Ahmad Baei Jaafar
Peminat drama Melayu mungkin tidak melepaskan peluang menonton drama cerekarama TV3 setiap minggu. Minggu ini saya sempat menonton drama tersebut yang bertajuk "Sampai Syurga" kerana ingin melihat sendiri bagaimana tajuk itu didramakan. Mana tahu kalau dengan drama itu boleh menyedarkan penonton.
Sepanjang menonton itu saya terus mencari di mana sewajarnya "sampai syurga" diberi nama pada drama itu. Namun dari satu babak ke satu babak, tidak saya temui kewajarannya. Cuma pada akhir drama itu, baru tersingkap jawapannya apabila seorang artis (watak utama) mengakhiri sebuah lagu dengan menyebut ayat "sampai syurga".
Siapa yang sampai ke syurga dalam drama itu? Dapatkah anda menjawab persoalan itu dengan tepat? Mungkin ramai yang berkata, si ayah akan sampai ke syurga. Yalah, kerana ayah yang banyak berkorban tetapi tidak dikenang sedikit pun oleh anak sendiri.
Memang sedih apabila melihat sikap si anak orang kampung yang sejak sekolah tidak berminat untuk belajar, tetapi bapa tunggal yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang terus dibebani dengan masalah anaknya itu. Si ayah yang susah terpaksa mencari wang dengan pelbagai cara untuk mengikut kehendak anaknya.
Si ayah terpaksa menjaul jam tangan yang dihadiahkan syarikat kepada kawannya hanya kerana untuk membeli alat pemain karaoke bagi mengelak anak keluar malam. Akhirnya anaknya ponteng sekolah atas alasan tidak boleh menerima pelajaran lagi. Si ayah yang marah dengan sikap anaknya itu akhirnya akur dan menurut kehendak anaknya.
Dipendekkan cerita, dia yang bercita-cita untuk menjadi artis tercapai juga. Tetapi apabila anak itu sudah terkenal, sudah disebut namanya di mana-mana media, dia malu untuk menerima kehadiran ayahnya. Namun ayah tetap akur dan balik semula ke kampung walaupun telah melalui jalan yang sukar untuk menemui anaknya di Bandar. Paling menyedihkan pada saya ayahnya nazak dia masih tidak mahu pulang menemui ayahnya.
Agaknya, wajarkah si ayah ini sampai ke syurga? Penderitaannya melalui ujian dan dugaan daripada anaknya itu, wajarkah dia dibawa sampai ke syurga? Kekejaman anaknya yang boleh dikatakan derhaka itu, selayaknyakah si ayah itu sampai ke syurga?
Saya bersimpati dengan ayah ini, tetapi penderitaan yang dialaminya itu adalah atas kesilapan dan dosanya sendiri. Wajarkah ayah yang terus menurut kehendak anaknya melakukan dosa dan maksiat, menyanyi dan bergaul bebas dibawa ke syurga? Layakkah si ayah sampai syurga kalau dia tidak pernah mendidik iman anaknya sehingga akhirnya dia menjadi anak derhaka?
Sebenarnya berdasarkan kisah itu, si ayah ini tidak layak untuk sampai ke syurga. Kalaupun ada orang yang hendak mempertahankan kebaikan ayah itu, kononnya dia patuh kepada ajaran Islam, solat, puasa dan sebagainya setiap hari, maka layaklah dia sampai ke syurga. Ya, saya boleh terima pandangan itu tetapi si ayah ini termasuk dalam kategori muflis seperti yang disabdakan oleh Rasulullah.
Maknanya walaupun dia orang baik-baik, tetapi pahalanya habis diberikan kepada orang lain. Anaknya minta dan isterinya minta dan kawan-kawannya minta. Akhirnya stok pahalanya tinggal kosong. Persoalannya, adakah si ayah ini seperti orang baik-baik tersebut?
Ya, kalau si ayah itu seperti orang baik-baik di atas, dia kemungkinan sampai ke syurga tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalamnya oleh malaikat kerana dituntut oleh anaknya. Kalau si ayah banyak pahalanya bolehlah diberikan kepada anaknya. Tetapi yang jelas dalam drama itu, si ayah tidak melakukan solat dan ibadah lain. Dalam keadaan itu, sudah tentu dosa anaknya turut diambil oleh si ayah. Begitulah nasib si ayah yang terlalu mengikut kehendak anaknya. Dalam keadaan itu, tentu neraka tempat yang sesuai un?uknya.
Bagi si anak yang secara jelasnya adalah tergolong dalam anak derhaka, yang pastinya dia berdosa apatah lagi dia sering terlibat dengan pergaulan bebas dengan lelaki. Pergaulan dengan lelaki seperti kehidupan suami Isteri. Walaupun berdosa sebesar itu, namun dosanya itu adalah kerana kegagalan si ayah mendidiknya sejak kecil hingga dewasa. Jadi walaupun dia menyanyikan lagu "sampai syurga" tidak akan sampai ke syurga kerana yang pasti tiada pahala ayahnya yang boleh dipindahkan kepadanya ketika itu.
Berdasarkan drama ini, ibu bapa yang mempunyai anak, harus kembali kepada ajaran Islam dan didik mereka sejak kecil dengan didikan yang betul. Didiklah mereka dengan solat, akhlak harus dibiasakan dengan tatasusila yang indah. Manakala anak-anak pula, patuhilah perintah Allah dan ibu bapa dalam segala yang diperintahkan selagi tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Ingatlah ibu bapa tidak akan mahu anaknya menderita di dunia ini apatah lagi di akhirat.
Oleh sebab itu sebagai umat Islam, yakinlah bahawa syurga hanya akan menjemput anda semua jika semua ajaran Islam dapat dipatuhi dengan sepenuhnya. Yang haram dijauhi, yang makruh ditinggalkan, yang wajib ditunaikan, yang sunat dikejari, dan yang harus mahu dijadikan ibadah. Lima hukum ini jika dianggap remeh, kononya yang haram "tak apa boleh bertaubat", yang makruh, "tidak mengapa, tidak berdosa", yang wajib "tak buat tak apa nanti kadalah", yang sunat, "tak payahlah bukan wajib". Kata-kata ini adalah do?a yang menyebabkan seseorang tidak berpeluang untuk sampai ke syurga, apatah lagi memasukinya.
3 ulasan:
Salam ustaz,
saya tak sempat tgk cerita ini..
kwn sy ada membaca artikel ustaz ini dan dia ckp, " wah, ustaz sudah bijak menentukan siapa masuk syurga dan siapa masuk neraka!"
urm...bagi saya, siapalah kita nak tentukan pembalasan orang lain di hari akhirat, tapi Allah Maha Kaya. ada 'indicator' yg kita selalu jumpe dlm al-Quran ttg jenis2 orang yg akan masuk syurga dan neraka. jadi kenapa sekiranya anda (atas kesedaran sendiri) sudah tahu kamu golongan yg mana, kemudian mahu menempelek bila org lain ckp benda yg benar?
selalunye tu la alasan mereke, " siapa kau untuk hantar aku ke neraka, itu tugas Allah" malangnya mereke lupa, menjadi tanggugjawb kita sesama Islam untuk ingat mengingati, nasihat-menasihati. tapi ada yg tak boleh terima-bagi saya itu normal.
dlm kisah drama itu pulak, itula yg terjadi bila ibubapa jahil agama dan tidak cukup kekuatan untuk suburkan syiar Islam dlm keluarga sendiri. ayah sebagai ketua keluarga memikul tanggugjawab untuk mendidik isteri dan anak2 tentang agama Islam, dan untuk diamalkan...
mcm2 la zaman sekarang, tok imam pun belum tentu anak dan isterinya bersolat.
Saya bukan menentukan tetapi berdasarkan cerita itu dan beberapa kenyataan Rasulullah begitulah yang hendak disampaikan oleh penulis drama itu. Maknanya, kalau kita beranggan-angan nak masuk syurga tetapi usaha ke arah itu belum dibuat atau dilakukan tidak mengikut peraturan Allah, pasti harapan itu tidak kesampaian.
yes, ustaz. sy faham niat ustaz.. jgn risau, tapi mungkin akan ada yg salah faham-itu perkarta biasa, :D
Catat Ulasan