09 Mei 2012

Tabligh menyampaikan mesej menyelamat umat


Ahmad Baei Jaafar

Dahu-dulu orang tabligh dicemuh kerana sering membawa periuk belanga masuk keluar kampung. Sesetengah masjid tidak membenarkan mereka masuk ke dalam masjid untuk aktiviti dakwah mereka kerana dikatakan boleh mengotorkan masjid. Tetapi pada zaman kebelakangan ini penampilan mereka sudah berubah, tidak lagi membawa periuk belanga ke masjid.
Walau bagaimanapun gerakan dakwah atau tablighnya masih sama seperti dahulu, mengajak orang ramai ke masjid dan selepas aktiviti bayan, mengajak jemaah yang hadir untuk berjanji bagi menyertai mereka sekurang-kurangnya tiga hari. Walaupun yang mengikutnya tidak ramai, namun mereka tidak pernah jemu dan berputus asa.
Demikian sifat dan sikap orang tabligh yang harus kita kagumi. Mereka tidak membesar diri malah mereka tidak mahu melabelkan mereka sebagai orang dakwah. Katanya, “kami datang di sini untuk belajar cara berdakwah, dan kami sekadar menyampaikan  apa yang kami tahu.”
Tepatlah seperti sabda Rasulullah SAW  بَلِّغْ عَنِّي وَلَوْ اَيَّة Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Kalau kita dapat satu hadis, sampaikanlah hadis itu kepada orang lain. Maknanya jangan tunggu sampai banyak ilmu baru kita nak sampaikan kepada orang lain. Itulah konsep tabligh yang sebenar. Kalau begitu kedudukannya, semua orang boleh jadi orang tabligh.
Jadi, setiap orang Islam apabila mendapat satu hadis atau ilmu hasil pengajiannya di kuliah Maghrib kenalah disampaikan kepada orang lain, isteri dan anak-anak. Tetapi itulah yang tidak pernah terjadi dalam masyarakat kita, ilmu yang diperolehi sekadar maklumat diri, malah kadang-kadang selepas keluar masjid sudah lupa semuanya.
Tabligh adalah sifat Rasulullah yang baginda tidak pernah lokek dengan ilmu yang diperolehnya. Setiap kali baginda mendapat wahyu daripada Allah dia akan terus sampaikan kepada sahabat. Tetapi kalau dalam majlis itu tidak dihadiri oleh semua sahabat, maka para sahabat akan memanjangkan mesej itu kepada sahabat yang tidak dapat datang itu.
Sifat Baginda yang terus menyampaikan mesej itu menyebabkan semua umat Islam mendapat maklumat dan Ilmu dengan tepat. Tetapi bayangkan kalau wahyu yang diperoleh itu disimpan sahaja, kalau ada sahabat datang bertanya baru boleh disampaikan, tentulah banyak ilmu yang tidak dapat disampaikan. Kenapa? Sahabat yang jauh tidak akan berkesempatan untuk bertemu Rasulullah. Dan kalau bertemu pun mereka tidak tahu apa yang hendak ditanya.
Kalau Rasulullah bersifat menyampaikan, tidak menyembunyikan atau menyimpan supaya menjadi banyak baru hendak disampaikan, patutlah kita mencontohi sifat menyampai itu. Kalau pun kita tidak mampu hendak ikut Rasulullah, ikutlah sahabat, kerana mereka juga cepat menyampaikan mesej yang mereka dengar daripada Rasulullah.
Dalam hal ini syabas diucapakan kepada orang tabligh kerana mereka terus berjalan merantau menyampaikan mesej kepada orang ramai. Cuma perlu diingatkan, untuk menjadi orang tabligh tidak semestinya kena masuk jemaah tabligh, tak perlu juga belajar sekolah agama atau masuk sekolah tahfiz atau university Islam. Kalaupun kita mengaji kitab dekat masjid, kita sudah boleh menjadi orang tabligh.
Tetapi kita amat berdukacita, dengan sikap umat Islam pada hari ini yang apabila kita ajak atau memberi tahu satu ilmu, dia dengan senang hati berkata, bila jadi ustaz ni. Dan ada yang lebih berat, sudah mula dah khutbahnya.
Kita perlu ingat golongan ini boleh dimasukkan dalam satu daripada dua kategori berikut:
1.      Mereka mempermain-mainkan usaha tabligh yang mewarisi sifat Rasulullah.
2.      Mereka sama dengan orang Quraisy semasa dakwah Rasulullah.
Jadi, umat Islam pada hari ini tiada pilihan lain kecuali dengan mencontohi sifat Rasulullah SAW sebagai pembawa mesej daripada Allah. Dan setelah menerima mesej, amalkan terus dalam kehidupan kerana ilmu ini kalau disimpan tanpa dipraktikkan, pasti dilupakan dengan kesebukan harian kita.


1 ulasan:

fikrah islamiah berkata...

Tabligh dalam aritikel ini adalah sifat Rasulullah, maka setiap orang-orang Islam mesti ada sifat tabligh walaupun dia tidak pernah menyertai jemaah tabligh. Namun janganlah jemaah tabligh mencacatkan sifat nabi yang mulia ini.