08 Jun 2009

1Malaysia dan kerjaan perpaduan satu mesej

Konsep 1Malaysia dan kerajaan perpaduan adalah peluang keemasan bagi mereka yang cintakan perdamaian dan pembangunan rohani dan jasmani. Dalam hal ini semua pemimpin politik perlu bertindak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan bagi mencapai hasrat itu.

Saya melihat dua idea yang digagaskan oleh dua presiden parti yang terbesar di negara ini ada kesamaan matlamatnya. Jadi tiada sebab mengapa gagasan itu harus ditolak, terutama pemimpin dan ahli parti pembangkang. Dalam hal ini, satu pertemuan dua pemimpin ini perlu disegerakan demi kebaikan rakyat, negara dan Islam itu sendiri.

Untuk mencapai satu Malaysia, kerajaan perlu memandang semua warganegara sebagai rakyat kerajaan dan mereka perlu dibela dan dibantu dengan seadilnya. Tidak ada diskriminasi antara puak dan kaum juga parti. Islam dan Melayu perlu dihormati dan diberi keutamaan oleh semua pihak berdasarkan perlembagaan.

Kerajaan perpaduan pula boleh tercapai apabila kerajaan pusat boleh melaksanakan kewajipannya terhadap semua negeri di negera ini, walaupun diperintah oleh pembangkang. Kewajipan memberi peruntukan adalah sama demi rakyat. Kerajaan pusat perlu menghormati hak kerajaan negeri dalam pentadbirannya.

Jika semua itu boleh dilaksanakan akan tercapailah perpaduan dan satu malaysia. Rakyat senang di negara ini dan mereka boleh bebas mencari rezeki dan bersuara tanpa diganggu gugat oleh pihak tertentu. Itulah harapan rakyat Malaysia.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...