30 Mei 2012

Meluruskan saf sebahagian daripada solat



Ahmad Baei Jaafar

Luruskan saf dan rapatkan antara jemaah solat sering diperingatkan setiap kali hendak memulakan solat. Peringatan imam itu hanya tinggal ingat tanpa diindaahkan oleh jemaah. Persoalan yang timbul dalam fikiran saya apakah jemaah tidak faham peringatan itu, atau tidak dengar atau memang jemaah degil.
Sebenarnya isu saf ini seperti tidak pernah selesai kerana sehingga ke hari ini, saf solat umat memang tidak pernah lurus. Bahkan di Makkah dan Madinah juga tidak boleh berlaku lurus. Adakah mereka tidak sedar bahawa luruskan saf itu sebahagian daripada solat, malah menyempurna solat itu sendiri. Sabda Rasulullah seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik,
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ
Maksudnya: Samakan atau luruskan saf-saf solat kamu, maka sesungguhnya menyamakan saf solat itu sebahagian daripada kesempurnaan solat. (Hadis Marfuk)
Kalau anda tahu bahawa meluruskan saf sebahagian daripada kesempurnaan solat, apakah patut anda tidak meluruskannya. Sedarkah anda bahawa tanpa meluruskannya boleh mencacatkan solat anda atau dalam kata lain tidak sempurna solat yang dilakukan itu.
Selain lurus, merapatkan antara jemaah penting diberi perhatain. Hal ini kerana kedudukan yang renggang mengundang gangguan syaitan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya (kekuasaannya), aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97)
Mengapa perlu lurus dan rapat
Sesuatu yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya tentu ada tujuan dan hikmahnya. Antara tujuannya ialah dengan rapatkan antara jemaah boleh menghilangkan rasa ego. Kalau anda perasan kedudukan saf solat anda pada hari ini, jarang. Apabila kita cuba hendak rapatkan, dia akan anjakkan lagi. Ini menunjukkan mereka ego, tempat solat tidak mahu dikongsikan dengan orang lain.
Ketahuilah kalau kita masih merenggangkan kedudukan antara jemaah, itulah petunjuk bahawa hati anda tidak serasi dengan orang lain. Ketika itu, anda tidak bersedia untuk bersatu padu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu merapatkan saf-saf kamu, atau Allah akan memecah-belahkan hati-hati kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Jelas di sini orang yang boleh menjaga saf selain diganjari dengan ganjaran besar, Allah jalinkan hubungan persaudaraan sesama mereka. Hal ini disokong oleh hadis daripada Ibnu Umar r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang menyambung (merapatkan) saf, maka Allah akan menyambungkannya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskannya.” (Riwayat Ahmad, an-Nasaie, Abu Daud dan Hakim)
Dalam hadis yang diriwayat Abu Hurairah r.a. dia berkata, “Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, baginda memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Janganlah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana demikian itu akan menjadikan hati kalian berselisih.” (Riwayat Muslim)
Bagaimana boleh lurus dan rapat
Untuk merealisasikan perintah ini setiap orang perlu lakukan langkah berikut:
1. Cara berdiri, setiap jemaah perlu berdiri mengikut keselesaan masing-masing. Maksudnya kalau anda kurus berdirilah mengikut yang sepadan dengannya. Dan kalau gemuk berdirilah mengikut keselesaannya juga.
2. Rapatkan antara jemaah. Untuk ini, betulkan cara meletak tangan ketika berdiri seperti yang dijelaskan dalam keluaran edisi 8. Yang penting siku kiri berada dicelah rusuk kanan jemaah lain. Manakala bahu dan jari kelingking kaki bersentuhan antara satu sama lain.
3. Kedudukan tumit, perhatikan tumit anda sentiasa berada di atas garisan yang disediakan. Dalam keadaan itu kalau anda duduk di hujung saf, anda akan kelihatan seperti satu. Rasullah sendiri sewaktu hayat memeriksa saf tersebut seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik.

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ أَنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، أَقْبَلَ بِوَجْهِهِ عَلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: سَوُّوا صُفُوفَكُمْ ، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي.
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah setelah bersedia untuk solat (selepas iqamat) baginda melihat wajah sahabat dan berkata, samakan saf-saf kamu kerana sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku.” (Hadis Sohih yang dikeluarkan al-Bukhari)
أَقِيمُوا الصُّفُوفَ ، فَإِنَّمَا تَصُفُّونَ بِصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ ، وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ ، وَسُدُّوا الْخَلَلَ ، وَلِينُوا فِي أَيْدِي إِخْوَانِكُمْ ، وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ ، وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا ، وَصَلَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا ، قَطَعَهُ اللَّهُ تبَارك وَتَعالَى .
Dalam hadis daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Hendaklah kamu luruskan saf, sesungguh kamu berbaris bersama saf para Malaikat, samakan di antara tumit-tumit kamu dan penuhi ruang-ruang kosong, lembut tangan saudara kamu, jangan biarkan ruang-ruang kosong untuk dipenuhi oleh syaitan, siapa yang menyambung (merapatkan) saf, maka Allah akan menyambungkannya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskannya.” (Riwayat Ahmad, an-Nasaie, Abu Daud dan Hakim)

Tiada ulasan: