24 Mac 2012

Semoga perginya diterima taubat


Ahmad Baei Jaafar

“Abang , kakak ada kat rumah tak hari ini, ana nak bawa kak Behah?” tanya Sofiah dalam suara yang tidak begitu lancar melalui telefon.
Anak sulungnya tabah menerima keamtian ibunya
“Ada selepas zohor, datanglah. Sofiah sihat ke, suara macam tak teruih (macam orang kena strok),” tanya saya.
“Takpa, nak balik ziarah mak (mak mentua) lepas itu pergi rumah abang Ei,” jawabnya.
Dalam hati saya terdetik rasa yang kurang selesa, namun didoakan semoga dia selamat berjumpa emak dan kakak, boleh bermesra dan bermohon maaf kerana lama tak jumpa.
Lebih kurang jam lima, Jamal, suaminya telefon memberitahu yang Sofiah terjatuh kat bilik air di rumahnya selepas balik ziarah tadi. Saya mula bimbang dan minta dia bersabar dan berdoa.
“Setiap jiwa yang hidup pasti menemui mati” demikian firman Allah yang tidak boleh dinafikan oleh manusia. Sudah banyak kali kita lihat orang yang hidup pergi meninggalkan kita buat selama-lamnya. Malah kadang-kadang orang muda lebih dahulu pergi daripada orang tua.
Ya tanggal 14 Mac 2012 lalu adik saya Sofiah binti Jaafar telah pergi dahulu menemui Allah pada usia baru 43 tahun setelah jatuh dalam bilik air di rumahnya dekat Sungai Pencala. Dia pergi dalam keadaan suaminya Jamal keluar rumah. Anak kecilnya, Rafiq walaupun berada di rumah tidak menyedari pemergian ibunya. Tetapi dia hanya menyedari setelah masuk bilik air dan dia mendapati ibunya terduduk di situ.
“Inna lillah wainna ilaihi rajiun” semoga dia sempat mengucap dua kalimat syahadat pada waktu nazak itu. Walau bagaimanapun anak saudaranya, Siddat Hamzah membawanya juga ke hospital kalau-kalau masih boleh diselamatkan. Namun kematiannya disahkan doktor berlaku sebelum tibanya di Hospital Sungai Buluh lagi.
Saya yang berada di hospital ketika itu menerima berita kematian itu dengan redha, redha terhadap takdir Allah. Namun saya sedih kerana tidak seorang pun jiran mereka yang menyedari keadaannya sebelum dibawa ke hospital. Lebih menyedihkan, suaminya banyak kali juga menghubungi beberapa orang kuat mereka untuk mendapatkan khidmat urus jenazah, namun semuanya gagal.
Melihat keadaan itu, saya mencadangkan agar dibawa balik ke Puchong sama ada di kampungnya atau di tempat saya di Taman Putra Perdana, Puchong. Akhirnya dia memilih untuk diuruskan di tempat saya kerana kemudahan pengurusan yang disediakan Masjid Putra Perdana.
Anaknya di sebelah kanan turut hadir untuk talqin
Alhamdulillah, 15 Mac 2012 jam 9 pagi urusan mandi dan kafan diuruskan sendiri oleh adik beradik, saya, adik saya ustaz Ahmad Yusuf Jaafar, kakak saya, Sobehah Jaafar dan juga adik-adik ipar (perempuan). Inilah penghormatan terakhir buat adik kami. Semoga dia selesa dengan pengurusan keluarganya sendiri.
Syukur, kawan-kawan adik saya, juga kawan lama saya turut datang meraikan jenazah Sofiah. Boleh tahan ramai juga yang hadir memenuhi surau sekali gus dapat melakukan solat jenazah. Kehadiran mereka telah meramaikan jemaah untuk solat jenazah. Saya percaya mereka ikhlas ziarah dan sudah tentu ikhlas melakukan solat dan ikhlas dalam berdoa.
 Jam 12.00 tengah hari jenazah dapat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Putra Perdana.  Saya ambil kesempatan bagi kali terakhir untuk membaca talqin untuknya sekali gus mengingatkan kawan-kawan yang hadir tentang kehidupan dan kematian. Semoga apa yang berlaku ini boleh menginsafkan semua.
Terima kasih kepada semua kawan-kawan termasuk anak kariah atas sumbangan yang berupa kewangan bagi memudahkan urusan perkebumian ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Nazir masjid, Hassni Ghazali dan semua petugas Badan Khairat Kematian Masjid Putra Perdana yang dapat memudahkan urusan perkebumian.
Adik saya Ahmad Yusuf membaca tahlil setelah selesai talqin
Cuma secara peribadi saya bertanya-tanya juga di mana pemimpin Global Ikhwan waktu itu. Sofiah waktu sihat diusung ke sana sini untuk masak di Restoran mereka, tetapi waktu dia terlantar sakit di rumah siapa yang perduli. Saya tidak tahu, belanja rawatan perubatannya adakah diurus sendiri atau dibantu oleh mereka. Sebagai pekerja mereka ikhlas walaupun pendapatan tidak seberapa. Mereka rela mendapat hasil yang sedikit demi perjuangan untuk pemimpin atasan mereka.
Jadi pada kesempatan ini saya menyeru kepada kawan-kawan yang masih dengan Global Ikhwan agar insafi diri dan kembali kepada hidup berdikari. Marilah kita bina kehidupan dengan bertuhankan Allah yang esa. Contohilah Rasulullah dalam dakwah dan kerja harian. Nanti apabila kita ada pendapatan sendiri kalian boleh mengeluarkan zakat sendiri.

2 ulasan:

Zul Uqul berkata...

Inna lillah wainna ilaihi rajiun

sea_lavender berkata...

Al-Fatihah..
moga roh arwah d tempat dalam kalangan orang yang beriman..
moga smua mengambil ikhtibar terutama pihak yg trlibat.. ikhlas sgala krn Allah