Ahmad Baei Jaafar
Walaupun orang Melayu sudah lama beragama Islam tetapi ramai juga yang masih keliru dalam soal agama. Tidak kurang juga yang memandai bercakap soal agama berdasarkan pembacaannya. Kadang-kadang apa yang difahami secara itu cuba berhujah dengan orang yang mahir tentang agama. Lebih malang lagi, mereka menganggap orang itu salah.
Saya dalam ruang yang sempit ini cuba memberi pencerahan dalam beberapa isu insya-Allah, moga-moga selepas ini tidak ada yang terus keliru. Untuk kali ini saya hendak perjelaskan tentang istilah Islam dan beriman. Istilah ini pada saya banyak mempengaruhi perselisihan ummah yang hidup pada hari ini.
Islam (orang Islam) lawannya kafir. Orang Islam bererti orang menyerah diri kepada Allah dan hukumnya. Manakala kafir bererti orang menentang Allah dan hukumnya.
Maknanya selagi kita tidak menentang Allah dan hukumnya tidak perlu kita bimbang, kerana status kita masih Islam atau akur dengan Islam dan hukumnya.
Oleh sebab itu orang bukan Islam tidak boleh kita katakan mereka kafir selagi mereka akur dengan Islam dan hukumnya. Sebab itu dalam istilah yang manis mereka disebut sebagai kafir zimmi iaitu orang kafir yang dilindungi oleh Islam dan undang-undangnya.
Mukmin atau orang yang beriman lawannya Musyrik. Mukmin ialah orang yang beriman kepada Allah dan semua rukun Iman. Manakala orang musyrik ialah orang yang menduakan Allah. Situasinya dalam percayakan Allah dia percaya juga kepada benda lain setanding dengan kuasa Allah. Maknanya orang musyrik tidak semestinya orang bukan Islam. Orang Islam juga boleh jadi musyrik.
Jelas di sini kalau Allah dan rasul menyebut "kamu tidak beriman" bukan bermakna kamu kafir. Jadi, orang yang tidak beriman menjadi mukmin asy atau mukmin yang derhaka. Anda ada peluang untuk bertaubat. Tetapi kalau anda dalam kategori mensyirikkan Allah dan sedar telah musyrik segeralah kepada syahadah yang baru.
Saya harap selepas ini tidak ada yang fobia dengan istilah ini. Jangan keliru, sehingga menganggap orang yang tidak beriman itu sebagai orang kafir. Ingatlah peringatan Allah itu supaya kita segera bertaubat. Sesungguhnya taubat itu untuk orang beriman yang berdosa. Ya, sememangnya kita selalu buat dosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan