Ahmad Baei Jaafar
Dahu-dulu
orang tabligh dicemuh kerana sering membawa periuk belanga masuk keluar
kampung. Sesetengah masjid tidak membenarkan mereka masuk ke dalam masjid untuk
aktiviti dakwah mereka kerana dikatakan boleh mengotorkan masjid. Tetapi pada zaman
kebelakangan ini penampilan mereka sudah berubah, tidak lagi membawa periuk
belanga ke masjid.
Walau
bagaimanapun gerakan dakwah atau tablighnya masih sama seperti dahulu, mengajak
orang ramai ke masjid dan selepas aktiviti bayan, mengajak jemaah yang hadir
untuk berjanji bagi menyertai mereka sekurang-kurangnya tiga hari. Walaupun
yang mengikutnya tidak ramai, namun mereka tidak pernah jemu dan berputus asa.
Demikian
sifat dan sikap orang tabligh yang harus kita kagumi. Mereka tidak membesar
diri malah mereka tidak mahu melabelkan mereka sebagai orang dakwah. Katanya,
“kami datang di sini untuk belajar cara berdakwah, dan kami sekadar
menyampaikan apa yang kami tahu.”
Tepatlah
seperti sabda Rasulullah SAW بَلِّغْ عَنِّي وَلَوْ اَيَّة – Sampaikan
daripadaku walaupun satu ayat. Kalau kita dapat satu hadis, sampaikanlah hadis
itu kepada orang lain. Maknanya jangan tunggu sampai banyak ilmu baru kita nak
sampaikan kepada orang lain. Itulah konsep tabligh yang sebenar. Kalau begitu
kedudukannya, semua orang boleh jadi orang tabligh.
Jadi, setiap
orang Islam apabila mendapat satu hadis atau ilmu hasil pengajiannya di kuliah Maghrib
kenalah disampaikan kepada orang lain, isteri dan anak-anak. Tetapi itulah yang
tidak pernah terjadi dalam masyarakat kita, ilmu yang diperolehi sekadar
maklumat diri, malah kadang-kadang selepas keluar masjid sudah lupa semuanya.
Tabligh
adalah sifat Rasulullah yang baginda tidak pernah lokek dengan ilmu yang
diperolehnya. Setiap kali baginda mendapat wahyu daripada Allah dia akan terus
sampaikan kepada sahabat. Tetapi kalau dalam majlis itu tidak dihadiri oleh
semua sahabat, maka para sahabat akan memanjangkan mesej itu kepada sahabat
yang tidak dapat datang itu.
Sifat
Baginda yang terus menyampaikan mesej itu menyebabkan semua umat Islam mendapat
maklumat dan Ilmu dengan tepat. Tetapi bayangkan kalau wahyu yang diperoleh itu
disimpan sahaja, kalau ada sahabat datang bertanya baru boleh disampaikan,
tentulah banyak ilmu yang tidak dapat disampaikan. Kenapa? Sahabat yang jauh
tidak akan berkesempatan untuk bertemu Rasulullah. Dan kalau bertemu pun mereka
tidak tahu apa yang hendak ditanya.
Kalau Rasulullah
bersifat menyampaikan, tidak menyembunyikan atau menyimpan supaya menjadi banyak
baru hendak disampaikan, patutlah kita mencontohi sifat menyampai itu. Kalau pun
kita tidak mampu hendak ikut Rasulullah, ikutlah sahabat, kerana mereka juga
cepat menyampaikan mesej yang mereka dengar daripada Rasulullah.
Dalam hal
ini syabas diucapakan kepada orang tabligh kerana mereka terus berjalan
merantau menyampaikan mesej kepada orang ramai. Cuma perlu diingatkan, untuk
menjadi orang tabligh tidak semestinya kena masuk jemaah tabligh, tak perlu
juga belajar sekolah agama atau masuk sekolah tahfiz atau university Islam.
Kalaupun kita mengaji kitab dekat masjid, kita sudah boleh menjadi orang
tabligh.
Tetapi kita
amat berdukacita, dengan sikap umat Islam pada hari ini yang apabila kita ajak
atau memberi tahu satu ilmu, dia dengan senang hati berkata, bila jadi ustaz
ni. Dan ada yang lebih berat, sudah mula dah khutbahnya.
Kita perlu
ingat golongan ini boleh dimasukkan dalam satu daripada dua kategori berikut:
1.
Mereka mempermain-mainkan usaha tabligh yang mewarisi
sifat Rasulullah.
2.
Mereka sama dengan orang Quraisy semasa dakwah
Rasulullah.
Jadi, umat
Islam pada hari ini tiada pilihan lain kecuali dengan mencontohi sifat
Rasulullah SAW sebagai pembawa mesej daripada Allah. Dan setelah menerima
mesej, amalkan terus dalam kehidupan kerana ilmu ini kalau disimpan tanpa
dipraktikkan, pasti dilupakan dengan kesebukan harian kita.
1 ulasan:
Tabligh dalam aritikel ini adalah sifat Rasulullah, maka setiap orang-orang Islam mesti ada sifat tabligh walaupun dia tidak pernah menyertai jemaah tabligh. Namun janganlah jemaah tabligh mencacatkan sifat nabi yang mulia ini.
Catat Ulasan