Ahmad Baei Jaafar
Baru-baru ini saya berkesempatan bertemu dengan
ustaz/cikgu Hashim Jaafar antara pemimpin al-Arqam tegar. Walaupun kini pemimpin
utamanya ustaz Hj Ashaari Mohammad telah kembali ke rahmatullah, namun dia masih
mempertahankan perjuangan dan ajarannya. Walaupun pada hari ini Ummu Jah yang
mengambil alih kepimpinan Ashaari menolak kepimpinan Hashim, kesetiaannya kepada
Ashaari masih utuh. Saya kagum dengan pendiriannya.
Pada kesempatan itu sempat juga saya bertanya
tentang perkembangan terkini jemaahnya. Secara selorohnya dia berkata kini dia
menjadi pengurus dua team bola sepak. Yalah anaknya ada 24 orang, boleh buat
dua pasukan bola sepak. Tetapi secara seriusnya dia berkata, sejak Abuya meninggal
dunia Ummu Jah memerintah Jemaah dengan mengikut fikirannya, bukan lagi
al-Quran dan hadis dan bukan juga dengan minda abuya. “Kini ajarannya sudah jadi
agama baru, sebab tu ana tidak boleh terima dan ana masih yakin dengan Abuya,”
katanya.
Wao! Begitulah tegarnya pengikut ustaz Ashaari.
Saya tidak tahu bagaimana dengan ustaz Shuaib Sulaiman dan mereka yang
seangkatan dengannya, adakah mereka setegar itu atau lebih daripada itu lagi. Saya
tidak mahu menyanggah fikiran mereka waktu ini kerana bukan cara ini yang boleh
mengembalikan hala tujunya daripada mimpi indah itu.
Namun atas rasa simpati kepada kawan-kawan seperjuangan
ini, saya sentiasa berdoa agar mereka terus diberi hidayah oleh Allah. Dan demi
menyelamatkan akidah mereka, ingin saya coretkan sedikit info di sini semoga mereka
mahu membacanya dengan hati yang ikhlas.
Saya sesungguhnya amat bersimpati dengan pengikut
tegar ustaz Ashaari dan Ummu Jah ini kerana mereka tidak pernah sedar bahawa sebenarnya
Ummu Jah telah lama menggunakan fikiran sendiri apatah lagi semenjak ustaz Ashaari
didakwa jatuh dan tidak boleh bercakap. Ustaz Ashaari seperti dicucuk hidung
mengikut kehendaknya.
Walaupun ustaz Ashaari boleh dibawa ke sana
sini dan boleh bertemu dengan pemimpin lain, yang menjadi juru cakapnya hanyalah
Ummu Jah. Kononnya dia seorang sahaja yang tahu mesej suaminya. Dia yang tahu
gerak lidah dan hati suaminya, Ashaari. Padahal dia pada waktu itu mengambil kesempatan
mempengaruhi pengikutnya dengan tipu dayanya.
Saya percaya ramai yang tidak sedar penipuan
Ummu Jah dalam usaha mengekalkan keyakinan pengikut kepada ustaz Ashaari. Apabila
mereka yakin dan setia dengan ustaz Ashaari maka dengan senang hari mereka
terus menyumbang sumbangan bulanan demi ketaatan itu. Tetapi niat dia sebenarnya
adalah untuk mendapatkan wang yang secukupnya untuk membiayai kehidupan keluarganya
dan pemimpin kesayangan mereka itu.
Ummu Jah bertindak sebegini kerana dia sedar
bahawa suaminya bukanlah hebat sangat kerohaniannya. Dia sedar suaminya bukanlah
serba tahu apa yang ada dalam fikirannya, hakikatnya suaminya adalah setaraf dengan
manusia lain sepertinya, tidak tahu sangat persoalan ghaib seperti yang
digembar-gemburkan ahli Jemaah selama ini.
Besarkan Kehebatan Pemimpin
Saya masih ingat pada awal penyertaan jemaah
dahulu, ada usrah yang dipimpin oleh seorang naqib. Pada waktu itu rujukannya ialah
buku Arahan dan Peraturan karangan Hasan
al-Banna. Antara panduan yang disebut oleh naqib ketika itu, “kita dalam jemaah
kena selalu menyebut kebaikan dan kehebatan pemimpin. Di situ nanti kita akan
ada rasa hormat dan patuh kepada pemimpin.” Sebegaimana berlaku kepada pemimpin
bawahan begitulah juga akan berlaku kepada pemimpin atasan.
Atas dasar itulah ustaz Ashaari disebut selalu
oleh naqib (pemimpin) sebagai wali, hebat, boleh nampak kelemahan kita malah dia
tahu niat jahat orang terhadapnya. Ahli biasa apabila mendengar kenyataan itu mereka
akan rasa kagum dan boleh taat kepadanya. Sedangkan kewalian ustaz Ashaari sebenarnya
tidak pernah dibuktikan kesahihannya. Hakikat ini telah disedari sendiri oleh isterinya,
Ummu Jah sekian lama.
Jelas di sini semua ahli arqam yang
mempercayai Ashaari sebagai wali Allah adalah semata-mata propaganda pemimpin
bawahan. Hal ini kerana kehebatannya perlu dibesar-besarkan oleh pemimpin atasan
demi menjaga kedudukan mereka di hati ustaz Ashaari. Tetapi malangnya sehingga
ke hari ini semua ahli Arqam masih mempertahankan kewalian itu walaupun sudah
banyak bukti kepalsuannya didedahkan.
Sebenarnya saya sejak menyertai al-Arqam
lagi sudah dapat menyedari hakikat itu tetapi masih menghormatinya sebagai
pemimpin yang hebat dalam berpidato dan kagum dengan berkemampuannya menghafal
gaya dan isi ceramahnya seolah-olah membaca skrip. Atas kehebatan itu saya cuba
ketepikan kekurangan lain yang ada pada dirinya.
Melihat kepada keterampilan ustaz Ashaari, tentu
wajar dia dibesarkan oleh pengikutnya sebagai pemimpin tarikat. Malah dia
disebut-sebut sebagai guru mursyid. Pengikutnya akan dibimbing agar faham ilmu tasaufnya.
Oleh sebab itu dia dilihat mampu bersifat terpuji, penyabar, pemurah dan banyak
lagi. Dalam mengajar ilmu tasauf dia merujuk kepada kitab Ihya Ulumuddin
dan Sirru Salikin. Selain itu dia sendiri pernah menulis buku Mengenal
Diri Melalui Rasa Hati.
Walaupun dia dikatakan hebat tetapi dia
masih gagal menyingkirkan nafsu ammarah dan syaitan daripada dirinya. Ramai
yang tahu Ashaari sejak muda sehingga nyawanya diambil Allah masih mengekalkan
penyakit waswas. Saya pada mulanya tidak percaya apa yang dilihat tentang ustaz
Ashaari. Sebenarnya sewaktu kursus kefahaman Islam yang pertama kali saya hadir
di Sungai Pencala, solatnya diimamkan imam khas. Kebetulan pada waktu itu saya
berada dua saf di belakang ustaz Ashaari. Saya lihat secara jelas, dia lambat
memulakan solat.
Dalam hati saya terfikir mungkin sebab itu
dia tidak mahu menjadi imam solat. Tatkala semua jemaah memulakan solat, dan
imam telah membaca surah barulah dia dapat memulakan solat. Entah berapa kali
dia mengangkat takbir baru berjaya memulakan solat. Tanpa bertanyakan orang
lain saya terus perhatikan solatnya pada waktu-waktu lain. Ternyata itulah
kebiasaan baginya.
Selain itu dalam kisah yang lain iaitu di
Melaka di rumah kerajaan Bukit Peringgit yang dihuni oleh En Ahmad Salim, kalau
tidak salah saya dia ketika itu pegawai daerah (maaf kalau salah). Kami berada
di situ untuk meraikan pegawai tersebut (dia mula berjinak-jinak dengan Arqam) untuk
berangkat ke tanah suci bagi mengerjakan haji. Sebelum solat Maghrib, Ashaari
mendekati saya dan bertanyakan suatu hukum (saya lupa persoalan itu), “ustaz
kalau berlaku begini sah tak?” setelah saya menyatakan kepadanya – sah, dia
berkata, “saya waswas tadi.” Tetapi pada waktu itu saya rasakan seperti sedang
diuji oleh guru mursyid.
Apabila sudah lama berada dalam jemaah,
timbul juga persoalan, wajarkah seorang pemimpin tasauf diganggu nafsu dan
syaitan. Benar, Rasulullah juga diganggu syaitan dan iblis, tetapi kalau
diganggu dalam soal di atas adalah satu keaiban. Tentu lebih memalukan dan mengaifkan
kalau pemimpin kerohanian waswas dalam ibadah. Kenapa Allah tidak bantu
menyelamatkan orang-Nya
Sebagai pengikut saya bersimpati dengan
keadaannya. Namun kerana itu saya pernah berdoa kepada Allah begini, “ya Allah
kalau ustaz Ashaari pemimpin yang benar, Engkau buangkan penyakit waswasnya dan
pindahkan kepadaku kerana aku tahu cara merawatnya.”
Lebih 10 tahun saya bersama perjuangan
Arqam demi memberi ilmu kepada penuntut dan pengikut Arqam. Namun pada saat
akhir saya meninggalkan Arqam, saya masih menunggu kalau-kalau penyakit waswas
Ashaari itu berpindah kepada saya. Tetapi ternyata dia masih menebal dengan
waswasnya. Ini memberi jawapan awal bahawa ustaz Ashaari bukanlah pemimpin yang
benar.
Dengan sebab itu saya merasai tidak rugi kalau
saya meninggalkan Arqam pada tahun 1997 itu. Sebenarnya tindakan ini turut disokong
oleh banyak fakta dan sebab yang kebanyakannya melibat keyakinan terhadap
al-Mahdi dan kerohanian. Satu perkara yang kuat mendorong saya ialah kenyataan
yang mencabar minta kita.
Kalau anda perasan dalam buku Perang Teluk Islam Akan Kembali Gemilang
dia dengan tegas menulis: “Kalau masih mahu marah kepada saya, tunggu dulu 7
tahun untuk dapat jawapannya. Selepas berakhir 7 tahun, dan sekiranya apa yang
saya katakan ini tidak terjadi, terpulanglah kepada saudara-saudari untuk
menghukum saya. Walau bagaimanapun saya minta jangan marah dahulu. Bersabarlah
menunggu hingga sampai 7 tahun dari sekarang (1991). Tapi bagi saya,
kemungkinan lebih awal dari itu. Mungkin tidak sampai saudara-saudari menunggu
7 tahun. Mungkin dia muncul lebih awal
dari itu. Inilah firasat saya.” (muka surat 121)
Mengikut perkiraan saya, Muharam tahun yang
dimaksudkan itu sudah berlalu. Memang setiap tahun saya menunggu Muharam yang
dijanjikan. Maka Muharam kali tidak boleh ditunggu lagi, apatah lagi dia sudah
mencabar pembaca dan pengikut supaya menghukumnya. Idea ini telah saya
sampaikan kepada kawan-kawan seperjuangan tetapi sebahagian mereka boleh terima
namun mereka tidak sanggup untuk meninggalkan Arqam.
Kursus Pemulihan Aqidah
Sebelum itu saya telah dipilih untuk menghadiri
Kursus Pemulihan Akidah anjuran Pusat Islam Bahagian Akidah sebaik sahaja operasi
ISA kedua yang melibatkan beberapa pemimpin besar pada awal 1997. Saya dan
beberapa orang staf terpaksa pergi atas pemilihan majikan kami ketika itu Karya-One
Sdn Bhd. Dalam kursus itu saya dikejutkan dengan maklumat daripada pegawai polis
cawangan khas bahawa salah seorang yang menjadi perantara dalam yaqazah ustaz
Ashaari dengan Rasulullah ialah Azura, isteri Nasiruddin pemandu merangkap
setiausaha Ashaari.
Sebenarnya saya pernah mendengar nama
wanita itu disebut semasa berada di Phuket Thailand tetapi tidak bagitu memahami
peranannya sehinggalah diberitahu pada malam kursus tersebut. Walaupun semasa
XPDC dalam bas bersama ustaz Ashaari itu, pernah dibacakan dialog dia dengan Rasulullah,
tetapi kami tidak tahu bagaimana dialog itu terhasil.
Timbul dalam fikiran saya, mengapa ustaz
Ashaari boleh memilih wanita dalam soal ini sedangkan selama ini dia melarang
kita mempercayai wanita dalam soal kerohanian. Memang ada sebelum itu beberapa
wanita mengakui dapat alamat kerohanian tetapi semuanya ditolak. Adakah demikian
itu kerana terselit kepentingan diri lalu dia memilih wanita tersebut untuk urusan
yaqazah?
Sehubungan itu, saya difahamkan bahawa
Azura itu telah dilatih oleh Haji Halim Abbas dalam soal kerohanian. Ada
beberapa amalan ayat dan doa dibekalkan kepada mereka untuk membolehkan mereka
ghaib atau menerokai alam ghaib. Apabila amalannya dilihat mampu memperoleh apa
yang dihajatkan, maka namanya ditawarkan kepada Ashaari. Di sinilah bermulanya
peranan Azura dalam isu yaqazah.
Dalam kursus itu kami diberitahu bahawa
Ashaari banyak berhubung dengan Azura untuk mengetahui maklumat ghaib dan
kerohanian termasuk berhubung dengan politik negara. Apabila diperlukan maka Azura
akan dipanggil terutama pada waktu orang lain tidur. Saya ketika dimakulumkan
begitu, tidak boleh membayangkan bagaimana Ashaari boleh berhadapan dengan
Azura kerana setahu kami waktu majlis itu berjalan tidak ada orang yang boleh bersamanya.
Segala maklumat yang diceritakan itu saya
boleh terima sebagai benar kerana maklumat tersebut dimaklumkan sendiri oleh
Azura dalam sesi siasatan polis. Pada saya, apa guna Azura hendak menipu polis
sedangkan perkara itu boleh memalukan dirinya sendiri, apatah lagi semua maklumat
itu akan menjadi bahan bukti kalau dibawa ke mahkamah.
Mulai saat itu saya mulai curiga dengan ustaz
Ashaari kerana pada saya kalaupun maklumat itu salah, semata-mata direka oleh
polis, namun isu Azura sebagai perantara itu cukup untuk saya menolak ustaz Ashaari.
Pada saya Azura adalah umpan syaitan yang berjaya menjahanamkan Ashaari.
Bagaimana seorang pejuang Islam yang setiap hari bercakap pasal Iman dan takwa
boleh dibodohkan oleh syaitan yang bertopengkan manusia.
Sebenarnya selama ini ketika saya
diceritakan soal yaqazah oleh Ashaari akan saya bayangkan dan kaitkan dengan
peristiwa isra’ dan mikraj. Saya dapat bayangkan bagaimana Rasulullah boleh
bergerak pantas dari Makkah ke Masjidil-Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha
dengan jasadnya yang wujud, bukan sekadar mimpi. Bagitu jugalah yang saya boleh
bayangkan kalau Ashaari beryaqazah dengan Rasulullah. Rasulullah datang dan
duduk di hadapan Ashaari, bersalam dan berbual mesra. Kemudian Rasulullah
menghilang apabila selesai isu yang dibincangkan.
Selalu juga ahli jemaah bertanya saya
bagaimana bentuk yaqazah itu. Bagi memudahkan mereka faham saya katakan kepada
mereka, “kita biasa tonton TV siaran langsung, kita boleh berbual dengan
pengacara TV secara live malah boleh nampak wajahnya. Walaupun jaraknya jauh
tetapi kita boleh melihat dan berbual dengannya. Itulah hakikat yaqazah.
Tetapi apabila yaqazah Ashaari dengan Azura
itu didedahkan oleh polis, ternyata di situlah kesesatan sebenar ustaz Ashaari.
Dia sanggup menipu pengikutnya atas nama Rasulullah demi mengharapkan ketaatan
pengikut kepadanya. Apabila segala yang saya bayangkan tentang yaqazah langsung
tidak berkaitan maka saya dengan rela hati pada hari itu menolak Ashaari dan
perjuangannya.
Pada malam pededahan itu saya tidak boleh
tidur dan pada masa yang saya teringat segala yang pernah dilalui dalam Jemaah
bersama Ashaari. Yang paling sukar dilupai semasa saya bersama ahli jemaah yang
lain bertemu Ashaari di Phuket Thailand, masing-masing pemimpin membawa laporan
membanggakan kononnya Rakyat Malaysia menunggu daulat.
Saya tiada laporan tetapi sangat berhajat
untuk bertemu secara empat mata dengan Ashaari, namun tidak berkesempatan. Ada
protokol yang perlu dipatuhi jika mahu bertemunya. Sebenarnya saya ingin
memberitahunya perkembangan terkini di perkampungan Sungai Pencala. Pada waktu
itu berlaku krisis dalaman yang menghantui pengikut Arqam. Saya sedar, ustaz
Ashaari tidak tahun keadaan sebenar kerana maklumat itu tidak disampaikan
kecuali yang baik-baik sahaja.
Peristiwa ini apabila dikaitkan dengan
kursus yang dihadiri itu, membuatkan saya berfikir, kalau Ashaari wali Allah, tentu
dia tahu segala yang tersembunyi, tetapi mengapa pembohongan pemimpin
bawahannya tidak dapat dikesan olehnya? Kalau begitu jelaslah Ashaari bukan wali
Allah dan dia tidak tahu segala yang terlindung daripadanya.
Daripada maklumat kursus itu saya cuba kumpulkan
segala ajarannya dan cuba menilai secara sedar mana yang selari dengan syariat
dan mana yang melanggar syariat. Berikut saya temui beberapa amalan yang
melanggar syariat:
Akidah
- Mengaku berdialog dengan Rasulullah padahal
skrip dialog itu sudah disediakan dalam majlis yang didakwa beryaqazah.
Walaupun dialog itu disediakan oleh orang lain dia sebagai pemimpin patut sedar
bahawa Rasulullah tidak mungkin akan mengulas soal politik negara. Dia juga
harus sedar bahawa komen Rasulullah (kalau benar berlaku) tidak wajar
diceritakan kepada umum kerana maklumat itu menjadi rahsia yang tidak boleh sewenang-wenangnya
didedahkan.
- Berbohong atas nama Rasulullah padahal apa yang
didakwa itu bukan daripada Rasulullah. Umum mengetahui dia bercakap terus
dengan Rasulullah tetapi sebenarnya dengan menggunakan perantaraan orang lain.
Inilah penipuan yang nyata.
- Mengaku sebagai pemuda bani tamim padahal dia
bukan keturunan Arab. Mengaku sebagai keturunan Arab dan pemuda bani tamim
semata-mata untuk menyokong pandangannya mengenai al-Mahdi adalah keterlaluan.
- Mendakwa Allah akan menangguhkan bala kerana doanya.
Padahal Allah tidak akan menangguhkan qada dan qadar terhadap makhluknya. Allah
tidak bertindak sesuatu kerana terpengaruh dengan seseorang manusia.
Fiqah
- Sentiasa boleh melakukan solat jamak kerana dia
dan pengikutnya hakikatnya dalam musafir, lalu kerana itu dia tidak pernah
melakukan solat Jumaat. Dia bergerak setiap hari sebagai helah untuk
membolehkan solatnya dijamak dan qasar.
- Solat subuh pada hari Jumaat tidak disunatkan
membaca surah al-Sajadah kerana nanti di dalamnya akan berlaku penambahan
sujud/rukun, boleh membatalkan solat. Ashaari menegaskan hukum itu di Phuket
Thailand dalam kuliahnya. Sheikh Hussen satu hari menelefon saya daripada Thailand
bertanyakan saya mengenai hukum baca surah sejadah pada hari Jumaat Subuh.
Apabila saya berkata sunat, dia segera berkata, tidak. Apabila saya mendesak
agar memberitahu siapa yang membuat kenyataan itu dia akhirnya memberitahu,
Abuya sendiri. Padahal sunnah ini dinyatakan secara jelas oleh Rasulullah.
- Cara sujud yang seperti menerap ke lantai
kerana mendakwa itulah sujud panjang yang diajar Rasulullah. Arahan sujud
seperti itu datangnya daripada ustaz Ashaari semasa di Phuket. Saya teringat semasa
berada di sana beberapa hari, diceritakan kepada saya bahawa cara sujud ini
diperoleh dalam yaqazah Ashaari dengan Rasulullah. Apabila ditanya bagaimana
berlaku yaqazah itu, dia menjawab waktu yaqazah itu Abuya bertanya Rasulullah
cara sujud panjang. Tetapi waktu itu tidak seorang pun boleh berada bersama
Abuya. Katanya lagi, dia boleh mendengar dari sebelah tabir Abuya seperti bercakap
seorang diri. Cerita itu kemudiannya saya padankan dengan apa yang diperoleh daripada
kursus pemulihan akidah. Jadi saya simpulkan begini; Ashaari bertanya,
bagaimana yang dimaksudkan dengan sujud panjang? Azura sebagai perantara yang
bercakap bagi pihak Rasulullah berkata, sujud panjang itu seperti ini (dia menggayakan
sujud seperti merangkak). Anda tentu boleh bayangkan apa yang Ashaari lihat
pada waktu itu. Bukankah Azura memakai jubah hitam? Bolehkah dia nampak bentuk
sujud itu?
Tasauf
- Menipu pengikut dalam amalan tarikat yang hakikatnya telah rosak
salsilahnya. Ashaari mendakwa mendapat Ijazah Aurad Muhammadiah daripada Pakciknya Lebai Ibrahmi, tetapi sebenarnya mendapat ijazah daripad Kiyia Ahmad tetapi kemudiannya dibatalkan oleh Kiyai Ahmad. Untuk meneruskannya dia ke Singapura dan mendapat ijazah daripada Taha Suhaimi dengan bersyarat. Namun dia melanggar syarat itu, lalu terbatal secara automati. Tetapi dia tetap meneruskan usaha mengijazahkan kepada pengikutnya, malah
kemudiannya diwakilkan kepada pemimpin terpilih untuk memberi ijazah. Oleh
sebab itu salsilah tarikat itu hakikatnya sudah terputus.
- Menipu pengikut dalam soal yaqazah seperti yang dijelaskan di
atas.
- Menggunakan nama nabi untuk kepentingan diri. Dia tahu dia tidak
ada kekuatan untuk mempengaruhi pengikut, maka kalau dikaitkan arahan itu datang
daripada nabi, maka pengikut tidak ada alasan untuk menolaknya.
- Ghurur dengan syaitan sedangkan dia mengajar kita agar tidak
ghurur. Ilmu yang diajar kepada pengikut tidak menjadi pakaiannya sebaliknya
apa yang dilarang turut dimiliknya.
- Gagal mencegah kemungkaran dalam keluarga dan jemaah.
Dalam Islam kalau ada satu sahaja kesalahan
dalam akidah, sebaik manapun syariah dan tasauf mereka, Allah tidak terima.
Apatah lagi kalau dalam syariah dan tasauf juga terdapat kesalahannya. Oleh sebab
itu mana-mana pengikut tegar wajar membuat perubahan bagi menyelamatkan iman
masing-masing. Cukup-cukuplah kita ditipu.