Ahmad Baei Jaafar
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Ada dua golongan manusia, bila mereka baik, orang lain menjadi baik, bila mereka rosak orang lain menjadi rosak: ulama dan umara.” (Riwayat Abu Na’im)
Siapa ulama? Mereka adalah ahli ilmu dan beramal dengan ilmunya. Maka cerdik pandai agama yang boleh buat kuliah di masjid atau seumpama, tak perlulah diulamakan mereka. Hal ini kerana mereka kadang-kadang tidak amalpun apa mereka ajar kepada orang ramai.
Siapa pula umara? Mereka adalah ketua masyarakat sama ada imam solat sehinggalah presiden sesebuah negara. Dalam istilah kita ialah pemimpin. Maka siapapun anda kalau sedang memimpin satu kumpulan atau masyarakat adalah umara.
Hadis di atas apabila dirujuk kepada definasi di atas, jelas kedua-dua golongan ini perlu bergandingan di dalam masyarakat sama ada scala kecil atau besar. Gabungan dua tenaga tersebut boleh menjadikan masyarakat atau rakyat sebagai baik dan sempurna. Sebaliknya perpecahan atau pergeseran mereka akan membawa perpecahan masyarakat atau rakyat.
Sebenarnya hadis di atas menjadi dalil kepada pentingnya wujud sebuah kepimpinan ulama dalam sesebuah negara dan lain-lain. Tetapi apa yang anda faham dengan "kepimpinan ulama"? Adakah ulama mesti jadi pemimpin?
Berdasarkan hadis di atas, ulama dan umara adalah intiti yang berbeza. Maknanya umara di satu pihak dan ulama berada satu pihak yang lain. Tetapi antara mereka saling berhubung dan bergandingan dalam membangunkan kerajaan.
Supaya lebih jelas perhatikan apa yang saya gambarkan di sini sebagai contoh:
Perdana Menteri terdiri daripada tokoh politik yang hebat, Baik dalam merancang dan menguruskan negara. Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri diperhatikan oleh ulama sama ada mufti atau jawatan kuasa ulama sama ada secara dekat atau jauh. Maka sebagai Perdana Menteri sebelum melaksanakan sesuatu dia sebaiknya mendapat perkenan ulama terlebih dahulu. Atau dalam pengurusan negara, tiba-tiba ulama mendapat ada yang lari daripada dasar hukum Allah, maka mereka perlu menasihati perdana menteri atau membaiki kesalahan itu.
Jadi, Perdana Menteri tiada pilihan lain melainkan mengikut kehendak ulama. Sebenarnya kaedah ini turut terpakai kepada semua umara walaupun perdana menteri tersebut sudah dalam kalangan ulama. Dia juga perlu akur dengan nasihat ulama yang dilantik.
Inilah kaedah yang diamalkan oleh khalifah-khalifah sebelum ini, Ada sahabat lain yang bersedia menegur mereka. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan