Ahmad Baei Jaafar
Berapa ramai orang berniat apabila berkahwin? Berapa
ramai pula yang berniat sesuatu yang baik dan yang sesuai dengan Islam? Apakah
mereka tahu bahawa niat penting apabila memutuskan hendak berkahwin?
Ramai yang tidak sedar kepentingan niat dalam mendirikan
rumah tangga. Sebab itulah apabila ditanyakan apa niat anda untuk berkahwin,
baru mereka tercari-cari akan jawapannya. Ada yang tidak tahu hendak menjawab
kerana terdapat perkara tertentu yang mahu dirahsiakan. Atau mungkin mereka
malu untuk menyatakan niat mereka, atau mungkin juga kerana tiada niat
langsung.
Namun niat yang lazimnya diberikan ialah berkahwin untuk
mendirikan rumah tangga, dan ada juga yang berkata, ikut sunnah Nabi. Tidak
kurang juga menjawab hendak merasai hidup berkeluarga. Apakah niat-niat
seumpama ini boleh diterima sebagai niat baik atau sesuai dengan kehendak
Islam?
Niat penting dalam melakukan segala urusan terutama
ibadah kepada Allah berdasarkan hadis:
“Sesungguhnya setiap amalan ada niatnya, setiap seorang
dinilai mengikut niatnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis masyhur ini bukan hanya khusus untuk amal ibadah
sahaja, tetapi turut melibatkan amalan atau pekerjaan yang melibatkan orang
Islam.
Jadi, pasangan yang hendak berkahwin perlu ada niat, dan
niat itu nantilah yang akan direalisasikan oleh mereka sepanjang kehidupan
berumah tangga. Kalau baik niat mereka maka itulah yang akan mereka kecapi.
Sekiranya tidak, tentulah kecundang padahnya pada pertengahan jalan. Apatah
lagi kalau mereka menyimpan niat yang tidak ikhlas, maka kewujudan rumah tangga
yang diibaratkan sebagai syurga itu tidak akan menjadi kenyataan.
Niat yang Syarie
Sebenarnya niat seseorang lelaki tidak sama dengan niat
seorang perempuan dalam soal kahwin. Memang naluri dua insan ini tidak sama
sampai bila-bila, namun ia akan saling lengkap melengkapi setelah berkahwin. Malah
niat itu akan menjadikan mereka lebih bahagia apabila saling mengetahui niat hati
masing-masing.
Antara niat yang syarie ialah lelaki akan berniat untuk
menjadi suami soleh dan memiliki isteri solehah dan bertekad untuk saling
menyayangi. Niat ini amat baik, tetapi berdasarkan pengalaman saya jarang
bertemu dengan lelaki seumpama ini.
Bagi perempuan pula, mereka boleh berniat untuk menjadi
isteri yang taat dan memiliki suami yang boleh membimbing ke jalan yang diredai
Allah. Niat sebegini amat baik dan wajar dimiliki seorang isteri. Tetapi sampai
saat ini pun saya belum ada mendengar seorang wanita berniat sebaik ini.
Apa yang pernah saya dengar ialah, “Saya hendak berkahwin
kerana cintakan dia.” “Saya mahu kahwin kerana sudah lama kenal dan percaya
kebaikannya.” Dan tidak kurang juga yang berniat untuk berkahwin kerana sudah
terlanjur. Saya percaya kecelaruan kehidupan umat Islam pada hari ini terutama
dalam mengatur rumah tangga adalah berpunca daripada niat yang tidak sesuai
malah bercanggah dengan Islam. Oleh sebab itu Allah tidak menerima niat mereka.
Niat Terbaik
Setelah melihat niat-niat di atas, suka saya mencadangkan
kepada kaum lelaki satu niat yang pada saya amat relevan pada zaman ini. Niat
itu berbunyi, “Aku hendak berkahwin untuk mendapatkan sesuatu yang halal yang
tanpanya (kahwin) tidak akan kuperolehi.”
Tanpa berkahwin kita boleh dapat banyak perkara yang
halal. Kita boleh makan makanan halal semahunya dengan membayar harganya di
restoran. Kita juga boleh pakai pakaian halal lagi cantik dengan membelinya di
butik. Dan banyak lagi yang boleh kita dapat secara halal tanpa perlu berkahwin.
Tetapi bolehkah anda memegang wanita apatah lagi
menidurinya dengan pergi ke kedai, bayar dan guna? Ya, boleh tetapi yang itu
tidak halal. Maka untuk mendapat yang halal perlulah berkahwin. Inilah yang saya
maksudkan dan anda harus berniat begitu.
Percayalah, waktu anda berniat begitu, Allah campakkan keyakinan
isteri kepada anda bahawa suaminya tidak mungkin akan mencari yang haram. Dia
yakin suami ini tidak akan mencari peluang daripada perempuan murahan. Lainlah jika
anda berniat secara tidak ikhlas, maka isteri akan meragui setiap tindakan
suaminya.
Berbeza dengan kaum perempuan, niat mereka adalah supaya
mendapat pembelaan daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Inilah niat
terbaik yang seharusnya diungkapkan oleh para isteri. Kenapa? Lelaki memang ramai,
tetapi bolehkah seseorang wanita yang tanpa berkahwin mengharapkan pembelaan daripada
lelaki? Lazimnya harapkan pagar, pagar makan padi.
Jika seseorang perempuan itu berniat, “Aku hendak berkahwin
untuk mendapatkan pembelaan daripada seorang lelaki yang bergelar suami,”
tentulah isteri itu memberi kepercayaan kepada suaminya. Dan pastinya dia tidak
akan menyerahkan hak pembelaan kepada orang lain selain suaminya.
Dengan niat isteri yang sebegitu, Allah campakkan ke
dalam hati suaminya bahawa isterinya telah memberi kepercayaan kepadanya.
Dengan itu suami akan memberi perhatian kepada isterinya dalam semua keadaan.
Dan yang paling penting suaminya akan sentiasa memberi perlindungan dan akan
sentiasa membela kehidupannya.
Saya yakin pasangan yang sudah berniat seperti di atas dengan
ikhlas, mereka akan mendapatkan apa yang diniatkan. Allah tentu tahu apa yang
diniatkan mereka, maka dengan sebab itu pasangan itu akan mendapat kebahagiaan
selama-lamanya.
Kasih Sayang Terbina
Apabila suami isteri telah berniat seperti yang
dianjurkan di atas akan terbinalah ikatan kasih sayang sebenar. Allah akan
campakkan ke dalam hati masing-masing perasaan “mawaddah warahmah” iaitu
kasih sayang sejati. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum
lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan
kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah
ar-Rum 30: 21)
Ayat “daripada jenis kamu sendiri” merujuk kepada ayat “min
amfusikum” bukan sahaja pada unsur-unsur fizikal, tetapi juga melibatkan
rohani iaitu niat. Niat isteri seperti yang dicadangkan di atas itulah yang
menepati kehendak naluri suami. Ini kerana suami mahu mereka dihargai sebagai
pemimpin dan pembela walaupun dia seorang cacat.
Sebenarnya, suami yang mendapat kepercayaan isteri akan menjadi
seorang yang bertanggungjawab dan perkara itulah yang boleh mencernakan kasih
sayang yang sejati. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh berubah apabila isteri
secara fizikal atau rohaninya meragui suami lalu enggan memenuhi kehendak
suami. Padahal si suami tetap mahu bermanja dengan isterinya.
Suami dalam keadaan apa pun tetap akan sayang kepada
isterinya, dan itu fitrah. Ini kerana perkahwinannya pada awal-awal lagi diniatkan
untuk mendapat yang halal. Tentu mustahil dia mencari yang haram selepas itu
atau dengan sengaja melakukan perbuatan dosa. Sebab itu walau dalam keadaan terdesak
sekalipun, seorang suami sukar untuk melafazkan cerai jika diminta oleh
isterinya.
Keadaan ini berbeza dengan isteri kerana lazimnya isteri
berkahwin berasaskan cinta kepada suami. Sedangkan kecintaan seseorang akan
berkurangan apatah lagi jika sudah tertanam di dalam hatinya sangka buruk terhadap
suami. Inilah yang sering terjadi dalam kehidupan rumah tangga.
Ibu Bapa Penyelamat
Selain niat suami isteri, ibu bapa mempunyai peranan yang
besar dalam merealisasikan kehidupan rumah tangga anak-anak mereka. Walaupun
anak-anak sudah dilepaskan dengan tanggungjawab mereka sendiri, tetapi ibu dan
bapa masih ada hak memantau pergerakan anak mereka dari jauh.
Apabila didapati kehidupan anak dan menantu tidak begitu
ceria, janganlah mengambil sikap “biar mereka selesaikan sendiri”. Sebaliknya
pada peringkat awal lagi ibu bapa perlu bertanyakan keadaan anak masing-masing.
Bantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan segera dengan
memberikan kata-kata nasihat dan panduan berguna. Tetapi perlu diingatkan,
jangan sesekali salahkan menantu dalam apa jua keadaan.
Sentuhan ibu bapa dalam keluarga anak-anak mereka boleh
menjadikan hubungan suami isteri lebih murni. Tetapi ia perlu dibezakan dengan bentuk
campur tangan yang boleh meruntuhkan. Jangan sampai masalah yang timbul amat
sedikit, tetapi dengan campur tangan ibu bapa, isu kecil menjadi besar.
Oleh sebab itu ibu bapa juga perlu ada niat yang baik apabila
mengahwinkan anaknya di samping niat anak itu sendiri. Begitu juga, niat ibu
bapa melepaskan anak perempuannya kepada suaminya juga mesti ikhlas, jangan ada
udang di sebalik batu. Ramuan inilah yang menjadikan kehidupan anak dan menantu
sentiasa ceria dan bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan