03 Mac 2012

Solat jenazah jangan diswastakan


Ahmad Baei Jaafar

Setelah roh dikeluarkan dari jasad seseorang, kita akan dapati matanya terbuka seperti melihat sesuatu di atas kepalanya. Menurut satu riwayat katanya, orang yang baru meninggal dunia itu sedang memerhatikan rohnya yang keluar untuk menuju ke alam barzakh.
Dalam keadaan itu, mana-mana waris yang berada di sisinya ketika itu perlulah menutupkan kelopak matanya dengan segera. Setelah itu, warisnya hendaklah mengikat kepala hingga ke dagu bagi mengelak daripada mulutnya terbuka.
Itulah sunah yang sepatutnya kita lakukan setiap kali berlaku kematian seseorang Islam. Tetapi, kebanyakan umat Islam pada akhir-akhir ini dilihat amat jahil mengenai pengurusan jenazah. Maka apabila berlaku kematian dalam rumah mereka, tidak tahu untuk bertindak. Sebaliknya segera memanggil iman masjid minta diuruskan hal-hal yang berkaitan jenazah.
Pernah sekali saya ke sebuah rumah untuk ziarah jenazah yang baru meninggal dunia selepas Subuh. Agak menyedihkan setibanya di rumah itu, didatapi jenzah tersebut terbeliak matanya dan mulutnya terbuka. Bukan itu sahaja, kedudukan jenazah itu juga tidak mengadap qiblat. Menyedari keadaan ini, isu ini perlu dibincangkan secara lebih jelas pada keluaran kali ini, semoga semua umat Islam mendapat ilmu pengetahuan yang jelas.

Urus jenazah
Selain urutan kelopak mata dan membetulkan kedudukan jenazah mengadap ke arah kiblat, waris si mati perlu mengenakan minyak pada sendi tangan dan kaki termasuk lutut supaya keadaannya lembut dan boleh gerakkan semasa mandi nanti. Tangan perlu dilembutkan supaya dapat dilipatkan seperti kiam waktu solat. Setelah itu tutupkan jenazah dari hujung kaki hingga ke kepala.
Boleh juga pada waktu menunggu urusan persiapan mandi dan kapan selesai, sanak saudara dan yang hadir membaca surah Yaasin. Daripada mereka bercakap perkara yang lagha, lebih mereka membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya surah Yaasin. Malah sementara bilal menyiapkan peralatan dan persiapan untuk memandikan jenazah dan mengapannya, orang ramai yang berada di luar rumah tidak dibenarkan bercakap hal-hal dunia. Sebaliknya ada kumpulan yang membaca tahlil.
Pedulikan tuduhan liar sesetengah pihak yang menolak amalan itu dengan dakwaan bidaah. Percayalah semua itu masih relevan dan tidak bercanggah dengan Islam apatah lagi boleh menggantikan ucapan sia-sia. Cuma pada kesempatan ini suka saya mengambil perhatian tentang satu amalan sunnah yang lazimnya diabaikan umat Islam pada waktu ini.
Kalau anda pernah berada dalam tahun sebelum 70-an, biasanya orang Melayu semasa menunggu jenazah pada malam hari dan siangnya mereka dihidangkan dengan air kopi dan biskut oleh tuan rumah. Malah anak-anak muda disediakan rokok untuk membolehkan mereka berjaga sepanjang malam. Tetapi selepas tahun 70-an didapati sebaliknya. Kebanyakan rumah jenazah tidak disediakan lagi sebarang jenis makan dan minuman apatah lagi rokok.
Perkembangan ini amat baik sebagai menghormati jenazah. Tetapi apakah rasionalnya perubahan ini? Mengapa sampai mereka tidak boleh makan termasuk waris si mati? Adakah Islam melarang orang yang berjaga daripada makan dan minum. Sedangkan makan dan minum itulah yang memberi tenaga kepada mereka?

Islam tidak pernah melarang
Sebenarnya dalam Islam, tidak salah makan waktu jenazah masih di rumah. Tidak nas yang melarang orang ramai makan. Tetapi yang dilarang ialah bercakap perkara sia-sia apatah lagi bergurau senda. Inilah rasionalnya kerana lazimnya waktu maka mereka bergurau dan bercakap perkara yang sia-sia.
Dalam Islam, menyediakan makanan dan minuman menjadi tanggungjawab jiran sama ada dengan menggunakan wang jiran itu atau orang ramai. Ertinya mereka masak di rumah jiran dan membawa makanan itu ke rumah si mati dan mengajak waris makan. Mereka perlu diberi simpati dan penghormatan.
Dan jika makanan itu berlebihan maka bolehlah diberikan kepada tetamu dan petugas bagi menjaga jenazah itu. Inilah budaya Islam yang rasulullah minta umat Islam lakukannya seperti yang berlaku pada keluarga Jaafar.
Daripada Abdillah bin Jaafar katanya sabda Nabi s.a.w: “Buatlah untuk kelurga Jaafar makanan. Sesungguhnya telah datang kepada mereka sesuatu yang menyibukkan mereka. (ditimpa musibah kematian).” (Sunan Abi Daud)
Inilah amalan yang sebaiknya dilakukan oleh umat islam setiap kali berlaku kematian jiran kita. Saya percaya kalau semua jiran prihatian dengan keluarga si mati, mereka tentunya tidak susah hati dan bersedih pada hari itu. Tetapi realiti pada hari ini, waris terpaksa menyediakan makanan untuk tetamu selepas jenazah dikebumikan. Malah seperti wajib dilakukan sehingga hari ke 100.

Solat jenazah
Selepas urusan mandi dan kapan diselesaikan oleh bilal yang dilantik, orang ramai terutama waris si mati wajar bersedia dengan wuduk untuk melakukan solat jenazah. Walaupun solat ini fardu kifayah, sanak saudara si mati tidak seharusnya membiarkan urusan solat ini kepada orang lain. Malah, wanita juga boleh turut serta dalam dalam solat ini.
Solat jenazah tidak susah untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Malah orang yang baru pertama kali hendak melaksanakan solat jenazah juga boleh melakukannya dengan baik. Perhatikan cara solat jenazah berdasarkan rukunnya:
1.    Niat pada takbir pertama; “Aku lakukan solat atas jenazah yang hadir (yang di hadapan) empat takbir kerana Allah Taala)
2.    Berdiri di hadapan jenazah pada jarak yang dekat. Jika lelaki berdiri pada bahunya dan jika wanita pada pinggangnya. Hadis daripada Samurah Ibnu Jundub r.a berkata: “Saya bersolat di belakang nabi s.a.w. untuk jenazah seorang perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi berdiri bertentangan pinggang jenazah  tersebut.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
3.    Empat kali takbir
4.    Membaca al-fatihah selepas takbir pertama
5.    Membaca selawat pada takbir kedua
6.    Membaca doa untuk si mati pada takbir ketiga
7.    Baca doa pada takbir keempat dan 6.    Salam
Solat jenazah ini amat mudah kerana tiada rukuk dan sujud. Hanya dengan berdiri di hadapan jenazah dan cukup dengan empat takbir. Bacaan di dalamnya tidaklah susah kerana sudah biasa dibaca dalam solat biasa. Cuma bacaan doa pada takbir ketiga dan empat boleh tidak dibaca kalau kita tidak tahu. Ikut sahaja apa yang dilakukan imam.

Siapa yang harus solat?
Sebagaimana yang dimaklumi solat jenazah adalah fardu kifayah, maka orang yang utama patut melakukannya ialah waris si mati. Kalau suami meninggal sebagai contoh, maka isteri harus melakukan solat jenazah itu. Selain itu anak-anak sama ada lelaki atau perempuan dan selepas itu tentulah saudara maranya.
Tetapi agak malang pada zaman ini, anak-anak telah menswastakan amalan solat ini kepada imam dan orang kampung. Mereka hanya jadi penonton dari jarak jauh. Jelas mereka takut untuk solat kerana tidak dibiasakan dari awal usianya.
Menyedari keadaan ini, wajarlah ibu bapa membiasakan anak-anak mereka dengan solat jenazah ini. Mereka boleh melatih anak mereka menziarahi orang yang meninggal dunia dan turut melakukan solat jenazah. Begitu juga para ibu boleh mengambil peluang untuk melakukan solat jenazah untuk jenazah wanita.
Sebaiknya waris terdekat menjadi imam bagi solat tersebut. Oleh sebab itu anak sulung lelaki perlu mengambil tempat imam. Janganlah urusan ini diserahkan kepada imam masjid atau orang lain. Ingatlah inilah peluang terakhir bagi waris memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bapanya.
Cuma sebagai imam, sebaiknya tidak melakukan amalan yang tiada asasnya. Antara yang sering kita lihat ialah, iman bertanya kepada jemaah selepas selesai solat tentang keadaan jenazah semasa hidupnya. Masing-masing jemaah menjawab baik. Amalan ini menjadi budaya orang Melayu yang tidak ada asas dalam syariat.
Berkaitan isu ini memang ada hadis yang menyebut, Allah s.w.t. mengikuti persangkaan hambanya. Jadi, eloklah jemaah mengatakan si mati itu “baik”. Semoga dengan itu Allah s.w.t. menggolongkan jenazah itu ke dalam golongan hambanya yang baik-baik. Pernah suatu ketika para sahabat sewaktu melawat jenazah menyebut-nyebut orang yang meninggal dunia itu sebagai orang yang tidak baik. Kemudian datang pula sahabat menyebut-nyebut kebaikan si mati. Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan kata-kata itu, sedangkan sebelumnya baginda diam sahaja.
Jelas di sini sunah yang seharusnya diikuti ialah menceritakan kebaikan si mati itu. Dan ini merujuk kepada orang yang hadiri menziarahi jenazah. Dengan cara ini diharapkan dapat meringankan kesedihan keluarganya. Tetapi wajarkah peristiwa ini direalisasikan dalam bentuk soalan imam kepada orang ramai mengenai keadaan si mati selepas solat itu?
Satu perkara lagi, sebelum jenazah dibawa keluar dari rumah imam akan membaca al-fatihah sebanyak tiga kali dengan setiap kali al-Fatihah digerakkan satu langkah ke hadapan. Selepas fatihah ketiga barulah jenazah itu dibawa berjalan sama ada dengan usungan atau menaiki kenderaan yang dikhaskan. Amalan ini juga tidak ada asasnya daripada Rasululah. Jadi, cukuplah baca Fatihah dan doa sebelum berjalan.


Talqin
Kebiasan di negara kita setelah jenazah dikebumikan dalam liang lahad, dan tanah pun telah diratakan, talqin akan dibacakan. Imam dan semua pengiring jenazah akan berkumpul di sekelilingi kubur. Kononnya talqin dibacakan bagi tujuan mengingatkan roh jenazah sebelum menemui soalan munkar nakir.
Walaupun talqin seperti yang dilakukan hari ini tidak pernah dilakukan oleh rasulullah dan para sahabat, namun amalan ini relevan kerana baginda pernah berintraksi dengan roh si mati sewaktu berjalan di satu kawasan perkuburan. Jadi, hakikat talqin dalam kontek ini adalah berintraksi dengan roh si mati.
Sungguhpun begitu alangkah baiknya kalau talqin pada hari ini diubahsuai sedikit teksnya. Memang baik kita ingatkan roh si mati, tetapi apa salahnya kalau kita perluaskan kepada semua hadirin, serampang dua mata. Orang yang hidup tentu lebih patut diingatkan tentang persoalan munkar nakir. Semoga dengan ingatan itu, mereka juga dapat membuat persiapan awal sebelum mati.
Jelas di sini, umat Islam perlu kembali kepada ajaran dan panduan Islam dalam mengatur hidup. Ingatlah hidup akan berakhir dengan mati, maka kehidupan selepas mati adalah lebih penting kerana kehidupan selepas itu lebih lama malah kekal di sana. Jadi, hidup kita di dunia ini perlulah mengikut panduan Islam.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...