Ahmad Baei
Jaafar
“Abang ,
kakak ada kat rumah tak hari ini, ana nak bawa kak Behah?” tanya Sofiah dalam
suara yang tidak begitu lancar melalui telefon.
Anak sulungnya tabah menerima keamtian ibunya |
“Ada selepas
zohor, datanglah. Sofiah sihat ke, suara macam tak teruih (macam orang kena
strok),” tanya saya.
“Takpa, nak
balik ziarah mak (mak mentua) lepas itu pergi rumah abang Ei,” jawabnya.
Dalam hati
saya terdetik rasa yang kurang selesa, namun didoakan semoga dia selamat
berjumpa emak dan kakak, boleh bermesra dan bermohon maaf kerana lama tak
jumpa.
Lebih kurang
jam lima, Jamal, suaminya telefon memberitahu yang Sofiah terjatuh kat bilik
air di rumahnya selepas balik ziarah tadi. Saya mula bimbang dan minta dia
bersabar dan berdoa.
“Setiap jiwa
yang hidup pasti menemui mati” demikian firman Allah yang tidak boleh dinafikan
oleh manusia. Sudah banyak kali kita lihat orang yang hidup pergi meninggalkan
kita buat selama-lamnya. Malah kadang-kadang orang muda lebih dahulu pergi daripada
orang tua.
Ya tanggal 14
Mac 2012 lalu adik saya Sofiah binti Jaafar telah pergi dahulu menemui Allah
pada usia baru 43 tahun setelah jatuh dalam bilik air di rumahnya dekat Sungai
Pencala. Dia pergi dalam keadaan suaminya Jamal keluar rumah. Anak kecilnya,
Rafiq walaupun berada di rumah tidak menyedari pemergian ibunya. Tetapi dia hanya
menyedari setelah masuk bilik air dan dia mendapati ibunya terduduk di situ.
“Inna lillah
wainna ilaihi rajiun” semoga dia sempat mengucap dua kalimat syahadat pada
waktu nazak itu. Walau bagaimanapun anak saudaranya, Siddat Hamzah membawanya
juga ke hospital kalau-kalau masih boleh diselamatkan. Namun kematiannya disahkan
doktor berlaku sebelum tibanya di Hospital Sungai Buluh lagi.
Saya yang
berada di hospital ketika itu menerima berita kematian itu dengan redha, redha
terhadap takdir Allah. Namun saya sedih kerana tidak seorang pun jiran mereka
yang menyedari keadaannya sebelum dibawa ke hospital. Lebih menyedihkan, suaminya
banyak kali juga menghubungi beberapa orang kuat mereka untuk mendapatkan
khidmat urus jenazah, namun semuanya gagal.
Melihat keadaan
itu, saya mencadangkan agar dibawa balik ke Puchong sama ada di kampungnya atau
di tempat saya di Taman Putra Perdana, Puchong. Akhirnya dia memilih untuk
diuruskan di tempat saya kerana kemudahan pengurusan yang disediakan Masjid
Putra Perdana.
Anaknya di sebelah kanan turut hadir untuk talqin |
Alhamdulillah,
15 Mac 2012 jam 9 pagi urusan mandi dan kafan diuruskan sendiri oleh adik
beradik, saya, adik saya ustaz Ahmad Yusuf Jaafar, kakak saya, Sobehah Jaafar
dan juga adik-adik ipar (perempuan). Inilah penghormatan terakhir buat adik
kami. Semoga dia selesa dengan pengurusan keluarganya sendiri.
Syukur, kawan-kawan
adik saya, juga kawan lama saya turut datang meraikan jenazah Sofiah. Boleh tahan
ramai juga yang hadir memenuhi surau sekali gus dapat melakukan solat jenazah. Kehadiran
mereka telah meramaikan jemaah untuk solat jenazah. Saya percaya mereka ikhlas
ziarah dan sudah tentu ikhlas melakukan solat dan ikhlas dalam berdoa.
Jam 12.00 tengah hari jenazah dapat
disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Putra Perdana. Saya ambil kesempatan bagi kali terakhir untuk
membaca talqin untuknya sekali gus mengingatkan kawan-kawan yang hadir tentang
kehidupan dan kematian. Semoga apa yang berlaku ini boleh menginsafkan semua.
Terima kasih
kepada semua kawan-kawan termasuk anak kariah atas sumbangan yang berupa
kewangan bagi memudahkan urusan perkebumian ini. Terima kasih yang tidak
terhingga kepada Tuan Nazir masjid, Hassni Ghazali dan semua petugas Badan
Khairat Kematian Masjid Putra Perdana yang dapat memudahkan urusan perkebumian.
Adik saya Ahmad Yusuf membaca tahlil setelah selesai talqin |
Cuma secara
peribadi saya bertanya-tanya juga di mana pemimpin Global Ikhwan waktu itu.
Sofiah waktu sihat diusung ke sana sini untuk masak di Restoran mereka, tetapi
waktu dia terlantar sakit di rumah siapa yang perduli. Saya tidak tahu, belanja
rawatan perubatannya adakah diurus sendiri atau dibantu oleh mereka. Sebagai pekerja
mereka ikhlas walaupun pendapatan tidak seberapa. Mereka rela mendapat hasil
yang sedikit demi perjuangan untuk pemimpin atasan mereka.
Jadi pada kesempatan
ini saya menyeru kepada kawan-kawan yang masih dengan Global Ikhwan agar insafi
diri dan kembali kepada hidup berdikari. Marilah kita bina kehidupan dengan
bertuhankan Allah yang esa. Contohilah Rasulullah dalam dakwah dan kerja harian.
Nanti apabila kita ada pendapatan sendiri kalian boleh mengeluarkan zakat
sendiri.
2 ulasan:
Inna lillah wainna ilaihi rajiun
Al-Fatihah..
moga roh arwah d tempat dalam kalangan orang yang beriman..
moga smua mengambil ikhtibar terutama pihak yg trlibat.. ikhlas sgala krn Allah
Catat Ulasan