Bahagia menurut orang kebanyakan ialah apabila banyak wang, banyak
harta yang boleh buat apa sahaja dengan wang itu demi kebahagian suami isteri.
Oleh sebab itulah suatu ketika dahulu apabila ada lelaki hendak masuk meminang
dipersoalkan status kerja dan jawatannya. Walaupun akhirny diterima juga
peminangan, hanya kerana terpaksa namun menantu tersebut bukanlah
kesayangannya.
Walau bagaimanapun akhir-akhir ini terdapat sedikit angin
perubahan, apabila lelaki yang tidak berada boleh berkahwin dengan perempuan
yang berada. Keadaan berlaku apabila wanita berjawatan lambat berkahwin. Maka
apabila perempuan tersebut bersetuju, ibu bapa akan ikut sahaja. Suami yang menjadi pilihan itu tidak
diharapkan apa-apa kecuali perlindungan.
Realitinya manakah di antara keduanya boleh wujud
kebahagian? Kalau kekayaan semata-mata menjadi ukuran, kita lihat ramai juga
yang tidak bahagia. Walaupun semua yang dihajati boleh diperoleh dengan wang
tetapi masih ada hati yang tidak tenang. Begitu juga pasangan yang tidak
memikirkan soal kewangan. Kadang-kadang suami rasa tertekan kerana tidak boleh
bebas bergerak. Jadi, mereka tetap tidak bahagia. Kalau begitu apakah yang
sebenarnya boleh membawa kebahagiaan?
Malam pertama
Walau apapun usaha dan ikhtiar yang dilakukan untuk bahagia,
sebenarnya komunikasi atau hubungan dua hala yang berkesan itulah yang amat
penting untuk mencapai kebahagiaan. Oleh sebab itu pada malam pertama, pengenalan
diri secara yang lebih mendalam boleh dimulakan sebelum lain-lain urusan.
Mungkin pasangan yang sudah lama berkenalan berkata mereka tidak berkenalan
lagi, tetapi percaya mereka sebenarnya belum benar-benar kenal. Jadi, pada
malam pertama perlu diluahkan segala-galanya agar tiada rahsia antara keduanya.
Pada masa yang sama, tuliskan pada satu kertas tentang empat
perkara yang telah dimiliki dan akan dicapai. Empat perkara tersebut ialah
tentang imannya, akhlaknya, sifat mawaddah dan sifat rahmatnya. Suami tulis
dalam catatannya dan isteri juga lakukan perkara yang sama dalam catatannya.
Iman, tuliskan tahap iman anda. Apa yang anda tahu tentang
iman. Ketahuilah orang yang beriman ialah orang yang apabila menyebut nama
Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan al-Quran bertambah imannya. Inilah
tahap iman yang sepatutnya dimiliki oleh umat Islam.
Akhlak, tuliskan tahap akhlak anda, adakah sudah baik atau kadang-kadang
tidak boleh sabar. Allah datangkan Nabi Muhammad kepada umatnya untuk
menyempurnakan akhlak manusia. Rasulullah sendiri amat tingga akhlaknya, sangat
penyabar dan penyantun dalam pergaulan. Malah hasil akhlaknya itu musuh Islam
boleh menerima Islam. Bolehkah kita memiliki akhlak sebegitu dalam berhadapan
dengan isteri?
Mawaddah, tuliskan tahap sifat kasih sayang anda. Bolehkah
anda memberi kasih sayang kepada isteri anda sepenuhnya. Orang yang kasih dan
sayang tidak akan abaikan isteri, perhatian diberikan sepenuh kepada isteri. Dan
kalau isteri membuat sesuatu yang baik untuk anda bolehkah dibalas dengan kasih
sayang? Hargailah pengerbonan sepanjang dia menjadi isteri anda.
Rahmah, tuliskan tahap belas kasihan yang ada dalam diri
anda. Dalam hal ini kalau isteri sakit bolehkah anda membelainya dengan belas
kasihan. Kesalahan isteri terhadap anda bolehkah dibaiki dengan penuh belas
kasihan. Kederhakaan isteri bolehkah diberi teguran dengan berhikmah dan belas
kasihan? Belas kasihan ini penting dalam rumah tangga.
Isteri jugas perlu menulis perkara yang sama tetapi dia tidak
boleh berpakat apa yang mahu ditulisnya. Setelah siap, berikan kepada pasangan
masing-masing dan bacalah catatan pasangan anda dengan cermat. Setelah itu,
masing-masing perlu berikrar di hadapan pasangan, “Saya akan menjadi
suami/isteri yang beriman, berakhlak, ada sifat mawaddah dan rahmat, jika saya
terseleweng dari landasan ini, saya bersedia ditegur oleh pasangan.” Demikian
yang boleh dilakukan pada malam pertama.
Nilaian pasangan
Apabila masing-masing sudah mendapat catatan pasangannya,
simpanlah baik-baik di tempat yang boleh dilihat. Tetapi sebelum tidur, bukalah
lembar catatan itu dan masing-masing boleh buat penilaian terhadap pasangan
anda. Kalau pasangan tersebut sudah baik imannya, akhlaknya dan semuanya memuaskan
maka ucaplah terima kasih terhadap pasangan anda. Semoga kebaikan itu dapat
diteruskan sehingga bila-bila.
Namun begitu kalau dalam penilaian itu terdapat kekurangan
yang boleh menjejaskan hubungan bolehlah anda membuat teguran untuk menambahbaikkan
kekurangan itu. Dalam hal ini perlu diingatkan, janganlah kesalahan atau
kekurangan itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang teguran atau baik pulih. Percayalah
kalau keadaan ini berterusan, boleh membawa kesan buruk kepada pasangan itu,
dan boleh jadi dia tidak boleh menerima teguran lagi selepas itu.
Suka saya contohkan di sini kisah yang boleh dikaitkan
dengan soal teguran. Bayangkan kalau seorang suami menulis dalam catatan itu
bahawa dia mahu berbuat baik, berakhlak mulia. Ertinya dia perlu berbuat baik
kepada isteri setiap masa. Nanti kalau dalam sehari itu, suami suka marahkan
isteri, maka isteri bolehlah merujuk kepada catatan suami, dan tunjukkan kepada
suami. Ketika itu suami anda akan sedar dan akan segera berubah. Kalaulah dia
mahu berubah juga, ingatkan dia bahawa dia sebenarnya telah berjanji di hadapan
Allah.
Percayalah dengan cara ini suami boleh reda dan isteri juga
akan rasa tenang. Itulah hakikat kebahagiaan dalam rumah tangga. Kalau keadaan
ini boleh dikekalkan, miskin harta tidak menghalang mereka untuk menjayakan
kehidupan. Hakikatnya mereka kaya iman.
Muhasabah bulanan
Selain muhasabah harian boleh juga dilakukan muhasabah
secara bulanan. Cuma perlu diingatkan, segala yang berlalu bahkan sudahpun
diselesaikan setiap hari sebelum tidur maka tidak wajarlah diungkit-ungkit
lagi. Yang sudah sudahlah, semoga yang berlalu itu akan menjadi panduan untuk
masa depan mereka.
Muhasabah bulan itu seeloknya dibuat pada waktu sarapan pagi
atau waktu makan petang. Jika masing-masing berpuas hati, sebaiknya antara
mereka saling ucapkan ribuan terima kasih. Siapa yang hendak mula dahulu tidak
timbul isu, yang penting siapa yang memberi tentu lebih besar pahalanya
daripada orang yang menerima.
Walau bagaimanapun jika pasangan tersebut sukar membuat
perubahan setelah ditegur berkali-kali, terimalah kekurangan itu dengan penuh
rasa tolak ansur dan sabar. Ingatlah suami atau isteri yang cuba membuat
perubahan akan diberi pahala walaupun dia gagal mencapainya. Manakala suami
atau isteri yang boleh bertolak ansur dalam hal ini, pahala tentu lebih besar
di sisi Allah.
Ketahuilah pasangan yang boleh bertolak ansur dan sabar dengan
kerenah pasangannya, hakikatnya mereka telah benar-benar beroleh bahagia. Mengapa?
Ya, dengan tolok anda dan sabar itu mereka akhir boleh melakukan hubungan
kelamin dengan penuh kasih sayang. Malah hubungan sebeginilah yang menjadi
ukuran kebahagiaan.
Dalam hal ini kalau ada seseorang yang mendakwa empat
perkara di atas sudah sempurna padanya, tetapi apa dilihat pada kehidupannya
didapati tidak wujud hubungan kelamin dengan penuh kasih sayang, mereka belum
boleh lagi dikatakan bahagia. Ingatlah apabila hubungan mereka berlaku secara
paksa atau sebelah pihak tidak mahu memberi kerjasama, bermakna empat perkara
di atas tidak dilakukan secara baik.
Di sini mungkin ada pihak yang tidak suka isu hubungan
kelamin ini dibesarkan. Tetapi percaya, kebanyakan punca hubungan keluarga yang
tidak harmoni akhir-akhir ini ialah apabila pasangan itu menjauhkan diri
daripada hubungan kelamin. Tidak percaya?
Pernahkah anda mendengar berita pasangan tua bercerai?
Walaupun kes banyak tetapi tidak dibesarkan media. Pasangan itu walaupun sudah
tua, sudah punyai anak dan cucu yang ramai, tetapi apabila hubungan kelamin tidak
dapat dikekalkan, rasa mawaddah dan rahmat turut hilang. Jika ini gagal
dilakukan keruntuhan rumah tangga boleh berlaku bila-bila masa.
Jadi, hubungan dua hala seperti yang dinyatakan di atas mesti
dinilai setiap masa sehingga ke akhir hayat. Ingatlah kebahagiaan rumah tangga
perlu diteruskan hingga ke dalam syurga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan