Ahmad Baei Jaafar
Setelah roh
dikeluarkan dari jasad seseorang, kita akan dapati matanya terbuka seperti
melihat sesuatu di atas kepalanya. Menurut satu riwayat katanya, orang yang
baru meninggal dunia itu sedang memerhatikan rohnya yang keluar untuk menuju ke
alam barzakh.
Dalam keadaan itu, mana-mana
waris yang berada di sisinya ketika itu perlulah menutupkan kelopak matanya dengan
segera. Setelah itu, warisnya hendaklah mengikat kepala hingga ke dagu bagi
mengelak daripada mulutnya terbuka.
Itulah sunah yang
sepatutnya kita lakukan setiap kali berlaku kematian seseorang Islam. Tetapi,
kebanyakan umat Islam pada akhir-akhir ini dilihat amat jahil mengenai
pengurusan jenazah. Maka apabila berlaku kematian dalam rumah mereka, tidak
tahu untuk bertindak. Sebaliknya segera memanggil iman masjid minta diuruskan
hal-hal yang berkaitan jenazah.
Pernah sekali saya
ke sebuah rumah untuk ziarah jenazah yang baru meninggal dunia selepas Subuh. Agak
menyedihkan setibanya di rumah itu, didatapi jenzah tersebut terbeliak matanya
dan mulutnya terbuka. Bukan itu sahaja, kedudukan jenazah itu juga tidak
mengadap qiblat. Menyedari keadaan ini, isu ini perlu dibincangkan secara lebih
jelas pada keluaran kali ini, semoga semua umat Islam mendapat ilmu pengetahuan
yang jelas.
Urus jenazah
Selain urutan
kelopak mata dan membetulkan kedudukan jenazah mengadap ke arah kiblat, waris
si mati perlu mengenakan minyak pada sendi tangan dan kaki termasuk lutut supaya
keadaannya lembut dan boleh gerakkan semasa mandi nanti. Tangan perlu
dilembutkan supaya dapat dilipatkan seperti kiam waktu solat. Setelah itu
tutupkan jenazah dari hujung kaki hingga ke kepala.
Boleh juga pada
waktu menunggu urusan persiapan mandi dan kapan selesai, sanak saudara dan yang
hadir membaca surah Yaasin. Daripada mereka bercakap perkara yang lagha, lebih
mereka membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya surah Yaasin. Malah sementara
bilal menyiapkan peralatan dan persiapan untuk memandikan jenazah dan
mengapannya, orang ramai yang berada di luar rumah tidak dibenarkan bercakap
hal-hal dunia. Sebaliknya ada kumpulan yang membaca tahlil.
Pedulikan tuduhan
liar sesetengah pihak yang menolak amalan itu dengan dakwaan bidaah. Percayalah
semua itu masih relevan dan tidak bercanggah dengan Islam apatah lagi boleh
menggantikan ucapan sia-sia. Cuma pada kesempatan ini suka saya mengambil
perhatian tentang satu amalan sunnah yang lazimnya diabaikan umat Islam pada
waktu ini.
Kalau anda pernah
berada dalam tahun sebelum 70-an, biasanya orang Melayu semasa menunggu jenazah
pada malam hari dan siangnya mereka dihidangkan dengan air kopi dan biskut oleh
tuan rumah. Malah anak-anak muda disediakan rokok untuk membolehkan mereka berjaga
sepanjang malam. Tetapi selepas tahun 70-an didapati sebaliknya. Kebanyakan
rumah jenazah tidak disediakan lagi sebarang jenis makan dan minuman apatah
lagi rokok.
Perkembangan ini
amat baik sebagai menghormati jenazah. Tetapi apakah rasionalnya perubahan ini?
Mengapa sampai mereka tidak boleh makan termasuk waris si mati? Adakah Islam
melarang orang yang berjaga daripada makan dan minum. Sedangkan makan dan minum
itulah yang memberi tenaga kepada mereka?
Islam tidak pernah
melarang
Sebenarnya dalam
Islam, tidak salah makan waktu jenazah masih di rumah. Tidak nas yang melarang
orang ramai makan. Tetapi yang dilarang ialah bercakap perkara sia-sia apatah
lagi bergurau senda. Inilah rasionalnya kerana lazimnya waktu maka mereka
bergurau dan bercakap perkara yang sia-sia.
Dalam Islam, menyediakan
makanan dan minuman menjadi tanggungjawab jiran sama ada dengan menggunakan wang
jiran itu atau orang ramai. Ertinya mereka masak di rumah jiran dan membawa makanan
itu ke rumah si mati dan mengajak waris makan. Mereka perlu diberi simpati dan penghormatan.
Dan jika makanan itu
berlebihan maka bolehlah diberikan kepada tetamu dan petugas bagi menjaga
jenazah itu. Inilah budaya Islam yang rasulullah minta umat Islam lakukannya
seperti yang berlaku pada keluarga Jaafar.
Daripada Abdillah bin Jaafar
katanya sabda Nabi s.a.w: “Buatlah untuk kelurga Jaafar
makanan. Sesungguhnya telah datang kepada mereka sesuatu yang
menyibukkan mereka. (ditimpa musibah kematian).” (Sunan Abi Daud)
Inilah amalan yang sebaiknya
dilakukan oleh umat islam setiap kali berlaku kematian jiran kita. Saya percaya
kalau semua jiran prihatian dengan keluarga si mati, mereka tentunya tidak
susah hati dan bersedih pada hari itu. Tetapi realiti pada hari ini, waris
terpaksa menyediakan makanan untuk tetamu selepas jenazah dikebumikan. Malah
seperti wajib dilakukan sehingga hari ke 100.
Solat jenazah
Selepas urusan mandi
dan kapan diselesaikan oleh bilal yang dilantik, orang ramai terutama waris si
mati wajar bersedia dengan wuduk untuk melakukan solat jenazah. Walaupun solat
ini fardu kifayah, sanak saudara si mati tidak seharusnya membiarkan urusan
solat ini kepada orang lain. Malah, wanita juga boleh turut serta dalam dalam
solat ini.
Solat jenazah tidak
susah untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Malah orang yang baru pertama kali
hendak melaksanakan solat jenazah juga boleh melakukannya dengan baik.
Perhatikan cara solat jenazah berdasarkan rukunnya:
1. Niat pada takbir pertama; “Aku lakukan
solat atas jenazah yang hadir (yang di hadapan) empat takbir kerana Allah
Taala)2. Berdiri di hadapan jenazah pada jarak yang dekat. Jika lelaki berdiri pada bahunya dan jika wanita pada pinggangnya. Hadis daripada Samurah Ibnu Jundub r.a berkata: “Saya bersolat di belakang nabi s.a.w. untuk jenazah seorang perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi berdiri bertentangan pinggang jenazah tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
3. Empat kali takbir
4. Membaca al-fatihah selepas takbir pertama
5. Membaca selawat pada takbir kedua
6. Membaca doa untuk si mati pada takbir ketiga
7. Baca doa pada takbir keempat dan
Solat jenazah ini
amat mudah kerana tiada rukuk dan sujud. Hanya dengan berdiri di hadapan
jenazah dan cukup dengan empat takbir. Bacaan di dalamnya tidaklah susah kerana
sudah biasa dibaca dalam solat biasa. Cuma bacaan doa pada takbir ketiga dan
empat boleh tidak dibaca kalau kita tidak tahu. Ikut sahaja apa yang dilakukan
imam.
Siapa yang harus
solat?
Sebagaimana yang
dimaklumi solat jenazah adalah fardu kifayah, maka orang yang utama patut melakukannya
ialah waris si mati. Kalau suami meninggal sebagai contoh, maka isteri harus
melakukan solat jenazah itu. Selain itu anak-anak sama ada lelaki atau
perempuan dan selepas itu tentulah saudara maranya.
Tetapi agak malang
pada zaman ini, anak-anak telah menswastakan amalan solat ini kepada imam dan
orang kampung. Mereka hanya jadi penonton dari jarak jauh. Jelas mereka takut
untuk solat kerana tidak dibiasakan dari awal usianya.
Menyedari keadaan
ini, wajarlah ibu bapa membiasakan anak-anak mereka dengan solat jenazah ini.
Mereka boleh melatih anak mereka menziarahi orang yang meninggal dunia dan
turut melakukan solat jenazah. Begitu juga para ibu boleh mengambil peluang
untuk melakukan solat jenazah untuk jenazah wanita.
Sebaiknya waris
terdekat menjadi imam bagi solat tersebut. Oleh sebab itu anak sulung lelaki
perlu mengambil tempat imam. Janganlah urusan ini diserahkan kepada imam masjid
atau orang lain. Ingatlah inilah peluang terakhir bagi waris memberi penghormatan
terakhir kepada jenazah bapanya.
Cuma sebagai imam,
sebaiknya tidak melakukan amalan yang tiada asasnya. Antara yang sering kita
lihat ialah, iman bertanya kepada jemaah selepas selesai solat tentang keadaan
jenazah semasa hidupnya. Masing-masing jemaah menjawab baik. Amalan ini menjadi
budaya orang Melayu yang tidak ada asas dalam syariat.
Berkaitan isu ini memang
ada hadis yang menyebut, Allah s.w.t. mengikuti
persangkaan hambanya. Jadi, eloklah jemaah mengatakan si mati itu “baik”.
Semoga dengan itu Allah s.w.t. menggolongkan jenazah itu ke dalam golongan
hambanya yang baik-baik. Pernah suatu ketika para sahabat sewaktu melawat
jenazah menyebut-nyebut orang yang meninggal dunia itu sebagai orang yang tidak
baik. Kemudian datang pula sahabat menyebut-nyebut kebaikan si mati. Lalu Rasulullah
s.a.w. membenarkan kata-kata itu, sedangkan sebelumnya baginda diam sahaja.
Jelas di sini sunah
yang seharusnya diikuti ialah menceritakan kebaikan si mati itu. Dan ini
merujuk kepada orang yang hadiri menziarahi jenazah. Dengan cara ini diharapkan
dapat meringankan kesedihan keluarganya. Tetapi wajarkah peristiwa ini direalisasikan
dalam bentuk soalan imam kepada orang ramai mengenai keadaan si mati selepas
solat itu?
Satu perkara lagi,
sebelum jenazah dibawa keluar dari rumah imam akan membaca al-fatihah sebanyak
tiga kali dengan setiap kali al-Fatihah digerakkan satu langkah ke hadapan.
Selepas fatihah ketiga barulah jenazah itu dibawa berjalan sama ada dengan
usungan atau menaiki kenderaan yang dikhaskan. Amalan ini juga tidak ada
asasnya daripada Rasululah. Jadi, cukuplah baca Fatihah dan doa sebelum
berjalan.
Talqin
Kebiasan di negara
kita setelah jenazah dikebumikan dalam liang lahad, dan tanah pun telah
diratakan, talqin akan dibacakan. Imam dan semua pengiring jenazah akan
berkumpul di sekelilingi kubur. Kononnya talqin dibacakan bagi tujuan
mengingatkan roh jenazah sebelum menemui soalan munkar nakir.
Walaupun talqin
seperti yang dilakukan hari ini tidak pernah dilakukan oleh rasulullah dan para
sahabat, namun amalan ini relevan kerana baginda pernah berintraksi dengan roh
si mati sewaktu berjalan di satu kawasan perkuburan. Jadi, hakikat talqin dalam
kontek ini adalah berintraksi dengan roh si mati.
Sungguhpun begitu
alangkah baiknya kalau talqin pada hari ini diubahsuai sedikit teksnya. Memang
baik kita ingatkan roh si mati, tetapi apa salahnya kalau kita perluaskan
kepada semua hadirin, serampang dua mata. Orang yang hidup tentu lebih patut
diingatkan tentang persoalan munkar nakir. Semoga dengan ingatan itu, mereka juga
dapat membuat persiapan awal sebelum mati.
Jelas di sini, umat
Islam perlu kembali kepada ajaran dan panduan Islam dalam mengatur hidup.
Ingatlah hidup akan berakhir dengan mati, maka kehidupan selepas mati adalah
lebih penting kerana kehidupan selepas itu lebih lama malah kekal di sana.
Jadi, hidup kita di dunia ini perlulah mengikut panduan Islam.
3 ulasan:
alhamdulillah (:
Ustaz, saya cadangkan perkara fardu kifayah seperti ini dapat disampaikan dalam khutbah Jumaat, supaya orang awam dapat 'disedarkan' perihal perkara yang dianggap 'hak eksklusif' tok imam atau orang-orang pandai agama sahaja...
Memang betul tu BG, kita harapkan bahan ini boleh dijadikan rujukan imam untuk khutbah mereka.
Catat Ulasan