09 Jun 2012

Belajar main politik cara bijak


Ahmad Baei Jaafar
Semasa belajar ilmu mantik di sekolah agama dulu, ustaz ada menyebut bahawa ilmu ini penting ketika berhujjah dan berbalas hujjah. Tetapi pada waktu itu aku tidak temui ilmu yang dimaksudkan itu. Mungkin contoh yang diberi ketika itu tidak relevan dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Tetapi apabila tamat pengajian dan berkecimpung dalam masyarakat, ilmu itu mula tampak sedikit demi sedikit.
Rupa-rupanya ilmu ini amat berguna kepada orang politik. kepetahan mereka menjawab tuduhan dan mematah hujjah lawan adalah menggunakan ilmu mantik. Malah kadang-kadang upacan musuh akan diguna semula untuk membunuhnya secara KO.
Saya teringat suatu ketika dahulu, Datuk Mohamad Asri Muda, Presiden PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, ketika kempen pilihanraya di RTM katanya, “Saya dengar Tunku Abdul Rahman dalam ceramahnya mengistiharkan akan membina lebuh raya timur - barat (Jeli – Grik sekarang) kalau Perikatan menang di Kelantan. Saya hubungi Tunku dan minta penjelasan, bagaimana kalau PAS memang juga? Tunku sepontan menjawab, kita akan buat juga.” Berdasarkan jawapan itu, Datuk Asri mengakhiri ceramahnya di RTM itu katanya, “Kalau PAS memang, kerajaan pusat akan buat lebuh raya juga, jadi tuan-tuan dan puan-puan undilah PAS.”
Tahun 2012 menjelang pilihanraya ke 13 kempen sudah bermula secara tidak rasmi. Semuanya bermula daripada demontasi minta kerajaan hapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. Dalam pada itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji, bayaran baliknya akan dimansuhkan jika Pakatan menawan Putrajaya dalan pilihan raya umum akan datang. Kempen ini memang menarik terutama pelajar yang terlibat dengan pinjaman itu.
Setelah isu itu dilupakan semua pihak, tiba-tiba sahaja pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan telah membekukan pinjaman kepada mahasiswa UNISEL. Keesokannya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor.

Alasan pembekuan itu adalah bertujuan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu. Pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.
Ekoran tindakan itu, banyak pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Exco kerajaan, ABIM menyatakan kekesalan terhadap tindakan kerajaan itu, malah tidakan itu dikira tidak adil dan menzalimi pelajar. Mereka mahu PTPTN tidak dibekukan pada waktu ini. Walau bagaimanapun bagi menyelamat keadaan MB mengumumkan untuk mencairkan harta UNISEL untuk membiayai urusan pendidikan sekali gus membolehkan pelajar meneruskan pengajian.
Berdasarkan itu, menteri dan perdana menteri segara mengumumkan penarikan balik pembekuan itu. Sehubungan itu, seorang pegawai tinggi PTPTN ketika menjawab SMS daripada wartawan Malaysiakini, mengesahkan keputusan menarik balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan KUIS. Cuma menariknya PM semasa berucap di Kedah semalam beliau berkata, “kita tarik balik pembekuan PTPTN setelah mendapati kerajaan Selangor tidak mampu membiayai pendidikan percuma kepada pelajar di negerinya.”
Nampaknya PM menggunakan peluru Pakatan Rakyat untuk membunuh balik mereka. Yalah kalau Pakatan berjuang supaya pelajar tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN, maknanya mereka belajar secara percuma. Jadi sekarang buatlah sebegitu. Agaknya itulah maksudnya. Tetapi yang paling penting di sini menampakkan, kerajaan BN baik hati dan bersimpati kepada pelajar di Selangor.
Begitulah fikiran orang politik, begitulah hujjah orang politik dan begitulah tektik orang politik. Cuma persoalannya adakah jawapan itu memuaskan semua pihak dan memberi mata kepada BN atau tidak?
Pembaca artikel ini tentu tahu jawapannya dan saya pasti, kisah yang berlaku pada zaman tunku dengan zaman najib amat jauh. Hujjah yang diberi ini bukan boleh menyelamatkan BN tetapi menggelapkan masa depannya. Mengapa?
Perhatikan, Pakatan Rakyat berjuang untuk menghapuskan bayaran balik, bukan pendidikan percuma. Pendidikan tetap berbayar tetapi ada pihak lain yang perlu membayarnya. Dan yang kedua, perjuangan ini hanya akan dapat direalisasikan setelah menguasai Putrajaya, maknanya setelah memerintah Malaysia. Jadi, perjuangan ini bukan untuk Selangor pada waktu ini.
Berdasarkan itu tindakan kerajaan pusat itu ternyata tersalah langkah. Rakyat tetap menilainya sebagai kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat. Malah tindakan kerajaan menarik balik itu ada kemungkinan besar kerana tidak mahu aset beku UNISEL dicairkan. Hal ini kerana mereka kini menunggu peluang untuk merampas Selangor pada pilihanraya nanti. Ya, bagaimana kalau harta beku itu dicairkan? Kuranglah harta yang boleh diwarisi nanti.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...