waktu itu tidak pernah pudar apatah lagi pada usia tuanya.

Tetapi biasanya suami tidak mampu menyatakan rasa itu kepada isterinya sebaliknya dia mengharapkan isterinya faham rasa itu sendiri. Tetapi isteri mempunyai rasa yang lain, walaupun isteri juga mahu bermanja tetapi ada had tempohnya. Apabila sudah ada anak, tengok sebut kerja dan seumpamanya, maka rasa hendak bermanja sudah tidak ada.

Apabila keadaan ini berlaku, suami rasa kecewa, rasa keseorangan, dan rasa tidak diperlukan lagi. Demi mengisi kekosongan pada diri dan hati maka minat lama akan datang kembali. Kaki pancing akan mula mencari joran, kaki lepak akan bertemu kawan-kawannya. Itulah penghiburnya setelah isteri tidak mampu menjadi penghiburnya lagi.

Jadi, mana-mana pasangan yang menghadapi masalah yang sama, cuba betulkan kesilapan lampau. Isteri hendaklah memahami hati suami dan jangan biarkan jiwanya kekosongan walaupun di saat tua. Tetapi bagi mereka yang baru hendak kahwin, ambillah perhatian kepada semua maklumat di atas, semoga anda bahagia.

19 Jun 2009

Solusi isu 9 sudah masuk kilang


Alhamdulillah Solusi Isu no9 sudah masuk kilang cetak. Isu kali ini ialah "Celik Mata Hati" membincangkan pelbagai isu yang kaitan umat Islam iaitu yang melibatkan iman dan Islam. Jika Temanku berminat boleh membuat tempahan awal supaya ia boleh sampai ke rumah anda pada awal bulan.

17 Jun 2009

Terpaksa amal kerana takut orang kata

Ahmad Baei Jaafar

Kalau seseorang itu tidak mahu melakukan sesuatu kerja kebajikan atau kebaikan kerana takut orang kata dia hendak menunjuk-nunjuk atau riak, maka hakikatnya dia sudah dikira riak. Demikian yang pernah kita jelaskan sebelum ini.

Tetapi ada juga sesetengah kita tidak bersetuju kerana dalam pengetahuannya, seseorang yang melakukan sesuatu kebajikan kerana hendak tunjuk kepada seseorang itulah yang wajar dikira riak. Memangnya logiknya begitu, tetapi di sini Allah, apa sahaja yang kita lakukan atau bertindak kerana orang lain maka ia adalah termasuk dalam riak.

Jadi, orang yang terpaksa melakukan kebaikan supaya orang kata dia orang yang baik atau bertindak tidak mahu berbuat kerana takut orang kata, nak tunjuk-tunjuk maka hakikatnya riak. Mereka ini walaupun buat baik bukan kerana Allah, maka sebab itu wajarlah ditolak amalan mereka.

Selalu berlaku dalam masyarakat kita, seorang pelajar sekolah berlagak baik dan pandai di hadapan orang ramai. Apabila dia bercakap dengan guru, dia bertutur dengan sopan. Apabila masuk waktu solat, dia akan segera ke musolla atau surau. Apabila guru bertanya soalan, dia akan segera menjawab dengan penuh yakin. Padahal di rumah dia amat malas dan tidak bersopan dengan ibu bapa.

Pelajar tersebut bertindak sebegitu supaya semua rakan-rakannya menyatakan dia baik dan hebat. Dia mahu gurunya memujinya berbanding orang lain. Inilah bentuk riak yang sering terjadi dalam kalangan umat Islam. Jika pelajar itu tidak bertaubat dan menjadikan pengalaman itu sebagai rutin harian, nescaya tiadalah pahala yang akan diperolehnya.

Keadaan yang sama turut berlaku dalam sesuatu kariah. Seorang anak muda rajin datang ke masjid terutama pada waktu Maghrib, Isyak, dan Subuh. Dia merajinkan diri sendiri kerana hendak menunjukkan kepada AJK masjid bahawa dia orang masjid. Pada masa yang dia mengharapkan perhatian bakal bapa mentuanya.

Ada juga AJK masjid yang sebelum ini tidak pernah datang masjid, tetapi setelah dia dilantik sebagai AJK masjid dia datang setiap hari untuk menunaikan solat berjemaah. Dalam fikirannya kalau dia tidak datang apa orang kata, nanti orang kata, “nak jadi AJK, tetapi tak datang masjid” malulah aku. Jenis manusia seperti ini memang ada.

Selain itu ada pula bekas AJK masjid yang sebelum ini selalu datang ke masjid, tetapi setelah tidak terpilih sebagai AJK lagi dia terus datang ke masjid. Dalam hatinya terdetik kata-kata, “kalau aku tidak datang ke masjid nanti orang kata aku merajuk pula.” Jadi, dia datang kerana takut orang kata. Bentuk riak seperti ini sungguh bahaya kepada orang jahil.

Berdasarkan contoh yang diberi, mungkin ada orang yang akan kata, kalau begitu tak payah buatlah, kalau buat pun riak. Tapi kita kena ingat, kalau tidak mahu membuat perkara baik kerana takut orang kata juga dianggap riak.

Jelas, contoh ini menunjukkan semua golongan masyarakat tidak terlepas daripada penyakit riak. Mungkin orang awam golongan yang banyak terlibat atas kejahilan mereka. Tetapi ada juga golongan cerdik pandai, yang mereka ini terpaksa melakukannya dalam keadaan sedar kerana hendak menyembunyikan sesuatu.

Suka dijelaskan di sini, ibadah yang dilakukan oleh ahli riak ini sah di sisi Allah, tetapi tidak dapat pahala langsung berdasarkan sebuah hadis Qudsi yang antara lain bermaksud, “Barang siapa yang lakukan semua itu bukan kerana Aku, pergilah minta pahala kepada mereka yang kerananya kamu melakukan ibadah itu.”

Selain itu, walaupun ibadah itu sah, belum tentu diterima oleh Allah kalau ibadah itu dilakukan dengan lalai dan hatinya tidak khusyuk kepada Allah. Bayangkan kalau ibadah seperti itu Allah tidak terima malah akan dimasukkan ke neraka wil. Firman Allah seperti yang disebut dalam Surah al-Maun; “Neraka Wil bagi yang melakukan solat, tetapi mereka lalai melakukan solat dan mereka menunjuk-nunjuk,” (Surah al-Maun: 4-6).

Kalau yang melakukan ibadah boleh dimasukkan ke dalam neraka, apakah pula kedudukan mereka yang tidak mahu melakukan solat atau tidak mengikut peraturan, syarat dan rukunnya, mereka hakikat melakukan dosa derhaka kepada Allah. Jadi, sebagai umat Islam mereka tidak boleh lepas daripada melakukan ibadah, menyembah Allah.

Oleh sebab pengamal riak ini terdiri daripada golongan orang awam yang jahil, ingin saya mengajak anda sekalian kepada suatu kaedah yang boleh menyelamatkan kedudukan itu. Setidak-tidaknya, mereka masih ada peluang untuk mendapat pahala. Kalau tidak dapat semua, harap-harapnya tidaklah balik kosong.

Caranya mudah, apabila anda sedar ketika melakukan ibadah itu terdetik niat untuk seseorang atau sedang anda melakukan kerja-kerja kebajikan, datang rasa ingin menunjuk-nunjuk kepada seorang gadis, atau hendak tunjukkan kebaikan diri kepada orang lain, maka segerakan bertaubat. Istighfarlah berulang kali dan betulkan niat itu kepada Allah. Ini sahaja yang boleh memberi semula roh ibadah tersebut. Semoga dengan itu dikembalikan pahala kepada anda.

Sesungguhnya Allah menilai niat seseorang pada setiap detik ibadahnya dan yang paling penting pada akhirnya. Maknanya kalau seseorang itu melakukan solat dengan ikhlas kepada Allah pada awalnya, maka Allah menilainya dengan satu kebajikan. Mungkin pada pertengahan solat, pahalanya meningkat menjadi 10 kebajikan. Tetapi pada akhirnya dia lalai atau berubah niat menunjuk kepada seseorang, maka semua pahala yang sebelumnya akan terbatal.

Sebaliknya kalau seseorang itu pada niat awalnya untuk menunjukkan kepada bapa mentuanya, begitu juga pada pertengahan. Tetapi pada akhir solatnya dia tersedar lalu dia betulkan niat, ikhlas hanya kepada Allah, maka dia dapat juga satu kebajikan daripada 27 keseluruhannya. Kedudukannya ketika itu tentu lebih baik daripada orang sebelumnya yang langsung tidak mendapat pahala.

Sahabat, teman dan rakan sekalian insaflah bahawa segala yang kita lakukan di muka bumi ini dinilai oleh Allah. Kalau kita lakukan kerana kehendak Allah, kita akan dikurniakan ketenangan dan kesenangan di dunia dan akhirat. Tetapi kalau kita lakukan untuk orang lain, orang lain itu tidak akan mampu memberi ketenangan dan kesenangan itu kerana mereka pun belum tentu nasibnya.

16 Jun 2009

Maaf belum kesempatan menambah rencana baru

Assalamualaikum kepada temanku dan pengunjung yang sering menziarahi blog Fikrah Islamiah ini, saya memohon maaf kerana dalam seminggu dua ini saya tersangat sebuk, tidak sempat untuk memasukkan artikel atau rencana baru. Persoalan yang anda minta dibincangkan juga tidak sempat diulas. Insya-Allah dalam masa terdekat akan saya usahakan.
Namun rencana yang tersimpan dalam blog ini masih relevan untuk dibaca dan pastinya ilmu itu tidak pernah basi. Selamat berziarah.

11 Jun 2009

Shukery Hashim meninggal dunia

Pelakon terkenal Sdr. Shukery Hashim (55) telah meninggal dunia di Hospital UKM Ceras jam 01 tengahari semalam akibat penyakit kanser pankreas. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham Puan Fatimah Mohd Desa, semoga dia boleh bersabar dan tenang menghadapi ujian ini. Allah sayangkannya lalu mengambilnya di saat ini.

Allah selalu mengingatkan umatnya bahawa setiap yang hidup dan bernyawa pasti akan mati. Jadi beruntunglah mereka yang sudah bersedia ke arah itu. Taubat daripada dosa itulah antara persiapan yang harus diberi keutamaan dalam hidup.

08 Jun 2009

1Malaysia dan kerjaan perpaduan satu mesej

Konsep 1Malaysia dan kerajaan perpaduan adalah peluang keemasan bagi mereka yang cintakan perdamaian dan pembangunan rohani dan jasmani. Dalam hal ini semua pemimpin politik perlu bertindak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan bagi mencapai hasrat itu.

Saya melihat dua idea yang digagaskan oleh dua presiden parti yang terbesar di negara ini ada kesamaan matlamatnya. Jadi tiada sebab mengapa gagasan itu harus ditolak, terutama pemimpin dan ahli parti pembangkang. Dalam hal ini, satu pertemuan dua pemimpin ini perlu disegerakan demi kebaikan rakyat, negara dan Islam itu sendiri.

Untuk mencapai satu Malaysia, kerajaan perlu memandang semua warganegara sebagai rakyat kerajaan dan mereka perlu dibela dan dibantu dengan seadilnya. Tidak ada diskriminasi antara puak dan kaum juga parti. Islam dan Melayu perlu dihormati dan diberi keutamaan oleh semua pihak berdasarkan perlembagaan.

Kerajaan perpaduan pula boleh tercapai apabila kerajaan pusat boleh melaksanakan kewajipannya terhadap semua negeri di negera ini, walaupun diperintah oleh pembangkang. Kewajipan memberi peruntukan adalah sama demi rakyat. Kerajaan pusat perlu menghormati hak kerajaan negeri dalam pentadbirannya.

Jika semua itu boleh dilaksanakan akan tercapailah perpaduan dan satu malaysia. Rakyat senang di negara ini dan mereka boleh bebas mencari rezeki dan bersuara tanpa diganggu gugat oleh pihak tertentu. Itulah harapan rakyat Malaysia.

07 Jun 2009

Selamat Memimpin Berpandukan Islam

Tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan PAS yang baru. Anda semua adalah amanah ahli PAS, amanah Allah, dan satu pengharapan baru rakyat Malaysia untuk menjadi pemimpin yang boleh memberi contoh yang baik kepada orang lain. Kepimpinan yang baik sedang diperhati dari hari ke hari malah mahu dicontohi.

Dalam keadaan itu, saya mahu mengingatkan pemimpin yang terpilih itu membuat sesuatu membimbing semua ahli agar boleh menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Berikan mereka ilmu Islam yang boleh mendidik jiwa mereka menjadi rakyat yang bersopan santun dan perbualan, tindakan dan sebagainya.

Agak malang kalau seseorang ahli yang sudah puluhan tahun, tetapi tahap ilmu Islamnya sama macam baru orang yang baru masuk. Akhlaknya buruk dan sering membuat kecoh dan bersangka buruk kepada orang yang bukan daripada kem mereka. Padahal kalau boleh bersangka baik orang musuhnya pun, mereka akan dihormati dan sanjung tinggi.

Percayalah kalau mesi ini dapat dilakukan oleh kepimpinan baru, dunia kita akan lebih baik dan diberi kepercayaan sepenuhnya.

04 Jun 2009

Sampai syurga tapi tidak boleh masuk

Ahmad Baei Jaafar

Peminat drama Melayu mungkin tidak melepaskan peluang menonton drama cerekarama TV3 setiap minggu. Minggu ini saya sempat menonton drama tersebut yang bertajuk "Sampai Syurga" kerana ingin melihat sendiri bagaimana tajuk itu didramakan. Mana tahu kalau dengan drama itu boleh menyedarkan penonton.

Sepanjang menonton itu saya terus mencari di mana sewajarnya "sampai syurga" diberi nama pada drama itu. Namun dari satu babak ke satu babak, tidak saya temui kewajarannya. Cuma pada akhir drama itu, baru tersingkap jawapannya apabila seorang artis (watak utama) mengakhiri sebuah lagu dengan menyebut ayat "sampai syurga".

Siapa yang sampai ke syurga dalam drama itu? Dapatkah anda menjawab persoalan itu dengan tepat? Mungkin ramai yang berkata, si ayah akan sampai ke syurga. Yalah, kerana ayah yang banyak berkorban tetapi tidak dikenang sedikit pun oleh anak sendiri.

Memang sedih apabila melihat sikap si anak orang kampung yang sejak sekolah tidak berminat untuk belajar, tetapi bapa tunggal yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang terus dibebani dengan masalah anaknya itu. Si ayah yang susah terpaksa mencari wang dengan pelbagai cara untuk mengikut kehendak anaknya.

Si ayah terpaksa menjaul jam tangan yang dihadiahkan syarikat kepada kawannya hanya kerana untuk membeli alat pemain karaoke bagi mengelak anak keluar malam. Akhirnya anaknya ponteng sekolah atas alasan tidak boleh menerima pelajaran lagi. Si ayah yang marah dengan sikap anaknya itu akhirnya akur dan menurut kehendak anaknya.

Dipendekkan cerita, dia yang bercita-cita untuk menjadi artis tercapai juga. Tetapi apabila anak itu sudah terkenal, sudah disebut namanya di mana-mana media, dia malu untuk menerima kehadiran ayahnya. Namun ayah tetap akur dan balik semula ke kampung walaupun telah melalui jalan yang sukar untuk menemui anaknya di Bandar. Paling menyedihkan pada saya ayahnya nazak dia masih tidak mahu pulang menemui ayahnya.

Agaknya, wajarkah si ayah ini sampai ke syurga? Penderitaannya melalui ujian dan dugaan daripada anaknya itu, wajarkah dia dibawa sampai ke syurga? Kekejaman anaknya yang boleh dikatakan derhaka itu, selayaknyakah si ayah itu sampai ke syurga?

Saya bersimpati dengan ayah ini, tetapi penderitaan yang dialaminya itu adalah atas kesilapan dan dosanya sendiri. Wajarkah ayah yang terus menurut kehendak anaknya melakukan dosa dan maksiat, menyanyi dan bergaul bebas dibawa ke syurga? Layakkah si ayah sampai syurga kalau dia tidak pernah mendidik iman anaknya sehingga akhirnya dia menjadi anak derhaka?

Sebenarnya berdasarkan kisah itu, si ayah ini tidak layak untuk sampai ke syurga. Kalaupun ada orang yang hendak mempertahankan kebaikan ayah itu, kononnya dia patuh kepada ajaran Islam, solat, puasa dan sebagainya setiap hari, maka layaklah dia sampai ke syurga. Ya, saya boleh terima pandangan itu tetapi si ayah ini termasuk dalam kategori muflis seperti yang disabdakan oleh Rasulullah.

Maknanya walaupun dia orang baik-baik, tetapi pahalanya habis diberikan kepada orang lain. Anaknya minta dan isterinya minta dan kawan-kawannya minta. Akhirnya stok pahalanya tinggal kosong. Persoalannya, adakah si ayah ini seperti orang baik-baik tersebut?

Ya, kalau si ayah itu seperti orang baik-baik di atas, dia kemungkinan sampai ke syurga tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalamnya oleh malaikat kerana dituntut oleh anaknya. Kalau si ayah banyak pahalanya bolehlah diberikan kepada anaknya. Tetapi yang jelas dalam drama itu, si ayah tidak melakukan solat dan ibadah lain. Dalam keadaan itu, sudah tentu dosa anaknya turut diambil oleh si ayah. Begitulah nasib si ayah yang terlalu mengikut kehendak anaknya. Dalam keadaan itu, tentu neraka tempat yang sesuai un?uknya.

Bagi si anak yang secara jelasnya adalah tergolong dalam anak derhaka, yang pastinya dia berdosa apatah lagi dia sering terlibat dengan pergaulan bebas dengan lelaki. Pergaulan dengan lelaki seperti kehidupan suami Isteri. Walaupun berdosa sebesar itu, namun dosanya itu adalah kerana kegagalan si ayah mendidiknya sejak kecil hingga dewasa. Jadi walaupun dia menyanyikan lagu "sampai syurga" tidak akan sampai ke syurga kerana yang pasti tiada pahala ayahnya yang boleh dipindahkan kepadanya ketika itu.

Berdasarkan drama ini, ibu bapa yang mempunyai anak, harus kembali kepada ajaran Islam dan didik mereka sejak kecil dengan didikan yang betul. Didiklah mereka dengan solat, akhlak harus dibiasakan dengan tatasusila yang indah. Manakala anak-anak pula, patuhilah perintah Allah dan ibu bapa dalam segala yang diperintahkan selagi tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Ingatlah ibu bapa tidak akan mahu anaknya menderita di dunia ini apatah lagi di akhirat.

Oleh sebab itu sebagai umat Islam, yakinlah bahawa syurga hanya akan menjemput anda semua jika semua ajaran Islam dapat dipatuhi dengan sepenuhnya. Yang haram dijauhi, yang makruh ditinggalkan, yang wajib ditunaikan, yang sunat dikejari, dan yang harus mahu dijadikan ibadah. Lima hukum ini jika dianggap remeh, kononya yang haram "tak apa boleh bertaubat", yang makruh, "tidak mengapa, tidak berdosa", yang wajib "tak buat tak apa nanti kadalah", yang sunat, "tak payahlah bukan wajib". Kata-kata ini adalah do?a yang menyebabkan seseorang tidak berpeluang untuk sampai ke syurga, apatah lagi memasukinya.

02 Jun 2009

Makanan halal pilihan mukmin

Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sangat sensitif dengan makanan haram walaupun perkara haram yang lain masih gemar dilakukannya. Mungkin anda pernah makan di restoran atau gerai di medan selera, yang masing-masing duduk di meja pilihan sendiri. Cuba anda pastikan, berapa orang dalam kalangan pelanggan di situ yang bangun dan keluar tanpa membayar.


Lazimnya pelanggan tersebut akan bangun dan pergi ke kaunter pembayaran atau memanggil pelayan untuk mengira kadar yang perlu dibayar. Malah saya pasti, tidak seorang pun yang akan cuba menipu juru jual itu dengan memberi fakta yang kurang tepat. Padahal dalam keadaan pelanggan yang ramai itu, juru jual itu mungkin tidak dapat memastikan kejujuran pelanggan.

Demikian kebanyakan pelanggan yang boleh dikesan dalam sehari. Namun tidak dinafikan ada yang berniat jahat untuk tidak mahu membayarnya. Mereka ini bukan sahaja tidak sensitif dengan makanan haram tetapi sudah biasa dengan amalan itu lantaran tiada iman di dada.

Walau bagaimanapun dalam soal memilih makanan halal, sebahagian kita tidak sensitif dalam memilih kedai makan. Ramai yang secara lebih kurang memilih gerai termasuk gerai yang terdedah di tepi jalan. Ada juga yang mahu ke medan selera yang kelihatan paling ramai pelanggan kerana beranggapan gerai itu lebih sedap atau harganya agak murah.

Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang suka memilih restoran yang ekskulusif pernampilannya dan bertanda halal. Golongan ini tidak memilih siapa tuan punya restoran itu asalkan bertanda halal. Malah kadang-kadang lebih memilih restoran yang kelihatan cantik dan bersih walaupun pemiliknya bukan orang Islam.

Sememangnya makanan halal di negara kita ditentukan dengan teliti dengan syarat yang ketat. Halalnya bukan saja di sudut bahannya tetapi juga prosesnya. Kerajaan memberi amanah kepada syarikat Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun supaya peranannya dilihat adil, kelulusan halal turut diberikan kepada pengusaha bukan Islam selagi mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

HDC tidak boleh membuka peluang kepada orang Islam sahaja, apatah lagi kalau orang Islam sendiri tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. HDC juga tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal jika mereka mampu menyediakan keperluan dan memenuhi syarat yang ditetapkan itu.

Walau bagaimanapun sebagai umat Islam, kita perlu merenung dua persoalan berikut; mengapa pengusaha orang Islam tidak berusaha mendapatkan sijil halal; mengapa pula orang Islam sanggup ke restoran bukan Islam sedangkan restoran orang Islam masih ada meja dan kerusi yang kosong? Kita tidak bercakap soal Melayu tetapi Islam.

Suka dijelaskan di sini, pengusaha Islam yang kebanyakannya orang Melayu hari ini gagal memenuhi syarat kehalalan walapun mereka orang Islam. Dapurnya tidak bersih, peralatan tidak jaga kebersihannya, bahannya kurang bermutu selain kewangan yang tidak mampu disediakan oleh mereka. Mengapa semua itu tidak boleh disediakan?

Orang Islam kebanyakannya mudah perasan bahawa dengan mereka beragama Islam, segala makanan yang disediakan mereka sudah pasti halal. Atas dasar itu mereka tiada tekanan untuk mengambil sijil halal. Pada mereka ada sijil atau tidak sama sahaja, orang tetap akan datang.

Sebenarnya orang Islam di negara ini masih belum sedar dari tidur yang panjang. Mereka masih dibuai mimpi yang indah. Padahal kehidupan mereka tidak mengikut peraturan Islam. Budaya kebersihan, budaya sosial yang sihat, budaya mentaati perintah Allah dan menghormati jiran tidak lagi diamalkan dengan sempurna.

Jika budaya ini tidak ada, bagaimana mereka boleh mendapat sijil halal. Kalau sekadar berlakon seketika untuk mendapatkan sijil, tetapi selepas itu semua peraturan dilanggar, masakan mereka boleh diberi kepercaan untuk mendapat sijil halal. Inilah cabaran yang perlu disedari oleh pengusaha Islam, mereka perlu sedar dan bertindak segera.

Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita boleh pergi ke restoran bukan Islam atas dasar halal. Namun pada sudut lain, mereka juga harus sedar bahawa dengan melanggan di restoran tersebut kita telah membantu menyuburkan ekonomi mereka. Mengapa kita tidak berkunjung sahaja ke restoran umat Islam yang masih kelihatan kerusinya kosong? Tidak ada tanda halal?

Walaupun tidak ada sijil halal, tidak semestinya tidak halal. Kita boleh menilai sendiri kehalalan restoran tersebut. Lihatlah dapurnya, peralatannya, pekerjanya, dan bahannya. Kalau semuanya bersih dan meyakinkan, mintalah makanan berdasarkan halal pada pandangan anda sendiri.

Bagaimanapun jika restoran tersebut tidak bersih dan peralatannya tidak meyakinkan, beredarlah dahulu sekali gus sebagai isyarat tentang protesnya. Kita boleh menegurnya secara baik selain tidak melanggan dengannya. Inilah cara yang sewajarnya dilakukan untuk menyedarkan mereka daripada terus tidur.