02 Jun 2009

Makanan halal pilihan mukmin

Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sangat sensitif dengan makanan haram walaupun perkara haram yang lain masih gemar dilakukannya. Mungkin anda pernah makan di restoran atau gerai di medan selera, yang masing-masing duduk di meja pilihan sendiri. Cuba anda pastikan, berapa orang dalam kalangan pelanggan di situ yang bangun dan keluar tanpa membayar.


Lazimnya pelanggan tersebut akan bangun dan pergi ke kaunter pembayaran atau memanggil pelayan untuk mengira kadar yang perlu dibayar. Malah saya pasti, tidak seorang pun yang akan cuba menipu juru jual itu dengan memberi fakta yang kurang tepat. Padahal dalam keadaan pelanggan yang ramai itu, juru jual itu mungkin tidak dapat memastikan kejujuran pelanggan.

Demikian kebanyakan pelanggan yang boleh dikesan dalam sehari. Namun tidak dinafikan ada yang berniat jahat untuk tidak mahu membayarnya. Mereka ini bukan sahaja tidak sensitif dengan makanan haram tetapi sudah biasa dengan amalan itu lantaran tiada iman di dada.

Walau bagaimanapun dalam soal memilih makanan halal, sebahagian kita tidak sensitif dalam memilih kedai makan. Ramai yang secara lebih kurang memilih gerai termasuk gerai yang terdedah di tepi jalan. Ada juga yang mahu ke medan selera yang kelihatan paling ramai pelanggan kerana beranggapan gerai itu lebih sedap atau harganya agak murah.

Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang suka memilih restoran yang ekskulusif pernampilannya dan bertanda halal. Golongan ini tidak memilih siapa tuan punya restoran itu asalkan bertanda halal. Malah kadang-kadang lebih memilih restoran yang kelihatan cantik dan bersih walaupun pemiliknya bukan orang Islam.

Sememangnya makanan halal di negara kita ditentukan dengan teliti dengan syarat yang ketat. Halalnya bukan saja di sudut bahannya tetapi juga prosesnya. Kerajaan memberi amanah kepada syarikat Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun supaya peranannya dilihat adil, kelulusan halal turut diberikan kepada pengusaha bukan Islam selagi mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

HDC tidak boleh membuka peluang kepada orang Islam sahaja, apatah lagi kalau orang Islam sendiri tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. HDC juga tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal jika mereka mampu menyediakan keperluan dan memenuhi syarat yang ditetapkan itu.

Walau bagaimanapun sebagai umat Islam, kita perlu merenung dua persoalan berikut; mengapa pengusaha orang Islam tidak berusaha mendapatkan sijil halal; mengapa pula orang Islam sanggup ke restoran bukan Islam sedangkan restoran orang Islam masih ada meja dan kerusi yang kosong? Kita tidak bercakap soal Melayu tetapi Islam.

Suka dijelaskan di sini, pengusaha Islam yang kebanyakannya orang Melayu hari ini gagal memenuhi syarat kehalalan walapun mereka orang Islam. Dapurnya tidak bersih, peralatan tidak jaga kebersihannya, bahannya kurang bermutu selain kewangan yang tidak mampu disediakan oleh mereka. Mengapa semua itu tidak boleh disediakan?

Orang Islam kebanyakannya mudah perasan bahawa dengan mereka beragama Islam, segala makanan yang disediakan mereka sudah pasti halal. Atas dasar itu mereka tiada tekanan untuk mengambil sijil halal. Pada mereka ada sijil atau tidak sama sahaja, orang tetap akan datang.

Sebenarnya orang Islam di negara ini masih belum sedar dari tidur yang panjang. Mereka masih dibuai mimpi yang indah. Padahal kehidupan mereka tidak mengikut peraturan Islam. Budaya kebersihan, budaya sosial yang sihat, budaya mentaati perintah Allah dan menghormati jiran tidak lagi diamalkan dengan sempurna.

Jika budaya ini tidak ada, bagaimana mereka boleh mendapat sijil halal. Kalau sekadar berlakon seketika untuk mendapatkan sijil, tetapi selepas itu semua peraturan dilanggar, masakan mereka boleh diberi kepercaan untuk mendapat sijil halal. Inilah cabaran yang perlu disedari oleh pengusaha Islam, mereka perlu sedar dan bertindak segera.

Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita boleh pergi ke restoran bukan Islam atas dasar halal. Namun pada sudut lain, mereka juga harus sedar bahawa dengan melanggan di restoran tersebut kita telah membantu menyuburkan ekonomi mereka. Mengapa kita tidak berkunjung sahaja ke restoran umat Islam yang masih kelihatan kerusinya kosong? Tidak ada tanda halal?

Walaupun tidak ada sijil halal, tidak semestinya tidak halal. Kita boleh menilai sendiri kehalalan restoran tersebut. Lihatlah dapurnya, peralatannya, pekerjanya, dan bahannya. Kalau semuanya bersih dan meyakinkan, mintalah makanan berdasarkan halal pada pandangan anda sendiri.

Bagaimanapun jika restoran tersebut tidak bersih dan peralatannya tidak meyakinkan, beredarlah dahulu sekali gus sebagai isyarat tentang protesnya. Kita boleh menegurnya secara baik selain tidak melanggan dengannya. Inilah cara yang sewajarnya dilakukan untuk menyedarkan mereka daripada terus tidur.

Tiada ulasan: